Monday, September 12, 2022

MINAT BARU




Saya dapat tahu untuk memastikan otak kita sentiasa cergas, kita hendaklah terus belajar akan benda-benda baru. Siapa yang kenal rapat dengan saya tahu yang saya sememangnya suka belajar benda-benda baru. 

Semasa bersekolah dulu tabiat saya ini menyebabkan saya mengabaikan pelajaran akademik. Bila saya pergi ke pustakaan sekolah, saya banyak membaca bahan-bahan bukan akademik. Antara bahan yang saya baca ialah mengenai filem, muzik dan sukan. Sehingga sekarang ramai tidak percaya bahawa saya tidak mempunyai ijazah dari mana-mana universiti. 

Minat baru saya bermula beberapa bulan lalu bila saya melanggani program gusti di Astro. Tetapi gusti termasuk dalam pakej yang mengandungi kriket. Walau pun saya tidak meminati kriket (sehingga baru-baru ini) ia tidaklah asing bagi saya. Di awal tahun 1970an sukan itu dimainkan betul-betul di depan pejabat saya Majlis Perbandaran Seremban (MPS). Tetapi sekarang tidak lagi, kerana Padang N.S. di mana sukan itu dimainkan sudah kecil untuk memberi ruang kepada pembinaan Dewan Perbandaran Seremban. 

Kriket dikenalkan ke seluruh dunia oleh penjajah British. Tidak hairanlah ia amat diminati di negara-negara seperti Autralia, New Zealand dan Afrika Selatan. Tidak ketinggalan ialah negara-negara di selatan Asia seperti India, Pakistan, Bangladesh dan Sri Lanka. Sehinggakan Afghanistan yang tidak pernah dijajah oleh Britain juga kuat pasukan kriketnya. Sayang sekali kriket Malaysia tidak sekuat mana.

Permainan kriket tidaklah senang difahami seperti bolasepak. Tetapi dengan kemudahan internet, saya dapat memahaminya dalam masa yang singkat sahaja. Antara perkara baru saya belajar ialah makna lain untuk perkataan 'over'. 

Malam tadi baharu sahaja selesai perlawanan akhir  Asia Cup di mana pasukan Sri Lanka mengalahkan Pakistan dengan 23 'runs'. Mengikut pertandingan itu saya juga belajar fakta-fakta baru seperti berikut:
  • Sebutan akhir lagu kebangsaan negara Afghanistan ialah 'Allahu Akbar'
  • Pemain-pemain Afghanistan, Bangaladesh dan Pakistan memulakan perbualan mereka dengan media massa dengan menyebut 'Bismillahirrahmanirrahim'.
Sekian.