Thursday, July 21, 2011

Bankrap jugalah peluang aku....

Aku masih ingat peristiwa itu, kerana ia berlaku di bulan Ramadan beberapa tahun yang lalu. Dia menalipon aku di rumah semasa aku hendak pergi kerja. Hairan juga aku kerana dia menggunakan nombor talipon rumah ku yang tidak ramai yang tahu. Dia berkata hendak berjumpa aku pagi itu juga kerana ada hal mustahak.

Aku pun menemuinya di tempat yang dijanjikan. Oleh kerana aku datang dengan skuter dia terpaksa membawa aku menaiki keretanya. Keretanya sebuah Mercedes lama dan Mercedes itu jugalah yang digunakannya selama ini. Tetapi dengan keadaan keretanya yang terkopak sana terkopek sini aku boleh mengagak keadaannya tidaklah seperti tuan-tuan punya Mercedes yang lain.

Aku dibawanya ke satu jalan mati di Seremban. Aku sudah lama mengenalinya dan tahu ia seorang yang baik. Dia pernah membawa aku ke acara-acara politik dan dari apa yang aku lihat membuatkan aku terus menjauhkan diri dari politik. Oleh itu aku tidak langsung bimbang tentang keselamatan diri ku di waktu itu, cuma aku tertanya-tanya ke kemana kawan ku ini menghilang diri selama ini.

Dia pun mula bercerita terjumpa satu batu geliga. Kerana mengingatkan batu itu hanya batu biasa dia telah menyerahkannya kepada seorang berbangsa India. Sekarang baru dia sedar batu itu sebenarnya batu hikmat yang boleh mendatangkan wang kepada siapa tuannya. Masalahnya dia memerlukan wang untuk mendapatkan balik batu geliga itu.

Aku terus dapat membaca situasinya dan berkata aku tidak percaya ceritanya. Aku berkata batu geliga itu sebenarnya tidak ada. Kalau ada pun kita tidak boleh percaya cerita kurafat yang ia boleh mendatangkan wang. Lebih lebih lagi di bulan puasa ini. Kemudian aku memberanikan diri ku dan berkata aku tahu dia sebenarnya memerlukan wang. 

Kawan ku ini terus terperanjat kerana aku dapat membaca muslihatnya. Dia kemudian menangis teresak-esak di depan ku dan mengatakan dia keperitan wang sekarang. Aku tahu dia tidak berlakun kerana air matanya jatuh mencurah-curah. Tambahnya lagi dia memerlukan RM 2,000 untuk pelajaran anaknya.

Dia pun menambah dalam proses memajukan tanah ibunya di Melaka dengan cara usaha sama. Bila berjaya nanti dia akan menjadi seorang jutawan dan akan menggandakan bayaran balik pinjamannya kepadaku. Dia juga dalam proses menyaman seorang yang berhutang dengannya berpuluh ribu ringgit.

Aku teringat pesan ibu ku bila seorang itu ingin meminjam ia akan menjanjikan bulan bintang kepada kita. Tapi bila dah dapat, tahi bintang pun tak nampak. Tetapi peminjam yang berkata "Ontah bilolah se dapek baya hutang ni" akan membayar balik secepat mungkin.

Hati ku terus cair melihat tangisannya. Lebih-lebih lagi ia menyatakan wang itu diperlukan untuk pelajaran anaknya. Di waktu itu aku sudah bersara tetapi diambil bekerja semula secara kontrak. Dari itu aku menerima pencen dan gaji pada tiap-tiap bulan. Mustahil kalau aku kata aku tidak ada wang, di bulan puasa pulak tu.

Jadi aku pun memutuskan untuk meminjamkan RM 1,000 sahaja. Aku pun dibawanya ke bank dan aku menyerahkan wang itu kepadanya tanpa apa-apa bukti. Tapi hati ku tetap ragu sama ada akan dapat balik wang itu. 

Selepas itu aku sering menalipon dan berjumpa dengannya dan setiap kali juga ada sahaja alasannya. Projeknya belum mendapat kelulusan kerajaan negeri, kes mahkamahnya ditangguh dan macam-macam lagi. Betul juga pesan ibu ku.

Tidak semena-mena aku terbaca namanya di surat khabar baru-baru ini. Bukan projeknya akan bermula atau dia menang kes mahkamah. Tetapi dia disytiharkan bankrap. 

Jadi bankrap jugalah peluang aku untuk mendapatkan balik wang aku itu.

No comments: