Wednesday, July 20, 2011

Baru aku tahu namanya.

Dia datang ke rumah ku pada satu malam. Aku terus ajak dia masuk ke rumah, tetapi dia jawab memadai bercakap di tempat letak kereta. Aku pun meminta dia duduk di satu kerusi sedangkan aku duduk di satu kerusi lagi. 

Dia terus bercerita mengenai kawan kami yang baharu baik dari sakit dan bertanya apakah yang aku tahu mengenai keadaan semasa kawan kami itu. Mula-mulanya aku bimbang mungkin ada berita buruk yang dibawanya mengenai kawan kami. Rupa-rupanya tidak seperti yang aku jangkakan.

Aku sudah mengagak satu yang tak kena kerana dia tidak mahu masuk ke dalam rumah. Juga aku tahu menjadi tabiat orang Melayu jika datang ke rumah orang memerlukan apa-apa pertolongan, tidak terus menceritakan perkara yang hendak dimintanya. Sebaliknya mereka menceritakan hal-hal lain yang tidak kena mengena dengan hajatnya.

Dia kemudian menceritakan bersusah payah mencari rumahku. Dia pergi dari rumah ke rumah di deretan ku hanya untuk mencari aku. Petunjuk utamanya ialah bila seorang jiranku memberitahunya aku mempunyai sebuah skuter besar.

Dia kemudian pergi ke tujuan sebenarnya datang menjumpai ku. Katanya ia memerlukan pertolongan kewangan kerana anaknya ingin meneruskan pelajaran. Dia dikehendaki membayar wang yang berjumlah beribu ringgit juga. Katanya dia hanya mempunyai separuh dari jumlah yang diperlukan. Oleh itu dia ingin meminjam dari ku untuk memenuhkan jumlah itu. Dia memerlukan wang itu dalam tempoh satu jam dari masa itu juga.

Aku merasa marah kerana beberapa perkara. Pertama, aku bukanlah seorang kawannya dari erti sebenar, malah aku langsung tidak tahu namanya. Kedua aku tidak tahu rumahnya yang sebenar walau pun aku tahu di taman mana dia tinggal. Yang aku tahu dia juga seorang pesara kerajaan seperti ku walau pun aku tidak tahu di mana dia bekerja dulu.

Aku tahu aku mempunyai kelemahan. Aku boleh menolaknya dengan alasan aku tidak tahu namanya. Tetapi aku tidak boleh membawa diri ku ke taraf itu. Aku katakan aku tak ada duit sekarang, tetapi dia terus menjawab dia boleh bawa aku ke bank malam itu juga. Aku bertanya sudahkah dia meminta dari saudara maranya dan kawan-kawan yang lain, dia menjawab sudah, tetapi mereka tidak dapat menolong. 

Akhirnya aku membuat keputusan nekad tidak dapat menolongnya dan memberitahunya terus terang. Aku kata aku dah buat polisi tidak akan meminjamkan wang kepada sesiapa kerana sudah terkena sebelum ni. Itu pun dia tidak percaya dan kali ini dia berkata ingin berjumpa isteri ku untuk menceritakan masalahnya. Aku terus jawab jangan melibatkan ahli keluarga ku dalam hal ini. Setelah hampir setengah jam berdolak dalik dia pun meninggalkan aku tanpa mendapat apa-apa.

Aku ingat dia tidak akan mengganggu aku lagi, tetapi esok paginya dia datang lagi ke rumah ku. Kali ini dia terus bertanya berapa banyakkah aku boleh menolongnya. Kali ini aku terus meninggikan sedikit suara ku dan menyatakan aku dah buat polisi tidak akan meminjamkan wang kepada sesiapa dan aku tidak akan mengubah polisi itu. Dia merayu beberapa kali tetapi aku tetap menolak. Sekali lagi dia meninggalkan aku tanpa mendapat apa-apa.

Perkara itu berlaku lebih kurang sebulan yang lalu. Hujung minggu yang lepas aku pergi ke majlis kenduri di rumah seorang ahli surau ku. Di sana aku terjumpa seorang kawan lama yang tinggal satu taman dengan orang yang aku tolak permintaannya itu. Aku terus dikenalkan dengan seorang lagi kawannya dan kami pun bercerita kisah-kisah lama, maklumlah kami bertiga sudah bersara.

Tiba-tiba kawan ku ini bercerita kepada kawannya mengenai seorang kawan mereka yang asyik meminjam wang dari kawan-kawan. Diceritakannya juga beberapa orang kawan yang sudah 'terkena'. Diantaranya ada yang sama-sama hadir di kenduri itu. Rupa-rupanya kawan yang diceritakan itu tidak lain tidak bukan orang yang sama yang datang ke rumah ku sebulan yang sudah. Aku pun menceritakan pengalaman ku kepada mereka. Mereka terus bertanya sama ada aku sama-sama 'terkena'. Aku jawab tidak.

Di situ juga baru aku tahu namanya.    

3 comments:

boyarque said...

assalamualaikum bang,

Menarik cerita ni, cam drama pulak endingnya....

Insaf saya, betapa manusia kalau dah jadi hamba duit, sudah hilang rasa malu dan hormat....

norizan hashim said...

ini lah sketsa kehidupan...mogaia memberi iktibar kpd kita semua...

Abu Nu'man said...

Assalamualaikum tuan haji...

Setuju dengan tindakan tuan haji. Respect kerana berani menyatakan hal sebenar.