Sunday, August 31, 2014

Dia sekarang bertaraf OKU.


Minggu lepas semasa saya memandu kereta seorang kawan saya yang sudah lama tidak berhubung tiba-tiba menalipon ingin berjmpa saya dalam kadar segera. Sebelum itu dia telah menalipon di rumah dan isteri saya menjawab saya sudah keluar. 

Saya mengenali Mr. L (saya tidak mahu mendedahkan identitinya sebenar kerana sebab-sebab tertentu) lebih 20 tahun yang lalu. Dia lelaki berbangsa Cina dan muda lapan tahun dari saya, sudah beristeri dan mempunyai dua orang anak, lelaki dan perempuan yang saya anggap comel belaka. Kedua-dua anaknya sekarang belajar di universiti tempatan. Saya banyak membantunya secara professional dan dia membalas dengan memberikan persahabatannya. 

Saya tidak peduli bila kawan-kawan saya mencemuh kerana berkawan dengan Mr. L. Sebab utama ialah dia 'berbangsa asing' dan kebanyakan pegawai dan kakitangan jabatan saya dulu tebal dengan sikap perkauman mereka. Saya dan Mr. L berterus terang dan telus antara satu dengan lain. Antara ketelusannya ialah mengaku menyokong sebuah parti pembangkang. Dia menyara keluarga dengan mengurus sebuah bengkel membaiki motosikal.

Antara pertolongan yang selalu dimintanya dari saya ialah menjelaskan dengan teliti surat-surat yang diterimanya dari jabatan-jabatan kerajaan walau pun dia boleh berbahasa Melayu dan Inggeris dengan baik. Di samping itu saya menolongnya membuat surat dan mengisi borang-borang bila diperlukan.

Apabila kami bertemu di satu medan selera antara rumah-rumah kami dia terus meminta saya menerangkan secara terperinci apa yang dicetak dalam satu risalah di tangannya. Risalah itu menerangkan kemudahan-kemudahan untuk seorang yang berdaftar sebagai Orang Kurang Upaya (OKU). Antaranya seorang OKU boleh mendapat passport secara percuma dan menerima elaun bulanan dari JKM. Juga diskaun jika membeli rumah dari Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan tiket keretapi setengah harga.

Akhirnya saya bertanya adakah sesiapa diantara ahli keluarganya seorang OKU, kerana setahu saya tak ada. Mr. L terus menjawab ada dan dialah OKU tersebut sambil menunjukkan Kad OKU berwarna merah jambu atau 'pink'. 

Saya tahu Mr. L ada sedikit kecacatan mata iaitu kedua-dua mata hitamnya kecil dari biasa, tetapi dia boleh melihat, membaca, menulis dan memandu kereta seperti biasa. Apa tah lagi membaiki motosikal, iaitu mata pencariannya.

Dia pernah bercerita ibunya menangis apabila dia dilahirkan kerana memikirkan anaknya itu buta. Tetapi ibu bapanya terperanjat pada satu hari melihat anak mereka mencapai satu benda. Doktor kemudian mengesahkan anak mereka, Mr L sebenarnya tidak buta.

Seorang doktor juga baru-baru ini mengsyor dan menyokong supaya Mr. L berdaftar sebagai OKU. Mengikut Mr. L doktor itu ialah seorang perempuan Melayu. Seperti saya doktor itu menolong Mr L mengisi borang permohonan menjadi OKU dan kemudian menyokongnya. Mungkin sikap doktor itu terhadap Mr L sama seperti saya tanpa memikirkan apa-apa bidang pemisah antara kami.

Dia kemudian pergi ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di mana permohonannya diluluskan, sudah tentu oleh pegawai-pegawai Melayu juga. Mengikut Mr L pegawai-pegawai JKM memujinya kerana dua perkara. Pertama dia datang bersendirian dan tidak melalui parti-parti politik yang mempunyai kepentingan lain. Kedua dia mengaku bekerja untuk menyara hidup, tidak seperti kebanyakan OKU lain yang hanya berharap kepada bantuan JKM semata-mata. 

Mr. L sangat gembira bertaraf OKU secara rasmi. Katanya dia sekarang sama taraf dengan saya, seorang pesara kerajaan, mungkin lebih dari itu kerana dia boleh meletak kereta di petak OKU tanpa apa-apa bayaran. 

Tetapi saya sedih juga kerana Mt L cuma diiktiraf sebagai OKU lewat dalam usianya (56 tahun). Ini bermakna dia telah dinafikan hak untuk begitu lama. Bayangkan berapa ribu ringgit elaun JKM yang sepatut dikterimanya jika dia didaftar lebih awal? Juga berapa puluh, mungkin ratus ringgit yang telah dikeluarkannya apabila meletak kereta di bandar Seremban?

Sekian.

No comments: