Wednesday, March 25, 2009

Hukuman Kad Merah dibatalkan

Tengok gambar di atas. Ia menunjukkan pengadil menunjukkan kad merah kepada penjaga gol Aston Villa Brad Friedel. Ia berlaku semasa perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Liverpool dengan Aston Villa pada pagi Isnin 23 Mac 2009 (waktu Malaysia) yang lalu. Tendangan penalti diberi kepada Liverpool setelah penjaga goal ini menjatuhkan penyerang Liverpool Fernando Torres dalam kawasan penalti. Di samping itu juga kad merah dilayangkan kepada Friedel.

Saya melihat perlawanan itu di TV dan merasakan layangan kad merah itu tidak patut. Di minggu sebelumnya penjaga gol Liverpool Pepe Reina telah menjatuhkan seorang penyerang Manchester United dalam situasi yang serupa. Walau pun tendangan penalti diberikan kepada Manchester United Reina tidak dilayangkan apa-apa kad.

Walau pun Friedel dihukum buang padang ia tidak mengubah kedudukan permainan. Aston Villa terpaksa mengorbankan seorang pemain lain dengan menukarkannya dengan penjaga goal gantian Brad Guzan. Tugas pertama Guzan ialah cuba menyelamatkan tendangan penalti oleh ketua pasukan Liverpool Steven Gerrad. Beliau gagal dan menjadikan kedudukan Liverpool mendahului dengan 5-0. Selepas itu walau pun berkelebihan seorang pemain Liverpool gagal untuk menambah jaringan gol.


Aston Villa telah membuat rayuan terhadap hukuman gantung automatik terhadap penjaga golnya. Pihak berkuasa Liga Perdana Inggeris telah menerima rayuan mereka dan ini bermakna Brad tidak digantung apa-apa permainan.


Syabas Barclay's Premier League.

Tuesday, March 24, 2009

Hujung minggu yang penuh makna



1. Perkahwinan di Melaka.


Pada Hari Ahad 22 Mac 2009 saya dan isteri bersama cucu-cucu kami Danial dan Fahim telah pergi ke Simpang Bekoh, Jasin, Melaka untuk perkahwinan adik angkat isteri saya Ustaz Fauzee. Sebenarnya Fauzee sudah kahwin di rumah keluarga isterinya di Kampung Duyung, Melaka Tengah pada 25 Januari yang lalu. Sila lihat pos saya di sini :

Dihari yang sama juga Firdaus iaitu adik kepada Fauzee bersanding di rumah keluarga isterinya di kampung yang berhampiran. Setelah selesai di rumah pengantin perempuan barulah Firdaus dan isteri bertandang ke majlis kedua-dua pengantin lelaki pula.
Takdir Allah pula menentukan bapa kepada Fauzee dan Firdaus meninggal dunia pada Hari Isnin 16 Mac 2009 yang lalu. Ibu mereka pula melayan tetamu perempuan. Jadi tinggallah Fauzee untuk menerima tetamu-tetamu utama yang diundang. Isteri Fauzee pula berada di rumah birasnya. Ini mengingatkan saya kepada peristiwa dua malam lepas di mana pengantin lelaki menerima jemputan.
Kenduri pengantin lelaki di adakan di Balai Raya Taman Kasturi, Simpang Bekoh. Saya ingin sangat mengambil gambar dua pasangan pengantin ini. Tetapi saya terpaksa balik awal untuk menghantar anak bongsu saya Anis balik ke asrama sekolahnya.
Inilah sahaja gambar-gambar yang saya sempat ambil.

Kain rentang pengantin dua pasang.


Papan tanda jalan di sebelah Balai Raya. Simpang Bekoh terletak di kaki Gunung Ledang.



Sireh, pinang, kapur, gambir, rokok biasa dan rokok daun serta tembakau disediakan untuk tetamu yang berhajat.



Balai Raya Taman Kasturi ini mengingatkan saya Balai Raya Semabok Dalam.


Backdrop. Keempat pengantin akan bersanding di sini.


Ustaz Fauzee menerima tetamu. Khabarnya apabila pengantin datang Fauzee akan menukar kepada pakaian pengantin.


3. Kg. Air Barok, Jasin, Melaka.

Sebelum balik ke Seremban kami singgah di Kg. Air Barok, Jasin, Melaka. Ceritanya ada di pos saya di blog ini :


Sunday, March 15, 2009

Di Nim's Little Island, Kajang pada 13 Mac 2009

Sekali lagi saya berjumpa kawan-kawan sekolah saya yang tinggal di kawasan Kajang dan Bangi. Cuma kali ini agak kurang tepat jika saya panggil mereka kawan-kawan kerana umur mereka paling dekat sepuluh tahun muda dari saya.
Kumpulan Kajang dan Bangi ini telah menetapkan tempat perjumpaan mereka di satu restoran Tom Yam yang dipanggil Nim's Little Island di Jalan Teratai, Kg. Sungai Ramal Dalam, Kajang. Ia diusahakan oleh kawan sekolah kami juga yang bernama Saifudin.

Setahu saya sessi perjumpaan bulanan ini diadakan oleh kumpulan-kumpulan di Melaka (paling aktif), Seremban, Kajang dan Kuala Lumpur. Kawan-kawan sekolah saya di Pahang dan Kedah pun telah memulakan sessi perjumpaan bulanan ini.

Sekarang dengan kemudahan telefon bimbit dan internet kami senang berhubung di antara satu dengan lain. Selesai sahaja perjumpaan seorang dari kami akan membuat laporan di internet. Dengan cara ini kami dapat tahu dimana kawan-kawan lama kami berada sekarang.

Sebagai contoh saya mendapat tahu seorang junior yang saya tinggalkan pada tahun 1967 telah menghadiri sessi perjumpaan kumpulan negeri Kedah di Sungai Petani. Saya terus menalipon beliau. Baru tiga hari lepas dia menalipon saya pula.


Dari kiri Saifudin yang juga tuan punya restoran ini, jirannya Mohd. Nizam dan Mazlan Mohd. Nor a.k.a. Mono.


Mazlan a.k.a. Mono dan Abd. Rahman Mohamad seorang pilot helikopter dari Kerteh, Terengganu.



Saya dan Bernadib Kadri a.k.a. Bern.




Di tengah Ishak Tamyes dan sebelahnya Nik Khairuddin sedang menghisap paip.



Dr. Khairun Nazar a.k.a. DKN dan Kamarudzman.






Bern dan Saifudin. Saifudin sedang meneliti data nama-nama ahli yang dikelolakan oleh DKN.




Abd. Razak Halimi tersenyum lebar. DKN sedang mengambil gambar di belakang.




Kamarudzman dengan 'fresh orange'.




Saya

Thursday, March 12, 2009

The Concert for Bangladesh



We were hearing about Bangladesh the lasy few days. But I have something in my possession now with the word Bangladesh written on it. What I have is a double DVD titled 'The Concert for Bangladesh'. I consider this as one of my most treasured collections.

Want to know why? Just do some googling.

Wednesday, March 4, 2009

Teringat kawan lama.

Kalau pembaca meneliti pos-pos blog saya ini saya ada menceritakan pengalaman bersama-sama kawan-kawan sekolah. Saya letakkan cerita kawan-kawan ini di bawah label 'Sdara' dan 'Recollections'.


Semasa perjumpaan dengan kawan-kawan ini kami juga bercerita mengenai kawan-kawan yang telah meninggalkan kita. Alfatihah kepada mereka. Antara kawan-kawan saya yang telah pergi ada seorang yang saya tidak dapat lupakan. Masa di sekolah namanya ialah Haji Ahmad Hassan Salahudin bin Haji Muhammad Khalil. Panjang namanya. Oleh itu kawan saya ini suka menggunakan initial HAHS sahaja.


Ya, semasa sekolah lagi dia sudah digelar Haji. Mengikut Haji (panggilan popular untuknya semasa sekolah) dia dilahirkan di Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang tetapi tinggal beberapa tahun di Makkatul Mukarramah. Haji mengikut bapanya yang bekerja di sana. Di situ jugalah Haji menyempurnakan Rukun Islam yang kelima iaitu Fardhu Haji.


Keluarga Haji kemudian kembali ke Bukit Mertajam di mana Haji bersekolah rendah. Kemudian Haji berjaya masuk ke Sekolah Dato' Abdul Razak, Tanjung Malim seperti saya. Tetapi Haji bukanlah satu kelas atau satu tingkatan dengan saya. Dia adalah junior kepada saya beberapa tahun. Cuma kami ditakdirkan tinggal satu bilik atau dormitori.


Haji ialah seorang yang kuat beragama. Dia juga mencadangkan supaya kami solat berjamaah seboleh-bolehnya. Haji lah imam kami apabila solat berjemaah.


Haji juga menjadi teman pilihan saya apabila keluar ke pekan Tanjung Malim. Walau pun muda dari saya beberapa tahun dia merupakan yang paling tinggi dalam kelasnya. Jadi ketinggiannnya di masa itu lebih kurang saya. Itulah agaknya mengapa dia juga memilih saya menjadi kawannya.


Seperti lumrah persahabatan kami terhenti apabila saya meninggalkan sekolah. Di masa itu manalah ada telefon bimbit atau email seperti sekarang.


Saya hanya mendapat berita mengenai Haji beberapa tahun kemudian. Pertama ialah berita satu kumpulan bakal Haji yang pergi melalui Pakej Haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang. Ini disebabkan mereka gagal mendapat Visa Haji di saat-saat akhir. Jemaah ini pula sudah siap sedia dengan memakai Ihram kerana mereka merupakan antara jemaah terakhir dan mengerjakan Haji Ifrad.


Terperanjat saya apabila membaca bahawa tuan punya syarikat yang mengendalikan Pakej Haji ini ialah Haji Ahmad Hassan Salahudin. Saya sedih juga apabila membaca tulisan-tulisan di akhbar mengenai cerita jemaah terkandas ini. Kawan saya ini diceritakan seolah-olah menipu para jemaah ini. Sedangkan setahu saya Haji ialah seorang yang amat jujur dan amanah. Sepeninggalan saya di sekolah beliau dilantik menjadi Pengawas dan di tahun akhirnya dia dilantik menjadi Timbalan Ketua Murid (Deputy Head Boy).

Saya sendiri melihat di TV dimana Haji dipanggil untuk berjumpa Datuk Khalil Yaakub yang semasa itu menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengenai urusan Jemaah Haji. Saya lihat Haji seperti dimarahi oleh Datuk Khalil.


Saya tidak pasti sama ada para jemaah yang terkandas ini akhirnya dapat ke tanah suci atau tidak. Tetapi kalau mereka dapat yang mendapat nama bukanlah kawan saya Haji tetapi Datuk Khalil.


Saya membaca berita mengenai Haji lagi beberapa tahun kemudian. Pada Pilihanraya Umum tahun 1986 beliau betanding atas tiket parti PAS melawan Datuk Abdullah Ahmad Badawi di kerusi Parlimen Kepala Batas. Sekali ini Haji memeranjatkan saya.


Saya tidak hairan jika Haji akhirnya memasuki politik kerana semasa sekolah lagi beliau telah menunjukkan minat dalam politik. Tetapi semasa sekolah pujaannya ialah UMNO kerana kalau tak salah saya bapanya ialah orang kuat UMNO juga di Pulau Pinang. Saya hairan juga kenapa Haji memilih untuk melawan Pak Lah kerana semua orang tahu dimasa itu Kepala Batas memang kubu kuat Pak Lah.


Berita terakhir yang saya terima mengenai Haji ialah beliau telah meninggal dunia tidak berapa lama selepas beliau tidak berjaya mengalahkan Pak Lah. Berita ini saya terima dari kawan-kawan sekolah. Belilau meninggal akibat sakit jantung, itulah ceritanya.


Saya tidak tahu sama ada dua episod yang saya ceritakan di atas sedikit sebanyak menjejaskan kesihatan Haji. Bagaimana jika Haji masih hidup sekarang? Mungkin nama beliau juga sama-sama mewarnai cerita-cerita politik sekarang.


Saya tidak tahu sama ada Haji berumah tangga atau tidak. Adakah beliau meninggalkan zuriatnya di dunia ini.


Saya terasa ingin pergi ke utara dan berjumpa dengan ahli-ahli keluarga Haji yang masih ada dan mendapatkan cerita lanjut mengenai kawan saya Haji Ahmad Hassan Salahudin ini.


Jika ada pembaca yang terbaca blog saya ini dan kebetulan mengenali Haji tolonglah hubungi saya melalui blog ini atau email saya.