Tuesday, April 28, 2020

Bermain di padang tidak sama rata - Episod 9 (Ke Japan dan balik)



BERJAYA JUGA BELAJAR DI LUAR NEGARA


Akhirnya cita-cita saya untuk 'belajar' di luar negara tercapai juga, walau pun tempohnya hanya enam minggu. Yang manisnya ia berlaku di umur saya 54 tahun dan cuma setahun setengah belum saya bersara. Untuk mengetahui pengalaman saya di sana sila klik di bawah.

  1. Kenangan di Japan Bahagian 1
  2. Kenangan di Japan Bahagian 2
  3. Kenangan di Japan Bahagian 3
Selain dari apa yang saya dapat semasa latihan, saya belajar satu perkara di Japan. Kawan sama latihan saya seorang permpuan Cina dari Pekan, Pahang mengumpul sikat dan berus gigi yang dibekalkan oleh pihak hotel. Selama lima minggu di Fukuoka dia memungut 35 unit tiap-tiap satu. Saya tanya kenapa? Jawabnya untuk dijadikan cenderamata untuk kawan-kawannya di Malaysia nanti. 

Saya pun sempat memungut sebanyak 20 sikat dan berus gigi. Kemudian saya beli 3 tali leher dan beberapa cenderamata untuk anak-anak saya. Anak bongsu saya Anis meminta saya belikan satu cenderamata untuk cikgunya kerana cikgunya itu sering bertanya bila saya hendak balik dari Jepun. Untuk itu saya belikan satu piring 'melamine' yang ada tulisan jepun.

Apabila mula bekerja semula (setelah ponteng beberapa hari) saya berikan  tali leher itu kepada bos saya Y, SU dan YDP MPS. Sikat dan berus gigi saya berikan kepada kawan-kawan pejabat. Betul seperti kata kawan saya dari Pekan itu. Mereka cukup gembira mendapat cenderamata dari Jepun, tidak kira semurah mana.

Semasa saya berjumpa SU untuk menyerahkan tali lehernya, dia terus bawa saya berjumpa YDP. Rupa-rupanya YDP hendak berpindah semula ke jabatan lamanya iaitu Jabatan Perancang Bandar dan Desa. Ini kerana dia tidak tahan bekerja di MPS, oleh itu dialah Timbalan YDP atau YDP yang paling singkat tempohnya berkhidmat dengan MPS, iaitu lebih kurang setahun sahaja. 

Saya tidak pernah bertanya lanjut, tetapi saya tahu J tidak selesa bekerja di bawah Menteri Besar baru yang dipanggil Tok Mat itu. J kemudiannya diganti oleh Dato' H. 

Tetapi saya tidak boleh melupakan jasa J menghantar saya ke Japan. Itu pun setelah bos saya Y tidak meneliti surat tawaran dari JPA yang mensyaratkan kos tiket terbang perjalanan saya ke Japan ditanggung oleh MPS. Jika Y terpandang syarat itu mungkin dia menasihatkan J tentang dasar MPS tidak membenarkan mana-mana pegawai berkursus di luar negara jika melibatkan duit MPS.


KERJA SEMULA SELEPAS BERSARA

Saya bersara secara rasmi pada 3 Januari 2006 bila umur saya tepat 56 tahun. Tetapi sebelum itu bos saya Y berjanji akan mengambil saya bekerja semula sebagai pekerja kontrak. Tempoh kontrak saya ialah selama empat tahun sehingga 3 Januari 2020 bila saya mencapai umur 60 tahun.

Sekarang saya selalu berkata kepada pegawai-pegawai kerajaan bahawa saya pun merasa bekerja hingga 60 tahun. Bezanya ialah di empat tahun terakhir saya menerima gaji dan pencen. 

Sebenarnya pencen saya mula dibayar hanya enam bulan selepas saya bersara. Ini kerana dua sebab. Sebab pertama ialah beberapa bulan sebelum bersara jawatan saya telah dinaik taraf oleh kerajaan. Ini menyebabkan gaji akhir saya berubah. Oleh itu MPS terpaksa meminda angka gaji yang telah dihantar ke JPA Pencen. 

Kemudian perkhidmatan lama di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga diambil kira untuk kiraan pencen. Ini memaksa MPS berhubung dengan KKM dan KWSP.


SAYA NAK MAKAN APA?

Akhirnya saya menalipon JPA Pencen dan mereka menjawab KWSP belum menghantar maklumat yang mereka minta. Saya tidak ada pilihan dari memanjat pejabat KWSP di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Di pejabat KWSP mereka membuka fail saya dan mendapati mereka masih ada tempoh untuk menjawab surat JPA Pencen itu (JPA beri mereka tempoh 2 bulan). Saya terus menjawab "Tuan, saya sudah bersara beberapa bulan, saya nak makan apa?" . Saya tidak menceritakan yang saya sedang bekerja (dan mencarum untuk KWSP sekali lagi). Mereka minta saya tunggu sekejap.

Akhirnya setelah menunggu dalam setengah jam mereka berkata semua sudah selesai. Mereka sudah email maklumat kepada JPA Pencen dan memberi saya satu salinan. Kerja dua bulan selesai dalam setengah jam.


DUIT TABUNG HAJI KOSONG

Saya cemas kerana dua perkara. Pertama saya sudah membayar deposit untuk membeli rumah saya sekarang. Kedua duit simpanan saya seperti koperasi, insurans, ASB dan Tabung Haji sudah habis saya keluarkan untuk deposit itu. Pemaju perumahan pula asyik menalipon saya bila nak bayar baki harga rumah, kerana saya telah berjanji membeli rumah ini secara tunai.

Akhirnya pencen pun mula dibayar bersama ganjaran. Saya pun selesai membeli rumah baru secara tunai. Masalah seterusnya ialah duit di Tabung Haji sudah kosong.

Saya pun buat keputusan nekad memotong duit gaji saya sebanyak RM 2,000 sebulan untuk dibayar ke Tabung Haji. Seribu untuk akaun saya dan seribu lagi untuk akaun isteri saya. Sementara itu saya hidup dengan duit pencen dan baki gaji. 


TERIMA KASIH KEPADA Y

Akhirnya dalam pada saya marah kepada bos saya Y kerana memberi saya padang tidak sama rata, saya berterima kasih kepadanya. Jika tidak kerana dia menawarkan saya supaya bekerja semula setelah bersara, mungkin saya tidak dapat mengerjakan Fardu Haji. Kalau dapat pun mungkin saya tidak dapat membeli rumah sekarang.

Bersambung.....

No comments: