Wednesday, April 29, 2020

Hidup ibarat sekotak coklat - Episod 2 (Mula aktif dalam persatuan)

Ahli-ahli Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia dengan Almarhum Dato' Undang Luak Jelebu pada bulan 29 November 2011. Inilah kegiatan pertama saya dengan Persatuan. Ramai dari mereka ini akan terlibat dengan saya nanti. 

Setelah menjadi ahli satu NGO yang dinamakan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia atau PPKM saya pun tidak duduk diam. Saya sering datang ke pejabat persatuan bertanyakan apa-apa aktiviti yang saya boleh masuk. 

Saya dipelawa menyertai satu lawatan ke Jelebu termasuk membuat kunjung hormat terhadap Yang Teramat Mulia Dato' Undang Jelebu. Saya orang Jelebu, tetapi inilah kali pertama saya masuk ke Balai Undang Jelebu dan bertemu dengan Dato' Undang.

Kebetulan Yang DiPertua Persatuan ialah seorang sahabat lama saya yang menjadi Pengerusi satu persatuan peminat senifoto, di mana saya juga menjadi ahli. Tidak berapa lama selepas lawatan ke Jelebu, dia bertanya sama ada saya berminat menjadi seorang pegawai Persatuan. 

Setelah pengalaman tidak sedar akan kemudahan menuntut balik kos alat perubatan untuk pesara, saya bersetuju. Tujuan saya ialah untuk memberitahu seberapa ramai  pesara akan hak-hak mereka. 

Saya dilantik secara rasmi menjadi Setiausaha Persatuan mulai 1 Januari 2014. Itu pun setelah saya menjadi pemerhati di Mesyuarat Agung Persatuan pada tahun 2013 dan kemudian saya dilantik menjadi seorang Perwakilan di Persidangan Perwakilan di peringkat kebangsaan di Kangar, Perlis selepas itu.


HARI TERBUKA BERSAMA JPA PENCEN

Persatuan mempunyai satu program bulanan bernama Hari Terbuka Bersama JPA Pencen. Di sini ahli-ahli persatuan bertemu dengan satu atau dua orang pegawai-pegawai JPA Pencen di pejabat Persatuan untuk menyelesakan masalah mereka. 

Saya perhatikan masalah mereka boleh saya selesaikan sebagai Setiausaha. Jika tidak pun saya boleh menghubungi JPA Pencen melalui telefon, faks atau email. Malah semasa Persidangan Perwakilan di Kangar, Pengarah JPA Pencen sndiri, Datuk Dr. Yeow memberitahu jika mana-mana pesara ada masalah, mereka boleh menghubunginya melalui telefon atau email.

Saya tanya ahli-ahli saya, kenapa hendak tunggu sampai sebulan untuk bertemu dengan pegawai-pegawai JPA Pencen untuk menyelesaikan masalah mereka, sedangkan saya boleh menyelesaikannnya pada bila-bila masa? Pejabat kami dibekalkan dengan komputer yang mempunyai internet dan mesin faks.  

Sejak itu kedatangan untuk program Hari Terbuka Bersama JPA Pencen berkurangan. Kemudian JPA Pencen menjarakkan kekerapan program kepada dua bulan sekali. Kedatangan juga terus merosot. Sebabnya tidak lain tidak bukan kerana saya boleh membuat kerja-kerja JPA Pencen itu. 

Kemerosotan kedatangan inilah yang membuatkan Datuk Dr. Yeow memanggil Yang DiPertua Persatuan dan saya untuk berjumpanya di Putrajaya seperti gambar di episod sebelum ini. Akhirnya Hari Terbuka itu dibatalkan terus.


"ENCIK CUMA BOLEH TUNTUT TAMBANG TEKSI"

Salah satu tugas saya ialah menyemak dan memanjangkan tuntutan perubatan dari ahli-ahli, termasuk tuntutan perjalanan ke hospital atau Institut Jantung Negara (IJN). Tuntutan perjalanan termasuk menuntut tambang teksi atau bas dan memandu kereta sendiri. 

Ababila saya membawa isteri saya pergi ke IJN untuk rawatan jantung, tibalah masanya untuk saya membuat tuntutan pula. Setelah mengisi borang beserta lampiran-lampiran saya pun pergi ke MPS membuat tuntutan. Antara lampiran ialah resit tol dan letak kereta.

Alangkah terperanjatnya saya bila saya mengemukakan tuntutan. Kerani yang menjaga berkata "Kita tak benarkan pesara MPS menuntut cara memandu sendiri. Kita hanya benarkan mereka menuntut tambang teksi". 


MPS BERHAK MENOLAK PEKELILING KERAJAAN MALAYSIA

Bila saya berjumpa bosnya yang kebetulan memangku jawatan Setiausaha MPS, jawapannya adalah sama. Bila saya tanya kenapa guna borang JPA Pencen yang ada ruang untuk memandu sendiri (dengan kod MS) dia terus menjawab "En. Maarof bukan ke  tahu MPS berhak menerima atau menolak apa-apa pekeliling Kerajaan Malaysia".   

Ingatan saya kembali ke pertengahan tahun-tahun  1980an apabila orang yang juga memangku jawatan Setiausaha MPS memberi jawapan yang sama bila Kerajaan Malaysia menaikkan taraf jawatan saya. Tetapi kali ini saya tidak mahu bergaduh dengannya, kerana dia seorang perempuan. Saya juga tidak mahu menggunakan ungkapan keagamaan seperti yang saya lemparkan tiga puluh tahun yang lalu.  

Jadi saya katakan begini sambil menghulurkan kad saya "Saya ialah Setiausaha Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, Negeri Sembilan. Saya biasa menghantar tuntutan perjalanan perubatan untuk ahli-ahli saya ke JPA Pencen. Inilah borang yang mereka gunakan. Saya tidak mahu menuntut tambang teksi, kerana saya masih boleh memandu sendiri. Jika saya dapatkan mana-mana resit teksi sekarang, ini bermakna saya menipu. Saya akan tinggalkan borang tuntutan saya di sini. Puan buatlah apa-apa dengannya".

Beberapa hari kemudian, saya menerima telefon dari MPS. Pemanggil memberitahu permohonan tuntutan perjalanan saya dengan memandu sendiri diluluskan. Ini juga bermakna jika semasa kerja dulu saya sering menjadi pegawai MPS pertama memulakan apa-apa perubahan, semasa bersara pun saya  bertabiat begitu. Saya pun menyebarkan berita ini kepada seberapa ramai pesara MPS yang boleh. 

Bersambung....

No comments: