Friday, October 13, 2017

Skim A atau Skim B?

Sudah beberapa kali saya menerima pangggilan telefon dari penerima pencen yang mengadu duit mereka dalam bank sudah 'lesap'. Bila saya tanya adakah mereka menerima pencen melalui Skim B, ada yang mengaku ia dan ada yang tidak pasti. Golongan yang kedua ini tidak tahu bahawa ada dua skim pembayaran pencen, iaitu itu Skim A  dan Skim B.

Apa itu Skim A dan Skim B? Duit pencen dimasukkan ke akaun bank penerima di kedua-dua skim. Perbezaannya ialah di skim A penerima pencen boleh mengeluarkan duit mereka bila-bila masa sedangkan di Skim B penerima pencen hendaklah pergi ke kaunter bank setiap bulan untuk mendapatkan duit pencen.

Saya menyebut penerima pencen dan tidak pesara kerajaan oleh kerana bukan semua penerima pencen adalah pesara kerajaan. Golongan ini biasanya balu (lelaki atau perempuan), anak dibawah 21 tahun dan anak kurang upaya kepada pesara yang hilang hak persaraan, biasanya kerana kematian. Pencen mereka dianggil Pencen Terbitan.

Skim A dan Skim ada kekuatan dan kelemahannya.

Kekuatan Skim A:
  1. Penerima pencen boleh mengeluarkan duit bila-bila masa dan di mana-mana, biasanya di mesin ATM.
  2. Bank tidak payah berurus dengan penerima pencen.
Kelemahan Skim A:
  1. Pembayar pencen, sama ada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau Jabatan Hal Ehwal Veteran (untuk pesara tentera) tidak tahu bila penerima pencen hilang hak persaraan, melainkan mereka diberitahu. Banyak kes di mana duit pencen masih dimasukkan ke akaun bank penerima sedangan penerima sudah meninggal dunia beberapa lama. 
  2. Penerima pencen dikehendaki melantik serorang wakil yang tugasnya tidak lain tidak bukan melaporkan kepada pembayar pencen jika penerima hilang hak persaraan.
Kekuatan Skim B:
  1. Pembayar pencen dapat mengesan bila penerima pencen hilang hak persaraan, kerana jika penerima tidak datang ke bank selama tiga bulan bayaran akan diberhentikan dan pencen untuk tempoh tiga bulan itu dipulangkan. Ini tidak bermakna duit pencen yang dipulangkan itu hangus dan saya akan terangkan nanti.
Kelemahan Skim B:
  1. Menyusahkan penerima pencen kerana terpaksa pergi ke bank tiap-tiap bulan. Apa lagi jika penerima pencen seorang OKU.
  2. Menyusahkan pihak bank, lebih-lebih lagi jika penerima seorang OKU, pegawai bank terpaksa melayan mereka di luar bank, seperti di dalam kereta.
  3. Penerima pencen berisiko dirompak setelah keluar dari bank.  
Ramai penerima Skim B tidak tahu pencen mereka akan ditahan jika tidak pergi ke bank selama tiga bulan. Mereka inilah yang biasa menalipon saya. Biasanya mereka tidak pergi ke bank setiap bulan atas sebab-sebab berikut:
  1. Mereka uzur tetapi tidak punya masalah kewangan kerana anak-anak menjaganya.
  2. Mereka adalah balu mempunyai pendapatan sendiri.
Semalam saya menerima panggilan telefon dari seorang balu perempuan dari Merlimau, Melaka. Beliau menerima pencen terbitan arwah suaminya sedangkan dia masih bekerja. Beliau mengadu duit pencennya selama tiga bulan sudah 'lesap'. Beliau juga ingat pejabat saya ialah cawangan JPA.

Saya jawab pejabat saya ialah pejabat satu NGO untuk  pesara kerajaan, tetapi saya mungkin boleh menjawab apa-apa soalan tentang persaraan. Bila mendapat tahu beliau dibayar pencen melalui Skim B saya kata duitnya tidak hilang. 

Saya terus berinya nombor telefon pembayar pencen. Bila dia bertanya apa yang harus dikatakannya saya jawab  'Beritahu mereka yang puan masih hidup'. Kemudian saya tanya adakah anak-anaknya boleh membuka laman sesawang JPA? Tujuannya supaya dia memuat turun Borang Skim A untuk menukar cara pembayaran dari Skim B.

Dia jawab walau pun anak-anaknya mungkin boleh membuka laman sesawang JPA, tetapi itu tidak perlu buat masa ini kerana bank sudah menyerahkan Borang Skim A kepadanya untuk diisi.

Tindakan pihak bank menyediakan Borang Skim A adalah bijak kerana pembayaran duit pencen melalui Skim itu merupakan situasi menang-memang bagi mereka. 

Sekian.

No comments: