Wednesday, April 8, 2020

Adakah saya termasuk dalam sub-kluster Rembau?

Kami bermesyuarat di Kg. Pilin, Rembau pada 13 Mac 2020. Seorang dari kami disahkan positif Covid-19 dan sedang dirawat.


Adakah saya termasuk dalam sub-kluster ini?

Bila Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah di taklimat hariannya pada petang 8 April 2020 menyatakan ada satu sub-kluster Covid-19 di Daerah Rembau, Negeri Sembilan, saya terus menghubungi kawan-kawan pesara saya di Rembau. Ini kerana pada Hari Jumaat 13 Mac 2020, Jawatankuasa Persatuan Pesara saya Cawangan Daerah Rembau telah mengadakan satu mesyuarat di Kg. Pilin. Kes terbanyak di sub-kluster Rembau terdapat di Kg. Pilin dengan 11 kes. Saya turut hadir di mesyuarat itu.

Saya mendapat jawapan bahawa seorang dari Ahli Jawatankuasa yang hadir di Mesyuarat itu positif Covid-19 dan sedang dirawat di Hospital Rembau. Anak dan cucunya juga didapati positif. Dia mendapat jangkitan di masjid kampung tersebut kerana seorang imam masjid hadir di satu mesyuarat di satu sekolah di Rembau sebelumnya. Hadir di mesyuarat sekolah tersebut ialah seorang peserta perhimpunan Tabligh di Seri Petaling, Selangor pada penghujung bulan Februari 2020 hingga awal Mac 2020.

Saya ingat bersalam dengan semua ahli jawatankuasa lelaki di mesyuarat tersebut. Saya juga ingat terus mandi bila sampai ke rumah selepas mesyuarat itu kerana waktu hampir Maghrib. Setakat ini saya tidak menunjukkan apa-apa simptom Covid-19. Selain dari kawan yang positif dan sedang dirawat itu, kawan-kawan saya yang lain juga tidak menunjukkan apa-apa simptom penyakit itu. Isteri saya di rumah pun tidak menunjukkan apa-apa simptom.

Tetapi saya tidak boleh berdiam diri. Pagi esok saya dan isteri akan pergi ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk menjalani ujian Covid-19.

No comments: