Tuesday, May 6, 2008

Mengerjakan Haji - Bahagian 25 (Hari ke 32 - Ke Arafah)

Isnin 17 November 2007 bersamaan 8 Zulhijjah 1428

Mengikut jadual awal ditampal di papan-papan notis oleh Tabung Haji sepatutnya kami bertolak ke Arafah pada hari esok, tetapi oleh kerana Hari Wukuf telah dibawa kedepan selama satu hari kami dikehendaki bertolak ke Arafah pada hari ini.

Insya Allah badan saya terasa sihat pada hari ini. Salmah dan kawan-kawannya sebilik pun begitu. Dari malam tadi terdengar bunyi riuh rendah di hadapan hotel. Riuh rendah ini datang dari jemaah-jemaah lain yang bertolak ke Mina dan Arafah sama ada menggunakan kenderaan atau berjalan kaki. Ada juga jemaah yang berkhemah di kawasan rumput hijau dihadapan hotel kami.

Dari pagi lagi saya nampak pergerakan jemaah ini. Ini satu pandangan yang tidak dapat saya lupakan. Gambar-gambar berikut menunjukkan keadaan sebenar.

Ada yang bertolak dengan bas seperti kami.

Ramai yang berjalan kaki. Ada juga yang duduk di atas kenderaan.

Satu lagi pandangan.

Kami telah di arahkan supaya bersiap sedia selepas solat Zuhur dan makan tengah hari. Kami diminta untuk membawa pakain dan keperluan yang minima sahaja yang boleh diisikan dalam beg kecil yang telah disediakan oleh Tabung Haji.

Hari ini saya bersolat Subuh dan Zuhur di Masjid Taliban. Beberapa hari sebelum ini pihak Tabung Haji ada menampal notis memberitahu bahawa Klinik Tabung Haji tidak akan beroperasi di Arafah dan Mina, oleh itu kami diminta mengambil ubat tambahan untuk dibawa ke sana. Saya dan Salmah mematuhi arahan tersebut.

Kami diminta untuk menunggu di bilik dan kami akan bertolak ke Arafah bergilir-gilir mengikut tingkat hotel dengan mereka yang di tingkat-tingkat bawah diahulukan. Ini bermakna kami di tingkat sembilan akan bertolak lewat. Perjalanan diaturkan oleh pihak Muasassah dan Tabung Haji tidak ada kuasa.

Pada jam 1400 saya telah turun ke bawah dan bertanya kepada pegawai Muasassah bolehkan saya bertolak dahulu. Jawapannya senang sahaja "Bukankah kita semua akan pergi ke tempat yang sama, siapa yang pergi dahulu tidak menjadi masaalah". Saya pun balik ke bilik dan memanggil Salmah untuk turun segera. Kami menaikki bas kedua.

Bas kami berjalan dengan lancar dan saya dan Salmah adalah antara yang pertama masuk ke khemah kami. Dalam perjalanan saya nampak ramai jemaah dari negara-negara lain mendirikan khemah sendiri di tepi jalan. Alangkah beruntungnya kami dari Malaysia.

Khemah-khemah di Arafah merupakan khemah sementara yang didirikan hanya untuk tujuan wukuf. Kedudukan para jemaah adalah tidak selesa. Khemah kami bernombor 81. Tiap-tiap jemaah hanya diberi ruang untuk kami baring sahaja.

Walau bagaimana pun kemudahan tandas adalah mencukupi. Tiap-tiap jemaah tidak perlu menunggu lama untuk menggunakan tandas. Makanan juga memuaskan.

Sehingga tengah malam baharulah semua jemaah dari Maktab 96 di Makkah selesai masuk ke Khemah 81 ini.

Pandangan khemah dari luar.


Pandangan di dalam khemah. Di masa ini belum ramai lagi yang sampai.


 Saya memakai ihram di dalam khemah.


Di kiri itu ialah doktor kami Dr. Sahmsul Anuar, berasal dari Kelantan tetapi bertugas di Terengganu.

Satu lagi pandangan di luar khemah.


Menunggu dalam khemah.

 Tulisan di papan tanda berbunyi 'Arafat ends here' bermakna perkhemahan kami berada betul-betul di sempadan Arafah. Bersempadan dengan kawasan apa saya kurang pasti.



Khemah di bahagian kiri ialah surau sementara kami. Disinilah dimana kami akan mengerjakan Wukuf.


Berborak di luar khemah. Tapi jaga-jaga, kita semua memakai ihram.

Bersambung ke Bahagian 26 (Wukuf dan Mabit).............

No comments: