Pagi tadi saya dan isteri pergi ke satu pasaraya besar di Seremban untuk membeli barang-barang keperluan bulan Ramadan. Antara yang kami beli ialah daging ayam. Kebetulan ada seorang pekerja di bahagian ayam itu yang saya kenal sudah lama. Dulu kami sama-sama tinggal di Taman Paroi Jaya, Seremban. Dia tinggal di rumah kedai di mana dia bekerja sedangkan saya tinggal di rumah sendiri.
Di antara tugasnya di kedai itu ialah menghantar surat khabar ke rumah saya. Apa yang menarik saya kepada budak ini ialah kegigihannya untuk bertutur dalam loghat Negeri Sembilan. Tetapi saya yang sejak lahir dikelilingi oleh loghat itu dapat menangkap bahawa dia hanya mula bertutur loghat itu apabila dia sudah besar. Dia seorang India Muslim atau Mamak dan sudah pasti tidak di kelilingi loghat Negeri Sembilan sejak kecil. Mungkin dia menuturnya hasil bergaul dengan kawan-kawan.
Tetapi dia tanpa segan silu bertutur dengan loghat Negeri Sembilan tidak kira pelanggannya muda, tua, lelaki atau perempuan. Saya perhatikan dia seronok bercakap loghat ini sedangkan ada orang Negeri Sembilan sendiri (termasuk saya) malu menuturkannya di tempat-tempat tertentu.
Saya? Bukan saya malu dengan loghat turun temurun saya, tetapi saya menghormati dan tidak bercakap dengan loghat itu dengan sesiapa yang saya tahu tak mungkin memahaminya.
Saya? Bukan saya malu dengan loghat turun temurun saya, tetapi saya menghormati dan tidak bercakap dengan loghat itu dengan sesiapa yang saya tahu tak mungkin memahaminya.
Semasa kami meninggalkan pasaraya itu dia pun keluar sama. "Den rehat satu jam" katanya dan dia nak gunakan masa rehat itu untuk minum. Kami pun sempat berbual lama sedikit kerana sudah lama kenal. Dia tetap membahasakan dirinya 'den' kepada kami.
Sebenarnya itulah kesilapannya. Umum tahu perkataan 'saya' dalam loghat Negeri Sembilan ialah 'den' atau 'eden'. Ia berasal dari bahasa Minang 'denai'. Tetapi ramai tidak tahu sebenarnya perkataan 'den' untuk 'saya' ialah bahasa kasar. sama seperti 'aku' dalam bahasa Melayu.
Orang muda tidak boleh membahasakan dirinya 'den' kepada orang tua, jika tidak akan dianggap kurang ajar. Begitu juga perempuan tidak manis membahasakan dirinya 'den' kepada mana-mana lelaki.
Orang muda tidak boleh membahasakan dirinya 'den' kepada orang tua, jika tidak akan dianggap kurang ajar. Begitu juga perempuan tidak manis membahasakan dirinya 'den' kepada mana-mana lelaki.
'Den' hanya boleh digunakan oleh seorang yang tua untuk bercakap dengan orang muda. Juga antara sama-sama sebaya. Walau bagaimana pun saya tetap menganggap ia kurang manis digunakan oleh budak-budak atau perempuan. Saya sendiri tidak pernah membahasakan diri saya 'den' kepada sesiapa pun.
Alternatif yang terbaik ialah membahasakan diri kita sebagai 'se' sahaja. Ia boleh digunakan oleh sesiapa pun dalam apa-apa situasi. Tetapi saya memaafkan budak yang bekerja di bahagian ayam pasaraya itu kerana setahunya 'den' ialah 'saya'.