Tuesday, January 24, 2012

Bila lagi kita nak berubah dari minda ini?


Bila saya melihat gambar orang ramai beratur untuk menerima baucar BR1M yang disiarkan dalam satu blog saya tidak hairan. Saya sudah biasa melihat situasi begini. Semasa bekerja dulu saya menjadi ahli satu koperasi anggota kerajaan. Seperti koperasi lain dividen tahunan akan dibayar selepas mesyuarat agung. Dalam kes koperasi saya dividen ini dibayar sehari lepas mesyuarat agung. Kebetulan dewan dimana mesyuarat agung dijalankan terletak betul-betul di hadapan pejabat saya dan di dewan ini jugalah dividen dibayar. Oleh itu dari pejabat saya boleh nampak anggota kerajaan yang kebanyakannya Melayu beratur seperti gambar di atas untuk mendapatkan dividen mereka.

Tetapi koperasi menyediakan beberapa saluran mengikut nombor ahli. Secara amnya ahli-ahli yang muda panjang barisnya dan baris yang paling pendek ialah untuk ahli-ahli yang sudah bersara tetapi masih mengekalkan keahlian koperasi. Dari itu juga saluran untuk saya sendiri mendapatkan dividen berubah mengikut peredaran masa. Dengan sendirinya pula baris saya berubah dari yang panjang kepada yang pendek. Tetapi dari kedudukan saya di pejabat saya juga boleh memilih masa yang sesuai untuk beratur dan mendapatkan dividen.

Apa yang menyedihkan saya ialah bagi mereka yang baru sahaja masuk koperasi dividen mereka berapa sangatlah, tetapi mereka sanggup beratur panjang 'For A Few Dollars More' (meniru tajuk filem arahan Sergio Leone). Kenapa tidak ditinggalkan sahaja dividen itu dalam akaun (syarat ini ada) dan biarkan dividen itu mengumpul dividen pula.

Situasi beratur 'For A Few Dollars More' ini juga kita nampak di hari pertama, kedua atau ketiga tahun baru bila orang-orang kita mendapatkan dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) mereka. Sehinggakan di Seremban ini pejabat Perbadanan Nasional Berhad (PNB) meletakkan kerusi tambahan di kali lima bangunan, yang menyalahi peraturan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebenarnya.

Untuk mendapatkan duit orang kita sanggup beratur panjang. Sama juga keadaannya bila kita dikehendaki membayar. Cuma orang kita sanggup beratur panjang untuk membayar cukai dan sebagainya di saat-saat akhir. Lihat sahaja di pejabat-pejabat PBT pada penghujung bulan-bulan Februari dan Ogos dan pejabat-pejabat Tanah pada penghujung bulan Mei. Orang kita beratur panjang untuk membayar Cukai Taksiran dan Cukai Tanah di saat-saat akhir sedangkan kita telah diberi masa yang cukup untuk menjelaskannya. Sekarang pula sudah ada kemudahan membayar kedua-dua cukai itu melalui bank secara 'online'.

Oh ya, orang bangsa asing pun beratur juga. Di satu pagi apabila saya hendak ke satu pusat membeli belah dekat rumah, saya perhatikan ramai orang kebanyakannya berbangsa Cina beratur hendak masuk. Rupa-rupanya ada tawaran jualan murah pada hari itu. Bila sahaja premis dibuka mereka menyerbu ke bahan-bahan jualan murah sehingga barang-barang yang ditawarkan murah seperti sabun mesin basuh habis dalam beberapa minit. Tetapi perangai mereka (jika boleh disebut begitu) samalah seperti peribahasa Inggeris 'The early bird cacthes the worm' atau 'Burung yang keluar awal akan dapat menangkap cacing'. Burung yang lambat bangun tidur akan melepas cacing. Samalah siapa yang datang lewat tidak akan merasa tawaran murah tersebut.

Ini berbeza dengan bantuan BR1M di mana 'cacing'nya tetap ada dan kita diberi masa yang cucup untuk 'menangkapnya'. Dalam kes dividen koperasi atau ASB 'cacing'nya akan 'beranak' jika dibiarkan begitu sahaja. 

Oleh itu tidak payahlah kita beratur dalam panas 'For A Few Dollars More' itu.


Monday, January 23, 2012

Bakul kenangan

Bakul kenangan

Itu dia di sudut bawah kanan


Cerita bermula di bulan Syawal 1432 apabila saya diajak oleh sahabat blogger saya Tuan Haji Zainol Abideen (di masa itu belum Haji lagi) untuk menghadiri satu rumah terbuka Aidilfitri di satu bangunan kelab di Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Saya pun pergi dengan KTM Komuter sehingga stesen Bandar Tasik Selatan. Dari situ saya menaiki LRT Rapid KL ke Bandar Tun Razak untuk bertemu dengan Tuan Haji Zainol Abideen. Saya kemudian dibawanya dengan kereta ke Bukit Kiara.

Dipendekkan cerita, apabila hendak beredar balik kami dibekalkan tiap-tiap seorang dengan dua kotak kuih raya yang dibungkus dalam sebuah bakul yang cukup menarik perhatian saya kerana ia berbentuk seperti sangkar burung. Kemudian Hj. Zainol meninggalkan saya di stesen KTM Komuter Mid Valley. Sahabat saya itu tidak ada masalah dengan bakulnya yang disimpan dalam kereta, tetapi saya terpaksa memegangnya sementara menunggu tren datang untuk membawa saya balik ke Seremban.

Setelah lebih kurang satu jam menunggu barulah tren datang dengan penumpang penuh. Saya tidak ada pilihan dari menaikinya sambil memegang bakul berisi kuih raya. Bukan saja badan saya dihimpit kiri, kanan, depan dan belakang tetapi bakul saya sama-sama dihimpit. Sebelah tangan saya memegang tempat bergantung di atas tren dan sebelah tangan lagi memegang bakul. Ada beberapa ketika saya berfikir untuk meninggalkan sahaja bakul itu di atas tren untuk menyenangkan saya bergantung. Kuih raya boleh dibeli di mana-mana. Tetapi bakul yang membungkusnya sangat unik untuk saya melepaskan begitu sahaja.

Akhirnya di stesen Kajang barulah saya dapat duduk. Bakul kuih yang saya pegang pun selamat, walau pun bentuknya sudah berubah akibat dihimpit. Sampai sahaja di rumah isteri saya pun tertarik dengan bakul yang saya bawa dari Kuala Lumpur itu. Dia terus mengeluarkan kuih-kuih raya dan meletakkan bakul sebagai satu bahan perhiasan rumah.

Isteri saya memang suka menyimpan cenderamata seperti bakul ini. Sebagai contoh ia akan menyimpan bunga-bunga telur yang diberi di majlis perkahwinan. Beberapa tahun yang sudah bunga-bunga telur dalam koleksinya diguna semula untuk majlis khatam Al-Quran anak saya Anis sedangkan orang lain terpaksa membelinya di kedai. 

Oleh itu tidak hairanlah jika bakul kenangan saya itu diguna semula oleh isteri saya baru-baru ini. Ia dijadikan sebagai bungkusan buah-buahan yang menjadi salah satu balasan hantaran pertunangan anak kami Miza.

Oleh itu jika kita menerima bahan-bahan yang unik seperti bakul kenangan saya itu, janganlah dibuang begitu sahaja. Ia mungkin boleh diguna semula untuk tujuan lain.

Sunday, January 22, 2012

Alhamdulillah semua berjalan lancar


Mungkin ada yang bertanya mengapa agak lama saya tidak mengemaskinikan blog saya ini. Sebenarnya saya sibuk dalam persiapan majlis pertunangan anak ketiga saya Miza. Maklumlah sudah lama saya tidak 'begholek' iaitu bahasa Negeri Sembilan bermaksud 'kenduri besar'. Anak kedua saya kahwin pada tahun 2002, iaitu sepuluh tahun yang lalu.

Oleh kerana ini hanya majlis pertunangan, saya dan isteri menghadkan kehadiran saudara mara kepada adik beradik kami dan keluarga mereka. Bila dicampur dengan anak menantu dan cucu mereka, beratus juga jumlahnya. Saya tidak bimbang tentang kehadiran mereka, tetapi kehadiran jiran-jiran membimbangkan saya. Di saat-saat akhir saya dapati ramai yang tidak dapat hadir kerana terpaksa berada di tempat lain. Maklum sajalah masa ini cuti panjang sempena Tahun Baru Cina. Sehinggakan kedua-dua keluarga jiran di kiri kanan saya tidak dapat hadir kerana pergi ke kenduri keluarga dekat mereka.

Sebenarnya saya rasa tidak adil terhadap mereka kerana saya sering pergi ke kenduri jiran-jiran. Tetapi syukurlah bilangan jemaah surau yang datang untuk membaca Tahlil dan Doa Selamat tidak menghampakan. 

Alhamdulillah juga majlis berjalan lancar tanpa apa-apa halangan. 

   

Saturday, January 14, 2012

Berapa lama kita sudah ditipu?


Dulu sebagai seorang kakitangan Majlis Perbandaran Seremban memang saya tidak dikenakan bayaran letak kereta. Bila sudah bersara saya jarang-jarang menggunakan kereta apabila keluar ke bandar. Saya lebih selesa menggunakan skuter yang boleh diletakkan di petak letak motosikal dengan percuma. Hendak bergerak pun senang dan tidak terperangkan dengan kesesakan lalulintas.

Pagi tadi buat pertama kali saya membayar bayaran letak kereta di bandar Seremban. Saya terjumpa satu petak kosong di mana meternya menunjukkan ada tempoh beberapa minit lagi, terima kasih kepada pengguna sebelumnya. Saya pun masukkan duit 20 sen dan menjangka tempoh  akan ditambah menjadi lebih 20 minit. Ini berdasarkan kepada notis yang ditampal di meter. Tetapi saya hairan bila tempohnya tidak sampai 20 minit pun.

Tiba-tiba saya melihat satu lagi notis kecil yang berada di dalam meter. Kadar tempohnya adalah kurang daripada seperti notis di bawah. Sebagai contoh duit 20 sen ialah untuk tempoh 15 minit dan bukan 20 minit. Bayangkan seorang memasukkan duit 50 sen. Dia menjangka meter berjalan sampai 50 minit jika mengikut notis di meter. Tetapi tidak, selepas 37.5 minit meter akan menunjukkan 'kad merah' dan kalau nasib tak baik tawaran kompaun akan dikeluarkan. Jika kompaun tidak diselesaikan tindakan mahkamah akan diambil.

Inilah pertama kali saya memasukkan duit ke dalam meter letak kereta di bandar Seremban dan saya sedar  telah ditipu. Bagaimana pula beribu-ribu pengguna lain selama ini yang tidak sedar mengenai penipuan ini? Berapa ramai pula yang telah kena kompaun kerana meter menunjukkan 'kad merah'? Berapa ramai pula yang telah didakwa di mahkamah?

Yang menggerunkan ialah saya pernah mendakwa di  mahkamah mereka yang  tidak meletakkan cukup duit ke dalam meter letak kereta. Lagi menggerunkan ialah denda kompaun yang dipungut menjadi sebahagian dari gaji yang saya terima dulu.  

Monday, January 9, 2012

Khabar Angin


Antara filem saya paling saya gemari ialah L.A. Confidential. Di awal filem diceritakan mengenai dua anggota polis yang dipukul oleh beberapa orang berbangsa Mexico di Los Angeles. Di malam sebelum Krismas anggota polis yang bujang dibenarkan merayakan hari kebesaran itu dengan sedikit jamuan di stesen mereka. Anggota yang berkeluarga sudah dibenarkan pulang. Di jamuan itu juga khabar-khabar angin mengenai kawan-kawan mereka yang dipukul itu disebarkan. Ada yang menyebut seorang sedang dalam keadaan koma dan seorang lagi sudah dibacakan 'last rites' oleh padri. Seorang lagi menambah pada tahun ini perayaan Krismas untuk keluarga mereka yang dipukul sudah tentu tidak 'merry' seperti orang lain. Sebenarnya mereka hanya lebam-lebam dan sudah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan pesakit luar di hospital.

Sedang anggota polis ini merayakan malam Krismas itu mereka diberitahu bahawa 'Mexicans' yang memukul kawan mereka sedang dibawa masuk ke stesen untuk tahanan. Beberapa anggota polis yang sudah mabuk  kemudian memukul 'Mexicans' tadi. Kebetulan ada seorang pemberita dan jurugambar berada di stesen  bertanyakan cerita asal polis dipukul. Mereka sempat merakam gambar-gambar polis memukul orang awam. Berita itu mereka sebarkan sebagai 'Bloody Christmas'. Akibatnya satu siasatan dijalankan yang mengakikbatkan seorang anggota polis dibuang dan seorang lagi digantung kerja.

Sebenarnya ada lagi anggota polis yang patut dikenakan tindakan, tetapi hero filem ini telah mengambil kesempatan memeras ugut anggota ini untuk kepentingannya. Di akhir filem polis yang diperas ugut itu telah dibunuh oleh ketuanya sendiri. Filem ini sebenarnya diharamkan untuk tuntunan umum di Malaysia kerana adegan polis membunuh polis tadi.     


Saya mula didedahkan dengan khabar angin semasa peristiwa 13 Mei 1969. Saya budak mentah yang baharu sahaja bekerja beberapa bulan semasa peristiwa itu berlaku. Selepas itu kerajaan telah mengeluarkan sebaran dan notis supaya kita tidak mendengar kepada khabar-khabar angin. Di media massa seperti akhbar, radio dan TV kita dinasihatkan supaya jangan mendengar khabar-khabar angin. Notis-notis bertulis 'JANGAN DENGAR KHABAR ANGIN' dalam empat bahasa dari saiz sekecil-kecilnya sehingga yang paling besar diletakkan di mana-mana tempat awam. Ada orang berkata peristiwa 13 Mei itu sendiri terjadi akibat khabar angin dan sudah tentu pihak berkuasa tidak mahu ia berulang.

Tetapi lebih banyak notis yang dikeluarkan lebih banyak pula khabar-khabar angin yang timbul. Di pejabat, kedai kopi dan kenderaan awam seperti teksi macam-macam khabar angin yang dikeluarkan. Cuma di dalam bas tidak kedengaran khabar-khabar angin, mungkin kerana berbagai bangsa berada di dalamnya. Saya masih lagi dalam tempoh percubaan di masa itu dan saya sering mengikuti kenderaan pejabat saya ke seluruh Negeri Sembilan. Dari Seremban sehingga ke destinasi saya tidak mendengar cerita lain selain dari khabar-khabar angin ekoran peristiwa 13 Mei 1969.

Pengalaman itu menyebabkan saya berhati-hati terhadap khabar-khabar angin. Kebanyakan khabar angin yang saya dengar saya biarkan terbang dibawa angin. Saya tidak akan menyampaikannya kepada sesiapa.

Selepas beberapa tahun mendirikan rumah tangga, satu hari saya terperanjat dengan satu perubahan di dapur rumah apabila balik dari kerja. Mana-mana bekas yang boleh menampung air telah dipenuhkan dengan air oleh isteri saya. Apabila saya bertanya kenapa dia berbuat begitu, dia menjawab jiran-jirannya memberitahu tempat kami akan dipotong bekalan air dan mereka semua sudah membuat persiapan menyimpan air.

Saya memberitahunya supaya jangan percaya kepada khabar angin seperti ini. Jika betul bekalan air akan dipotong sudah tentu kami diberi notis mengenainya. Lagi pun tangki air rumah kami sudah cukup untuk menampung kami yang baru tiga beranak semasa itu. Jika air dari situ pun habis kami boleh minta bantuan pihak berkuasa bekalan air yang sudah tentu boleh menghantar air. Akhinya jelas khabar angin itu cuma khabar angin.

Itulah beberapa contoh khabar-khabar angin yang saya alami dan saya lihat. Sebenarnya negara kita tidak lari dari khabar-khabar angin. Setelah beberapa keputusan yang mengejut dalam tempoh yang dekat ini timbullah khabar-khabar ingin bila pula kita akan mengahadapi Pilihanraya Umum seterusnya. 



Sunday, January 8, 2012

Musuhnya Habis Binasa

Saya ucapkan tahniah kepada pasukan bolasepak Negeri Sembilan yang memenangi pertandingan Piala Sumbangsih dengan mengalahkan pasukan Kelantan 2-1 malam tadi. Sebenarnya konsep Piala Sumbangsih ialah tiruan daripada Charity Shield iaitu perlawanan yang diadakan seminggu sebelum bermulanya Liga Perdana Inggeris atau English Premier League.

Di Malaysia perlawanan ialah di antara pemenang Piala Malaysia (Negeri Sembilan) dengan Juara Liga Super (Kelantan). Yang melucukan saya ialah ada akhbar berbahasa Inggeris di Malaysia menggelarkan Piala Sumbangsih ini sebagai Charity Shield sedangkan hadiahnya berupa piala (cup) dan bukan perisai (shield).

Saya memuji siapa yang memulakan 'Hobin Jang Hobin' sebagai moto untuk pasukan bolasepak Negeri Sembilan. Jika diadakan pertandingan moto antara pasukan sudah tentu moto itu akan menjadi juara juga. Tetapi jika diperhatikan malam tadi ada satu lagi moto di kain rentang penyokong pasukan Negeri Sembilan.

Moto itu ialah 'Musuhnya Habis Binasa'. Tetapi jika diadakan pertandingan moto ini tidak layak diketengahkan. Sebabnya ialah ungkapan itu merupakan satu baris dari Lagu Kebesaran Negeri Sembilan, walaupun bunyinya agak kejam.

Rakyat Negeri Sembilan sendiri tidak ramai yang tahu akan senikata penuh Lagu Kebasaran Negeri mereka. Biasanya melodi lagu itu sahaja yang didengar terutama di upacara yang dihadiri oleh Paduka Seri Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Diharapkan ungkapan itu akan menjadi semangat kepada ahli-ahli sukan Negeri Sembilan selain Hobin Jang Hobin. 

Wednesday, January 4, 2012

Antara 'samseng' dengan 'tunjuk samseng'.

Saya telah menyemak beberapa kamus dan saya dapati 'samseng' bermakna 'gangster' dalam Bahasa Inggeris. Tetapi jika ada 'gangster' dalam masyarakat kita sudah tentu dia disisihkan kerana kita tahu dia hidup dengan punca tidak halal. Contohnya dia merompak dan hidup dengan mengugut duit perlindungan.

Mungkin P.Ramlee telah mengubah persepsi kita terhadap samseng. Dalam filem Pendekar Bujang Lapok perkataan 'samseng' digunakan sekurang-kurangnya lima kali. Ahmad Nisfu mengambil 'samseng-samseng' bekerja untuknya.sedangkan tugas mereka hanya memastikan penumpang sampan beratur dan membayar tambang. Pendekar Mustar pula menganggap mereka sebagai 'samseng taik minyak'. Kerana melanggar peraturan dan 'tunjuk samseng' Pendekar Mustar cuba 'diajar' oleh samseng-samseng. Tetapi Pendekar Mustar menggunakan ilmu dan pengalamannya mengalahkan mereka.

Watak Ramlee lakonan P.Ramlee juga disebut 'samseng' oleh seorang/seekor 'hantu kubur' kerana degil apabila diminta meninggalkan kubur yang menjadi tempat kediaman 'hantu-hantu'.  

Tetapi di akhir filem, 'samseng-samseng' Ahmad Nisfu benar-benar menunjukkan kesamsengan mereka apabila menculik anak gadis Pendekar Mustar. Terjadilah pertembungan antara pendekar dengan samseng dengan ketua pendekar (Ramlee) beradu satu lawan satu dengan ketua samseng (Sharif Dol).

Dalam filem Seniman Bujang Lapok P.Ramlee sendiri mengaku dirinya samseng (Kg. Entah) apabila bertembung sekali lagi dengan Sharif Dol (samseng Kg. Dusun). P.Ramlee menyebut demikian untuk menunjukkan kejantanannya di hadapan Cik Salmah (Saloma).

Tetapi samseng dalam filem-filem tersebut tidak boleh disamakan dengan 'gangsters' dalam filem-filem barat seperti The Godfather dan Goodfellas. Mungkin itulah sebabnya sebuah filem Melayu baru-baru ini diberi tajuk mengandungi perkataan 'gangster' dan tidak 'samseng'.

Cuma dalam filem Anakku Sazali P.Ramlee menjadi samseng yang bertaraf gangster. 'Siapa tak kenal dengan Sazali, ketua samseng terbesar di Singapura', katanya. Dia merompak dan merosakkan kehormatan sepupunya sendiri.

Pihak berkuasa kita lebih senang memanggil 'penjenayah' atau 'criminal' kepada mereka yang setaraf dengan 'gangsters' filem-filem Hollywood. Perkataan 'samseng' cuma digunakan kepada mereka yang melanggar peraturan jalanraya. 'Road bullies' diterjemah sebagai 'samseng jalanan'. Sekarang pula ada sebutan baru 'mat rempit' yang setaraf dengan 'samseng jalanan' . Tetapi golongan 'mat rempit' ini bangga pula dipanggil begitu. .

Oleh itu bila kita digelar 'samseng' atau 'tunjuk samseng' kita tidaklah marah sangat. Tidak seperti jika kita dipanggil 'haram jadah' atau 'barua'.

Monday, January 2, 2012

Yang patah takkan tumbuh lagi.

Minggu lepas aku mengikut seorang kawanku berjalan-jalan sambil mengambil satu barang yang ditempahnya. Sebelum perjalanan lagi perasaanku gelisah, seperti aku akan kehilangan satu benda yang aku sayangi.

Aku menaiki keretanya dan walau pun dia memandu laju aku merasa selamat kerana dia cekap memandu. Antara jalan yang kami tempuhi ialah jalan di mana beberapa hari kemudian tujuh nyawa terkorban akibat kemalangan jalan raya. Tetapi perasaan ku tetap gelisah dan aku cuba ubati keresahan itu dengan kerap menalipon isteri yang aku tinggalkan di rumah.

Setelah mendapat barang yang ditempahnya kami terus pergi ke satu tempat peranginan dan bermalam di sana. Seperti sebelumnya perasaan bimbang tetap menghantui fikiranku.

Esoknya setelah melawat beberapa tempat di tempat peranginan tersebut dan membeli beberapa buah tangan untuk orang-orang disayang kami pun balik. Di tengah-tengah perjalanan aku mengambil alih memandu kereta kawanku. Aku tidaklah memandu laju sepertinya, tetapi perasaanku tetap resah gelisah. Tetapi keresahan itu ada juga baiknya kerana aku berhati-hati supaya tidak ada apa-apa yang tidak diingini berlaku kepada kami.

Akhirnya aku pun sampai kembali ke rumah dan keluargaku setelah meninggalkannya lebih kurang 32 jam dan kawanku pula meneruskan perjalanan ke rumahnya. Aku bersyukur dan terus memikirkan apa yang aku resahkan dalam tempoh tersebut cuma hayalanku.

Pagi esoknya setelah balik dari membeli sedikit sarapan aku ternampak satu perubahan yang membuatkan aku berdebar. Bahu jalan menuju ke tangki air di hadapan rumahku telah diterangkan. Lalang dan tumbuhan lain yang telah bertahun panjang telah dipotong. Aku lihat pokok lombo yang selalu aku petik buahnya tidak berdaun lagi. Tetapi syukurlah ia tidak dipotong habis. Beberapa bulan lagi daunnya akan tumbuh semula dan ia akan mengeluarkan buah.

Aku teruskan berjalan ke atas bukit dan degup jantungku bertambah kuat melihat sesuatu yang langsung tidak ku duga. Aku ada menanam 4 pokok nangka dan 1 pokok mangga di lereng bukit menghala ke tangki air itu. Aku selalu menaiki bukit ini dan mengelilingi tangki air itu sekurang-kurang tiga kali seminggu untuk beriadah. Sambil berriadah aku gembira meilhat pokok-pokok yang aku tanam membesar. 3 dari pokok nangka itu hidup seperti biasa tetapi yang keempat hidup dengan subur. Jika yang 3 batang itu baru tinggi setengah meter, yang keempat sudah mencapai satu meter tingginya.

Dalam usia emasku sekarang aku tidak kisah sama ada aku sempat memakan buah-buah nangka dan mangga yang aku tanam itu nanti. Aku cuma hendak berjasa kepada tanah. Biarlah orang lain yang menerima hasilnya nanti.

Aku lihat 3 pokok nangka yang setengah meter itu masih ada kerana ia agak jauh dari jalan. Tetapi pokok nangka yang paling ketara dan setinggi satu meter itu sudah tiada. Aku terus menyingkap pokok-pokok lalang yang menutupnya dan melihat hanya tompok batangnya sepanjang 10 centimeter yang tinggal. Tiada dahan dan daun yang tinggal. Anak pokok mangga ku yang baru setinggi 30 centimeter tidak diapa-apakan.

Aku tahu tanah di mana pokok-pokok itu ditanam bukan tanahku. Ia kepunyaan pihak berkuasa bekalan air di negeriku. Tetapi kehadiran pokok-pokok tanaman ku itu tidak langsung menjejaskan tangki air berkenaan. Banyak lagi pokok-pokok liar yang tumbuh di lereng bukit ini. Aku sendiri baharu sahaja menebas pokok lalang yang tumbuh di sekeliling pokok nangka itu.

Jelaslah pokok nangka kesayanganku itu dipotong oleh kontraktor yang membersihkan jalan menghala ke tangki air itu. Semasa mereka datang isteriku pun tiada di rumah kerana pergi ke klinik. Jika tidak dia pun boleh membuat sesuatu.

Rupa-rupanya inilah yang mengganggu fikiranku sebelum ini. Walau pun kehilangan itu boleh diganti, ia tidak sama dengan yang hilang sebab 'yang patah tak kan tumbuh lagi.

"Salah tempat mau tunjuk samseng"

Saya dulu bersekolah di Tanjong Malim, Perak. Bangunan sekolah saya dulu sudah menjadi sebahagian dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim. Oleh itu saya tahu sedikit sebanyak mengenai Tanjong Malim. Dari itu apa-apa berita mengenai Tanjong Malim menarik perhatian saya.

Semalam saya terbaca berita mengenai beberapa orang menunjuk perasaan di atas jalan hadapan UPSI. Saya tidak mahu menerangkan siapa mereka ini dan apa tujuan mereka. Apa yang hendak saya beritahu di sini ialah  Balai Polis Tg. Malim terletak betul-betul di hadapan UPSI. Oleh itu siapa yang membuat hal di atas jalan di hadapan UPSI bermakna membuat hal di hadapan Balai Polis Tanjong Malim.

Jika jiran di hadapan rumah kita membuat hal seperti memekak di tengah malam di atas jalan yang memisahkan rumah-rumah kita adakah kita hendak berdiam diri sahaja? Lebih-lebih lagi jika kita mempunyai kuasa, terutama dalam hal menjaga keamanan.

Jadi mereka yang berdemo itu samalah seperti satu dialog dalam filem Pendekar Bujang Lapok.

"Salah tempat mau tunjuk samseng".  

Sunday, January 1, 2012

Ini bukan cara nak tarik pelancong.


Saya mulakan pos saya di tahun baru 2012 ini dengan satu teguran. Saya nampak notis di atas di kaunter tiket Keretapi Bukit Bendera, Pulau Pinang. Adalah jelas pihak berkuasa membezakan harga tiket diantara warganegara kita dengan orang asing. Seolah-olah nilai seorang asing adalah lebih tiga kali ganda dari rakyat negara sendiri. 

Untuk mengelakkan  mana-mana pihak merungut tentang perbezaan ini, harga tiket dalam Bahasa Melayu tidak ditulis dalam bentuk digit, tetapi dalam bahasa sepenuhnya. Terpaksalah siapa yang menaipnya menaip kebih sikit. Tujuannya ialah supaya orang asing tidak dapat membaca apa yang ditulis dalam bahasa kita. 

Tetapi tidakkah sesiapa yang memikirkan dirinya bijak dengan memberi notis cara ini sedar bahawa ada juga orang asing yang boleh membaca muslihat ini. Rakyat Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam boleh membacanya. Juga katakanlah seorang asing membeli tiket sebaik sahaja selepas seorang tempatan. Tidakkah dia hairan mengapa orang sebelumnya membayar hanya sepertiga dari yang dibayarnya?

Timbullah soalan saya mengapakah kita membezakan harga tiket ini diantara rakyat kita dengan rakyat asing? Miskin sangatkah kita untuk mendapatkan duit mereka cara ini? Atau murah sangatkah harga orang kita? Sedangkan kemudahan atau keselesaan yang diterima adalah sama. Kalau keretapi penuh orang tempatan dan asing sama-sama berdiri. 

Macam mana pula jika pihak-pihak lain juga membezakan harga-harga perkhidmatan di antara orang tempatan dengan orang asing? Harga tol, harga top-up telefon bimbit  dan harga letak kereta, contohnya.

Saya cadangkan supaya kita tidak membezakan harga tiket untuk tempat-tempat pelancongan seperti Keretapi Bukit Bendera ini. Bukankah dengan cara ini lebih ramai pelancong akan datang melancong ke negara kita?