MAJLIS BANDARAN SEREMBAN.
Saya memasuki Majlis Bandaran Seremban (MBS) pada tahun 1973 setelah bekerja dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selama empat tahun.
Di masa itu pegawai-pegawai Melayu di MBS adalah kumpulan minoriti. Malah Ketua Eksekutif MBS yang digelar Setiausaha ialah seorang bukan Melayu. Tetapi saya langsung tidak merasa ditindas dan sebagainya. Istilah 'bermain di padang tidak sama rata' dengan kawan-kawan saya yang bukan Melayu tidak timbul. Perasaan itu hanya saya alami beberapa tahun kemudian antara saya dengan seorang kawan sekerja saya berbangsa Melayu.
Saya perhatikan pegawai-pegawai Melayu di MBS terasa diri mereka tertekan dan ada diantara mereka merasa hairan bila melihat saya tidak berperasan seperti mereka. Malah mereka pernah membawa saya pergi berjumpa dengan ahli-ahli politik untuk menolong 'perjuangan' mereka. Tetapi setelah satu perjumpaan saya tidak turut serta lagi. Ini kerana salah satu syarat 'perjuangan' mereka ialah untuk saya membelot kawan-kawan sekerja saya.
Selang beberapa tahun setelah saya bertugas di MBS seorang kawan sekerja saya berbangsa Melayu mula berkidmat dengan MBS. Seperti saya, dia juga bertugas di KKM sebelum itu. Cuma dia lama bertugas di Kelantan, sedangkan saya di sana selama satu tahun sahaja. Saya akan merujuk dia sebagai R sahaja selepas ini.
Seperti saya, R juga tidak rasis dan juga nampak selesa bekerja dengan kawan-kawan sekerja bukan Melayu. Mungkin pengalamannya lebih lama bekerja di Kelantan membuatnya begitu.
Kata orang, kita memilih kawan-kawan kita. Sudah ditakdirkan, saya tidak memilih R sebagai kawan dan R juga tidak memilih saya sebagai kawannya. Kami menjadi kawan sekerja sahaja. Saya jarang-jarang menaiki keretanya. Begitulah sebaliknya.
MAJLIS PERBANDARAN SEREMBAN.
MBS dinaiktaraf sebagai Majlis Perbandaran Seremban (MPS) pada tahun 1979. Banyaklah perubahan seperti penambahan jabatan dan staff ikutan naik taraf itu. Perubahan pertama ialah perlantikan seorang Ketua Eksekutif yang dipanggil Timbalan Yang DiPertua (TYDP). Jawatan itu dipanggil begitu kerana jawatan Yang Di Pertua dipegang oleh Menteri Besar, Negeri Sembilan.
Jawatan Ketua Eksekutif itu dipegang oleh orang Melayu sehinggalah MPS dinaiktaraf sekali lagi menjadi Majlis Bandaraya Seremban (MBS sekali lagi) pada awal tahun ini. Ketua Eksekutif sekarang dipanggil Datuk Bandar.
Dengan perlantikan seorang Melayu sebagai TYDP, beberapa kerat pegawai Melayu yang rasa tertekan selama ini mendekati beliau. Tidak hairanlah soalan pertama TYDP ini kepada saya ialah adakah saya merasa senang hati bekerja dengan MBS selama ini dan sekarang MPS. Kemudian dia memberi kiasan supaya kita membaiki keadaan sekarang, jika tidak anak cucu kita akan menyalahkan kita.
Saya tidak faham apa maksud TYDP pertama MPS itu sehinga beberapa bulan kemudian.
Bersambung...........
No comments:
Post a Comment