Wednesday, April 15, 2020

CEGAH SEBELUM PARAH

Makan berkongsi dulang.

Saya tertarik bila Tan Sri Mahyuddin Yassin, Perdana Menteri menyarankan supaya kita mengubah amalan biasa kita. Contohnya  kita tidak berjabat tangan lagi, memadai dengan mengucap salam sambil meletak tangan di dada. 


A. MAKAN BERKONGSI DULANG.

Berpuluh tahun lalu bila saya tinggal berdekatan dengan biras saya, dia sering menjemput kawan-kawan ke rumahnya pada waktu malam untuk satu majlis ilmu yang dipanggil 'usrah'. Pada mulanya saya turut sama, kemudian tidak lagi. 

Kenapa saya tidak datang lagi? Sebab di akhir majlis tetamu akan dihidangkan makanan yang dimakan bersama dalam satu dulang. Pinggan, piring atau sudu tidak disediakan. Dari itu tetamu akan mengambil makanan dan memakannya sekali menggunakan tangan. 

Sebagai seorang yang terlatih sebagai Inspektor Kesihatan atau Health Inspector, saya tahu makan cara itu boleh membawa jangkitan penyakit. Air liur atau 'saliva' boleh berpindah dari satu mulut ke mulut yang lain. 

Untuk menjaga hati tuan rumah, saya tidak membantah atau menegur secara terbuka. Tetapi saya beritahu isteri saya bahawa saya tidak akan lagi datang ke majlis 'usrah' di rumah kakaknya selagi makanan dihidang secara berkongsi dulang.

Sejak itu saya tidak makan berkongsi dulang lagi sehinggalah bulan Ramadan tahun lepas. Itu pun saya tidak diberitahu awal-awal lagi cara hidangan makanan. Majlis ialah  pemberian sumbangan untuk murid-murid miskin di sekolah lama saya, Sekolah Dato' Abdul Razak atau SDAR di Sungai Gadut, Seremban supaya mereka dapat merayakan Hari Raya Aidilfitri seperti kawan-kawan mereka yang lain.

Saya tidak faham kenapa pihak penganjur bersama iaitu Alumni sekolah di mana saya seorang ahli biasa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengadakan majlis makan begitu dan tidak seperti tahun-tahun sebelumnya. Syukurlah besar kemungkinan majlis yang sama tidak akan diadakan pada tahun ini.

Kita semua tahu dunia sekarang menghadapi serangan penyakit Covid-19. Di Malaysia pula kumpulan yang paling ramai terkena jangkitan dan meninggal dunia akibat penyakit ini ialah mereka yang menghadiri  Ijtimak Tabligh di satu masjid di Seri Petaling, Selangor pada 27 Februari hingga 1 Mac 2020.

Saya mungkin salah dan jika begitu saya minta maaf. Tetapi saya percaya jemaah di majlis itu makan secara berkongsi dulang tanpa pinggan, piring dan sudu. Ini selain mereka tidur berhimpit-himpit seperti jemaah Haji semasa berada di Arafah dan Mina. Itulah punca-punca penyakit itu menular antara mereka. 

Ada pihak yang membandingkan Ijtimak Tabligh itu dengan perlawanan bolasepak di beberapa stadium di seluruh Malaysia di masa yang sama. Tetapi penonton bolasepak ini tidak makan berkongsi dulang atau tidur berhimpit.  


B. GUNA SUDU YANG SAMA UNTUK MAKAN DAN AMBIL LAUK PAUK.

Pembaca yang sering ke restoran-restoran Tom Yam yang berselerak di Malaysia tentu tahu akan cara mereka menghidangkan makanan kepada kita. Mereka tidak menyediakan sudu khas untuk lauk pauk yang kita pesan. Kita terpaksa mengambil lauk pauk menggunakan sudu yang sama kita gunakan untuk menyuap makanan ke mulut kita.  

Sekali lagi ini kaedah jangkitan penyakit yang cukup senang. Air liur atau 'saliva' dari mulut seorang tetamu akan berpindah ke lauk. Kemudian tetamu lain akan 'minum' air liur yang sudah bercampur dengan lauk yang sama.

Bila ke restoran Tom Yam walaupun dengan isteri atau keluarga, saya tetap meminta sudu berasingan untuk lauk pauk. Biasanya saya akan diberi sudu yang sudah dibalut bersama garfu dan kertas tisu. Ini membuktikan restoran-restoran Tom Yam tidak menyediakan sudu khas untuk lauk pauk.


Itu dia pembaca semua, dua cara bagaimana penyakit senang berjangkit dari seorang ke seorang. Dari itu, seperti kata YAB Perdana Menteri kita, ubahlah cara hidup kita.

Pertama, elakkan makan berkongsi dulang tanpa piring, pinggan dan sudu. 

Kedua, elakkan guna sudu atau garfu yang kita guna untuk menyuap makanan ke mulut untuk mengambil makanan di atas meja.  

No comments: