Saturday, October 28, 2017

Cattleya


Cattleya ialah sejenis bunga orkid yang banyak terdapat di Amerika Selatan. Dalam filem Colombiana pelakon utamanya, seorang perempuan bernama Cataleya meletakkan bunga Cattleya di badan setiap mangsa yang dibunuhnya. Tetapi setiap mangsa yang dibunuhnya adalah orang jahat belaka. 

Kisah bermula bila Cataleya semasa kecil melihat sendiri ibu dan bapanya dibunuh di negara asal mereka Colombia. Apabila besar Cataleya yang telah berpindah ke Amerika Syarikat (USA) membalas dendam dengan membunuh bukan sahaja pembunuh ibu bapanya, tetapi mereka yang setaraf dengan mereka. Pernah juga kerana ketiadaan bunga Cataleya telah melukis gambar Cattleya di badan mangsanya. 

Pihak berkuasa FBI yang buntu untuk mengetahui siapa pembunuh bersiri yang mereka cari akhirnya mendapat petunjuk apabila seorang 'cleaner' pejabat mereka mengatakan bunga itu berasal dari Colombia. Walau pun diakhir cerita pihak FBI berdepan dengan Cataleya, ia terlepas begitu sahaja. 

Saya tidak tahu sama ada orkid Cattleya ada terdapat di Malaysia. Walau bagaimana pun terdapat satu tempat di Malaysia yang diberi nama Cattleya. Cattleya di Malaysia ini asalnya kawasan belukar yang memanjang. Pada mulanya ia disyarat atau diwajibkan berkeadaan begitu sebagai zon pemampan atau 'buffer zone' antara kawasan kilang dengan kawasan perumahan. 

Dengan sendirinya zon pemampan ini sepatutnya tidak boleh atau haram diusik, apa lagi dimajukan dengan mendirikan apa-apa bangunan. Tetapi bak kata orang putih 'Laws are made to be broken', apa yang asalnya haram telah menjadi halal. 

Sekarang zon pemampan atau 'buffer zone' yang memisahkan kawasan perumahan dengan kawasan kilang sudah tidak ada lagi. Di tempatnnya dimajukan satu kawasan perniagaan yang diberi nama Cattleya. 

Saturday, October 14, 2017

Kerana mulut persahabatan nyaris binasa.

Di kebanyakan badan bukan kerajaan (NGO) sekarang, jawatan Setiausaha dan Bendahari dilantik oleh ketua NGO tersebut, sama ada ia dipanggil Pengerusi, Yang Di Pertua atau Presiden.

Tujuannya supaya Setiausaha dan Bendahari boleh menjalankan arahan-arahan oleh ketuanya. Jika dia tidak boleh menerima arahan, berhentikan saja dan ketua boleh cari orang lain. Saya telah dilantik  oleh Yang Di Pertua saya sebagai Setiausaha hampir empat tahun yang lalu. 

Saya telah bekerja dengan dua orang Bendahari, mula-mulanya seorang Melayu dan kemudian mulai lebih setahun yang lalu, seorang India yang saya panggil R sahaja di sini. R ialah seorang pesara guru yang pernah mengajar di Kelantan untuk beberapa tahun. Dari itu kami tidak mempunyai masalah berkomunikasi dalam Bahasa Melayu atau Inggeris dengan baik.

Kerana menganggap pejabat sudah menjadi rumah kedua, saya pun membawa beberapa barangan peribadi ke pejabat. Antaranya berapa pen yang sudah lama tidak digunakan. Maklum sajalah bagi seorang pesara pen agak sudah diperlukan lagi. Saya pernah menasihatkan kawan-kawan saya jika hendak memberi hadiah cenderamata kepada pesara, jangan berikan pen. Kerana besar kemungkinan ia tidak akan digunakan. 

Kebelakangan ini saya dapati beberapa barang peribadi yang saya bawa ke pejabat itu sudah lesap, termasuk beberapa  batang pen. Saya langsung tidak mengsyaki R yang datang ke pejabat dalam kadar seminggu sekali, telah mengambilnya. Seperti saya, R juga mempunyai satu set kunci pejabat dan dia ada datang semasa saya tiada di pejabat.

Saya ingatkan barang-barang itu diambil oleh ahli-ahli persatuan yang datang mendapatkan perkhidamatan persaran mereka. Saya juga mengsyaki ahli-ahli jawatankuasa persatuan yang datang bermesyuarat. Hinggalah pada satu hari bila saya kehilangan satu barang antik (bukan pen) yang berumur lebih kurang 20 tahun dan digunakan semasa saya berkhimat dulu. Saya sedar ia hilang bila seorang ahli persatuan hendak menggunakannya bila datang ke pejabat.

Bila berjumpa dengan R selepas itu saya terus bertanyakan adakah dia nampak barang antik saya itu. Saya tidak ingat sama ada dia menjawab atau tidak. Tetapi pada malamnya dia menghantar satu gambar barang antik saya itu melalui Whatsapp dan bertanya inikah barang yang saya maksudkan. Saya terus jawab memang itulah barangnya. Dia kemudian berjanji akan membawanya ke pejabat.     

Betul dia telah meghantarkannya ke pejabat semasa saya tiada kerana pada satu pagi saya dapati barang antik itu ada atas meja saya. Apabila saya berjumpa dengannya beberapa hari kemudian saya terus bertanya bagaimana dia boleh terambil barang antik itu. Jawabnya dia telah tidak sengaja memasukkan alat itu ke begnya pada satu hari.

Saya terus meminta membuka begnya kerana mungkin ada lagi barang-barang saya di dalamnya dan dia membenarkan. Saya terkejut kerana memang terdapat ada lagi barang-barang peribadi saya di dalam begnya termasuk beberapa batang pen.

Saya langsung tidak berniat menuduhnya mencuri atau sebagainya, tetapi tiba-tiba mucul ayat-ayat berikut dari mulut saya "These things either belong to me or the persatuan. Why did you take them?". R tidak menjawab apa-apa, tetapi saya nampak perubahan pada mukanya.

Saya sedar telah mengeluarkan kata-kata yang saya tidak patut keluarkan. Saya juga sedar telah membuat kesilapan besar bila 'menggeledah' begnya. Seolah-olah saya seorang pegawai polis menggeladah beg seorang yang disyaki melakukan jenayah.

Malamnya saya menerima SMS dari R menyatakan dia berasa amat bersalah 'mencuri' barang-barang saya. Dia menambah sedang berfikir secara serious sama ada hendak meneruskan tugas atau tidak. Saya jawab janganlah fikir macam tu. Ini pekara kecil antara kita dan janganlah libatkan persatuan.

Beberapa hari kemudian dia hantar SMS lagi menyatakan telah memulangkan buku-buku ledger dan sebagainya di pejabat semasa saya tiada. Hanya kunci belum diserahkan. Jelas bagi saya dia hendak meletakkan jawatan. Sekali lagi saya jawab janganlah kerana perkara kecil ini dia hendak meletakkan jawatan.

Saya yakin tindakannya lebih kepada tindak balas terhadap kata-kata dan tindakan saya daripada kesesalan terhadap tindakannya sendiri .

Akhirnya dia datang ke pejabat menyerahkan kunci dan terus beredar sebelum saya sempat berbincang apa-apa dengannya. Saya pun terus berjumpa Yang Di Pertua (YDP) saya dirumahnya dan menceritakan kepadanya apa sebenarnya berlaku. Saya tegaskan  tidak mahu R melepaskan jawatan dan mahu YDP memujuk R.

Syukurlah di hari-hari berikutnya saya bersabar dan tidak mengambil tindakan apa-apa. Sambil itu saya bertanya kepada YDP sudahkan dia menghubungi R. Jawapan YDP panggilan telefonnya kepada R tidak dijawab.     

Akhirnya saya mendapat SMS dari R minta dipulangkan kunci pejabat yang telah diserahkan kepada saya itu.

Setelah berjumpa di tempat yang dijanjikan saya bertanya kepada R 'So you are coming back?'. Dia terus jawab 'What coming back, when did I go?'. Saya terus SMS kepada YDP berita gembira itu.

Sekian.

Friday, October 13, 2017

Skim A atau Skim B?

Sudah beberapa kali saya menerima pangggilan telefon dari penerima pencen yang mengadu duit mereka dalam bank sudah 'lesap'. Bila saya tanya adakah mereka menerima pencen melalui Skim B, ada yang mengaku ia dan ada yang tidak pasti. Golongan yang kedua ini tidak tahu bahawa ada dua skim pembayaran pencen, iaitu itu Skim A  dan Skim B.

Apa itu Skim A dan Skim B? Duit pencen dimasukkan ke akaun bank penerima di kedua-dua skim. Perbezaannya ialah di skim A penerima pencen boleh mengeluarkan duit mereka bila-bila masa sedangkan di Skim B penerima pencen hendaklah pergi ke kaunter bank setiap bulan untuk mendapatkan duit pencen.

Saya menyebut penerima pencen dan tidak pesara kerajaan oleh kerana bukan semua penerima pencen adalah pesara kerajaan. Golongan ini biasanya balu (lelaki atau perempuan), anak dibawah 21 tahun dan anak kurang upaya kepada pesara yang hilang hak persaraan, biasanya kerana kematian. Pencen mereka dianggil Pencen Terbitan.

Skim A dan Skim ada kekuatan dan kelemahannya.

Kekuatan Skim A:
  1. Penerima pencen boleh mengeluarkan duit bila-bila masa dan di mana-mana, biasanya di mesin ATM.
  2. Bank tidak payah berurus dengan penerima pencen.
Kelemahan Skim A:
  1. Pembayar pencen, sama ada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau Jabatan Hal Ehwal Veteran (untuk pesara tentera) tidak tahu bila penerima pencen hilang hak persaraan, melainkan mereka diberitahu. Banyak kes di mana duit pencen masih dimasukkan ke akaun bank penerima sedangan penerima sudah meninggal dunia beberapa lama. 
  2. Penerima pencen dikehendaki melantik serorang wakil yang tugasnya tidak lain tidak bukan melaporkan kepada pembayar pencen jika penerima hilang hak persaraan.
Kekuatan Skim B:
  1. Pembayar pencen dapat mengesan bila penerima pencen hilang hak persaraan, kerana jika penerima tidak datang ke bank selama tiga bulan bayaran akan diberhentikan dan pencen untuk tempoh tiga bulan itu dipulangkan. Ini tidak bermakna duit pencen yang dipulangkan itu hangus dan saya akan terangkan nanti.
Kelemahan Skim B:
  1. Menyusahkan penerima pencen kerana terpaksa pergi ke bank tiap-tiap bulan. Apa lagi jika penerima pencen seorang OKU.
  2. Menyusahkan pihak bank, lebih-lebih lagi jika penerima seorang OKU, pegawai bank terpaksa melayan mereka di luar bank, seperti di dalam kereta.
  3. Penerima pencen berisiko dirompak setelah keluar dari bank.  
Ramai penerima Skim B tidak tahu pencen mereka akan ditahan jika tidak pergi ke bank selama tiga bulan. Mereka inilah yang biasa menalipon saya. Biasanya mereka tidak pergi ke bank setiap bulan atas sebab-sebab berikut:
  1. Mereka uzur tetapi tidak punya masalah kewangan kerana anak-anak menjaganya.
  2. Mereka adalah balu mempunyai pendapatan sendiri.
Semalam saya menerima panggilan telefon dari seorang balu perempuan dari Merlimau, Melaka. Beliau menerima pencen terbitan arwah suaminya sedangkan dia masih bekerja. Beliau mengadu duit pencennya selama tiga bulan sudah 'lesap'. Beliau juga ingat pejabat saya ialah cawangan JPA.

Saya jawab pejabat saya ialah pejabat satu NGO untuk  pesara kerajaan, tetapi saya mungkin boleh menjawab apa-apa soalan tentang persaraan. Bila mendapat tahu beliau dibayar pencen melalui Skim B saya kata duitnya tidak hilang. 

Saya terus berinya nombor telefon pembayar pencen. Bila dia bertanya apa yang harus dikatakannya saya jawab  'Beritahu mereka yang puan masih hidup'. Kemudian saya tanya adakah anak-anaknya boleh membuka laman sesawang JPA? Tujuannya supaya dia memuat turun Borang Skim A untuk menukar cara pembayaran dari Skim B.

Dia jawab walau pun anak-anaknya mungkin boleh membuka laman sesawang JPA, tetapi itu tidak perlu buat masa ini kerana bank sudah menyerahkan Borang Skim A kepadanya untuk diisi.

Tindakan pihak bank menyediakan Borang Skim A adalah bijak kerana pembayaran duit pencen melalui Skim itu merupakan situasi menang-memang bagi mereka. 

Sekian.

Wednesday, October 4, 2017

Kalau jangan bersusah payah kenapa hebahkan?

 bother = take the trouble to do something.



Ia bermula bila saya menerima satu pos di Whatsapp kumpulan surau taman perumahan saya. Seorang ahli kumpulan yang saya tidak kenali kerana menggunakan nama samaran telah menghantar satu pos yang saya percaya bukan ciptaannya. Pos itu menunjukkan satu deraf surat yang akan ditangani oleh seorang yang penting.

Surat itu menunjukkan tarikh-tarikh akan datang sambil menceritakan apa akan berlaku pada tarikh-tarikh tersebut. Di hujung surat ditunjukkan tarikh bila Parlimen Malaysia akan dibubarkan dan akhirnya enam hari selepas itu berlangsunglah Pilihanaya Umum ke-14 atau PRU14.


Saya yang pernah bekerja dengan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebanyak empat kali tahu bahawa mustahil dijalankan pilihanraya enam hari selepas pembubaran Parlimen. Bila masa Setiausaha SPR menghantar notis kepada ahli-ahli SPR untuk bermesyuarat? Lepas bermesyuarat bila pula writ Pilihanraya dikeluarkan? Bila pula tarikh penamaan calon? Sempatkah mencetak kertas undi? Jangan lupa sekarang ada peruntukan untuk undi awal. 

Jangan sebut sempatkah calon-calon dan parti mereka mencetak poster-poster yang sudah menjadi kewajipan di setiap PRU? Akhirnya sempatkah mereka berkempen? Ini semua kena diselesaikan dalam tempoh enam hari.

Saya menegur penghantar pos ini supaya jangan salin dan tampal (copy and paste) apa-apa maklumat yang tidak sahih. Penyalin/penampal menjawab 'Why bother, akan ada lagi maklumat kedua dan seterusnya'. Saya jawab  'If why bother, why post?' 


Saya buka kamus Bahasa Inggeris untuk mengatahui apa makna 'bother'. Jawapanya seperti di atas. Saya rasa sebutan tepat dalam Bahasa Melayu ialah 'bersusah payah'. Penyalin/penampal seolah-olah berkata 'Kenapa bersusah payah?' Tetapi dia telah bersusah payah untuk menyalin dan menampal pos yang diterimanya. Sebutan yang biasa digunakan untuk menguatkan kes seperti ini ialah 'Dapat dari kumpulan sebelah'. 


Tetapi dia telah menghebahkan maklumat yang meragukan itu ke dalam satu kumpulan ahli-ahli surau. Bukankah itu satu fitnah namanya? Jika dia menghebahkan kepada satu kumpulan Mat Rempit tak apa juga, kerana ramai Mat Rempit tidak bersusah payah dalam hal undi mengundi ini.