Monday, June 8, 2009

Melawat Sekolah Lama, Bahagian 2 - Tanjong Malim

Sehingga hari ini jika saya berjalan di pekan Kuala Klawang, Jelebu kebanyakan orang tidak mengenali saya. Saya sendiri pun tidak mengenali kebanyakan orang di sana. Ini ialah kerana saya tidak menikmati zaman remaja atau belasan tahun saya di sana. Sebagai contoh saya tidak pernah memasuki panggung wayang di pekan tersebut.

Cuma sekali semasa saya sedang menganggur mencari kerja saya mengikut kawan-kawan kampung saya untuk melihat satu pesta ria atau 'fun fair' di pekan tersebut di mana A. Ramlie menjadi artis jemputan.

Sebab utama juga di jawab di gambar-gambar berikut. Pada 4 Jun 2009 yang lepas saya melawati kembali pekan di mana saya menikmati zaman remaja saya. Saya datang dengan keretapi dari Seremban ke Tanjong Malim dan disana saya berjalan kaki seperti yang saya lakukan dengan kawan-kawan lebih dari 42 tahun yang lalu.

Saya minta maaf kerana gambar-gambar tidak tersusun mengikut kronologi saya di sana.





Pekan Tanjong Malim ialah pekan paling selatan dalam negeri Perak terletak di tebing Sungai Bernam yang memisahkan negeri Perak dengan Selangor. Tidak hairanlah jika negeri Perak mengucapkan Selamat Datang kepada kita melalui struktur ini.




'Roundabout' ini dahulu tiada. Sebenarnya ia baharu sahaja diadakan beberapa tahun yang lalu kerana projek landasan berkembar Keretapi Tanah Melayu atau KTM telah memisahkan pekan ini dengan bahagian utaranya. Saya ambil gambar ini dari jambatan jalan kaki yang melintasi landasan berkembar ini. Di masa saya di sana dulu di tapak di mana terdapat kereta-kereta itu ialah stesen minyak Caltex. Setahu saya juga itulah satu-satunya stesen minyak yang terdapat di pekan ini. Sila lihat juga laluan motosikal merentasi landasan di sebelah kiri atas gambar.


Dalam tahun enam puluhan dulu inilah jalan utama menuju ke utara melalui pekan Tanjong Malim. Masalah landasan keretapi memaksa kerajaan persekutuan membina jalan baru meninggalkan pekan Tanjung Malim pada tahun tujuh puluhan. Sekarang sekali lagi jalan ini ditinggalkan ekoran projek landasan berkembar KTM. Bangunan yang nampak di sebelah kiri ialah Balai Polis Tg. Malim.



Terima kasih kepada KTM kerana tidak menurunkan papan nama stesen keretapi lama yang bertulis TANJONG MALIM ini. Bangunan beratap zink di belakang itu ialah stesen keretapi lama Tg. Malim. Landasan juga sudah dinaikkan setinggi lebih satu meter.



Ini Perhentian Bas Tg. Malim yang menggantikan stesen lama di sebelah timur pekan. Sayang sekali pihak berkuasa tidak memikirkan pengguna keretapi semasa memindahkan stesen tersebut. Ini kerana Perhentian ini terletak betul-betul dihujung selatan pekan sedangkan stesen KTM di hujung utara. Jarak antara mereka pada anggaran saya ialah 600 meter. Dulu hanya 300 meter.





Ini satu tapak nostalgia bagi saya dan kawan-kawan. Betul-betul di tapak kereta hitam itu ada sebuah gerai majalah yang diusahakan seorang India Muslim. Di situlah kami membaca dan kadang-kadang membeli majalah komik Beano, Dandy dan Topper. Saya pula kadang-kadang membeli majalah Life dan Readers's Digest di sini.





Ini bangunan baru. Junior saya MNY walau pun tidak bersekolah di Tg. Malim ada sebab untuk datang ke pekan ini.



Jalan Loke Yew iaitu cabang dari jalan utama. Inilah jalan ke satu-satunya panggung wayang di pekan ini dulu.



Kedai bertulis Avon itu mempunyai sejarah sendiri. Itulah kedai asal pau ternama Tanjong Malim iaitu Pau Yik Mun. Di sinilah dahulu orang-orang kenamaan dan artis-artis berhenti minum dalam perjalanan mereka ke utara dan selatan. Kawan-kawan saya pernah nampak P.Ramlee dan menteri-menteri di sini. Pau Yik Mun sudah berpindah ke premis baru sebelah Laluan Persekutuan 1 di utara Tanjong Malim.



Ini dia Stesen KTM baru dengan ejaan salah TANJUNG MALIM. Ia jauh 100 lebih sedikit dari stesen lama. Pintu masuk utama juga di ubah dari selatan ke utara mengadap Jalan Ketoyong yang semasa dulu ialah satu jalan sunyi. Untuk penumpang yang datang pari pekan Tg. Malim disediakan juga satu pintu masuk kecil sedikit di sebelah selatan dan sederet dengan stesen lama. Oleh itu setahu saya inilah satu-satunya stesen keretapi di Malaysia yang mempunyai dua pintu masuk.
Satu lagi pandangan Stesen KTM Tg. Malim.



Sekarang Stesen KTM Tg. Malim mempunyai tiga landasan sama seperti Seremban.


Jambatan jalan kaki di melintasi landasan berkembar. Bangunan besar itu ialah ibusawat Telekom. Di masa saya dulu Pejabat Pos terletak di situ. Di Pejabat Pos itu juga saya membuka akaun simpanan saya yang pertama. Akaun itu telah berhijrah kepada akaun Bank Simpanan Nasional dan masih aktif sekarang.
Sekarang Pejabat Pos sudah berpindah ke Jalan Ketoyong berhadapan dengan Stesen KTM yang baru. Keadaan ini sama seperti di Seremban. Dari papan tanda saya dapati Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim pun sudah berpindah ke Jalan Ketoyong dari sebelah Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) dulu. Nampaknya Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bukan sahaja merangkumi sekolah menengah lama saya tetapi sekolah rendah juga.


Kalau ada yang tak tahu Tanjong Malim terletak dalam Daerah Batang Padang, Perak yang berpusat di Tapah.



Ini pandangan di luar pejabat Ketua Stesen Keretapi lama. Di sinilah saya menunggu keretapi dulu untuk balik ke Negeri Sembilan.


Pandangan stesen baru dari stesen lama. Di sini juga saya menunggu keretapi dulu. Perhatikan landasan telah dinaikkan satu meter lebih. Kenapa saya tak tahu.


Stesen keretapi lama. Nampak juga pintu kedua stesen baru di belakang. Saya harap KTM memelihara bangunan ini.



Platform satu dan dua Stesen Keretapi Tanjong Malim.



Inilah jambatan yang terpaksa dibina akibat projek landasan berkembar. Situasi yang sama terdapat di pekan Labu, Negeri Sembilan.



Stesen Tg. Malim sudah tentu agak sibuk sekarang. Perhatikan juga jalan-jalan raya di kiri kanan landasan ini.



Pandangan Masjid Jamik Tg. Malim dari jambatan jalan kaki melintasi landasan keretapi. Mana saya boleh lupa Masjid ini. Kami bersolat Jumaat tiap-tiap minggu di sini semasa sekolah.


Dahulu jalan ini menghubungi pekan Tg. Malim dengan bahagian utara. Sekarang sudah ditutup.


Yang lama dan yang baru.


Pandangan Masjid Jamik Tg. Malim dari aras jalan. Saya harap Masjid ini dipelihara dan tidak dipindahkan.



Di mana jalan utama menyimpang ke Jalan Maktab. Insya Allah saya akan ceritakan mengenai Jalan Maktab nanti.



Inilah bekas Panggung Rex Tg. Malim yang sudah tidak digunakan lagi. Ia menjadi mangsa kepada kemajuan. Di sinilah dahulu saya menikmati filem-filem P.Ramlee dan James Bond lakunan Sean Connery. Hurup 'E' dari 'REX' telah hilang.


Satu lagi pandangan bekas panggung Rex. Kawan-kawan Kelantan saya menyebutnya Panggung R E pangkoh (X).


Ia telah dinaiki pokok sekarang. Sekurang-kurangnya Panggung Rex di Seremban menjadi gedung pakaian.



Jambatan menghubungi negeri Perak dengan Selangor. Juga menghubungi pekan Tanjong Malim dengan Ulu Bernam.


Sungai Bernam masih jernih seperti dulu. Saya pernah mandi di sungai ini, tapi di bahagian hulu.



Bangunan ini dulu ialah panggung Majestic di pekan Ulu Bernam, Selangor. Kami ke Selangor hanya untuk satu tujuan iaitu menengok wayang di sini. Antara filem yang saya tontoni di sini ialah Sangam dan Hang Jebat.



Dahulu laluan ke Ipoh ialah di sebelah kanan. Sekarang di ubah ke sebelah kiri menuju jambatan melintasi landasan keretapi.


Selamat Jalan.


Bersambung ke Bahagian 3 - Sekolah Dato' Abdul Razak, Tanjong Malim.....

8 comments:

H+zizy said...

Assalamualaikum En. Maarof, salam ukhwah.

Saya amat tertarik dengan penulisan saudara. Ketika PM ke-2 (Allahyarham Tun Abdul Razak) ada datang melawat Tg. Malim, saudara telah belajar di SDAR?.. maaf, saya generasi baru yang gemar dengan sejarah tempatan :-)

maarofkassim said...

Tun Abdul Razak datang beberapa kali. Di tahun 1962 dia datang semasa saya baru masuk SDAR.

H+zizy said...

Oh begitu. Saya hanya tahu berdasarkan gambar beliau berucap merasmikan Klinik Pergigian Tg. Malim ada tercatat '19-6-1966'..

maarofkassim said...

Saya fikir Tun datang juga ke SDAR pada tarikh itu kerana Klinik Gigi itu terletak betul-betul depan SDAR.

eqim said...

tq for your information..... the picture is completely show the type of road for my assgmnt about tg malim.

Unknown said...

Assalamualaikum En. Maarof

Tertarik dengan tulisan saudara. Terutama pada kedai Avon tersebut. Kedai itu yang saya cari selama ini. Harap satu hari nanti saya dapat menjejakkan kaki ke sana.

Diet Diet Sihat said...

memang menarik gambar tuan

jemput ke MyBlogFest minggu ni
http://utama.myblogfest.com/2014/11/semua-di-jemput-hadir.html

Unknown said...

Terima kasih tuan atas info sy Cuba menjejaki pawagam lama yang tuan catatkan