Saturday, August 30, 2014

Di sini lahirnya sebuah lagu.


Saya mula mengambil perhatian kepada pencipta-pencipta lagu pada tahun 1963 apabila saya mula meminati kumpulan muzik terkenal The Beatles. Sebelum itu saya mula dikenalkan kepada lagi-lagu berbahasa Inggeris apabila saya memasuki Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR), Tanjong Malim, Perak iaitu sebuah sekolah berasrama penuh, pada tahun 1962 semasa saya berumur 12 tahun. Walau pun saya telah mendengar dan meminati lagu-lagu Elvis Presley dan Cliff Richard sebelum mengenali The Beatles saya tidak kisah langsung untuk mengetahui siapa pencipta-pencipta lagu mereka.

Saya perhatikan di bawah tajuk lagu-lagu The Beatles di rekod tertulis begini:- "(Lennon-McCartney)". Saya tahu John Lennon dan Paul McCartney adalah anggota The Beatles, jadi mula-mula saya ingatkan nama-nama mereka ditulis di bawah lagu-lagu itu kerana merekalah yang menyanyikannya. Tetapi apabila saya dapati tulisan "(Lennon-McCartney)" juga terdapat di bawah lagu-lagu nyanyian penyanyi-penyanyi lain barulah saya tahu sebenarnya John Lennon dan Paul McCartney adalah pencipta lagu-lagu tersebut. Antara penyanyi-penyanyi yang saya maksudkan ialah Peter and Gordon, Cilla Black dan Billy J Kramer.

Sebenarnya di mula kerjaya mereka The Beatles juga menyanyi lagu-lagu ciptaan pencipta lain seperti Buddy Holly, Carl Perkins dan Chuck Berry dan sudah tentu nama-nama mereka ditulis di bawah tajuk-tajuk lagu nyanyian The Beatles tersebut. Kemudian setelah The Beatles popular beratus penyanyi lain dari seluruh dunia merakam dan menyanyikan lagu-lagu ciptaan Lennon-McCartney.  

Dari lagu-lagu berbahasa Inggeris saya menumpukan perhatian pula kepada lagu-lagu Melayu dan Hindustan. Rupa-rupanya bukan semua lagu-lagu nyanyian P Ramlee adalah ciptaan P Ramlee. Semasa era lagu-lagu pop Melayu tahun 60an (saya tidak setuju ia dipanggil Pop Yeh Yeh) pencipta Salamah Basiron dan Hanimasra adalah orang yang sama. Lagu Oh Fatimah nyanyian A Ramlie dicipta oleh Salamah Basiron. Orang yang sama mencipta lagu Siti Haida nyanyian Jeffridin dengan nama Hanimasra. Pada pendengaran saya lagu-lagu terbaik Hindustan ialah ciptaan Shankar-Jaikishan.

Kenapa saya bangkitkan perkara ini? Kerana saya dapati orang-orang Malaysia amnya dan orang-orang Melayu khasnya tidak mengambil perhatian kepada siapa yang mencipta lagu-lagu yang mereka dengar hari-hari. Sebagai contoh saya pernah mempunyai satu CD lagu-lagu patriotik Melayu/Malaysia yang dikeluarkan oleh sebuah badan Kerajaan. Malangya CD itu tidak ada lagi di tangan saya kerana tidak dipulangkan oleh seorang sahabat saya yang meminjamnya. Mengikut CD itu pencipta lagu 'Malaysia Baru' ialah P Ramlee sedangkan pencipta sebenarnya ialah Kassim Masdor.

Sekarang boleh dikatakan setiap lima minit kita didendangkan dengan nyanyian Allahyarham Sudirman 'Di sini lahirnya sebuah cinta...' yang merupakan sebahagian ayat pertama sebuah lagu, sehinggakan bahagian ayat itu dijadikan tema perayaan Hari Merdeka tahun ini (2014).  Tetapi berapa ramaikah antara kita yang tahu siapa sebenarnya pencipta lagu itu? Dan berapa orang pula yang tahu tajuk lagu itu sebenarnya ialah 'Warisan' dan bukannya 'Di sini lahirnya sebuah cinta'?

Sebenarnya lagu itu terdapat di sebuah album LP Sudirman yang juga pernah saya miliki. Tetapi apabila saya berpindah kepada CD saya memindahkan koleksi LP saya ke sebuah rumah kosong berdekatan rumah lama saya. Saya dapat tahu koleksi LP saya sudah dikebas orang. Tetapi tanpa 'record player' atau 'turntable' koleksi LP itu tidak berguna.

Saya sudah melayar internet untuk mendapatkan makluman tentang pencipta lagu 'Warisan' tersebut. Saya dapati cuma satu laman yang menyatakan penciptanya ialah Syed Haron. Laman-laman lain kebanyakannya memberi pujian atau kredit kepada Allahyarham Sudirman sebagai penyanyi.

Saya tidak tahu sama ada Syed Haron betul-betul mencipta lagu 'Warisan' tersebut. Juga saya tidak tahu sama ada dia masih hidup atau tidak. Jika dia masih hidup saya tidak pasti sama ada dia tahu akan haknya boleh menuntut royalti setiap kali lirik atau melodi lagu 'Warisan' dimainkan di radio dan television. Juga royalti untuk setiap tulisan 'Di sini lahirnya sebuah cinta' ditulis di akhbar dan papan-papan iklan.  

Jika dia sudah tiada lagi adakah 'Warisan'nya iaitu waris-warisnya tahu akan hak mereka boleh menuntut royalti yang sama?

Sekian.

No comments: