Tuesday, April 28, 2020

Bermain di padang tidak sama rata - Episod 10 (Saya bukan Pegawai Kerajaan)


BEKERJA SELEPAS BERSARA


Semasa saya berumur 55 tahun enam bulan saya merasa panik. Saya akan bersara enam bulan lagi tetapi saya betul-betul belum bersedia. Saya tinggal di Taman Paroi Jaya sejak tahun 1978 dan saya perhatikan mereka yang duduk berehat selepas bersara ramai yang meninggal dunia beberapa tahun selepas itu. Ada yang meninggal dunia di tahun pertama persaraan mereka.

Sedangkan yang bekerja semula, seperti membawa teksi atau aktif dalam kerja-kerja amal seperti menjadi siak masjid, hidup sihat. Soalnya apakah kerja yang boleh saya buat atau di badan manakah saya hendak membuat kerja amal?

Tiba-tiba bos saya Y meminta saya terus bekerja selama empat tahun lagi sehingga saya berumur  60 tahun. Maka bermulalah tempoh yang paling melegakan dalam hidup saya. Ini kerana saya tidak merasa apa-apa tekanan dalam tempoh tersebut. Saya sudah berniat, jika  ditekan dalam kerja, saya akan mengugut untuk berhenti kerja. Alhamdulillah ugutan itu tidak timbul langsung.

Di tempoh bersara itu juga saya mengerjakan Haji. Saya sudah bersedia jika permohonan Cuti Haji saya tidak diluluskan, saya akan mengambil Cuti Tanpa Gaji. Alhamdulillah sekali lagi, Cuti Haji saya diluluskan.


DIA MAHU TERUS BERSARA

Setahun setelah saya bersara dan bekerja semula, giliran kawan sekerja saya R pula bersara. Dia pun ditawarkan untuk bekerja semula, tetapi menolak. Tetapi saya tahu sebabnya ialah dia berasa malu.

Tidak berapa lama setelah saya merajuk kerana diketepikan semasa naik pangkat, Y mula memanggil saya untuk perbincanghan empat mata semula dan R juga diberi tugas-tugas yang sama dengan mereka yang memanggilnya 'atuk'.

Tiap-tiap orang dari kami diberi sebuah kamera digital dan komputer. Tetapi R tidak pernah menggunakan komputernya. Sebagai seorang yang minat dalam fotografi, saya juga tahu R tidak pandai mengambil gambar. Malah 'cucu-cucu'nya yang memindahkan gambar-gambar dari kamera ke komputer.

Yang melucukan saya ialah R pernah mengambil gambar atas gambar, sedangkan jika ia ingin 'menipu' begini dia boleh menggunakan 'scanner'. Syukurlah pekara ini tidak disedari oleh penonton gambar itu semasa ia ditayangkan di skrin besar di bilik mesyuarat. Sekali lagi saya yang minat fotografi ini dapat membezakan antara gambar atas gambar dengan gambar asli.

R masuk hospital tidak berapa lama selepas bersara. Selain itu di tiga tahun terakhir saya bekerja di MPS, R terus hilang dari ingatan saya.


PRU 12  

Sekali lagi saya ditawarkan menjadi Ketua Tempat Mengundi di PRU 12 pada tahun 2008. Kali ini Y tidak terlibat langsung dengan PRU, tetapi dia melepaskan saya. Seorang Pengarah MPS lain menjadi Pembantu Pilihanraya, iaitu jawatan yang pernah saya pegang di PRU 8 pada tahun 1990. Kali ini saya diturunkan pangkat untuk menjaga Saluran 5 iaitu saluran terakhir di Pusat Mengundi di Sekolah Kebangsaan Ampangan.

Saluran terakhir ini cukup berbeza dengan Saluran 1. Ia untuk mereka yang baru mendaftar mengundi dan sudah tentu muda-muda belaka dan cukup bersemangat untuk mengundi. Tetapi Saluran ini tidak kurang dengan kontroversinya.

Pertama, seorang wakil calon dari Wanita UMNO cuba hendak menonjolkan dirinya. Mula-mula dia  memakai kain merah dan baju putih iaitu warna UMNO. Kemudian semasa hendak mengira undi dia sama-sama duduk hendak mengira. Dia dah biasa buat ini, katanya. Saya arahkan dia duduk di meja wakil, jika tidak saya akan minta Polis membawanya keluar.

Kedua, wakil calon PKR minta tandatangan Borang 14 (Borang Keputusan Undi) sebelum tamat undi. Katanya kawan-kawannya di Pusat lain sudah tandatangan. Saya jawab saya boleh benarkan dia tandatangan, tetapi ini bemakna dia bersetuju dengan apa-apa data yang saya masukkan di borang itu nanti. Dia tak jadi tanda tangan awal.

Ketiga seorang pengundi muda sengaja melipat kertas undi secara terbalik sebelum memasukkannya ke kotak undi. Ini bermakna undinya tidak sulit lagi. Seorang kerani cuba menegurnya, tetapi saya kata biarkan dia.


KERJA BANCI TAHUN 2010

Saya tidak menganggur lama selepas bersara kali kedua pada awal tahun 2020. Saya ditawarkan menjadi Penyelia Banci di BANCI NEGARA 2010, cuma kawasan jagaan saya ialah di Nilai. Tetapi di sini pun ada sedikit kecoh melibatkan saya. Jabatan Perangkaan pada mulanya meletakkan saya sebagai Pegawai Kerajaan yang hanya dibayar elaun. Akibatnya gaji saya (sebagai pekerja swasta) lewat di bayar di bulan pertama.

Gaji pekerja swasta dibayar lebih dari elaun yang dibayar kepada Pegawai Kerajaan. Saya sindir mereka dengan mengatakan "Tuan-tuan bekerja dengan nombor hari-hari. Tentu dengan melihat nombor MyKad saya tuan-tuan boleh tahu saya sudah berumur 60 tahun lebih. Mana ada pegawai kerajaan yang berumur lebih 60 tahun?" 

(Banci dijalankan sepuluh tahun sekali. Dari itu sepatutnya di tahun 2020 ada sekali lagi BANCI NEGARA. Tidak tahulah jika ada banci pada tahun ini memandangkan keadaan Covid-19 sekarang)

Bersambung.......

No comments: