Saturday, August 29, 2009

Cerita arak - Bahagian 3

Saya rasa tidak hendak bercerita mengenai arak lagi. Lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan yang mulia ini. Tetapi ada dua peristiwa yang yang memanggil saya untuk memberi pendapat saya. Pertama ialah pengumuman oleh EXCO negeri Selangor Dato' Dr. Hassan Muhammad Ali memberi kuasa kepada pegawai-pegawai masjid negeri Selangor untuk menangkap orang Islam yang minum arak. Kedua ialah hukuman sebatan rotan kepada seorang perempuan bernama Kartika setelah mengaku salah minum arak.
.
Walau pun saya dilahir dan dibesarkan di Negeri Sembilan saya berani menyentuh mengenai negeri Selangor kerana bapa saya berasal dari Kg. Assam Jawa, Kuala Selangor. Dari apa yang saya baca ada pihak yang kurang bersetuju dengan cadangan EXCO negeri Selangor itu. Mereka mempersoalkan sama ada pegawai-pegawai masjid ini arif dalam menguatkuasakan undang-undang. Maklumlah mereka selama ini ditugaskan memberi khidmat, tetapi sekarang dikehendaki untuk menjadi penguatkuasa pula.

Dari pengalaman saya memberi khidmat dan menguatkuasakan undang-undang adalah dua perkara yang berbeza. Secara amnya seorang yang memberi khidmat yang baik akan menjadi popular, tetapi yang menjadi penguatkuasa walaupun disukai oleh setengah orang ia boleh menjadi tidak popular kepada pihak yang lain.

Tetapi pada pandangan saya kita sepatutnya menerima keputusan ini secara positif. Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mempunyai pegawai-pegawai penguatkuasanya sendiri. Mungkin jumlah mereka tidak mencukupi dan ini menjadi salah satu faktor mengapa keputusan yang sedia maklum dibuat. Oleh itu pegawai-pegawai penguatkuasa ini sepatutnya menerima keputusan ini sebagai satu cabaran untuk meningkatkan lagi prestasi mereka.

Mereka yang ingin minum arak pun sepatutnya merasa bimbang sekarang dengan bertambahnya jumlah anggota yang boleh mengambil tindakan terhadap mereka.

Kemudian saya beralih kepada isu kedua iaitu isu Kartika. Kartika didapati minum arak di sebuah hotel di Cherating, Pahang. Beliau kemudian didakwa di Mahkamah Shariah Negeri Pahang dimana beliau sendiri mengaku salah. Kartika dihukum denda RM 5,000 serta enam kali sebatan rotan. Begitulah cerita yang saya tahu. Kalau ada lebih atau kurang saya minta maaf.

Sebelum saya menambah ingin saya ceritakan pengalaman saya sendiri. Siapa yang membaca pos-pos saya dalam blog ini pasti terserempak dengan cerita-cerita saya bertemu muka dengan peminum arak Melayu Islam, paling baru dalam Bahagian 2 dalam siri yang sama Cerita arak saya.

Saya bekerja dengan satu Pihak Berkuasa Tempatan atau PBT. Salah satu tugas saya ialah menjalankan operasi terhadap pusat-pusat hiburan sambil menguatkuasakan peraturan-peraturan kami. Kadang-kadang kami menjalankan operasi sendiri dan ada juga kami mempelawa jabatan-jabatan lain untuk bersama. Antaranya ialah Jabatan-jabatan Polis, Agama Islam, Imigresyen dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM). Pernah juga jabatan-jabatan lain itu sendiri mempelawa kami menyertai operasi mereka.

Dalam operasi bersama ini tiap-tiap jabatan menguatkuasakan peraturan-peraturan masing-masing. Oleh itu bila terjumpa orang Islam minum arak Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan atau JAINS lah yang mengambil tindakan. Mereka meminta kad pengenalan peminum untuk memastikan mereka sah Islam. Kemudian gambar mereka dengan botol-botol arak di atas meja diambil. Akhirnya paras arak dalam darah mereka dipastikan melalui 'breath tester'.

Sahlah mereka minum arak. Tetapi apa yang saya lihat mereka ini hanya dikenakan tindakan kompaun. Saya tidak pasti pula berapa ratus atau berapa ribu ringgit kompaun yang dikenakan. Lepas bayar kompaun bebaslah mereka. Tak payah poi mahkamah. Tak payah kono sobat.

Tetapi dalam kes Kartika beliau dikenakan tindakan mahkamah. Adakah Kartika didakwa di Mahkamah kerana tidak membayar kompuan? Adakah kesalahan minum arak di negeri Pahang tidak boleh dikompaun? Saya tidak pasti. Tetapi yang pasti ialah hukuman terhadap Kartika berbeza jika dia didapati minum arak di Negeri Sembilan.

Di sini jelas terdapat perbezaan hukuman kesalahan melanggar undang-undang syariah dari satu negeri dengan negeri yang lain. Saya bukanlah seorang peguam dan tidak mahu bercakap banyak mengenai perbezaan undang-undang ini. Tetapi jika saya diminta memberi cadangan saya cadangkan supaya kesalahan minum arak tidak boleh dikompaun. Sama ada kono sobat biarlah pihak-pihak yang berkuasa menentukannya.

Tuesday, August 11, 2009

Cerita arak - Bahagian 2


Saya terpanggil untuk memanjangkan cerita arak saya setelah melihat sendiri jika seseorang Islam itu hendak minum arak dia akan berusaha mencari walau apa pun rintangannya.

Salah satu tugas saya ialah memeriksa premis-premis makanan. Semalam lebih kurang jam 11 pagi saya telah memeriksa sebuah restoran Cina di hadapan Kg. Baru Sikamat, Seremban. Apabila masuk sahaja saya ternampak seorang lelaki Melayu berumur lebih kurang 40 tahun dan memakai jersey pasukan bolasepak Brazil berwarna kuning duduk seorang diri di satu meja.

Apa yang menarik perhatian saya ialah di hadapannya sudah terbuka satu botol beer kalau tak salah saya jenama 'Tiger' kerana berwarna biru dan di sebelah botol itu tegak satu gelas yang mengandungi air berwarna perang yang sudah tentunya beer dari botol tadi. Dalam seketika gelas mengandungi air perang ini mengingatkan saya kepada gambar serupa yang saya letakkan di atas pos blog saya pada paginya.

Lelaki ini berkulit gelap sedikit dan ini menyebabkan saya ragu sedikit sama ada dia berbangsa Melayu atau India. Saya pula tidak berani bertentang mata dengannya untuk mengelak dari apa-apa tindakan yang tidak diingini.

Mungkin kerana menghormati saya lelaki ini tidak berbuat apa-apa. Dia cuma duduk dan memandang keluar restoran. Ini berbeza dengan pengalaman saya apabila memeriksa pusat-pusat hiburan dan bar pada waktu malam. Pengunjung Melayu Islam meneguk arak di hadapan saya tanpa segan dan silu.

Saya perhatikan restoran ini mempunyai dua peti sejuk untuk minuman. Peti sejuk yang besar dipenuhi minuman ringan biasa dan di sebelahnya sebuah peti sejuk kecil memuatkan minuman keras semata-mata. Antaranya shandy, beer dan stout. Juga tidak ada 'Intoxicating Liquor' seperti yang saya ceritakan dalam pos saya sebelum ini. Sudah tentu pengusaha restoran ini tidak mempunyai Lesen Eksais Arak.

Peti sejuk yang kecil ini juga ditaja oleh syarikat arak Carlsberg seperti tertulis di pintunya. Mungkin inilah salah satu sebab mengapa taukeh ini tidak memasukkan apa-apa minuman lain dalam peti sejuk ini.

Tindakan taukeh restoran ini tidak mencampurkan minuman ringan dengan minuman keras dalam satu peti sejuk patut dipuji juga. Di restoran-restoran lain minuman keras dan minuman ringan disimpan dalam peti sejuk yang sama walau pun di ruang atau rak yang berlainan.

Setelah selesai pemeriksaan saya pun duduk di satu meja yang kosong untuk menulis laporan saya. Taukeh tadi duduk di hadapan saya untk mendengar apa-apa teguran dari saya. Tiba-tiba masuk seorang pemuda Melayu berumur lebih kurang 3o tahun dan terus menuju ke peti sejuk kecil tadi dan cuba membukanya. Sudah tentulah niatnya untuk mengambil salah satu minuman keras di dalamnya.

Tetapi pemuda ini tidak berjaya membukanya dan saya baru sedar bahawa peti sejuk itu berkunci dengan rantai dan mangga dan saya tidak perasan dari tadi. Saya tidak pasti sama ada taukeh atau pekerjanya menguncinya semasa saya memeriksa bahagian belakang restoran tadi.

Taukeh tadi terus bangun dari duduknya di hadapan saya dan bersemuka dengan pemuda tadi. Dia berkata dan saya terdengar lebih kurang 'Ada pegawai MPS (Majlis Perbandaran Seremban) di sini' sambil menunjuk kepada saya.

Pada fikiran saya taukeh ini berbuat demikian kerana takut saya akan mengambil tindakan terhadap pemuda itu kerana hendak minum arak. Tambahan lagi dia juga bimbang saya akan mengambil tindakan kepada dirinya sendiri kerana menjual arak kepada orang Islam. Sedangkan saya tidak mempunyai kuasa dalam kedua-dua aspek ini.

Pemuda tadi kemudian mengalih perhatian ke peti sejuk yang besar dan tidak berkunci. Dia membukanya dan mengambil satu botol air kacang soya. Setelah membuka botol dia terus duduk di meja si jersey kuning tadi.

Mereka terus berbual dan dari itu keraguan saya terhadap peminat Kaka, Robinho dan Roinaldinho tadi hilang. Sahlah dia juga Melayu Islam seperti saya dan pemuda tadi juga. Saya tidak tahu sama ada si jersey kuning akan meneruskan meminum beer dari gelasnya dan pemuda tadi menukar minuman dari kacang soya kepada beer sepeninggalan saya.

Saya mendapat beberapa pengajaran dari pengalaman ini. Restoran ini terletak di kawasan di mana penduduknya 95 % berbangsa Cina. Makanan yang dimasak dan dihidang juga tidak halal. Yang halal cuma sedikit minuman ringan. Tetapi restoran ini mengasingkan penyimpanan minuman halal dengan yang haram walau pun mereka tidak perlu berbuat demikian. Tidak salah bagi seorang Islam seperti saya untuk singgah dan minum Coca Cola atau 100 Plus di restoran ini.

Taukeh restoran ini juga melarang seorang Islam dari mengambil minuman haram di hadapan saya seorang pegawai kerajaan walau pun sebenarnya saya tidak boleh buat apa-apa.

Pendek kata taukeh ini sedar atau peka akan isu halal haram yang menjadi sensitif kepada orang Islam. Sedangkan dari segi undang-undang dan situasinya beliau tidak diperlukan berbuat demikian.

Tetapi jika ada orang Islam sendiri masuk ke restorannya untuk meneguk arak dia nak buat apa?

Sunday, August 9, 2009

Cerita arak


Nampaknya cerita penjualan minuman keras di Shah Alam, Selangor telah dipolitikkan. Saya tak mahu bercerita mengenai minuman keras atau arak ini dari segi politik kerana saya telah berjanji tidak mahu menyentuh politik dalam blog saya ini.

Ramai orang masih keliru mengenai penjualan arak ini. Sampai hari ini saya masih lagi ditanya contohnya "Kedai tu ada menjual shandy, beer dan stout. Dia ada lesen arak ke?" Oleh itu saya terpaksa menerangkan kepada penyoal itu mengenai keadaan sebenar dalam pengetahuan saya.

Saya sebut 'dalam pengetahuan saya' kerana dari tugas harian saya tahu sedikit sebanyak mengenai arak ini.

Dalam beberapa tahun ini saya mewakili jabatan saya untuk duduk dalam satu badan yang dinamakan Lembaga Pelesenan Eksais Daerah Seremban. Lembaga ini dipengerusikan oleh Pegawai Daerah (DO) Seremban dan tugas utamanya ialah meluluskan Lesen Jualan Arak untuk Daerah Seremban.

Lembaga ini bermesyuarat empat kali dalam setahun. Salah satu keunikannya ialah tarikh-tarikh mesyuarat digazetkan. Jika terjadi mesyuarat ditangguhkan oleh kerana tidak cukup korum dan sebagainya tarikh baru hendaklah digazetkan semula.

Permohonan lesen juga tidak rumit. Walau pun dalam undang-undang tidak disebut sudah tentu seorang Islam tidak dibenarkan memohon lesen arak ini. Satu perkara yang berbeza dengan permohonan lesen-lesen lain ialah setelah permohonan dibuat pemohon disyaratkan untuk mengiklankan permohonannya di akhbar. Tujuannya ialah untuk memberi peluang kepada apa-apa bantahan, jika ada.

Melalui Lembaga Pelesenan Eksais inilah jualan arak dapat dikawal. Sebagai contoh kami tidak meluluskan lesen arak di kawasan majoriti penduduknya beragama Islam.

Walau bagaimana pun 'arak' di sini tidak termasuk shandy, beer dan stout yang bebas dijual secara runcit di kedai-kedai runcit, kedai-kedai serbanika, pasar mini dan pasar raya. Juga tidak melibatkan penjualan minuman yang sama di restoran dan gerai-gerai.

Arak yang perlu dilesenkan oleh Lembaga Pelesenan Eksais ialah ialah jenis 'Intoxicating Liquor' yang bermaksud 'Arak Memabukkan'. Antaranya ialah 'whiskey', 'brandy' dan 'wine'. Perbezaan shandy, beer dan stout dengan 'intoxicating liquor' ialah peratus alkoholnya dimana peratusan dalam 'intoxicating liquor' lebih tinggi.

Walau pun sekarang kita sudah masuk ke era moden di mana pencetak komputer atau printer digunakan untuk mencetak borang-borang termasuk lesen saya tidak faham kenapa Lesen Eksais Arak masih menggunakan tulisan tangan sekurang-kurangnya di Seremban dan sudah tentu di seluruh Negeri Sembilan juga.

Tetapi sekurang-kurangnya pengeluaran lesen secara tulisan tangan ini dapat mengesan penipuan. Ini berlaku di sebuah kedai runcit di pekan kecil Pajam, Seremban beberapa bulan yang lalu. Seorang pekedai runcit berbangsa India telah ditipu oleh seorang yang mengeluarkan Lesen Eksais Arak palsu. Pemalsuan dapat dikesan dari tulisan di borang lesen dan tanda tangan Pengerusi Lembaga Pelesenan Eksais iaitu Pegawai Daerah.

Pekedai ini telah ditipu dengan diberitahu amat susah untuk mendapatkan lesen arak. Oleh itu beliau diminta membayar sejumlah wang kepada penipu yang mengaku boleh mendapatkan lesen secara pintu belakang. Seorang ahli jawatankuasa Lembaga Eksais (bukan saya) telah mengesan pemalsuan ini dan melaporkannya kepada Lembaga dan juga pihak Polis. Lembaga telah menasihatkan pekedai mengenai prosedur memohon lesen arak dan akhirnya beliau diluluskan satu lesen yang sah.

Walau bagaimana pun istilah 'intoxicating liquor' atau 'arak memabukkan' ini boleh dipertikaikan. Contohnya meneguk satu sudu brandy belum tentu memabukkan, sedangkan setelah meneguk dua liter beer kalau peminumnya tak mabuk ia tentu seorang yang hebat.

Jika brandy dan lain-lain dikelaskan sebagai 'arak memabukkan' bagaimana pula dengan beer dan sebagainya. Jawapannya ialah shandy, beer dan stout dikelaskan sebagai 'beverage' atau minuman ringan sahaja. Ini bermakna dalam undang-undang penjualan shandy, beer dan stout sama syaratnya dengan penjualan coke, sarsi dan oren.

Saya tidak pasti mengenai isu sebenar di Shah Alam ini. Tetapi saya yakin isunya ialah penjualan shandy, beer dan stout dan bukan 'intoxicating liquor'. Jika isunya ialah 'intoxicating liquor' sudah tentu Lembaga Eksais di sana boleh mengambil tindakan.

Dari itu kerajaan Negeri Selangor adalah betul dari segi undang-undang tidak melarang penjualan minuman keras (saya percaya shandy, beer dan stout) di kedai-kedai runcit dan kedai-kedai serbanika. Cuma kedai-kedai diminta untuk mengamalkan apa yang dipanggil 'kawal selia kendiri' dalam penjualannya.

Walau bagaimana pun dalam Islam yang haram itu tetap haram. Minuman atau makanan yang mengandungi alkohol walau beberapa peratus kandungannya tetap haram. Soal 'intoxicating' atau 'memabukkan' tidak timbul. Oleh itu sebagai umat Islam kita juga dikehendaki mengamalkan 'kawal selia kendiri' supaya tidak membeli dan memakan minum makanan dan minuman yang kita tahu tidak halal.

Tidak payahlah dipolitikkan isu penjualan minuman keras di kedai-kedai runcit atau kedai serbanika. Tak payahlah dikaitkan 'Takbir' dengan 'Take Beer'.