Sunday, August 31, 2014

Dia sekarang bertaraf OKU.


Minggu lepas semasa saya memandu kereta seorang kawan saya yang sudah lama tidak berhubung tiba-tiba menalipon ingin berjmpa saya dalam kadar segera. Sebelum itu dia telah menalipon di rumah dan isteri saya menjawab saya sudah keluar. 

Saya mengenali Mr. L (saya tidak mahu mendedahkan identitinya sebenar kerana sebab-sebab tertentu) lebih 20 tahun yang lalu. Dia lelaki berbangsa Cina dan muda lapan tahun dari saya, sudah beristeri dan mempunyai dua orang anak, lelaki dan perempuan yang saya anggap comel belaka. Kedua-dua anaknya sekarang belajar di universiti tempatan. Saya banyak membantunya secara professional dan dia membalas dengan memberikan persahabatannya. 

Saya tidak peduli bila kawan-kawan saya mencemuh kerana berkawan dengan Mr. L. Sebab utama ialah dia 'berbangsa asing' dan kebanyakan pegawai dan kakitangan jabatan saya dulu tebal dengan sikap perkauman mereka. Saya dan Mr. L berterus terang dan telus antara satu dengan lain. Antara ketelusannya ialah mengaku menyokong sebuah parti pembangkang. Dia menyara keluarga dengan mengurus sebuah bengkel membaiki motosikal.

Antara pertolongan yang selalu dimintanya dari saya ialah menjelaskan dengan teliti surat-surat yang diterimanya dari jabatan-jabatan kerajaan walau pun dia boleh berbahasa Melayu dan Inggeris dengan baik. Di samping itu saya menolongnya membuat surat dan mengisi borang-borang bila diperlukan.

Apabila kami bertemu di satu medan selera antara rumah-rumah kami dia terus meminta saya menerangkan secara terperinci apa yang dicetak dalam satu risalah di tangannya. Risalah itu menerangkan kemudahan-kemudahan untuk seorang yang berdaftar sebagai Orang Kurang Upaya (OKU). Antaranya seorang OKU boleh mendapat passport secara percuma dan menerima elaun bulanan dari JKM. Juga diskaun jika membeli rumah dari Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan tiket keretapi setengah harga.

Akhirnya saya bertanya adakah sesiapa diantara ahli keluarganya seorang OKU, kerana setahu saya tak ada. Mr. L terus menjawab ada dan dialah OKU tersebut sambil menunjukkan Kad OKU berwarna merah jambu atau 'pink'. 

Saya tahu Mr. L ada sedikit kecacatan mata iaitu kedua-dua mata hitamnya kecil dari biasa, tetapi dia boleh melihat, membaca, menulis dan memandu kereta seperti biasa. Apa tah lagi membaiki motosikal, iaitu mata pencariannya.

Dia pernah bercerita ibunya menangis apabila dia dilahirkan kerana memikirkan anaknya itu buta. Tetapi ibu bapanya terperanjat pada satu hari melihat anak mereka mencapai satu benda. Doktor kemudian mengesahkan anak mereka, Mr L sebenarnya tidak buta.

Seorang doktor juga baru-baru ini mengsyor dan menyokong supaya Mr. L berdaftar sebagai OKU. Mengikut Mr. L doktor itu ialah seorang perempuan Melayu. Seperti saya doktor itu menolong Mr L mengisi borang permohonan menjadi OKU dan kemudian menyokongnya. Mungkin sikap doktor itu terhadap Mr L sama seperti saya tanpa memikirkan apa-apa bidang pemisah antara kami.

Dia kemudian pergi ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di mana permohonannya diluluskan, sudah tentu oleh pegawai-pegawai Melayu juga. Mengikut Mr L pegawai-pegawai JKM memujinya kerana dua perkara. Pertama dia datang bersendirian dan tidak melalui parti-parti politik yang mempunyai kepentingan lain. Kedua dia mengaku bekerja untuk menyara hidup, tidak seperti kebanyakan OKU lain yang hanya berharap kepada bantuan JKM semata-mata. 

Mr. L sangat gembira bertaraf OKU secara rasmi. Katanya dia sekarang sama taraf dengan saya, seorang pesara kerajaan, mungkin lebih dari itu kerana dia boleh meletak kereta di petak OKU tanpa apa-apa bayaran. 

Tetapi saya sedih juga kerana Mt L cuma diiktiraf sebagai OKU lewat dalam usianya (56 tahun). Ini bermakna dia telah dinafikan hak untuk begitu lama. Bayangkan berapa ribu ringgit elaun JKM yang sepatut dikterimanya jika dia didaftar lebih awal? Juga berapa puluh, mungkin ratus ringgit yang telah dikeluarkannya apabila meletak kereta di bandar Seremban?

Sekian.

Saturday, August 30, 2014

Di sini lahirnya sebuah lagu.


Saya mula mengambil perhatian kepada pencipta-pencipta lagu pada tahun 1963 apabila saya mula meminati kumpulan muzik terkenal The Beatles. Sebelum itu saya mula dikenalkan kepada lagi-lagu berbahasa Inggeris apabila saya memasuki Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR), Tanjong Malim, Perak iaitu sebuah sekolah berasrama penuh, pada tahun 1962 semasa saya berumur 12 tahun. Walau pun saya telah mendengar dan meminati lagu-lagu Elvis Presley dan Cliff Richard sebelum mengenali The Beatles saya tidak kisah langsung untuk mengetahui siapa pencipta-pencipta lagu mereka.

Saya perhatikan di bawah tajuk lagu-lagu The Beatles di rekod tertulis begini:- "(Lennon-McCartney)". Saya tahu John Lennon dan Paul McCartney adalah anggota The Beatles, jadi mula-mula saya ingatkan nama-nama mereka ditulis di bawah lagu-lagu itu kerana merekalah yang menyanyikannya. Tetapi apabila saya dapati tulisan "(Lennon-McCartney)" juga terdapat di bawah lagu-lagu nyanyian penyanyi-penyanyi lain barulah saya tahu sebenarnya John Lennon dan Paul McCartney adalah pencipta lagu-lagu tersebut. Antara penyanyi-penyanyi yang saya maksudkan ialah Peter and Gordon, Cilla Black dan Billy J Kramer.

Sebenarnya di mula kerjaya mereka The Beatles juga menyanyi lagu-lagu ciptaan pencipta lain seperti Buddy Holly, Carl Perkins dan Chuck Berry dan sudah tentu nama-nama mereka ditulis di bawah tajuk-tajuk lagu nyanyian The Beatles tersebut. Kemudian setelah The Beatles popular beratus penyanyi lain dari seluruh dunia merakam dan menyanyikan lagu-lagu ciptaan Lennon-McCartney.  

Dari lagu-lagu berbahasa Inggeris saya menumpukan perhatian pula kepada lagu-lagu Melayu dan Hindustan. Rupa-rupanya bukan semua lagu-lagu nyanyian P Ramlee adalah ciptaan P Ramlee. Semasa era lagu-lagu pop Melayu tahun 60an (saya tidak setuju ia dipanggil Pop Yeh Yeh) pencipta Salamah Basiron dan Hanimasra adalah orang yang sama. Lagu Oh Fatimah nyanyian A Ramlie dicipta oleh Salamah Basiron. Orang yang sama mencipta lagu Siti Haida nyanyian Jeffridin dengan nama Hanimasra. Pada pendengaran saya lagu-lagu terbaik Hindustan ialah ciptaan Shankar-Jaikishan.

Kenapa saya bangkitkan perkara ini? Kerana saya dapati orang-orang Malaysia amnya dan orang-orang Melayu khasnya tidak mengambil perhatian kepada siapa yang mencipta lagu-lagu yang mereka dengar hari-hari. Sebagai contoh saya pernah mempunyai satu CD lagu-lagu patriotik Melayu/Malaysia yang dikeluarkan oleh sebuah badan Kerajaan. Malangya CD itu tidak ada lagi di tangan saya kerana tidak dipulangkan oleh seorang sahabat saya yang meminjamnya. Mengikut CD itu pencipta lagu 'Malaysia Baru' ialah P Ramlee sedangkan pencipta sebenarnya ialah Kassim Masdor.

Sekarang boleh dikatakan setiap lima minit kita didendangkan dengan nyanyian Allahyarham Sudirman 'Di sini lahirnya sebuah cinta...' yang merupakan sebahagian ayat pertama sebuah lagu, sehinggakan bahagian ayat itu dijadikan tema perayaan Hari Merdeka tahun ini (2014).  Tetapi berapa ramaikah antara kita yang tahu siapa sebenarnya pencipta lagu itu? Dan berapa orang pula yang tahu tajuk lagu itu sebenarnya ialah 'Warisan' dan bukannya 'Di sini lahirnya sebuah cinta'?

Sebenarnya lagu itu terdapat di sebuah album LP Sudirman yang juga pernah saya miliki. Tetapi apabila saya berpindah kepada CD saya memindahkan koleksi LP saya ke sebuah rumah kosong berdekatan rumah lama saya. Saya dapat tahu koleksi LP saya sudah dikebas orang. Tetapi tanpa 'record player' atau 'turntable' koleksi LP itu tidak berguna.

Saya sudah melayar internet untuk mendapatkan makluman tentang pencipta lagu 'Warisan' tersebut. Saya dapati cuma satu laman yang menyatakan penciptanya ialah Syed Haron. Laman-laman lain kebanyakannya memberi pujian atau kredit kepada Allahyarham Sudirman sebagai penyanyi.

Saya tidak tahu sama ada Syed Haron betul-betul mencipta lagu 'Warisan' tersebut. Juga saya tidak tahu sama ada dia masih hidup atau tidak. Jika dia masih hidup saya tidak pasti sama ada dia tahu akan haknya boleh menuntut royalti setiap kali lirik atau melodi lagu 'Warisan' dimainkan di radio dan television. Juga royalti untuk setiap tulisan 'Di sini lahirnya sebuah cinta' ditulis di akhbar dan papan-papan iklan.  

Jika dia sudah tiada lagi adakah 'Warisan'nya iaitu waris-warisnya tahu akan hak mereka boleh menuntut royalti yang sama?

Sekian.

Wednesday, August 27, 2014

Antara imej dengan kebajikan.

Dulu ada tempat melepak

Sekarang dah tak ada. Gambar dengan ihsan Sunny Wong

Bebarapa bulan dulu saya terbaca cerita mengenai mereka yang dipanggil gelandangan di pusat bandar Kuala Lumpur. Baru saya tahu gelaran bagi mereka yang tidak mempunyai tempat kediaman tetap dan tidur merata-rata ialah gelandangan.

Sebagai satu langkah supaya gelandangan tidak merosakkan imej Kuala Lumpur kerajaan telah mengharamkan apa yang dipanggil 'soup kitchens' untuk berada dalam pusat bandar. Kononnya kehadiran 'soup kitchens' ini di Kuala Lumpur menggalakkan gelandangan dengan cara memberi makanan percuma kepada mereka.

Maka timbullah bantahan terhadap tindakan kerajaan itu. Antaranya mereka menuduh kerajaan lebih mementingkan imej dari kebajikan. Mengikut mereka sepatutnya kerajaan prihatin terhadap kebajikan golongan gelandangan ini.

Cerita yang sama berlaku di tengah-tengah bandar Seremban, tetapi dalam bentuk lain. Ada sebuah kompleks perniagaan terletak di tengah-tengah bandar Seremban dan dibina lebih kurang 20 tahun yang lalu. Sejak dibina ia menyediakan tempat duduk kekal di kaki lima kompleks. Mungkin tujuannya ialah supaya sesiapa yang tidak berhajat untuk memasuki kompleks untuk membeli-belah boleh duduk menunggu di situ sementara pasangan atau sahabatnya berada dalam kompleks. Contohnya seorang suami boleh duduk di situ dengan anak-anak sementara isterinya membeli belah dalam kompleks.

Seperti kebanyakan kemudahan awam yang disediakan dalam negera ini, baik oleh kerajaan atau pihak swasta kemudahan tempat duduk itu disalahgunakan. Kebelakangan ini ia bukan digunakan oleh mereka yang menunggu pasangan atau sahabat mereka, tetapi oleh segolongan orang-orang tua untuk melepak. Sila lihat gambar pertama di atas. Tidak mungkin empat orang yang melepak itu menunggu isteri-isteri mereka membeli-belah.

Itulah sebab agaknya komplek itu baru-baru ini telah merobohkan tempat duduk itu seperti boleh di lihat digambar kedua. Sudah tentu ada suara-suara sumbang mengutuk tindakan pengurusan kompleks itu. Mereka menuduh kompleks itu lebih mengutamakan imej mereka dari menjaga kebajikan.

Untuk pengetahuan, bandar Seremban seolah-olah mati di sebelah malam. Orang Seremban lebih selesa menghabiskan malam mereka di luar pusat bandar seperti di Seremban 2 atau Senawang. Mungkin kehadiran pelepak seperti digambarkan menyumbang kepada keadaan ini. Itulah salah satu sebab agaknya mengapa pengurusan kompleks ini merobohkan tempat duduk itu. Mungkin mereka ingin menarik semula orang-orang Seremban supaya menghabiskan waktu malam mereka di pusat bandar seperti dua puluh tahun dahulu.

Secara peribadi saya menyokong tindakan kompleks itu. Pertama saya bukan jenis pelepak. Perkataan 'lepak' dan 'melepak' tidak ada dalam vokabulari saya. Kedua isteri saya pernah berkara beliau merasa janggal berjalan di hadapan sebaris lelaki yang duduk di mana-mana, lebih-lebih lagi jika mereka duduk dengan tujuan tidak lain dari melepak.

Sekian.   

Sunday, August 24, 2014

Kenapa steroid diharamkan dalam sukan.



Saya bukanlah seorang pemberita atau penyelidik. Saya suka menulis atas pengalaman saya sendiri. Kebanyakan pendapat saya ialah pandangan peribadi sendiri dan bukan pendapat pakar, oleh itu tidak layak dijadikan bahan rujukan. 

Dua hari lepas saya berjumpa doktor kerana tidak tahan tangan kiri saya sakit sudah dua minggu. Saya mengharapkan ia baik secara semula jadi, tapi tak jadi juga. Akibatnya saya tidak selesa membuat kerja-kerja yang melibatkan dua belah tangan sehinggakan untuk bersama isteri pun tidak selesa. Mujur juga kereta-kereta saya bertransmisi otomatik, oleh itu saya kurang menggunakan tangan kiri. Tetapi oleh kerana kereta Kancil saya tidak mempunyai steering berkuasa, terseksa juga saya dibuatnya.

Pendapat doktor sama seperti yang saya fikirkan iaitu tangan kiri saya itu sakit akibat terhimpit semasa tidur. Doktor pun menasihatkan saya supaya kurang menggunakan tangan kiri, juga supaya tidur mengiring ke kanan. 

Doktor kemudian memberi saya satu ubat jenis steroid untuk menghilangkan rasa sakit di tangan saya. Dalam beberapa jam sahaja sakitnya hilang dan saya rasa boleh membuat kerja-kerja biasa yang melibatkan kedua-dua belah tangan.

Kemudian saya terfikir steroid menjadi bahan sensitif di bidang sukan. Dipendekkan cerita ahli-ahli sukan diharamkan menggunakannya. Jika seorang atlit itu diuji positif steroid setelah memenangi apa-apa acara, kemenangannya dibatalkan. Contoh terbaik ialah pelari Ben Johnson dibatalkan kemenangannya dalam acara lari 100 meter di satu Sukan Olimpik, di tahun dan bandar mana saya sudah lupa.

Saya terfikir lagi steroid yang saya ambil menghilangkan kesakitan, akibatnya anggota yang sakit itu boleh digunakan seperti biasa. Begitu juga atlit-atlit, mereka boleh berlari, melompat dan membaling apabila kesakitan mereka, jika ada, dihilangkan oleh steroid.   

Sudah tentu juga atlit-atlit sering berlatih untuk menjadikan badan mereka bersedia selalu. Bila sudah berlatih sudah tentu badan mereka sakit-sakit. Tetapi keadaan itu terpaksa ujud, jika tidak mana datangnya ungkapan 'no pain, no gain'. Mungkin steroid digunakan untuk menghilangkan 'pain' itu. Oleh itu tidak adillah kepada mereka yang tidak menggunakan apa-apa steroid.

Pada pendapat saya itulah sebabnya steroid diharamkan dalam sukan.


Monday, August 11, 2014

Lain tahun, lain negeri, lain cerita

Shah Alam, Selangor 8 Ogos 2014

Kangar, Perlis 14 Jun 2013

Dua gambar di atas, walau pun diambil di dua tempat dan masa yang berbeza, programnya adalah sama. Program yang saya maksudkan ialah raja yang memerintah negeri meraikan pesara kerajaan. Saya rasa bertuah kerana berada di kedua-dua program tersebut dan sempat merakamkan gambar-gambar di atas. 

Gambar di bawah ialah Raja Perlis diiringi Tuanku Ampuan, Raja Muda, Menteri Besar dan isteri meraikan kami di jamuan makan sempena Persidangan Perwakilan kami di Kangar, Perlis pada 14 Jun 2014. Gambar di atas ialah Sultan Selangor diiringi oleh Menteri Besar meraikan kami di jamuan makan yang sama di Shah Alam pada 8 Ogos 2014. Saya susun gambar-gambar itu begitu rupa untuk memberi keutamaan kepada situasi semasa di Selangor.

Walau pun programnya sama situasinya adalah berbeza kepada dua orang Menteri Besar yang digambarkan. Di Kangar, Perlis pada pertengahan tahun 2013 Menteri Besar Dato' Seri Azlan bin Man baru sahaja beberapa bulan memegang jawatan tersebut. Kebetulan pada keesokan harinya beliau menutup persidangan kami dengan rasmi. Beliau pun menceritakan bagaimana beliau dipilih untuk bertanding di Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) dan seterusnya dilantik menjadi Menteri Besar untuk negeri yang paling kecil di Malaysia ini. Dari ceritanya harapan dari Raja Perlis dan rakyat baginda serta Perdana Menteri sendiri terhadap beliau amatlah tinggi. Oleh kerana tidak ada cerita-cerita negatif yang saya dengar atau baca mengenainya saya anggap beliau akan memegang jawatan Menteri Besar untuk beberapa lama lagi.

Lain pula ceritanya di Shah Alam, Selangor. Walau pun telah memegang jawatan Menteri Besar Selangor selama enam tahun, parti politik kepada pemegangnnya Tan Sri Khalid Ibrahim tidak mahu lagi beliau meneruskan memegang jawatan itu. Penggantinya pun telah dinamakan. Kebetulan esok harinya iaitu beberapa jam sahaja selepas gambar itu diambil dia telah dipecat dari partinya. Saya bukan orang politik dan cuma menulis di sini apa yang saya lihat, baca dan dengar. Oleh itu saya tidak berani menjangka apakah yang akan terjadi kepada Tan Sri Khalid Ibrahim seterusnya.   

Sekian.


Wednesday, August 6, 2014

Politik dan jenayah adalah sama

Satu adegan dalam filem The Godfather, Part III

Saya seolah-olah hilang idea untuk menulis di awal bulan Syawal ini. Sekarang negara kita hebat menceritakan mengenai dua perkara. Pertama saranan memboikot produk dari syarikat-syarikat yang mempunyai hubungan dengan Israel. Kononnya duit yang kita gunakan untuk membeli produk mereka itu akan dihantar ke Israel yang menggunakannya membeli senjata untuk membunuh orang Islam di Gaza. Kedua cerita krisis jawatan Menteri Besar, Selangor. 

Kebetulan esok saya akan bertolak ke Shah Alam, ibu negeri Selangor untuk menyertai satu persidangan perwakilan NGO. Malam lusa kami akan dijamu di satu majlis makan malam di mana DYMM Sultan Selangor menjadi tetamu kehormat. Inilah kali kedua saya menyertai persidangan perwakilan NGO ini. Tahun lepas ia diadakan di Kangar Perlis di mana DYMM Raja Perlis menjadi tetamu kehormat jamuan makan malam. 

Persidangan di Kangar ditutup dengan rasmi oleh Menteri Besar Perlis. Tetapi saya tidak tahu sama ada persidangan di Shah Alam akan melibatkan Menteri Besar Selangor, lebih-lebih lagi Menteri Besar sekarang sedang mengahadapi krisis politik.

Semasa persidangan di Perlis tahun lepas seorang dari kami yang sepatutnya pergi menarik diri di saat-saat akhir. Dia seorang bekas wakil rakyat an sudah tentu seorang politik. Penarikan dirinya menyebabkan NGO kami sedikit kerugian kerana kami ke sana dengan bas eksekutif yang tiketnya pergi balik sudah ditempah awal-awal.

Semasa di Perlis juga saya cuma seorang ahli biasa, tetapi kali ini saya menjadi setiausaha NGO ini dan terlibat dalam mengatur pemergian ke Shah Alam. Mengikut perlembagaan, perwakilan untuk tempoh tiga tahun adalah orang yang sama. Dari itu saya pun menawarkan bekas wakil rakyat itu untuk turut sama. Dia berjanji akan memberi jawapan boleh pergi atau tidak. Tetapi oleh kerana sehingga semalam saya tidak menerima apa-apa jawapan saya pun merendah diri menghubunginya dan dia memberi jawapan akan turut sama. Tetapi pagi tadi dia menalipon memberitahu sebaliknya. Dia tidak dapat pergi kerana ada hal lain katanya.

Tak apalah, kali ini NGO kami tak rugi apa-apa kerana elaun akan diberi kepada mereka yang pergi sahaja. Cuma tentu ada ahli lain yang marah kerana seperti tahun lepas sekali lagi dia menarik diri di saat-saat akhir dan pengganti tidak dapat dicari.

Saya tidak suka bercerita mengenai politik, tetapi itulah satu pengalaman saya dengan orang politik di awal bulan Syawal ini. Kebetulan di tempat di mana saya akan bersidang esok politik negerinya juga sedang bergolak.

Untuk mereka yang minat kepada politik saya cadangkan mereka melihat filem The Godfather dari Part I hingga ke Part III. Dari itu cuba bandingkan tipu menipu, pembohongan, belot membelot, janji tinggal janji, tikam belakang, pilih kasih dan sebagainya yang terdapat dalam filem-filem itu dengan politik semasa. Bandingkan juga peranan Godfather dengan Perdana Menteri atau Menteri Besar.

Bila percubaan untuk menjatuhkan seorang Godfather gagal, yang cuba menjatuhkannya akan membunuh diri. Cuma saya ragu sama ada ia akan berlaku di sini?

Tidak hairanlah dalam filem The Godfather Part III, Godfather menyebut 'Politics and crime, they're are the same thing'.