Saya pakai kasut getah sedangkan yang lain pakai kasut kulit.
Kali terakhir saya memakai kasut kulit ialah di hari terakhir saya bekerja sebelum bersara. Saya hanya memakai kasut kulit semasa bekerja dan juga bila berurusan rasmi dengan jabatan-jabatan dan institusi-institusi lain. Selainnya saya lebih suka berselipar dan kalau perlu berkasut, saya memilih kasut jogging. Malah semasa memandu kereta saya lebih suka berkaki ayam.
Walau pun tidak suka dengan kasut kulit, tidak menjadi beban bagi saya untuk mempunyainya kerana ia diberi percuma sebagai sebahagaian dari uniform kerja saya. Sehingga sekarang saya masih menyimpan beberapa pasang kasut kulit tersebut yang belum keluar dari kotaknya.
Tetapi setelah aktif dalam Persatuan Pesara dan Alumni sekolah, saya terpaksa memakai kasut semula.. Sudah pasti kurang sopan bagi saya untuk menyertai majlis-majlis kerajaan, swasta, persatuan dan sekolah dengan berselipar atau berkasut jogging.
Untuk tujuan tersebut saya memilih kasut getah hitam kerana bukan sahaja ia lebih murah dari kasut kulit, tetapi selesa seperti kasut jogging. Ini juga bermakna selepas bersara saya telah kembali memakai kasut budak-budak sekolah. Cuma warnanya bukan putih, tetapi hitam.
Sampai hari ini sudah lebih lapan tahun saya memakai kasut getah hitam dan saya belum pernah ditegur. Mungkin orang sekeliling saya tidak sedar bahawa kasut yang saya pakai ialah kasut budak-budak sekolah, cuma warnanya hitam.
Sekarang kerajaan telah mengumumkan mulai tahun hadapan murid-murid sekolah akan menggunakan kasut hitam sepenuhnya. Tidak disebut pula sama ada kasut hitam itu termasuk kasut kulit.
Dari pengalaman saya bertahun memakainya, keputusan kerajaan itu amat baik. Kasut getah hitam mempunyai kelebihan seperti fakta-fakta berikut:
Dari pengalaman saya bertahun memakainya, keputusan kerajaan itu amat baik. Kasut getah hitam mempunyai kelebihan seperti fakta-fakta berikut:
- Ia tidak perlu kilatkan dengan 'KIWI' seperti kasut kulit.
- Ia tidak perlu dikapur seperti kasut getah putih.
- Ia tidak perlu dibasuh selalu kerana kekotoran yang melekat tidak ketara. Kasut hitam saya sudah berbulan tidak dibasuh.
Cuma sudah tentu harga kasut getah hitam akan naik dari harga yang biasa saya beli kerana permintaannya akan meningkat.