Saturday, December 15, 2018

Malangnya ada yang tidak mahu ikut perubahan.




Beberapa minggu lepas semasa merasmikan mesyuarat agung satu kesatuan sekerja, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir telah meminta supaya rakyat Malaysia 'tidak tertinggal apabila berlakunya perubahan teknologi'. Itulah yang saya amalkan selama ini. 

Pada tahun 2004 saya dihantar berlatih di bandar Fukuoka, Jepun bersama enam rakan-rakan dari Malaysia. Kami bergerak ke mana-mana dengan satu bas kecil. Satu hari dalam perjalanan balik ke hotel, bas terperangkap dalam satu kesesakan lalulintas. Tiba-tiba television di depan bas yang selama ini menunjukkan siaran television Jepun menunjukkan peta di mana kami berada. Ditunjukkan juga arahan untuk kami keluar dari kesesakan itu.

Saya perhatikan ada monitor kecil depan pemandu dengan visual yang sama. Dia menyambungkan vusual itu kepada kami supaya dia boleh berbincang dengan kawan-kawan Jepun kami di dalam bas laluan mana yang perlu diikut. Dengan cara itu kami dapat balik ke hotel dengan selamat.

Setelah balik ke Malaysia saya pun mencari jika alat serupa ada dijual di sini. Ada rupanya dan saya sudah ketinggalan zaman. Alat itu dipanggil GPS Navigator dan saya pun membeli satu. Saya yang selama ini memandu berpandukan peta telah beralih kepada alat itu. Sekarang saya mempunyai pilihan sama ada menggunakan alat tersebut atau pun telefon pintar saya yang juga mempunyai program yang serupa.

Itulah satu contoh saya tidak mahu ketinggalan apabila berlakunya perubahan teknologi. Saya juga meggunakan kaedah yang sama semasa bekerja dulu dan semasa bekerja semula sekarang di satu Badan Bukan Kerajaan atau NGO.

Sebagai contoh saya menggunakan komputer sepenuhnya. Semasa bekerja dulu saya menaip dan mencetak surat-surat, aduan mahkamah dan kertas pertuduhan mahkamah di komputer yang dibekalkan oleh jabatan. Sedangkan boss dan kawan-kawan sebaya saya menulis deraf atas kertas dan meminta jurutaip menaip dan mencetaknya.

Tetapi tindakan saya itu tidak dihargai sepenuhnya. Beberapa tahun sebelum saya bersara saya menjalani satu temuduga naik pangkat dan lawan saya cuma seorang sahaja. Semasa berbincang dengan seorang pemandu sebelum itu dia berkata dia yakin saya akan berjaya di temuduga itu. Bila saya tanya kenapa dia befikir begitu jawapannya saya tahu komputer sedangkan lawan saya tidak.

Saya jawab itulah masalah yang saya hadapi kerana boss kami pun buta komputer. Sangkaan saya betul dan lawan saya yang buta komputer itu dinaikkan pangkat. Untuk pengetahuan, lawan saya itu meninggal dunia beberapa minggu lepas setelah sakit sekian lama. Al Fatihah. 

Rupa-rupanya masalah saya dengan jabatan saya dulu belum selesai lagi selepas saya bersara. Salah satu tugas saya di NGO sekarang ialah menyemak permohonan bantuan perubatan dari ahli-ahli yang semuanya pesara. Kemudian tibalah masanya untuk saya memohon sendiri bantuan serupa apabila saya menghantar isteri saya untuk pemeriksaan dan rawatan di Institut Jantung Ngara (IJN) di Kuala Lumpur. 

Mengikut Akta Pencen taggungjawab tuntutan perubatan kepada pesara-pesara Persekutuan seperti guru, polis dan kakitangan kesihatan adalah Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Awam. Tetapi untuk pesara Pihak Berkuasa Tempatan atau PBT seperti saya ia jatuh kepada PBT berkenaan.

Dari itu saya pun membuat tuntutan perjalanan dengan memandu sendiri (dengan kod MS di borang tuntutan) kepada Majlis Perbandaran Seremban atau MPS di mana saya bekerja dulu. Alangkah terperanjatnya saya bila diberitahu kami pesara tidak dibenarkan menuntut melalui kod MS. Kami hanya boleh menuntut tambang bas dan teksi dengan kod BT.

Saya terus mengamuk dan menyatakan saya telah membuat perjalanan sebenar dengan mengemukakan resit tol dan letak kereta sekali. Jika saya dapatkan resit teksi atau bas sekarang, bermakna saya menipu. Kemudian saya tinggalkan segala dokumen saya kepada mereka dan terpulanglah untuk mereka untuk berbuat apa-apa. 

Beberapa hari kemudian saya diberitahu permohonan tuntutan perjalanan saya dengan kaedah memandu sendiri atau MS diluluskan. Dari hari itu juga MPS telah mengubah polisi mereka dengan membenarkan pesara mereka menuntut bantuan perjalanan perubatan dengan memandu kereta sendiri.

Saya bersyukur kerana bukan sahaja semasa bekerja dulu saya telah banyak membuat perubahan di jabatan saya  kerana  tidak mahu 'tertinggal apabila berlakunya perubahan teknologi'. Setelah bersara pun saya melakukannya. 

Malangnya masih ada mereka yang tidak mahu ikut perubahan.

No comments: