Showing posts with label Cerita orang pencen.. Show all posts
Showing posts with label Cerita orang pencen.. Show all posts

Sunday, August 1, 2021

SAYA SUDAH TUNAIKAN SEMUA PERMINTAANNYA.

Lama tak ke pejabat.

EN. KHAN

Saya mengenali En. Khan pada awal tahun 1990an semasa saya bekerja di Majlis Perbandaran Seremban atau MPS. Di masa itu saya mengetuai Jabatan Pebersihan Bandar, MPS. Seperti namanya, En. Khan ialah keturunan Pakistan. 

Sebelum saya bersemuka dengannya, saya sering melihat kelibatnya di pejabat saya. Di masa itu orang ramai bebas masuk ke mana-mana jabatan di MPS tanpa sekatan keselamatan seperti sekarang. Saya dapat tahu En. Khan datang ke MPS kerana membuat aduan. Ada sahaja aduan yang dibawanya. Sehingga satu hari kakitangan bawahan saya sudah bosan dengan aduannya dan meminta dia berjumpa saya sendiri.


MASALAH KECIL SAHAJA

Saya pun bertemu empat mata dengan En. Khan di bilik saya. Saya jangka tentu dia membawa aduan yang serious, tetapi tidak. Aduannya kecil sahaja, iaitu dia mengadu pekerja MPS yang memotong rumput di luar rumahnya membiarkan rumput yang dipotong itu memasuki rumahnya. Dia mahu pekerja itu masuk ke kawasan rumahnya dan menyapu rumput itu keluar.

Saya jawab sukar untuk mematuhi permintaannya. Pertama, cuma pegawai-pegawai MPS yang diberi kuasa sahaja boleh masuk ke kawasan rumah orang. Kedua, kalau perkara ini dibenarkan orang lain juga akan minta pekerja MPS masuk ke kawasan rumah mereka untuk menyapu rumput keluar. Oleh itu saya minta En. Khan menyapu sendiri rumput yang dimaksudkan keluar dari kawasan rumahnya.


SOALAN LUCU

Kemudian En. Khan menanya satu soalan yang agak melucukan saya. Dia tanya bagaimana kalau masalah yang sama melibatkan rumah saya? Saya terus jawab saya sapu sendiri rumput itu keluar. Saya tambah, tidak jadi masalah jika rumput disapu ke dalam longkang kerana ia ialah bahan 'bio-degradable', tidak seperti plastik dan sebagainya. En. Khan pun keluar meninggalkan saya.

Sejak itu En. Khan tidak lagi berani berjumpa saya walau pun kelibatnya masih saya nampak di MPS. Adakah dia takut saya akan memberi jawapan 'knock-out' seperti dahulu?. Saya tidak pasti.


BERJUMPA SEMULA

Bila saya bersara saya fikir saya tidak akan berjumpa dengan En. Khan lagi. Rupa-rupanya tidak. Lebih kurang tahun 2014 atau 2015 dia datang berjumpa saya di pejabat lain pula. Kali ini di pejabat Persatuan Pesara di mana kami berdua menjadi ahli. Malah dia mendahului saya memasuki persatuan ini, cuma saya memegang jawatan  dan dia tidak.

Baru saya tahu bila En. Khan berlegar di MPS dulu dia sudah bersara dari menjadi guru. Biasalah bila sudah bersara, orang pencen ini lain yang difikirkannya. Saya masih ingat dulu ada seorang guru perempuan yang baru bersara mengadu tentang murid-murid tadika di sebelah rumahnya mengganggu kedamaiannya. Baginya nyanyian budak-budak tadika itu satu kacauganggu. Yang peliknya dia juga pernah menghantar anaknya ke tadika yang sama.


JUMPA MESRA 

Pertemuan saya dengan En. Khan kali ini berjalan dengan mesra. Bila melihat nama saya Maarof, dia berkata bersaudara dengan seniman Mustafa Maarof yang berasal dari Mambau, Seremban itu. Saya sudah lupa apa yang diminta oleh En. Khan semasa perjumpaan kami itu, cuma saya telah menunaikannya.


DIA TELEFON SAYA

Beberapa bulan yang lalu saya menerima panggilan telefon dari En. Khan. Dia yang 'Bachelor Boy' atau tidak pernah berkahwin itu tidak tinggal lagi di rumah lamanya, tetapi dengan anak saudaranya di Seremban 2. Kerana susah hendak bergerak dia sudah lama tidak ke bank untuk mendapatkan duit pencennya. Tetapi baru-baru ini dia terperanjat kerana duit pencennya diberhentikan. 

Saya terus faham akan masalah En. Khan, kerana telah banyak kali menolong pesara sepertinya. Oleh kerana dia bersara bujang, En. Khan telah dibayar pencen melalui Skim B di mana dia hendaklah melapor diri setiap bulan di bank. Jika tidak melapor diri selama tiga bulan, duit pencennya akan ditarik balik. Ini berbeza dengan penerima pencen Skim A di mana duit pencen dimasukkan ke dalam bank secara automatik setiap bulan.


BIBI

Saya terus berjanji akan membantu En. Khan dengan masalahnya. Untuk itu En. Khan akan menghantar anak saudaranya (yang saya pinggil Bibi sahaja di sini) untuk berjumpa saya. 

Dipendekkan cerita, Bibi pun datang berjumpa saya di pejabat. Soalan pertama saya kepada Bibi ialah "Uncle ini cerewet tak?". Bibi terus menjawab "Amat cerewet". (Saya tidak dapat menceritakan butir-butir perbualan saya seterusnya dengan Bibi kerana saya anggap ia bertaraf 'classified'). 

Tindakan saya seterusnya ialah berurusan dengan Kumpulan Wang Persaraan atau KWAP di Cyberjaya untuk menukar skim bayaran pencen En. Khan dari Skim B ke A termasuk mendapatkan tunggakan pencen beberapa bulan itu.


PANTAU

Selepas itu hampir setiap hari saya membuka laman web JPA Pencen untuk memantau perkembangan tuntutan En. Khan. Menyedari dia seorang yang cerewet (malah amat cerewet, kata Bibi), saya tidak mahu dia membuat apa-apa aduan lagi. Saya merasa lega apabila sahaja melihat tunggakan pencen En. Khan sudah dibayar dan skim bayaran pencennya sudah ditukar dari B ke A. Saya pun menalipon Bibi menyampaikan berita baik itu.

Selang beberapa hari saya pula menerima panggilan telefon dari Bibi. Katanya 'uncle' hendak bercakap dengan saya. Saya ingat En. Khan hendak berterima kasih, tetapi tidak. Dia mengadu tidak menerima bonus khas kerajaan sebanyak RM300 dan kenaikan pencen 2% untuk tahun 2021. Saya buka laman web JPA Pencen sekali lagi dan mendapati dakwaan En. Khan itu benar. Saya memarahi diri saya sendiri kerana tidak meneliti perkara ini.


HUTANG TETAP HUTANG

Walau pun hutang Kerajaan Malaysia kepada En. Khan cuma beberapa ratus ringgit sahaja berbanding dengan berbelas ribu ringgit tunggakan yang sudah dijelaskan, hutang tetap hutang. En. Khan meminta saya mengesahkan bahawa kerajaan masih berhutang dengannya kerana dia hendak menghantar surat aduan kepada JPA Pencen. Saya jawab tidak payahlah dia membuat surat aduan. Saya akan menyelesaikan masalahnya dengan cara saya sendiri.



SELESAI AKHIRNYA

Saya terus menghantar email ke KWAP. Di samping itu saya berhubung melalui mesengger Facebook dan panggilan telefon dengan pegawai-pegawai JPA Pencen yang saya kenal. Akhirnya pada 30 Julai 2021 selesailah segala hutang Kerajaan Malaysia kepada En. Khan. Mulai sekarang pula En. Khan boleh mengeluarkan duit pencennya di mana-mana mesin ATM.

Tuesday, May 4, 2021

KENAPA DIA BUAT BEGITU?

Sebenarnya saya telah menulis pos ini dalam Bahasa Inggeris pada tahun 2008 bila saya masih bekerja. Sekarang saya akan cuba membuatnya dalam Bahasa Malaysia pula.


Dalam filem The Godfather Part II, seorang ketua Mafia memberitahu kawan-kawannya "When a man reaches the twilight of his life he recollects things he did in the past" atau “Bila seorang itu mencapai usia emas, dia teringat perkara-perkara yang dibuatnya di masa lampau”. Saya sekarang berumur 71 tahun (58 semasa saya menulis pos asal) dan saya banyak kenangan silam. Berikut ialah satu kenangan silam saya yang saya tidak boleh lupa sehingga hari ini. 


Di awal tahun 1990an saya menjadi ketua Jabatan Pembersihan Bandar di Majlis Perbandaran Seremban (MPS). Secara amnya tugas saya ialah memastikan sampah dipungut, longkang dibersihkan dan rumput dipotong.


Tabiat membuang sampah merata-rata sudah menjadi perkara biasa antara kita orang Malaysia. Tetapi bila pembuangan itu menjadi satu ‘pattern’ atau corak yang dilakukan oleh orang atau orang-orang yang sama, ia menjadi satu yang membimbangkan orang dalam kedudukan saya. Itulah yang berlaku di satu tempat di Bandar Seremban pada satu ketika di awal tahun 1990an. 


Sebahagian Jalan Tok Ungku dan Jalan Nuri Indah, Seremban ditaburi sampah berupa surat khabar yang sudah koyak rabak dan bungkusan makanan setiap tiga atau empat hari. Seorang pekerja hanya mengambil masa setengah jam untuk membersihkan sampah itu. Tetapi jika sampah itu tiada, bukankah dia boleh dihantar bekerja di tempat lain?


Corak dan kekerapan sampah itu dibuang memunjukkan ia dilakukan oleh orang atau orang-orang yang sama. Tetapi oleh siapa? Petunjuk yang ada cuma satu, iaitu ia dilakukan oleh orang atau orang-orang yang membaca akhbar bahasa Cina. Sampah juga dibuang di waktu malam kerana disedari hanya pada pagi esoknya.  


Masalah itu menjadi lebih mencabar bagi saya bila boss saya, Yang Di Pertua, MPS terlihat akan sampah itu dan memanggil saya. Saya tiada pilihan dari berjanji kepadanya akan menyelesaikan masalah itu.


Tetapi bagaimana saya hendak menyelesaikannya? Saya suka melihat cerita-cerita risikan polis di television. Antaranya pihak polis akan mengadakan ‘stake-out’ untuk melihat jenayah sedang dlakukan dan jika perlu menangkap penjenayah. Saya pun bertekad untuk mengadakan ‘stake-out’ tetapi dengan tujuan ‘menangkap’ pesalahnya.


Saya pun menubuhkan satu pasukan ‘stake-out’ yang akan menyorok dalam semak di tepi jalan-jalan berkenaan di waktu malam. Setiap ahli pasukan dibekalkan dengan ‘walkie-talkie’ (telefon bimbit belum ada lagi di masa itu). Saya sendiri memantau dengan ‘walkie-talkie’ di rumah. 


Malam pertama tidak menghasilkan apa-apa. Di malam kedua mereka nampak sampah dibuang dari satu kereta. Tetapi kereta itu hilang begitu sahaja. Disinilah saya bertekad untuk menyertai sendiri ‘stake-out’ ini. Sekurang-kurangnya saya tahu sampah itu dibuang dari sebuah kereta, bukan motosikal atau lori.


Saya dapati anggota saya tidak mencukupi untuk ‘menangkap’ pembuang sampah bersiri ini. Saya meghubungi Jabatan Undang-Undang MPS untuk meminjam beberapa anggota mereka untuk membantu saya. Mereka juga disyaratkan membawa ‘walkie-talkie’ seorang satu.



Di malam yang dijanjikan kami datang dengan motosikal dan berkumpul di satu gerai di Jalan Nuri Indah. Di situ saya bentangkan satu kertas menunjukkan kedudukan setiap anggota ‘stake-out’. Setelah setiap anggota tahu akan kedudukan mereka, kami pun beredar. Tumpuan kami ialah sampah dibuang dari kereta. Semasa saya, iaitu anggota terakhir hendak beredar, pengusaha gerai itu bertanya saya ni polis ke? Saya jawab, bukan.


Sambil menunggu dalam semak, kami pun berborak dengan ‘walkie-talkie’ untuk menghabiskan masa. Sambil itu sang nyamuk berpesta darah kami pada malam itu. 


Setelah beberapa jam menunggu sambil memberi minuman kepada sang nyamuk, seorang dari kami menjerit ternampak sampah dibuang di tengah jalan. Kemudian seorang lagi menjerit nampak yang sama. Kami pun melompat ke atas motosikal masing-masing dan mengekori kereta itu. Sambil itu bungkusan sampah yang dibuang diatas jalan kami pungut sebelum ia langgar oleh kenderaan lain.


Kemudian kereta itu membelok dan berhenti betul-betul di gerai di mana kami berkumpul beberapa jam tadi. (Agaknya inilah sebab kereta itu didapati hilang di malam ‘stake-out’ sebelum ini).  Kami pun berkumpul di keliling kereta itu seperti anjing liar mengelilingi anak antelope di Afrika.



Kami dapati sepasang suami isteri berbangsa Cina berumur dalam 50an di tempat duduk hadapan. Bila saya tanya kepada si suami yang memandu kereta betul kah dia yang membuang bungkusan sampah yang kami pungut itu, dia menafikan sekeras-kerasnya. Tetapi isterinya membisu seribu bahasa. Apa yang menarik ialah di bahagian kaki si isteri masih terdapat dua bungkusan sampah yang belum di buang.


Oleh kerana si suami enggan untuk menunjukkan kad pengenalan dan saya pula tidak mempunyai kuasa untuk mendapatkannya darinya, saya keluarkan kompuan berdasarkan nombor keretanya. Kemudian kami pun beredar setelah saya mengambil beberapa gambar dengan kamera filem saya.


Dari cara si suami menafikan penglibatannya membuang sampah itu, saya fikir dia tidak akan membayar kompuan saya. Oleh itu saya pun bersedia menyediakan pertuduhan mahkamah terhadapnya.


Alangkah terperanjatnya saya setelah beberapa hari bila diberitahu oleh Jabatan Undang-Undang MPS bahawa seorang lelaki Cina muda telah datang membayar kompuan yang saya keluarkan itu. Saya tidak tahu apa hubungan lelaki itu dengan pasangan dalam kereta itu. Sejak itu juga, tidak kelihatan lagi sampah-sampah bertaburan di Jalan Tok Ungku dan Jalan Nuri Indah, Seremban.


Sementara itu, seorang dari pegawai saya mengenali pasangan yang membuang sampah itu dan tahu di mana dia tinggal berasaskan keretanya. Setelah memberitahu boss akan kejayaan ‘stake-out’, saya pun melawat rumah pasangan itu.


Saya dapati mereka memelihara beberapa ekor burung mainan di mana najis burung ditadah dengan kertas surat khabar. Di belakang rumah saya perhatikan kotak sampah mereka bersih dan tidak digunakan. Dari itu saya boleh membuat ‘kronologi’ kegiatan pembuangan sampah mereka seperti berikut:


  1. Mereka mungkin tinggal berdua sahaja, oleh itu tidak menjana banyak sampah.
  2. Kertas surat khabar dengan najis burung diganti dari masa ke semasa. Kertas yang sudah digunakan juga dijadikan pembungkus bekas-bekas makanan mereka. Mereka juga mungkin tidak memasak di rumah.
  3. Di malam pembuangan, bungkusan-bungkusan sampah diletakkan di kaki si isteri di dalam kereta. Mereka pun keluar dengan kereta.
  4. Dalam perjalanan, si isteri akan memindahkan bungkusan sampah kepada si suami satu persatu.
  5. Si suami akan hanya melepaskan bungkusan sampah itu dari tingkap pemandu kereta.
  6. Bungkusan yang satik di tengah jalan akan dilanggar oleh kenderaan-kenderaan yang mengekor. Sampah akan berterbangan.

Beberapa minggu kemudian saya singgah di gerai di mana kami membuat perancangan ‘stake-out’ tersebut. Tuan punya gerai itu memberitahu pasangan berbangsa Cina itu singgah di gerainya dalam dua minggu dalam seminggu. Dia langsung tidak menyangka pasangan itulah yang membuang sampah yang sering dilihatnya setelah menutup kedai dalam kekerapan yang sama.



Sehingga hari saya masih tertanya-tanya kenapa pasangan itu membuang sampah cara itu. Dia boleh meletakkan sampah itu dikotak sampah di belakang rumahnya. Lori MPS akan memungutnya. Jika hendak dibuang di luar rumah melalui kereta pun, kenapa tidak arahkan sahaja si isteri mencampak sampah itu ke bahu jalan, walau pun ini akan membuatkan bungkusan itu dikoyak pula oleh anjing dan kucing.


Agaknya dia seronok melihat sampah itu berterbangan di belakangnya.

Monday, January 25, 2021

KERANA SAYA BUKAN RASIS

Dato' Ponniah, EXCO Negeri Sembilan di kiri saya pada awal tahun 1980an. Di depan kami ialah Tan Sri Rais Yatim, Menteri Besar Negeri Sembilan di waktu itu.

Semalam saya menonton di tv satu cara pihak FBI di Amerika menangkap penjenayah. Mereka meletakkan 'bug' dalam kereta penjenayah. Melalui 'bug' itu mereka dapat mendengar dan merakam perbualan penjenayah tersebut. Dengan bukti yang cukup, mereka menangkap pejenayah dan kawan-kawan mereka.

Saya memang selesa berborak dengan kawan-kawan rapat dalam kereta. Beberapa minggu lalu saya memandu kereta ke Jelebu dan balik. Tujuannya untuk menghadiri mesyuarat EXCO persatuan pesara saya di mana saya ialah Setiausaha di peringkat Bahagian Negeri. Turut menumpang ialah Naib Yang Di Pertua (seorang perempuan) dan Bendahari persatuan. Kami bermesyuarat di Jelebu kerana Yang Di Pertua kami tinggal di situ. Saya akan merujuk Bandahari saya ini sebagai K sahaja selepas ini.

Inilah pertama kami K, seorang veteran Persatuan berbangsa India, menaiki kereta saya. Sebenarnya K mempunyai sejarah yang kurang manis dengan mantan Yang Di Pertua kami, seorang Melayu yang saya anggap rasis. Ekoran itu saya pun menerima tempias hubungan mereka yang sudah tentu tidak baik. Apa yang saya kurang seronok ialah masalah antara mereka termasuk masalah perkauman.

Semasa saya mengetahui K bermusuh dengan mantan Yang Di Pertua, dia memegang satu jawatan di peringkat Cawangan Daerah persatuam. Tetapi saya perasan dia yang pada mulanya memandang serong kepada saya telah mengubah pandangan itu dari masa ke semasa. Kerana itu adalah tanda-tanda positif saya tidak ingin tahu kenapa. Cuma saya sedar mantan Yang Di Pertua saya kurang senang akan perkembangan ini.   

Mantan Yang Di Pertua dijatuhkan di pemilihan pada tahun 2019. Sepatutnya saya jatuh sama kerana jawatan saya ialah atas lantikan beliau. Tetapi Yang Di Pertua yang baru mengekalkan saya menjadi Setiausaha. Apa yang menarik kemudian ialah Yang Di Pertua baru ini melantik pula K menjadi Bendahari. Tetapi kerana tidak ada perasaan curiga antara kami, saya dan K dapat bekerja dengan baik.

Banyak perkara yang kami bincang semasa kami pergi ke Jelebu dan balik. Akhirnya K memecahkan satu rahsia yang disimpannya dari saya selama ini. Katanya dia mula mempercayai saya bila "Dato' Ponniah spoke highly about you".    

Saya sudah kenal Dato' Ponniah lama dan beliau baru meninggal dunia beberapa bulan yang lepas. Sebelum itu dia memegang jawatan Penasihat persatuan kami. Lebih kurang empat puluh tahun sebelum ini pula, dia menjadi Ahli Majlis Kerajaan Negeri Sembilan atau EXCO. Portfolio yang dipegangnya ialah Perumahan dan Kerajaan Tempatan. 

Dengan kedudukan EXCOnya, dia selalu berhubung dengan jabatan saya iaitu Majlis Perbandaran Seremban atau MPS. Malangnya kebanyakan pegawai dan kakitangan MPS adalah rasis. Jadi agak susah bagi Dato' Ponniah untuk mendapat kerjasama dari kami. 

Tetapi dari kami yang kebanyakannya rasis itu, dia mendapati saya tidak berperangai begitu. Dari itu dia banyak mendapat pertolongan dari saya, dari segi maklumat, data-data dan lain-lain. Sedangkan saya dilabel oleh jabatan saya sebagai "tidak mempunnyai semangat kebangsaan". Tetapi saya tidak peduli akan label itu.

Tempoh Dato' Ponniah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan EXCO tidak lama, mungkin kerana partinya MIC tidak mahu ahli-ahlinya menjadi wakil rakyat terlalu lama. Tetapi setelah Dato' Ponniah bersara dari politik dan saya pula bersara dari khidmat kerajaan hubungan kami tetap baik.    

Dato' Ponniah agak terkejut bila mengetahui saya dilantik menjadi Setiausaha persatuan. Untuk membuktikan perhormatannya kepada saya, dia pernah datang ke pejabat saya sekarang bertanyakan khabar dan bercerita kisah-kiah lama. 

Tidak hairanlah bila dia pernah 'Spoke highly' mengenai saya kepada orang-orang tertentu. Sebab utama ialah kerana saya bukan rasis.

Sekian.

Tuesday, January 19, 2021

PINTU RAHSIA



Bahagian yang mula roboh.

100 meter sudah roboh, dimulai oleh PINTU RAHSIA saya.

Kepingan zink yang jatuh paling kiri itulah PINTU RAHSIA saya.

Saya mula menulis di tahun 2021 ini dengan satu cerita kartun bertajuk PINTU RAHSIA.

Di saat ini rakyat satu Malaysia sedang menceritakan mengenai pembaziran membina beberapa dewan orang ramai di satu kawasan Parlimen di Johor. Sebenarnya mereka tidak sedar akan pembaziran yang sedang berlaku di Seremban, Negeri Sembilan.

Al kisah 13 bulan yang lalu satu kumpulan perompak dan penyamun telah merogol sekeping tanah di depan rumah saya yang sudah diwartakan sebagai KAWASAN LAPANG. Mereka kemudianya mendirikan satu DEWAN KOMUNITI yang juga membazir. Segala bantahan segelintir kami tidak dipedulikan, sehingga saya dan kawan-kawan membuat aduan di mahkamah.

Untuk menghormati mahkamah saya tidak mahu menyentuh mengenai kes kami, setakat mengatakan ia masih berjalan. Kami menghormati undang-undang, tidak seperti perompak dan penyamun yang saya ceritakan.

Yang peliknya perompak dan penyamun inilah yang mensyaratkan supaya sekeping tanah itu direzab dan diwartakan sebagai KAWASAN LAPANG. Sekarang mereka pula melanggar syarat mereka sendiri. Oleh itu tidak salah kalau saya ibaratkan mereka ini sebagai perompak dan penyamun, atau HARUAN MAKAN ANAK iaitu bapa yang merogol anak sendiri. 

Untuk menutup mata hamba sahaya seperti saya, perompak dan penyamun ini telah membina satu tembok penutup setinggi 12 kaki bersamaan 3.6576 meter yang diperbuat dari kepingan zink dikeliling tanah tersebut. 

Tetapi ini tidak menghalang untuk saya membuat satu PINTU RAHSIA untuk memasukki tapak kerja mereka dan melihat segala pencabulan yang mereka lakukan terhadap sekeping tanah yang sepatutnya mereka jaga dengan rapi. Untuk tidak digelar pengecut atau dituduh membuang batu kemudian menyorok tangan, PINTU RAHSIA itu saya buat betul-betul di depan rumah saya, pacal yang hina ini.

Telah berapa kali pula perompak dan penyamun ini menutup semula PINTU RAHSIA itu. Mengapa mereka tidak melaporkan kepada pihak berkuasa seperti Polis, Allah saja yang tahu. Ini setelah mereka boleh tahu siapa yang membuat PINTU RAHSIA ini. Mungkin mereka tidak ingin pihak berkuasa keliru siapa yang sebenarnya menceroboh, hamba sahaya ini atau mereka sendiri.

Kalau terakhir perompak dan penyamun ini menutup PINTU RAHSIA saya ialah dua hari yang lalu. Saya menyedarinya di petang hari itu. Kerana hari hampir gelap saya bercadang membukanya semula pada pagi semalam.

Di waktu Subuh masih ada di pagi semalam saya terdengar satu bunyi kuat di depan rumah saya. Saya juga terdengar beberapa bunyi kecil di tepi rumah. Apabila keluar dari rumah saya nampak peninggalan pokok-pokok yang tidak dijahanamkan oleh perompak dan penyamun terliuk kiri dan kanan.

Kemudian saya perhatikan sebahagian tembok yang melindungi aktiviti perompak dan penyamun di depan rumah jiran-jiran saya telah roboh sepanjang lebih kurang 50 meter. Tetapi PINTU RAHSIA saya tetap tertutup. Angin masih bertiup kencang dan tembok yang tinggal bergoyang.

Beberapa minit kemudian sebahagain lagi tembok itu pula roboh. Kali ini ia termasuk PINTU RAHSIA saya yang terletak betul-betul dipangkal. Tidak beberapa minitr kemudian sebahagian lagi tembok roboh, menjadikan sejumlah lebih kurang 100 meter tembok telah roboh. 

Niat saya untuk membuka semula PINTU RAHSIA saya tidak kesampaian kerana angin kencang telah membuatnya untuk saya.

Sekian.

Wednesday, December 30, 2020

DIA RUNTUHKAN ISTANANYA SENDIRI - BAHAGIAN KEDUA


 Gambar hiasan, tidak kena mengena dengan cerita.

8.    BAGAIMANA FOTO INI BOLEH DITANDINGKAN?

Lebih kurang pada tahun 2015, semasa pengadilan satu pertandingan fotografi anjuran Persatuan A, saya nampak satu foto yang masuk pertandingan di saat-saat akhir. Apa yang menarik perhatian saya ialah foto itu tidak patut ditandingkan. Saya berani kata begitu kerana saya tahu sangat akan sejarah foto itu.

Foto diambil di satu konsert dalam sebuah auditorium di Seremban. R, saya dan beberapa ahli jawatankuasa Persatuan A sama-sama hadir di konsert itu. Saya masih ingat juruacara mengingatkan hadirin supaya tidak mengambil apa-apa foto. Ini kerana pengambilan foto adalah hak ekskusif penganjur konsert. Jadi jurufoto penganjur bebas mengambil foto tanpa saingan.

Isu yang saya bangkitkan, iaitu foto itu tidak adil ditandingkan ialah kerana peserta-peserta lain tidak dibenarkan mengambil foto itu. Saya pasti jurufotonya bertaraf professional kerana tugasnya hanya mengambil foto untuk jabatan yang menganjur konsert itu. Sudah tentu kamera juga kamera jabatan, yang tentunya mahal.

Saya beri contoh pengambilan foto semasa penganugerahan pingat atau pertabalan Raja di mana-mana  istana di Malaysia. Hanya jurufoto yang dilantik oleh pihak kerajaan atau istana dibenarkan mengambil foto. Patutkah foto-foto yang hanya boleh diambil oleh jurufoto professional dan terpilih itu ditandingkan dengan foto-foto dari jurufoto amatur?

Tetapi R menolak bantahan saya dan penyertaan foto kontroversi itu diterima. Akhirnya foto itu mendapat hadiah pertama. Ingatan saya pergi ke 'Photo Safari' tahun 1990 di mana pasukan yang menceroboh surau dan menghalang orang lain menggunakannya diistiharkan sebagai 'Pasukan Paling Berdisiplin'. Disiplin apa itu?    

Saya terlibat dengan dua pertandingan yang melibatkan jurufoto di mana jarak masa antaranya ialah 25 tahun. Di kedua-dua pertandingan tersebut terdapat kontroversi. Mustahil jika saya katakan dalam 25 tahun itu, di mana saya menajdi ahli tidur Persatuan A, tidak ada kontroversi semasa pertandingan foto.

Jika 25 tahun sebelumnya kawan pasukan saya terus merajuk, kali ini saya pula mengambil keputusan untuk merajuk. Saya mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan Setiausaha Persatuan A, seperti juga beberapa orang Setiausaha sebelum saya, yang mungkin merajuk juga. Apa guna menjadi Setiausaha jika pendapat kami (yang ada asas) ditolak?



9.     ITU SEBABNYA RAMAI YANG LARI

Sejak Persatuan A ditubuhkan cuma R menjadi Yang Di Pertuanya. Tiap kali bila ada pertandingan jawatan di Mesyuarat Agung Tahunan, R menang tanpa bertanding. R pun mendabik dada dengan mengatakan dia sudah sama taraf dengan beberapa pemimpin negara di dunia yang tidak ada yang berani melawan.

Dia tidak sedar bahawa ramai ahli telah lari meninggalkan persatuan, sehingga di kebelakangan ini korum untuk Mesyuarat Agung pun tidak cukup. Tetapi R seronok dengan keadaan ini, kerana bila tak cukup korum, tidak adalah pemilihan dan R terus menerajui persatuan. Tetapi bagi saya pula, susah untuk saya untuk meletakkan jawatan.

Salah satu sebab mengapa ramai ahli meninggalkan persatuan ialah kerana di tiap-tiap pertandingan fotografi atau yang berkaitan dengannya, pemenang sudah ditentukan dari awal lagi.  


10.    AKHIRNYA DIA DIJATUHKAN JUGA

Sebelum R dijatuhkan di Persatuan A, dia sudah dijatuhkan di Persatuan B di Mesyuarat Agung Tahun 2019. Sebelum itu saya sudah melepaskan jawatan Setiausaha Persatuan A. Sepatutnya R mendapat mengajaran dari dua perubahan itu. Tetapi tidak, dia berkeras untuk bertahan di Persatuan A. 

Bebarapa orang ahli menyedari di tahun-tahun kebelakangan ini korum di Mesyuarat Agung tidak cukup. Ini bermakna pemilihan ahli jawatankuasa baru tidak boleh di buat. Ini juga bermakna R juga akan kekal menjadi Yang Di Pertua. 

Mereka berusaha untuk memastikan korum di Mesyuarat Agung Tahun 2020 cukup. Salah satu usahanya ialah menambah ahli.

Dipendekkan cerita, korum Mesyuarat Agung Tahun 2020 Persatuan A cukup dan pemilihan ahli jawatankuasa boleh diadakan. Di sinilah R dikalahkan dengan teruk.


11.    DUA PERSATUAN MENERIMA NOTIS DARI ROS

Tiba-tiba sahaja setelah tamat Mesyuarat Agung Persatuan A, persatuan itu dan juga Persatuan B (di mana saya masih menjadi Setiausaha) menerima surat notis dari Pendaftar Pertubuhan (ROS) Negeri Sembilan. ROS minta dua Persatuan ini mengemukakan beberapa dokumen. Ini sudah menjadi SOP kepada ROS bila mereka hendak menyiasat mana-mana NGO di bawah mereka.

Oleh kerana Persatuan A dan Persatuan B pernah diketuai oleh orang yang sama (yang kemudiannya dijatuhkan) sesiapa yang berakal boleh menduga kenapa ROS menghantar notis serentak kepada kedua-dua NGO tersebut. 

Sekarang ini musim Covid-19 dan bukan senang untuk sesiapa untuk masuk ke pejabat ROS. Bilangan penunggu di ruang menunggu dihadkan dan komputer-komputer mereka yang sebelum ini boleh digunakan oleh mana-mana NGO, sudah dilekatkan dengan huruf X saiz kertas A4.

Oleh itu bukan saja-saja ROS menghantar notis kepada dua NGO tersebut, melainkan ada orang mengadu. Yang menjadikan kes ini satu 'intrigue' (dengan izin) ialah si pengadu tidak lain tidak bukan orang yang pernah menerajui kedua-dua NGO itu. 


12.    ISTANANYA RUNTUH

Jika enam tahun yang lalu bila R memberi saya surat warna kuning dari ROS, saya berjaya menyelamatkan Persatuan A, kali ini saya tidak boleh berbuat apa-apa. Akibatnya status NGO itu di ROS sekarang ialah BATAL. 

Sekian.

Monday, December 28, 2020

DIA RUNTUHKAN ISTANANYA SENDIRI - BAHAGIAN PERTAMA

Somewhere in Kelantan semasa Photo Safari 1990


Sudah lama saya tidak menulis di blog ini. Oleh itu sebagai menutup tirai tahun 2020 saya ingin mengata sedikit mengenai seorang yang menganggap dirinya kebal, tetapi akhirnya dia meruntuhkan istananya sendiri. Saya akan merujuk dia sebagai R sahaja selepas ini.


 1.    PERKENALAN.

Saya mula kenal dengan R di penghujung tahun 1980an. Dia menerajui satu persatuan peminat fotografi di mana seorang saudara saya  yang bekerja satu pejabat dengannya menjadi ahli. Saudara saya itulah yang mencadang permohonan saya.

Saya kemudian menyertai bebeberapa aktiviti persatuan di seluruh Negeri Sembilan. Saya akan merujuk persatuan ini sebagai Persatuan A selepas ini.


2.      JELAJAH SATU SEMENANJUNG MALAYSIA.

Pada tahun 1990, saya menyertai satu aktiviti persatuan yang dipanggil 'Photo Safari'.  Kami dibahagi kepada pasukan-pasukan berkereta. Pasukan saya terdiri dari dua lelaki dan dua perempuan se pejabat. Kami menjelajah semua negeri di Semenanjung sambil mengambil gambar.

Di safari ini saya belajar sedikit sebanyak tentang R. Kata orang seorang pemimpin itu akan dinilai bila badan yang dipimpinnya menghadapi masalah. Di Alor Setar, Kedah kami menghadapi sedikit masalah. Saya tidak mahu menghebahkan apakah masalahnya, cuma saya berani berkata disini bahawa sayalah yang memberi idea kepada R bagaimana hendak menyelesaikan masalah tersebut.  

Selepas itu R selalu membanggakan safari tersebut, tetapi dia sedikit pun tidak menceritakan akan masalah di Alor Setar itu. Ini bermakna dia tidak pernah berterima kasih kepada saya kerana menolongnya.

Idea yang saya berikan kepada R di Alor Setar adalah permulaan kepada beberapa idea-idea yang saya berikan kepadanya di tahun-tahun kebelakangan ini.


3.    PENCEROBOH DIBERI HADIAH.

Satu daripada hadiah kepada peserta-peserta safari ialah 'Pasukan Yang Paling Berdisplin'. Kawan pasukan saya menjangka ekoran 'pertolongan' yang saya berikan di Alor Setar, pasukan kami akan mendapat hadiah itu. Rupa-rupanya hadiah diberikan kepada pasukan yang menceroboh dan menawan surau di kompleks penginapan kami sehingga semua penghuni di kompleks itu tidak dapat mendirikan solat berjemaah.

Kawan saya terus merajuk dan berhenti dari persatuan, sedangkan saya meneruskan keahlian saya, tetapi sebagai ahli yang tidur.  


4.    PERSATUAN ORANG PENCEN.

Setelah beberapa tahun tidak bertemu secara formal dan setelah bersara, takdir menemukan saya dengan R. Saya masuk satu lagi persatuan, kali ini persatuan orang pencen. Saya terkejut bila mendapati Yang Di Pertua persatuan ini ialah R.

Mungkin mengenangkan pertolongan saya di Alor Setar lebih 20 tahun sebelumnya, R menawarkan saya menjadi Setiausaha persatuan ini. Saya menerimanya kerana terasa bosan tidak buat apa-apa setelah bersara.

Saya akan merujuk persatuan ini sebagai Persatuan B selepas ini.


5.  BALIK KE PERSATUAN A.

Beberapa bulan setelah menjadi Setiausaha Persatuan B, R menawarkan pula saya menjadi Setiausaha Persatuan A yang saya sudah tinggalkan berpuluh tahun itu. Sekali lagi saya terima, walau pun kali ini dengan hati yang berat.


6. ADA UDANG DI BALIK MEE.

Setelah beberapa minggu saya menjadi Setiausaha Persatuan A, R memanggil saya ke rumahnya. Dia terus memberikan saya satu surat berwarna kuning. 

Surat kuning itu datangnya dari Pejabat Pendaftar Pertubuhan (yang lebih dikenali sebagai ROS) Negeri Sembilan. Ia berupa amaran terakhir meminta persatuan memberi tunjuk sebab mengapa ia tidak boleh dibatalkan.

R meminta saya pergi bertanya terus kepada ROS apa sebenarnya mereka mahu. Di ROS saya dapat tahu Persatuan A telah tidak menghantar laporan tahunan selama empat tahun. 

Dipendekkan cerita, saya telah menjalankan usaha untuk mengelakkan Persatuan A dari dibatal. 

Walau pun sedikit terkilan kerana terpaksa 'menegakkan istana' yang hampir runtuh akibat perbuatan pegawai-pegawai Persatuan A sebelum ini (termasuk kelemahan R memimpin mereka) saya merasa syukur juga. Sekurang-kurangnya saya tahu apa kehendak ROS terhadap pertubuhan-pertubuhan atau NGO jagaan mereka. 

Saya gunakan pengajaran ini bukan sahaja untuk Persatuan B dimana saya juga Setiausahanya, tetapi untuk Cawangan-cawangan  Daerah kami di seluruh Negeri Sembilan. Saya juga menolong Persatuan Induk akmi di Kuala Lumpur.


7.    "FOTO INI SEPATUTNYA DITOLAK"

Salah satu tugas saya di Persatuan A ialah menganjurkan beberapa pertandingan fotografi. Di satu pertandingan, saya dapati satu foto acara konsert yang telah diadakan di satu auditorium di Seremban. Saya hadir di konsert itu dan masih ingat sebelum ia bermula, juruacara mengingatkan para penonton bahawa pengambilan foto dilarang. 

Jadi bagaimana foto konsert tersebut berada di meja pengadilan?

Bersambung........

Friday, August 28, 2020

MENCARI ALIAS


SELAMAT DATANG KE RANTAU. Itu gambar lama. Pihak Berkuasa Tempatan masih Majlis Perbandaran Nilai (MPN).

Dua jambatan yang menghubungi Kg. Linsum dan Kg. Siliau di Rantau.

Inilah gambar yang menggerakkan saya mencari Alias. Saya terpaksa padamkan tulisan di tiang elektrik itu untuk menjaga identiti keluarga Alias. 


Ini dia kawan saya Alias.

Tugas saya mencari Alias bermula lebih sepuluh tahun yang lalu. Alias ialah kawan se kelas saya di Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) di Tanjong Malim, Perak antara tahun-tahun 1962 hingga 1967. Dia berasal dari Kg. Siliau, Rantau, Negeri Sembilan. Tetapi semenjak meninggalkan sekolah di penghujung tahun 1967 saya tidak bertemu lagi dengan Alias hinggalah semalam, 27 Ogos 2020.

HASHIM

Terdapat seorang lagi kawan saya dari Siliau bernama Hashim. Saya sering berjumpa Hashim selepas keluar sekolah, tetapi malangnya dia telah meninggal dunia akibat sakit jantung lebih 20 tahun yang lalu. Dia meninggal dunia di Indonesia semasa menguruskan perniagaannya. 

Saya menyertai kawan-kawan sama sekolah menunggu ketibaan jenazah Hashim di Siliau dan kemudian sama-sama mengiringi jenazahnya ke makam untuk dikembumikan. Di antara kawan-kawan yang saya jumpai di pengkebumian Hashim ialah Salleh yang berasal dari Kg. Linsum, bersebelahan Kg. Siliau. 

Salleh tinggal sebilik dengan saya di tahun 1967 dan itu juga merupakan kali pertama dan terakhir saya berjumpa dengannya selepas keluar sekolah. Salleh meninggal dunia lebih setahun lalu di kampung isterinya di Kelantan. Alias tidak balik ke kampung semasa pengkebumian Hashim.

Beberapa bulan selepas pemergian Hashim, saya sekali lagi ke Kg. Siliau, kali ini menghantar pengantin yang berupa anak lelaki kepada seorang jiran saya di Taman Paroi Jaya, Seremban. Saya perhatikan rumah pengantin perempuan betul-betul di belakang rumah keluarga arwah Hashim. 

Bila saya ceritakan ini kepada tuan rumah, mereka berkata pengantin perempuan ialah anak buah Hashim. Kemudian mereka mengenalkan saya kepada emak dan isteri Hashim. Bila saya ceritakan kepada emak Hashim yang saya ialah kawan sekolah anaknya, dia terus memeluk dan mencium saya sambil menangis. 

Ini tidak menghairankan kerana kami yang sama-sama makan nasi kawah semasa bersekolah menganggap diri kami sebagai adik beradik selama-lamanya. Emak Hashim tahu sangat akan perkara ini, jadi tidak hairanlah jika dia menganggap saya sebagai anaknya. Tetapi pemergian Hashim juga menyulitkan saya untuk mengetahui di mana Alias berada. 

HUSIN

Lebih sepuluh tahun yang lalu, bila sahaja mendapat nombor telefon seorang lagi kawan sekolah saya bernama Husin, saya terus menghubunginya. Saya tahu dia berasal dari Merlimau, Melaka, iaitu kampung isteri saya. Dia berkata akan balik kampung semasa Hari Raya Aidilfitri tahun itu. Saya berjanji akan berjumpa dengannya di kampung.

Bila berjumpa, baru saya tahu yang Husin ialah anak murid kepada arwah mertua saya di sekolah rendah. Dia juga satu kelas dengan Syukur, sepupu isteri saya. Husin juga bertanyakan di mana kawan-kawan kami sekarang. Saya telah menjawab semua soalan Husin, melainkan satu iaitu "Di mana Alias sekarang?". Saya terus jawab tidak tahu.

DI MANA ALIAS?

Sejak itu bila berjumpa dengan kawan-kawan satu sekolah, saya bertanya soalan yang sama. Tetapi tidak seorang pun yang boleh memberi jawapan atau petunjuk, sehinggalah beberapa bulan yang lalu. 

Kawan se kelas kami Md. Shah menghantar gambar Alias beserta satu nombor telefon. Tetapi bila saya penggil nombor itu beberapa kali, ia tidak berjawab.

Sebulan yang lalu saya pergi ke Kg. Linsum, Rantau dan berjumpa dengan seorang lelaki yang cuma muda setahun dari saya. Dia kenal dengan Hashim dan Salleh dan dia tahu kedua-duanya sudah meninggal dunia. Tetapi dia tidak kenal dengan Alias. Kerana hari sudah petang saya tidak meneruskan perjalanan ke Kg. Siliau. 

SUNGAI MENJADI PEMISAH

Seperti saya kata, kampung-kampung Linsum dan Siliau adalah bersebelahan. Mereka dipisahkan oleh Singai Linggi, iaitu sungai terbesar di Negeri Sembilan. Untuk berpuluh tahun, penghubung kedua-dua kampung tersebut ialah satu jambatan gantung yang boleh muat pejalan kaki, basikal dan motosikal sahaja.

Tetapi semenjak Tok Mat menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan, sebuah jambatan yang boleh muat kereta telah dibina di sebelah jembatan gantung tersebut. Untuk tujuan nostalgia jambatan gantung tidak dirobohkan.

TIANG 15454

Dalam saya berfikir bila hendak ke Kg. Siliau untuk mencari Alias, saya mendapat satu idea bila meneliti gambar yang dikirimkan oleh kawan saya Md. Shah. Alias tersenyum bersebelahan satu tiang elektrik. Seperti tiang-tiang elektrik lain ia mempunyai nombor rujukan Tenaga Nasional Berhad (TNB). Di bawah sekali tertulis 15454 iaitu nombor panggilan kecemasan TNB. Saya terus berkata "Jika saya dapat pastikan di mana tiang itu dicacakkan, mungkin saya akan dapat cari di mana Alias".

KE PORT DICKSON

Dua hari lepas, kawan pesara saya Hj. Zainal dari Port Dickson ingin belanja saya dan kawan-kawan pesara yang lain untuk minum pagi di Port Dickson. Saya terus berfikir untuk "membunuh tiga ekor burung dengan satu batu".  Pertama, dapat minum percuma. Kedua, melihat tempat mesyuarat jawatankuasa persatuan pesara saya di Port Dickson pada minggu hadapan. Ketiga, teruskan mencari Alias.

BINGO

Saya mengagak abjad yang ditulis di tiang elektrik TNB dalam gambar  Alias ialah nama satu taman perumahan di Rantau. Dengan menggunakan Waze di telefon pintar, saya dipandu ke taman tersebut. Bingo, tekaan saya tepat. Tiang elektrik pertama saya lihat di taman itu mempunyai abjad yang sama seperti di gambar. Tugas seterusnya ialah mencari tiang sebenar. Pengalaman saya bekerja di Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dulu membantu dalam hal ini.

Apabila saya sampai ke tiang yang dicari, saya pastikan keadaan sekeliling adalah sama seperti di gambar. Yang tidak ada cuma Alias sendiri. 

"ASSALAMUALAIKUM"

Saya perhatikan rumah di belakang tiang itu ditutup. Tetapi kehadiran sebuah kereta  yang menghalang pintu pagar masuk ke rumah  menyakinkan saya ada penghuni di dalamnya. Saya pun mengucapkan "Assalamualaikum" sambil menggoyang pintu pagar. Tidak beberapa lama, timbul muka seorang perempuan di pintu rumah. Saya terus bertanya "Ini rumah En. Alias ..... ke?".  

Perempuan itu bertanya saya siapa. Saya terus menjawab yang saya ialah kawan satu kelas dengan Alias di SDAR. Saya tunjukkan gambar Alias kepadanya dengan memberitahu saya dapat gambar itu dari seorang lagi kawan se kelas kami. Bila dia bertanya macam mana saya tahu gambar itu diambil di depan rumahnya, saya terus merujuk kepada tiang elektrik sebelah saya.

PENCARIAN BERAKHIR

Dia pun menerangkan yang Alias ialah abang kandungnya dan sekarang berada di Kg. Siliau. Tetapi oleh kerana telefon abangnya cuma telefon biasa (tidak boleh menunjukkan 'location' dan tidak mempunyai WhatsApp) dia mencadangkan abangnya itu berjumpa saya di rumah itu sahaja. Tidak berapa lama kemudian Alias pun datang. Maka sempurnalah tugas saya mencari Alias selama ini.

Sementara menunggu Alias datang, adiknya menceritakan bagaimana gambar Alias di sebelah tiang elektrik itu tercipta. Katanya dia berbesan dengan seorang bekas pelajar SDAR juga. Dia ialah junior kami di SDAR Seremban. Gambar itu diambil semasa majlis kahwin anaknya di mana Alias dan besannya itu menyedari mereka sama sekolah. Besannya itulah yang menyebarkan gambar itu kepada kawan-kawan nasi kawah kami, termasuk kawan saya Md. Shah. 

Jawapan mengapa panggilan telefon saya kepada Alias tidak dijawab ialah kerana nombor telefon Alias sudah bertukar.

BUAPAK

Banyak cerita yang saya dan Alias bincangkan. Alias balik ke kampungnya setelah bersara, walau pun dia mempunyai rumah di mana dia akhir bekerja. Dia sekarang dilantik menjadi 'buapak' di kampungnya. 

Alias menggeleng kepala bila saya ceritakan ramai kawan-kawan nasi kawah kami yang ditanyanya sudah meninggalkan kami. Malah dia tidak tahu bahawa Salleh yang berasal dari Kg. Linsum yang berjiran dengan kampungnya sudah meninggal dunia. 

Pengajaran dari pertemuan saya dengan Alias setelah berpisah selama 53 tahun ialah "Hargailah kawan-kawan kita semasa mereka masih hidup". 

Monday, August 10, 2020

BIARKAN ORANG MUDA DENGAN IDEA MEREKA.


 Gambar hiasan sahaja.

1. DUA HARI LEPAS

Dua hari lepas saya melihat satu dokumentari di TV bertajuk 'SAD HILL UNEARTHED'. Terjemahan terus berbunyi 'BUKIT SEDIH DIBONGKAR' tetapi maksudnya bukan begitu. 'SAD HILL' ialah nama tapak perkuburan dalam filem klasik 'THE GOOD, THE BAD AND THE UGLY' yang diterbitkan pada tahun 1966. 

Peminat filem itu, termasuk saya yang sudah menontonnya berpuluh kali tahu 'SAD HILL' ialah tempat tersoroknya harta karun yang menjadi rebutan 'The Good', 'The Bad' dan 'The Ugly'. Di penghujung filem, mereka bertiga bertembung tiga penjuru dalam apa yang dipanggil 'Mexican Standoff' di mana sepatutnya seorang sahaja yang menang. Untuk mengetahuinya, carilah DVD filem tersebut.

Di tahun 2015 beberapa orang peminat filem yang kebanyakannya masih kecil atau belum lahir semasa filem itu diterbitkan telah mencari lokasi perkuburan olok-olok tersebut. Filem "THE GOOD, THE BAD AND THE UGLY' menggambarkan keadaan di Amerika Syarikat tetapi dibuat penggambaran (shoot) di Spain. 

Mungkin keadaan perkuburan di Amerika tidak sama dengan Spain. Oleh itu penerbit filem terpaksa membina satu tapak perkuburan olok-olok. Untuk tujuan itu kru filem telah mendirikan satu  'SAD HLL'. Tetapi setelah pengambaran tamat, ia dan bangunan-bangunan lain ditinggalkan begitu sahaja.  

Sudah tentu peminat-peminat filem itu terperanjat besar melihatkan 'SAD HILL' yang 'Made in Spain' tu sudah menjadi semak samun. Mereka pun memulakan projek membongkar semula (unearth) tapak itu. 

Setelah beberapa bulan 'SAD HILL' telah dipulihkan seperti yang dilihat dalam filem. Ini termasuk meletakkan nama-nama ARCH STANTON dan UNKNOWN di mana salah satu darinya menjadi tempat sorokan harta karun rebutan itu. 

Untuk merasmikan 'SAD HILL UNEARTHED', mereka menjemput seberapa ramai mereka yang terlibat dalam filem itu yang masih hidup, kebanyakannya bekas tentera Spain.  

Tetapi orang nombor satu yang patut turut sama di upacara tersebut menolak jemputan mereka. Orang itu ialah pelakun, pengarah dan penerbit filem Clint Easwood yang memegang karaktor 'The Good' dalam filem tersebut. Kebetulan antara 'The Good', The Bad', dan 'The Ugly', cuma Clint Eastwood masih hidup. Pengarah filem, Sergio Leone pula sudah meinggal dunia di usia 60 tahun pada tahun 1999.

Penganjur ingin Clint Eastwood melakunkan semula watak 'The Good' dalam babak 'Mexican Standoff' di tapak 'SAD HILL' yang sudah dipulihkan. Tetapi Clint menolak atas alasan usia. Terpaksalah tiga orang muda melakunkan adegan itu dengan Clint Easwood melihat secara 'live video' dari rumahnya di Amerika. 


2. SEMALAM

Semalam saya hadir di Mesyuarat Agung satu Badan Bukan Kerajaan atau NGO. Sejak NGO ini di tubuhkan lebih 30 tahun yang lalu, ia diterajui oleh cuma seorang sahaja. Di setiap pemilihan sebelum ini tidak ada yang berani menentangnya.

Di tahun-tahun kebelakangan ini NGO ini agak malap. Anak-anak muda kurang berminat menyertainya. Memandangkan keadaan ini, saya sendiri yang pernah menjadi Setiausaha telah berundur lebih setahun yang lepas untuk memberi peluang kepada orang muda.

Tetapi nampaknya isyarat saya ini tidak terbaca oleh ketua NGO. Walau pun sebelum Mesyuarat Agung sudah ada ura-ura dan tanda-tanda dari golongan muda untuk mengambil alih, dia seolah-olah tidak mengindahkannya. Malah buku Mesyuarat Agung dilampirkan dengan risalah 'kejayaan'nya semasa dia masih muda berpuluh tahun  yang lalu.

Ucapannya pula yang sepatutnya menceritakan apa yang telah dibuat oleh NGO dalam setahun yang lepas, sekali lagi menceritakan 'kejayaan'nya berpuluh tahun lalu. Tetapi strateginya ini dapat dibaca oleh golongan muda. 

Dipendekkan cerita, di pemilihan semasa Mesyarat Agung semalam dia dikalahkan oleh golongan muda. 

Mungkin dia bukan peminat Clint Eastwood. 

Saturday, August 1, 2020

Huruf X

 X7 bermakna ini pokok yang ke tujuh akan ditumbangkan

 Ini di pokok X7 di Jalan Mutiara Galla, 70200 Seremban. Pandanglah pokok yang sudah berumur berpuluh tahun ini puas-puas sebelum ia ditumbangkan.  


Pokok X8 sudah ditebang.


 
Pokok-pokok sudah ditebang.

Pokok-pokok di seberang sana pun ditebang.

Apakah huruf yang paling popular sekarang? Bukan A, E, I, O atau U. Huruf yang paling popular di dunia sekarang ialah huruf X. Kita boleh nampak huruf X di mana-mana. Contohnya di barisan kerusi menunggu di klinik dan hospital. Malah di tiap-tiap permaidani masjid dan surau di seluruh Malaysia ada terpampang huruf X. Saya sudah lama tidak masuk ke panggung wayang. Mungkin di situ pun banyak ternampak huruf X.

Tetapi ada juga manusia jahil yang tidak faham akan penggunaan huruf X. Maka diletaknya huruf X di setiap pintu tandas kedua, keempat, keenam dan kiraan seterusnya di tandas-tandas awam.

Siapa yang tidak tahu mengapa huruf X terdapat di mana-mana sekarang bermakna dia tidak mengikut perkembangan zaman. Oleh itu tidak payahlah saya menerangkannya. Huruf X pula paling senang ditulis atau ditampal. Ia cuma memerlukan dua pita (tape) yang dipotong sama panjang dan boleh dibeli di kebanyakan kedai seperti kedai buku, kedai DIY, kedai RM 2.10 dan pasaraya.  Kemudian pita ditampal melintang seperti huruf X.

Sebenarnya huruf X tidak terdapat dalam persuratan Melayu. Kalau tidak kenapa kita tidak menulis paksa, laksa dan seksa sebagai 'paxa', 'laxa' dan 'sexa'. Bukankah bunyinya sama? Malah perkataan paling popular 'sex' ditulis 'seks' dalam Bahasa Melayu. Malah ada yang menulis 'X-Ray' sebagai eksray. 

Cuma kawan-kawan NK (nasi kawah) saya yang menulis Laksamana sebagai Laxamana. Oh ya, saya pernah tinggal di Rumah Laxamana semasa bersekolah asrama penuh dulu.

Huruf X banyak maknanya. Filem-filem yang dianggap lucah diberi kategori X. Bila kita hendak menyembunyikan identiti seseorang, kita sering memanggilnya Mr. X. Cuma bila seorang perempuan itu dipanggil Miss X atau Madame X, mungkin ia disalah erti.

Petak X di tengah-tengah jalan bererti tiada kenderaan boleh berhenti di atasnya, walau pun perintah ini sering tidak dipeduli. Dalam teks (text) ringkas X juga bermakna tidak. Contohnya, 'X de' bermaksud tidak ada. 

Tetapi ada juga huruf X diletak sebagai hukuman. Huruf X yang selalunya ditulis dengan cat berwarna merah di pokok-pokok bermakna pokok itu telah diberi hukuman tebang. Pihak berkuasa tentu ada sebab kenapa menjatuhkan hukuman begitu kepada pokok-pokok. Gambar-gambar di atas menceritakannya.

Sekian. 

Thursday, April 30, 2020

Hidup ibarat sekotak coklat - Episod 3 (Kami tak guna Kad ATM)

Dua orang Setiausaha. Saya dengan Tn. Hj. Salleh, Setiausaha Agung Peratuan Pesara Kerajaan Malaysia. di satu program JPA di Putrajaya.

Saya antara penumpang pertama Buggy Jabatan Perkhidamatan Awam, Putrajaya. Sebelum menaiki buggy, saya tanya 'photographers' di situ dari 'angle' mana mereka hendak ambil gambar. Itu sebab imej saya ketara.

DIBENARKAN MEMANDU SENDIRI


Saya tidak pasti mengapa MPS tiba-tiba meluluskan tuntutan elaun perjalanan perubatan saya dengan kaedah memandu sendiri. Adakah mereka tercabar bila melihat saya sekarang menjadi seorang kuat satu Persatuan Pesara di Malaysia? 

Cuma yang saya tahu, MPS takut dengan tekanan dari luar. Di mesyuarat melibatkan jabatan-jabatan lain, mereka lebih percaya kepada orang luar dari pegawai-pegawai mereka sendiri. Kalau begitu tidak sia-sialah saya aktif dalam satu NGO mewakili antaranya pesara-pesara MPS sendiri.


MASIH BELAJAR

Satu hari saya didatangai dua orang pesara suami isteri berbangsa Cina. Mereka ingin menukar bank akaun pencen mereka dari sebuah bank di tengah Bandar Seremban ke  bank dekat dengan rumah mereka. Saya tanya kenapa perlu pergi ke bank untuk mendapatkan duit, sedangkan ia boleh didapati di stesen-stesen minyak?

Mereka menjawab tidak menggunakan kad ATM. Selama ini mereka pergi ke bank pada tiap-bulan untuk mendapatkan pencen mereka. Dari itu baru saya tahu ada dua skim pembayaran pencen iaitu Skim A dan Skim B.  Skim A ialah pencen dibayar terus ke akaun bank pesara. Di Skim B pula pesara dikehendaki datang tiap-tiap bulan ke bank untuk pencen dimasukkan ke akaun mereka.

Itulah antara perkara-perkara persaraan yang saya masih belajar. 



PENCEN ISTERI SAYA DITAHAN 

Satu hari saya menerima panggilan dari seorang lelaki Cina bernama Vicent dari Puchong, Selangor. Dia mengadu pencen isterinya ditahan selama tiga bulan. Saya boleh menolak terus aduannya kerana isterinya bukan ahli persatuan saya di Negeri Sembilan. Tetapi saya tetap melayannya kerana ingin tahu. 

Vincent memberitahu isterinya ada menerima surat dari JPA Pencen memintanya mengemaskini maklumat peribadinya melalui satu borang. Mereka enggan mengisi borang tersebut. Saya jawab apa-apa arahan dari JPA Pencen hendaklah diikut. Saya sendiri pernah mengisi borang tersebut bila berpindah rumah. 

Vincent berjanji akan mengisi borang tersebut. Dia juga minta pertolongan saya untuk menghubungi sesiapa di JPA Pencen yang saya kenal untuk mencepatkan bayaran pencen isterinya. Datuk Dr. Yeow, Pengarah JPA Pencen sudah bersara tetapi saya masih kenal dengan beberapa penolong beliau. Saya pun menghantar email kepada seorang dari mereka.

Akibatnya pencen isteri Vincent disambung semula dengan tunggakan. Sehingga hari ini Vincent menghantar saya mesej SMS hampir setiap hari. 


PESARA SATU MALAYSIA PANIK

Beberapa bulan selepas saya kenal dengan Vincent, pesara satu Malaysia panik dengan berita bahawa setiap pesara yang berumur lebih 70 tahun dikehendaki mengisi borang kemaskini maklumat peribadi dan mengambalikannya kepada JPA Pencen. Saya menerima panggilan telefon dan juga SMS menanyakan adakah berita itu benar.

Pengalaman saya dengan Vincent membuatkan saya menjawab "ya" kepada semua pertanyaan yang saya terima. Sehingga Setiausaha Agung saya menulis surat kepada semua Setiausaha negeri meminta semua pesara berumur lebih 70 mengemaskini malumat mereka, jika tidak pencen akan diberhentikan.

Akhirnya JPA Pencen sendiri melegakan panik itu dengan memberitahu mereka cuma meminta lebih kurang seratus lebih pesara yang status mereka meragukan mengisi borang tersebut. Isteri Vincent adalah salah seorang dari mereka. 

Saya merasa gembira kerana dapat menolong salah seorang dari mereka.


AKAN DATANG?

Seperti sekotak berisi coklat, saya tidak akan tahu apa yang saya akan dapat selepas ini. Lebih sebulan saya tidak bekerja walau pun saya ada pergi ke pejabat sekali sekala. Saya lihat rekod telefon dipenuhi dengan panggilan 'scam'. Nampak gayanya 'scammers' ini tidak berehat walau pun apa PKP. 


BERDEPAN DENGAN MBS LAGI

Saya dan 19 orang jiran-jiran sudah memfailkan permohonan untuk mendapatkan apa yang dipanggil 
'Semakan Kehakiman' atau 'Judicial Review' terhadap Majlis Bandaraya Seremban dan Kerajaan Negeri Sembilan. Ini terhadap tindakan mereka membina satu Dewan Komuniti di tapak yang sudah diwartakan sebagai KAWASAN LAPANG betul-betul depan rumah saya.

Kami sudah berjaya melangkah pagar pertama dengan mendapat 'leave' atau kebenaran untuk memohon  'Semakan Kehakiman' tersebut dari Mahkamah Tinggi Seremban. Segala tindakan terhenti seketika kerana Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP.

Apa yang berlaku seterusnya adalah ibarat sekotak coklat,. Saya tidak tahu apa saya akan dapat seterusnya.

Sekian.

Wednesday, April 29, 2020

Hidup ibarat sekotak coklat - Episod 2 (Mula aktif dalam persatuan)

Ahli-ahli Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia dengan Almarhum Dato' Undang Luak Jelebu pada bulan 29 November 2011. Inilah kegiatan pertama saya dengan Persatuan. Ramai dari mereka ini akan terlibat dengan saya nanti. 

Setelah menjadi ahli satu NGO yang dinamakan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia atau PPKM saya pun tidak duduk diam. Saya sering datang ke pejabat persatuan bertanyakan apa-apa aktiviti yang saya boleh masuk. 

Saya dipelawa menyertai satu lawatan ke Jelebu termasuk membuat kunjung hormat terhadap Yang Teramat Mulia Dato' Undang Jelebu. Saya orang Jelebu, tetapi inilah kali pertama saya masuk ke Balai Undang Jelebu dan bertemu dengan Dato' Undang.

Kebetulan Yang DiPertua Persatuan ialah seorang sahabat lama saya yang menjadi Pengerusi satu persatuan peminat senifoto, di mana saya juga menjadi ahli. Tidak berapa lama selepas lawatan ke Jelebu, dia bertanya sama ada saya berminat menjadi seorang pegawai Persatuan. 

Setelah pengalaman tidak sedar akan kemudahan menuntut balik kos alat perubatan untuk pesara, saya bersetuju. Tujuan saya ialah untuk memberitahu seberapa ramai  pesara akan hak-hak mereka. 

Saya dilantik secara rasmi menjadi Setiausaha Persatuan mulai 1 Januari 2014. Itu pun setelah saya menjadi pemerhati di Mesyuarat Agung Persatuan pada tahun 2013 dan kemudian saya dilantik menjadi seorang Perwakilan di Persidangan Perwakilan di peringkat kebangsaan di Kangar, Perlis selepas itu.


HARI TERBUKA BERSAMA JPA PENCEN

Persatuan mempunyai satu program bulanan bernama Hari Terbuka Bersama JPA Pencen. Di sini ahli-ahli persatuan bertemu dengan satu atau dua orang pegawai-pegawai JPA Pencen di pejabat Persatuan untuk menyelesakan masalah mereka. 

Saya perhatikan masalah mereka boleh saya selesaikan sebagai Setiausaha. Jika tidak pun saya boleh menghubungi JPA Pencen melalui telefon, faks atau email. Malah semasa Persidangan Perwakilan di Kangar, Pengarah JPA Pencen sndiri, Datuk Dr. Yeow memberitahu jika mana-mana pesara ada masalah, mereka boleh menghubunginya melalui telefon atau email.

Saya tanya ahli-ahli saya, kenapa hendak tunggu sampai sebulan untuk bertemu dengan pegawai-pegawai JPA Pencen untuk menyelesaikan masalah mereka, sedangkan saya boleh menyelesaikannnya pada bila-bila masa? Pejabat kami dibekalkan dengan komputer yang mempunyai internet dan mesin faks.  

Sejak itu kedatangan untuk program Hari Terbuka Bersama JPA Pencen berkurangan. Kemudian JPA Pencen menjarakkan kekerapan program kepada dua bulan sekali. Kedatangan juga terus merosot. Sebabnya tidak lain tidak bukan kerana saya boleh membuat kerja-kerja JPA Pencen itu. 

Kemerosotan kedatangan inilah yang membuatkan Datuk Dr. Yeow memanggil Yang DiPertua Persatuan dan saya untuk berjumpanya di Putrajaya seperti gambar di episod sebelum ini. Akhirnya Hari Terbuka itu dibatalkan terus.


"ENCIK CUMA BOLEH TUNTUT TAMBANG TEKSI"

Salah satu tugas saya ialah menyemak dan memanjangkan tuntutan perubatan dari ahli-ahli, termasuk tuntutan perjalanan ke hospital atau Institut Jantung Negara (IJN). Tuntutan perjalanan termasuk menuntut tambang teksi atau bas dan memandu kereta sendiri. 

Ababila saya membawa isteri saya pergi ke IJN untuk rawatan jantung, tibalah masanya untuk saya membuat tuntutan pula. Setelah mengisi borang beserta lampiran-lampiran saya pun pergi ke MPS membuat tuntutan. Antara lampiran ialah resit tol dan letak kereta.

Alangkah terperanjatnya saya bila saya mengemukakan tuntutan. Kerani yang menjaga berkata "Kita tak benarkan pesara MPS menuntut cara memandu sendiri. Kita hanya benarkan mereka menuntut tambang teksi". 


MPS BERHAK MENOLAK PEKELILING KERAJAAN MALAYSIA

Bila saya berjumpa bosnya yang kebetulan memangku jawatan Setiausaha MPS, jawapannya adalah sama. Bila saya tanya kenapa guna borang JPA Pencen yang ada ruang untuk memandu sendiri (dengan kod MS) dia terus menjawab "En. Maarof bukan ke  tahu MPS berhak menerima atau menolak apa-apa pekeliling Kerajaan Malaysia".   

Ingatan saya kembali ke pertengahan tahun-tahun  1980an apabila orang yang juga memangku jawatan Setiausaha MPS memberi jawapan yang sama bila Kerajaan Malaysia menaikkan taraf jawatan saya. Tetapi kali ini saya tidak mahu bergaduh dengannya, kerana dia seorang perempuan. Saya juga tidak mahu menggunakan ungkapan keagamaan seperti yang saya lemparkan tiga puluh tahun yang lalu.  

Jadi saya katakan begini sambil menghulurkan kad saya "Saya ialah Setiausaha Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, Negeri Sembilan. Saya biasa menghantar tuntutan perjalanan perubatan untuk ahli-ahli saya ke JPA Pencen. Inilah borang yang mereka gunakan. Saya tidak mahu menuntut tambang teksi, kerana saya masih boleh memandu sendiri. Jika saya dapatkan mana-mana resit teksi sekarang, ini bermakna saya menipu. Saya akan tinggalkan borang tuntutan saya di sini. Puan buatlah apa-apa dengannya".

Beberapa hari kemudian, saya menerima telefon dari MPS. Pemanggil memberitahu permohonan tuntutan perjalanan saya dengan memandu sendiri diluluskan. Ini juga bermakna jika semasa kerja dulu saya sering menjadi pegawai MPS pertama memulakan apa-apa perubahan, semasa bersara pun saya  bertabiat begitu. Saya pun menyebarkan berita ini kepada seberapa ramai pesara MPS yang boleh. 

Bersambung....