Saturday, April 25, 2020

Bermain di padang tidak sama rata - Episod 5 (Lulus periksa walau pun tidak pergi berkursus)


OH, DIA DIHANTAR BERKURSUS RUPANYA.


Misteri  kenapa R tergesa-gesa meninggalkan pejabat sebaik sahaja habis waktu kerja terjawab bila saya pergi menyiasat di Bahagian Perkhidmatan dan Personnel MPS. Rupa-rupanya Persatuan Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik, iaitu satu NGO, menganjurkan satu kursus di Institut Tadbir Awam Negara, Jalan Elmu, Petaling Jaya, Selangor. 

Tujuan kursus ialah menolong mereka yang akan menduduki Peperiksaan Am Kerajaan. Oleh kerana ini bukan satu kursus anjuran mana-mana badan kerajaan, ia diadakan selepas waktu pejabat. Setiap peserta dikehendaki membayar kepada tabung NGO tersebut.

PILIH KASIH

Inilah satu contoh di mana Y telah mengamalkan pilih kasih secara terbuka. Surat NGO tersebut tidak menghadkan berapa peserta dari MPS yang boleh diterima. Mereka hendak mengisi tabung, jadi lebih ramai peserta lebih menguntungkan mereka atas dasar menang menang.

Jadi kenapa Y memberitahu R seorang sahaja? Sedangkan kalau dihantar empat orang contohnya, kami boleh bertukar-tukar kongsi kereta untuk pergi ke Petaling Jaya dan balik. Dalam hal ini R terpaksa memandu seorang dalam tempoh kursus tersebut.

APA TUJUANNYA?

Tujuan Y ialah untuk membantu R lulus dalam Peperiksaan Am Kerajaan akan datang. Bila saya melihat jadual peperiksaan, saya dapati R sudah mendaftar untuk peperiksaan itu. Ini semua atas rancangan Y untuk menaikkan pangkat R bila lulus periksa nanti.

Seperti yang saya kata sebelum ini, R bukan kawan saya sebenar. Jadi tidak hairan jika dia merahsiakan dari saya pemergiannya ke Kuala Lumpur tiap-tiap hari selepas habis kerja. 

DARI 'THE GODFATHER' KEPADA 'NEGARA KITA'.

Saya panik seketika, tetapi walau pun sudah jelas saya sedang bermain di padang yang tidak rata, saya tidak akan memberi R yang dibantu oleh Y untuk menang begitu mudah, apa lagi kemenangan percuma atau 'walkover'. Saya terus mendaftar sama untuk peperiksaan akan datang.

N sudah meninggalkan MPS dan dia tidak dapat menolong R lagi. Bos baru H jelas tidak memihak kepada sesiapa.

Kemudian saya pergi ke Pejabat Kesihatan Seremban untuk cuba bertanya bagaimana hendak lulus peperiksaan itu. Kawan-kawan saya di situ yang kebanyakannya sudah lulus periksa menjawab saya cuma perlu membaca sebuah buku yang bertajuk NEGARA KITA untuk lulus.

Saya pun beli buku tersebut dan membacanya siang dan malam, termasuk mencuri membaca di pejabat. Saya terpaksa mengalih perhatian dari membaca novel seperti The Godfather kepada buku maklumat yang membosankan itu. 

PERIKSA DI SEKOLAH

Apabila tiba tarikh periksa saya pun pergi ke Sekolah Menengah KGV di Jalan Zaaba, Seremban. Saya lihat R datang dengan bertali leher. Saya tidak tahu sama ada pihak JPA ada memberi markah bonus untuk mereka yang berpakaian begitu. Kalau ada, tentu R diarah buat begitu oleh Y atau NGO yang memberikannya kursus itu.

Saya antara mereka yang paling awal meninggalkan dewan peperiksaan, sedangkan R dan ramai yang lain masih menulis. Saya tahu saya sudah lulus dan peperiksaan ini tidak memerlukan markah kepujian dan sebagainya. Keputusan sama ada lulus atau gagal.

TEMUDUGA NAIK PANGKAT 

Tidak lama selepas periksa, keputusan pun keluar. Saya dan R sama-sama lulus. Cuma saya merasa sedikit puas kerana lulus tanpa menghadiri apa-apa kursus. Modal saya cuma harga buku NEGARA KITA berharga RM 12 di masa itu. Buku itu kemudian yang saya hadiahkan kepada seorang junior saya. Buat apa saya simpan buku yang membosankan itu.

R sudah tentu sudah berbelanja beratus ringgit untuk yuran kursus, minyak kereta dan tol. Mungkin buku NEGARA KITA termasuk dalam pakej kursus.

Tidak lama selepas keputusan periksa keluar, betul seperti jangkaan saya iaitu kami berdua dipanggil untuk temuduga naik pangkat.

Bersambung....... 

No comments: