Friday, April 24, 2020

Bermain di padang tidak sama rata - Episod 2 (Zaman Gelap).

ADAKAH SUKA BEKERJA DENGAN SAYA?

Sejak penubuhannya pada tahun 1979 Ketua Eksekutif MPS dipinjamkan dari Kerajaan Pusat. Saya akan merujuk Timbalan Yang DiPertua (TYDP) pertama MPS sebagai N sahaja. Saya masih ingat kali pertama saya berjumpa dia ialah dalam satu operasi yang saya ketuai  dan dia turut sama sebagai pemerhati. Soalan pertamanya ialah adakah saya suka bekerja dengan MBS dan MPS selama ini.

Tentulah saya suka, jika tidak kenapa saya sanggup meninggalkan Kementerian Kesihatan di mana peluang naik pangkat adalah lebih cerah dibandingkan dengan di MPS. Saya berfikiran begitu memandangkan ramai lagi kawan-kawan saya di MPS yang lebih senior walaupun mereka bukan Melayu.

Rupa-rupanya beberapa pegawai Melayu di MPS (bukan kawan sekerja saya) telah berjumpa dengan N dan menceritakan ketidakpuasan hati mereka. Sudah tentu mereka juga bercerita yang saya ini tidak ada 'semangat Melayu'.

Dalam pada itu beberapa jawatan dan jabatan baru diujudkan di MPS dan kebanyakannya diisi oleh orang Melayu. Diantaranya ialah seorang Penolong Setiausaha yang saya panggil Y di sini. Oleh kerana jawatan Setiausaha dibiarkan kosong, Y sebenarnya memangku jawatan itu.

PEGAWAI YANG RASIS

Y ialah seorang rasis. Sebutan 'pendatang' dan 'bangsa asing' tidak asing baginya. Sebelum di MPS Y bekerja di Jabatan Perdana Menteri di Kuala Lumpur. Kali pertama berjumpa saya dia telah menyatakan rancangan pertamanya untuk MPS. Dia hendak menjahanamkan pegawai-pegawai bukan Melayu di MPS dan dia mahu saya menolongnya dalam usaha tersebut. Tumpuan pertamanya ialah kawan-kawan sekerja saya. Sebagai balasan saya akan diberi laluan senang untuk dinaikkan pangkat.

Sudah tentu Y juga sudah ditemui oleh pegawai-pegawai Melayu yang saya ceitakan itu. Tetapi dengan tegas saya katakan kepada Y saya tidak akan mengkhianati kawan-kawan sekerja saya. Dalam perkataan lain 'I won't rat  my own buddies'.

Rupa-rupanya Y ini berasal dari tempat yang sama dengan kawan sekerja saya R walau pun tidak sebenarnya sekampung. Malah mereka pernah tinggal se rumah di Seremban semasa R mula-mula bekerja di MBS dan Y masih bersekolah di Tingkatan 6.

TIDAK BOLEH DIHARAP

Sudah tentu Y juga menceritakan kepada R akan rancangannya seperti apa yang diminta dari saya. Sudah tentu juga Y meminta R menolongnya kerana 'Maarof tidak boleh diharap'.

Saya sedar R menghadapi delimma selepas itu. Dia bukan seorang rasis seperti Y, tetapi dia juga tidak boleh menolak begitu saja permintaan kawan lamanya itu.


DIPANDANG SERONG

Segala maklumat yang didapati oleh Y disampaikan kepada N, termasuk pandangannya terhadap saya. Dari situlah mulanya pandangan serong N kepada kawan-kawan sekerja saya termasuk saya sendiri. Bermulalah zaman gelap kami yang diketahui di seluruh Malaysia.

Saya berkata begitu kerana pernah berjumpa dengan seorang ketua lama saya di Kementerian Kesihatan. Dia bertanya adakah N masih memandang serong kepada kawan-kawan sekerja saya di MPS. Saya jawab ya, masih.

Salah satu contoh pendangan serong N kepada kami ialah kami tidak diberi peluang untuk menyertai apa-apa kursus atau seminar yang dianjurkan oleh badan-badan seperti Kemeterian Kesihatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Institut Tadbir Awam Negara (INTAN).

Malah pernah ada satu seminar yang dianjurkan oleh KPKT berkenaan Kesihatan di Port Dickson. Semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Malaysia menghantar wakil, melainkan Majlis Perbandaran Seremban.

Bersambung......

No comments: