Walau pun saya telah beberapa kali menaiki penerbangan antarabangsa ke Indonesia dan Singapura, pertama kali saya menaiki penerbangan domestik ialah pada tahun 1992. Saya sangat pasti mengenai tahun itu kerana pada awal tahun itu anak bongsu kami Anis dilahirkan.
Saya dihantar untuk menghadiri satu seminar beberapa hari di Kuantan, Pahang. Saya pergi dengan seorang Ahli Majlis kami yang bergelar Dato'. Itulah ejaan untuk Dato' yang dianugerahkan di Negeri Sembilan, bukan Datuk.
Dato' ini mempunyai dua isteri dan seorang yang sensitif, terutama tentang protokol. Dia pernah mengamuk di satu mesyuarat jabatan saya oleh kerana ditempatkan di kerusi yang baginya tidak mengikut protokolnya. Jadi bila mendapat tahu saya akan ke Kuantan bersamanya dan tinggal beberapa hari di sana, saya anggap itu satu cabaran.
Sebelum bertolak saya telah menalipon ke pejabat dan kedua-dua rumahnya tetapi tidak dapat bercakap dengan Dato' ini. Di masa itu manalah ada telefon bimbit seperti sekarang. Jadi saya pun meninggalkan pesan supaya Dato' menghubungi saya di pejabat atau di rumah.
Satu petang saya menerima telefon darinya di pejabat. Dato' bertanya bagaimana kami akan ke Kuantan? Jawapan saya senang sahaja, naiklah kereta saya (sebuah Proton Saga 1.5 manual). Berilah saya peluang untuk menuntut elaun perjalanan yang sudah pasti lebih dari bulan-bulan biasa. Dato' terus menjawab supaya tunggu jawapan seterusnya dari beliau.
Sebenarnya sebelum itu saya tidaklah begitu rapat dengan Dato' ini. Sebab utama ialah saya bukan orang politik. Oh ya, Dato' ini orang kuat politik juga dan ini ialah satu syarat untuk beliau menjadi Ahli Majlis jabatan saya.
Sebenarnya sebelum itu saya tidaklah begitu rapat dengan Dato' ini. Sebab utama ialah saya bukan orang politik. Oh ya, Dato' ini orang kuat politik juga dan ini ialah satu syarat untuk beliau menjadi Ahli Majlis jabatan saya.
Beberapa hari kemudian saya dihubungi oleh Ketua Kerani saya yang menyatakan saya dan Dato' ini akan ke Kuantan menaiki kapal terbang dan perjalanan telah ditempah. Ketua Kerani ini bersaudara dengan Jeanne isteri Pak Lah, Perdana Menteri kita.
Rupa-rupanya Dato' ini dengan diam-diam melobi big boss saya dan dibenarkan menaiki kapal terbang. Saya diarahkan untuk mengambil tiket kapal terbang dari syarikat pelancongan yang telah ditetapkan. Saya fikir untuk menaiki kapal terbang dari Seremban ke Kuantan adalah perbuatan gila. Fikirkan ini:
Rupa-rupanya Dato' ini dengan diam-diam melobi big boss saya dan dibenarkan menaiki kapal terbang. Saya diarahkan untuk mengambil tiket kapal terbang dari syarikat pelancongan yang telah ditetapkan. Saya fikir untuk menaiki kapal terbang dari Seremban ke Kuantan adalah perbuatan gila. Fikirkan ini:
- Perjalanan dari Seremban ke Subang - 1 jam
- Menunggu di Subang - 1 jam
- Penerbangan dari Subang ke Kuantan - 50 minit
- Menunggu bagasi di Kuantan dan perjalanan ke Hotel - 40 minit
Di hari yang ditentukan saya dan Dato' pun bertolak ke Lapangan Terbang Antara Bangsa Subang (dulu KUL sekarang SZB kerana KUL telah berpindah ke KLIA Sepang). Pajero pejabat menjemput Dato' di rumah isteri keduanya setelah menjemput saya pada jam 12.00 tengah hari.
Dalam Pajero Dato' tidak berhenti-henti membebel mengapa kita tidak perlu menaiki kereta. Kita bukan hendak membeli barang di Kuantan, katanya. Bagi saya kami sudah diluluskan oleh big boss untuk menaiki kapal terbang, apa nak cerita lagi? Soal siapa melobi tidak timbul lagi. Tapi Dato' ini orang politik, beristeri dua pulak tu. Tentu pandai temberang!
Dalam Pajero Dato' tidak berhenti-henti membebel mengapa kita tidak perlu menaiki kereta. Kita bukan hendak membeli barang di Kuantan, katanya. Bagi saya kami sudah diluluskan oleh big boss untuk menaiki kapal terbang, apa nak cerita lagi? Soal siapa melobi tidak timbul lagi. Tapi Dato' ini orang politik, beristeri dua pulak tu. Tentu pandai temberang!
Ini Dato' dengan saya semasa kami menjadi hakim pertandingan Teh Tarik di Seremban. Di masa ini hubungan kami belum mesra lagi.
Kami 'check-in' di Terminal 3 dan saya yang menguruskan segalanya sedangkan Dato' mengikut sahaja. Di masa yang ditetapkan kami pun menaiki 'aero bus' yang membawa kami ke pesawat Boeing 737-400 Malaysia Airlines (MAS) yang menunggu di Terminal 1.
Kami menaiki pesawat lebih kurang jam 2.00 petang. Setelah ditolak, pesawat tidak bergerak tetapi berhenti beberapa minit. Kemudian pesawat memasuki 'bay' semula. Setelah beberapa minit kapten mengumumkan terdapat sedikit masalah di Kuantan dan kami belum dibenarkan berlepas. Kami dikehendaki menunggu dalam pesawat sehingga mendapat arahan seterusnya. Sementara itu kami diberi minuman dan makanan ringan.
Kami menaiki pesawat lebih kurang jam 2.00 petang. Setelah ditolak, pesawat tidak bergerak tetapi berhenti beberapa minit. Kemudian pesawat memasuki 'bay' semula. Setelah beberapa minit kapten mengumumkan terdapat sedikit masalah di Kuantan dan kami belum dibenarkan berlepas. Kami dikehendaki menunggu dalam pesawat sehingga mendapat arahan seterusnya. Sementara itu kami diberi minuman dan makanan ringan.
Lebih kurang 15 minit kemudian kapten mengarahkan kami untuk turun dari pesawat dan menunggu di bilik nombor 8 di Terminal 1. (Semasa saya ke Tanah Suci baru-baru ini peramugari memberitahu saya jika masalah boleh diatasi dalam tempoh 1 jam kami tidak dikehendaki turun dari pesawat, tetapi jika tempoh masalah melebihi 1 jam penumpang dikehendaki turun untuk menjimatkan minyak pesawat.)
Kami pun turun dan dikurung di bilik menunggu No. 8 Terminal 1 Subang. Kami diarahkan supaya mendengar pengumuman dari masa ke semasa. Sesiapa yang ingin meninggalkan bilik ini dikehendaki mendapatkan satu pas khas.
Kami pun turun dan dikurung di bilik menunggu No. 8 Terminal 1 Subang. Kami diarahkan supaya mendengar pengumuman dari masa ke semasa. Sesiapa yang ingin meninggalkan bilik ini dikehendaki mendapatkan satu pas khas.
Oleh kerana sudah tentu saya bosan berkurung di bilik ini saya pun meminta pass dan terus merayau di Terminal 1 tersebut. Dato' tidak merayau tetapi duduk sahaja. Saya pasti beliau kesal sedikit kerana tidak menerima cadangan awal saya untuk berkereta ke Kuantan.
Sambil-sambil itu saya bertanya kepada peramugara yang menjaga bilik itu apa masalahnya di Kuantan. Beliau nyatakan radar di Kuantan rosak. Ini mungkin disebabkan Kuantan dalam proses perpindahan ke terminal baru. Selang 30 minit pengumuman demi pengumunan dilaungkan di pembesar suara mengenai situasi penerbangan kami. Pengumumannya tetap sama iaitu penerbangan masuh ditangguh.
Di samping itu saya juga menalipon isteri saya Salmah dan memberitahunya saya masih tersadai di Subang. Saya juga menghubungi tuan rumah di Kuantan dan mereka menyatakan sudah tahu akan masalah kami dan mengikuti perkembangan dari masa ke semasa.
Oleh kerana saya juga sering berada di kaunter yang dijaga oleh peramugara tersebut saya mendapat layanan yang baik juga. Contohnya apabila masa untuk minum petang saya diberi voucher minuman. Semasa hampir senja saya juga diberi voucher makan malam. Tiap kali saya akan mengajak Dato' makan sama di restoran yang ditetapkan. Tetapi selepas makan Dato' akan kembali berkurung dalam bilik sedangkan saya tetap merayau dalam Terminal.
Akhirnya pada jam 8.00 malam diumumkan penerbangan kami dibatalkan dan pihak MAS hanya meminta maaf. Pihak Lapangan Terbang mengarahkan kami mengambil bagasi kami di tempat memungut bagasi. Biasanya orang memungut bagasi selepas tiba dari penerbangan. Tetapi kami memungut bagasi kerana penerbangan dibatalkan!
Selain dari arahan mengambil bagasi tidak ada pengumuman lain yang diberi. Jika hendak tahu kenalah bertanya kepada kakitangan yang bertugas di kaunter bilik No. 8 itu. Saya dapati Bilik No. 8 ini tidak mempunyai sistem pembesar suara (P.A. System) sendiri. Oleh itu terjadilah keadaan kelam kabut apabila kakitangan disitu dihujani oleh soalan-soalan dari kami para penumpang.
Dari kenyataan mereka kami diberi pilihan sama ada meneruskan perjalanan dengan teksi yang dibiayai oleh MAS atau tinggal di hotel, juga dibiayai oleh mereka sementara menunggu penerbangan seterusnya.
Saya berbincang dengan Dato' dan memutuskan untuk bertolak ke Kuantan menaiki teksi. Dalam perjalanan ke tempat memungut bagasi peramugara yang sudah mengenali saya itu telah mencuit saya dan memberitahu "We are flying late tonight, go check up". Setelah mendapat bagasi saya pun menalipon MAS dan diberitahu memang ada penerbangan ke Kuantan pada lewat malam tersebut. Saya pun terus menempah untuk kami berdua.
Saya pun memberitahu berita gembira itu kepada Dato'. Tiba-tiba baru saya sedar yang Dato' selama ini dikelilingi oleh empat orang perempuan yang juga penumpang pesawat ke Kuantan. Perempuan-perempuan ini nyata dalam keadaan ketakutan dan bergantung kepada Dato' untuk menolong mereka. Rupa-rupanya Dato' telah berkawan dengan mereka dalam bilik No. 8 sedang saya merayau dalam Terminal. Itulah sebabnya Dato' tidak mahu keluar bilik melainkan untuk makan.
Dato' dengan empat perempuan yang saya maksudkan. Kami sedang menunggu di Terminal 2 untuk penerbangan kedua.
Mendengar berita baik ini perempuan-perempuan ini bertanya saya bagaimana hendak dapatkan penerbangan lewat malam itu. Saya pun berikan nombor talipon MAS untuk mereka menempah sendiri. Disinilah Dato' mencelah sambil meminta saya sendiri menolong mereka untuk menempah. "You lah buat untuk dia orang" katanya.
Saya pun meminta tiket masing-masing dan menempah untuk mereka. Kami (sekarang sudah jadi enam orang) pun menaiki bas 'shuttle' untuk kembali ke Terminal 3. Di situ saya dapat tahu perempuan berempat ini belum makan apa-apa sejak turun dari pesawat.
Mereka tidak sedar makanan percuma disediakan oleh MAS. Kami pun menunggu mereka makan di Restoran Terminal 2 sambil Dato' melayan mereka. Sempat juga Dato' memuji saya depan mereka.
Mereka tidak sedar makanan percuma disediakan oleh MAS. Kami pun menunggu mereka makan di Restoran Terminal 2 sambil Dato' melayan mereka. Sempat juga Dato' memuji saya depan mereka.
Dua dari perempuan ini ialah orang Pahang dalam perjalanan pulang. Yang dua lagi dari Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur dan mempunyai tugas di Kuantan. Untuk beberapa jam di Terminal 3 saya tidak merayau oleh kerana tidak banyak tempat untuk di rayau. Cuma saya pergi ke surau untuk bersolat dan kemudian balik ke kumpulan kami berenam.
Lebih kurang jam 11.50 malam kami pun diarahkan untuk menaiki 'aero bus' untuk menuju Terminal 1. Ini ialah ulangan kejadian tengah hari tadi, bezanya kali ini kami berada dalam keadaan gelap dengan keletihan yang amat sangat. Kali ini apabila pesawat ditolak ia terus sahaja ke landasan dan berlepas.
Saya dapati juga pesawat hanya setengah penuh. Ini bermakna ramai dari kami yang tersadai dari tengah hari tadi tidak tahu menahu akan penerbangan ini. Saya terfikir juga jika radar di Kuantan rosak lagi kami terpaksalah berpatah balik.
Apabila sahaja diumumkan kami akan mendarat saya merasa lega sedikit. Sudah tentulah radar di Kuantan berfungsi untuk Pengawal Trafik Udara mengesani pesawat kami.
Di Lapangan Terbang Kuantan (KUA) kenderaan jenis Volvo Station Wagon Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) telah menunggu saya dan Dato'. Dua perempuan dari Pahang tadi ditunggu oleh suami dan keluarga masing-masing. Mereka mengucapkan terima kasih kepada kami. Dato' menawarkan dua perempuan DBP tadi untuk menaiki kenderaan MPK bersama-sama kami.
Oleh kerana sudah lewat dan ditambah dengan masalah kenderaan mereka bercadang untuk tinggal di hotel kami iaitu Hotel Hyatt di Teluk Cemdak, Kuantan. Kebetulan ada kekosongan di hotel dan mereka berkongsi bilik setelah membatalkan tempahan di hotel asal mereka. Saya dan Dato' memang sudah disediakan bilik masing-masing.
Jadi setelah lebih 12 jam bertolak dari rumah baharulah saya sampai ke destinasi saya. Jika saya menaiki kereta sudah tentu saya sudah berenang di kolam renang hotel atau di Laut China Selatan.
Di Seminar dengan lobi saya Dato' dilantik menjadi Penghulu kami. Terangkat betul Dato' ni. Dato' sangat gembira bila bertemu Ahli-Ahli Majlis lain dari seluruh Malaysia yang juga orang politik sepertinya. Seminar dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang semasa itu Datuk Khalil Yaakub yang sekarang menjadi Yang DiPertuan Negeri, Melaka. Dua perempuan DBP tadi (seorang gadis dan seorang lagi janda) pulang awal ke KL tetapi sempat juga meninggalkan nota terima kasih kepada kami.
Kepulangan kami ke Subang dan seterusnya ke Seremban tidak ada halangan. Selepas itu hubungan saya dengan Dato' cukup baik. Bila berjumpa sahaja di mesyuarat atau di mana-mana Dato' akan menceritakan kepada semua tentang pengalaman kami.
Saya telah mengemukakan pengalaman saya di SZB kepada pihak Malaysia Airports dan MAS tetapi tidak menerima apa-apa jawapan dari mereka. Tetapi saya rasa aduan saya itu berbaloi juga. Jika dillihat sekarang tiap-tiap bilik menunggu di KLIA mempunyai P.A. System sendiri.
1 comment:
Saya baru mendapat tahu pada minggu lepas bahawa Dato' yang saya maksudkan iaitu Dato' Amar Ahmad bin Muhammad telah meninggal dunia lebih kurang dua tahun yang lalu. Saya minta maaf kepada ahli-ahli keluarga Dato' jika ada apa-apa perkataan atau ayat saya yang menyinggung perasaan ahli keluarga.
Maarof Kassim, 10 Oktober 2008.
Post a Comment