Di antara hari-hari saya berada di Arab Saudi ini untuk mengerjakan Haji, hari ini lah yang paling mencabar dan tidak boleh saya lupakan. Walau pun sebelum ini saya dan Salmah menempuh berbagai dugaan seperti berhenti di padang pasir dalam bas selama satu jam, kali ini kami terpaksa menggunakan kebijaksanaan untuk bergerak ke lokasi seterusnya.
Bas kami tiba di Muzdalifah selepas tengah malam. Saya lupa masa sebenar kerana saya tidak ada masa untuk mencapai buku nota dan pen yang berada dalam beg kecil. Perjalanan dari Arafah tersekat-sekat dan seperti biasa pemandu Arab membunyikan hon tidak kurang 5 kali dalam satu kilometer. Kami di turunkan di perhentian bas bernombor 81 sama seperti nombor khemah kami di Arafah sebelumnya dan Mina nanti.
Berehat setelah mengutip batu di Muzdlifah
Mengikut jadual yang telah diatur kami sepatutnya berehat (mabit) sambil mengumpul tujuh ketul batu kecil untuk dilontar di Jamratul Qubra di Mina nanti. Selepas itu kami akan beratur mengikut giliran KT untuk menaikki bas yang menunggu di seberang sana. Jarak antara tempat turun dari bas dan tempat menaiki bas ialah lebih kurang tiga ratus meter.
Di antara kedua-dua perhentian inilah puluhan ribu jemaah Haji Malaysia menunggu. Oleh kerana KT kami dari khemah 81 merupakan kedua akhir diturunkan ke Muzdalifah, mengikut peraturan kami jugalah kumpulan kedua akhir yang akan menaikki bas ke Mina.
Tetapi bila kami turun sahaja ke bumi Muzdalifah kami berpecah kerana tidak ada pihak yang mengawal untuk berada dalam KT sendiri atau beratur. Kami membawa diri masing-masing seperti dalam Bahasa Inggeris "everyone on his own".
Saya membuat kira-kira congak dalam kepala dengan membandingkan kekerapan bas yang datang dengan lautan manusia di hadapan kami berdua. Jika mengikut peraturan mungkin petang nantilah kami akan sampai ke Mina ia itu dalam masa 12 hingga 18 jam dari sekarang.
Saya pun menarik Salmah dan mencelah diantara badan-badan jemaah untuk pergi ke barisan hadapan yang mana boleh. Tidak menjadi masalah jika saya seorang diri dan tidak membawa apa-apa barang. Tetapi keadaan saya ialah memakai ihram dan membawa satu beg walau pun kecil tetapi penuh dan berat. Di samping itu saya kena bersama-sama dengan isteri yang juga membawa beg.
Tiap kali bas datang kumpulan akan bergerak lebih kurang 2 meter. Saya perhatikan disekeliling saya ramai jemaah yang duduk, baring dan tidur. Ada juga jemaah yang pengsan kerana bersesak-sesak dalam barisan. Dan yang paling tidak diingini ialah ada jemaah yang menjerit-jerit sambil memaki hamun pihak Tabung Haji. Mereka seperti tidak sedar mereka sedang memakai ihram. Seperti saya katakan sebelum ini pergerakan kami dari Makkah ke Arafah, Muzdalifah, Mina dan sebaliknya diuruskan oleh pihak Muasassah dan Tabung Haji tidak terlibat.
Saya dan Salmah pun sama-sama bergerak perlahan-lahan, menolak jemaah di hadapan sambil ditolak oleh jemaah dari belakang. Sambil itu pihak Muasassah memberitahu melalui 'mega-phone' supaya kami duduk beratur. 'Insya Allah kami semua akan sampai ke Mina' katanya. Saya fikir orang yang bodoh sahaja yang akan mematuhi arahan ini.
Tiba-tiba bila hampir Subuh setelah hampir lima jam kami bersesak-sesak saya rasa nak pitam sedangkan jika dikira selang dua bas lagi kami akan berada di barisan hadapan. Saya memberitahu Salmah bahawa saya tidak tahan lagi dan mengajaknya keluar dari barisan yang sesak itu. Salmah menjawab biarlah saya sahaja yang keluar dan dia mahu meneruskan perjalanan.
Saya pun keluar dari kumpulan yang sesak itu dan baring di satu kawasan berhampiran dimana ramai jemaah yang berehat dan tidur. Tidak beberapa minit kemudian azan Subuh dilaungkan dan saya pergi mengambil wuduk di bilik air yang disediakan. Saya memohon jasa baik sepasang suami isteri yang saya tidak kenali supaya menjaga beg saya.
Inilah pertama kali saya berpisah dengan Salmah semasa mengerjakan Haji ini. Walau pun kadang-kadang kami tidak bersama pergi ke Masjid di Madinah dan Makkah sekurang-kurangnya dia berada diantara kawan-kawannya. Kali ini beliau akan menaiki bas seorang diri ke Mina. Di Mina nanti dia akan mencari khemahnya seorang diri juga. Saya menitiskan air mata mengenangkan Salmah dan merasa kesal kerana melapaskannya begitu sahaja.
Setelah mengambil wuduk saya pun menunaikan solat Subuh di bumi Muzdalifah seorang diri dengan menggunakan tikar yang dihadiahkan oleh Telekom Malaysia (TM). Selepas selasai solat Subuh saya terasa satu semangat baru. Rasa nak pitam tadi sudah hilang dan saya berazam hendak menaikki bas dalam masa yang dekat.
Saya pun menyusup dintara para jemaah untuk pergi ke hadapan. Ada juga jemaah yang kurang senang dengan perbuatan saya. Saya merasa lega sedikit kerana kali ini saya berseorangan. Akhirnya selepas tolak menolak saya berada di barisan hadapan dan akhirnya dapat juga menaikki bas untuk bertolak ke Mina.
Saya sampai ke khemah 81 di Mina lebih kurang jam 0700. Selepas masuk ke khemah saya pun terus mencari Salmah dan mendapati dia sudah berehat dalam khemahnya. Mengikutnya semasa dia sampai tidak ada seorang pun yang berada dalam khemahnya. Bagi khemah saya sudah ada dua tiga orang yang sudah sampai.
Jemaah Malaysia di perkhemahan 81 perlahan-lahan memenuhi khemah masing-masing. Di Mina ini kadar tandas berbanding dengan jumlah jemaah ialah kurang dari di Arafah. Ini bermakna tiap-tiap jemaah terpaksa menunggu lebih lama untuk menggunakan kemudahan tandas. Tambahan lagi kami terpaksa berkongsi tandas dengan jemaah Indonesia dan Thailand.
Ruang untuk tiap-tiap jemaah dalam khemah juga adalah lebih kecil dari yang diperuntukkan di Arafah. Yang baik sedikit ialah khemah-khemah di Mina ini merupakan khemah kekal dan berhawa dingin.
Jangkaan saya mengenai masalah pengangkutan didapati benar. Saya diberitahu bas-bas telah berhenti membawa jemaah dari Muzdalifah ke Mina pada jam 1000. Mana-mana jemaah yang masih lagi tinggal diarahkan berjalan kaki lebih kurang tujuh kilometer. Saya tidak dapat bayangkan kesusahan mereka berjalan kaki dalam panas terik dengan memakai ihram dan membawa satu beg kecil.
Oleh kerana bilangan khemah-khemah terhad tidak terdapat surau di perkhemahan kami. Kami terpaksa bersolat jemaah dalam khemah masing-masing. Makanan diberi dengan baik, cuma sampah-sarap dibiarkan menggunung di luar khemah dan mungkin dipungut sepas selesai kerja-kerja melontar.
Pada jam 1730 kami bertolak berkumpulan untuk melontar di Jamratul Aqabah. Kami pergi melalui terowong Muassim dan perjalanan berjalan dengan lancar. Seperti biasa ada jemaah yang sesat setelah selesai melontar.
Selesai melontar kali pertama kami mengerjakan Tahalul. Oleh itu selesailah pantang larang ihram kami. Ramai jemaah Malaysia terus bercukur rambut di sebelah tandas. Pencukur rambut kebanyakannya jemaah Thailand.
Pada jam 2030 Ajib datang mengunjung saya. Dia mengakui masalah perjalanan pagi tadi dimana mengikutnya tanggungjawab dipikul oleh pihak Muasassah dan bukan Tabung Haji.
Bersambung ke Bahagian 28.......
No comments:
Post a Comment