Sunday, July 24, 2022

ZIARAHLAH KAWAN-KAWAN KITA.

Salah seorang kawan yang kami ziarah.

Lebih kurang dua tahun yang lalu saya menziarahi seorang kawan sekerja dan se pejabat saya yang uzur. Kami sudah bersara, tetapi itulah pertemuan kedua kali setelah kami meninggalkan alam bekerja. Kami pertama ialah semasa dia masuk hospital tidak berapa lama selepas bersara.

Tidak disangka, pertemuan kami itu adalah pertemuan terakhir kami kerana kawan saya itu meninggal dunia beberapa bulan kemudian. Pertemuan itu pun bukan rancangan saya sebenarnya, tetapi atas desakan seorang kawan kami yang tinggal di negeri Johor. Kami bertiga dulu pernah bertugas di negeri Kelantan semasa kami semua bujang.

Apa yang mencabar saya semasa pertemuan itu ialah apabila mendengar jawapannya kepada soalan saya. Soalan saya ialah adakah kawan-kawan se pejabat turut menziarahnya. Jawapannya ada, tetapi amat kurang dan kebanyakan kawan-kawan yang menziarahnya ialah kawan-kawan sama sekolah.

Saya berfikir kita bersekolah cuma berbelas tahun, tetapi bekerja berpuluh tahun. Lebih-lebih lagi kami yang bekerja di Pihak Berkuasa Tempatan bekerja di satu tempat sehingga bersara. Sudah tentu persahabatan lebih akrab dari kawan-kawan sama sekolah. 

Dari itu saya bertekad untuk menyertai apa-apa program ziarah oleh kawan-kawan se pejabat saya. Sejak bersara saya aktif dalam satu persatuan pesara dan dari itu saya sedar betapa pentingnya mengekalkan hubungan antara para pesara. Oleh itu bila dipanggil untuk menyertai satu kumpulan WhatsApp pesara  jabatan saya dulu iaitu Majlis Perbandaran Seremban (MPS) (yang sudah dinaiktaraf ke Majlis Bandararaya) saya tidak keberatan menerimanya.

Kemudian saya dapati ada satu kumpulan yang memanggil diri mereka 'Veteran Parking' di dalamnya.  Mereka pada asalnya bertugas sebagai Attendan Letak Kereta di MPS. Kemudian ramai dari mereka diserapkan ke jawatan-jawatan lebih tinggi di MPS seperti Pengawas, Penguatkuasa dan Penolong Pegawai Tadbir. Tetapi bila bersara mereka bersatu sebagai 'Veteran Parking'.

Salah satu tugas khidmat mereka ialah menziarah 'veteran' atau pesara MPS yang uzur. Yang bagusnya ialah 'veteran' yang dimaksudkan ini terdiri dari semua pesara MPS tidak kira apa jawatan atau bangsa dan agama mereka. Oleh kerana mereka menziarah dengan buah tangan, sudah tentu mereka mempunyai tabung kewangan sendiri. Saya tanpa malu dan segan mohon untuk menyertai program ziarah mereka.

Itulah yang saya buat beberapa hari yang lepas bersama kumpulan 'Veteran Parking' ini. Memang seronok dapat berjumpa semula dengan kawan-kawan lama. Ini merupakan lawatan kedua saya dengan mereka. Selepas ini kami hendak  mencari mana-mana pesara MPS yang uzur dalam daerah Seremban sebelum pergi ke luar daerah pula.

Sekian.

 

Tuesday, July 12, 2022

SAYA PUN ADA GODFATHER



Antara filem yang saya paling suka ialah The Godfather. Sudah berpuluh kali saya melihatnya mula-mula dari pita video dan sekarang dari DVD BluRay. Sebenarnya semasa bekerja dulu saya juga mempunyai seorang Godfather. Gelaran Godfather Seremban itu diberi oleh seorang kawan sekerja saya. 

Walau pun saya tidak pernah bertanya kepada kawan saya ini kenapa dia memberi gelaran Godfather kepada orang berkenaan, saya boleh meneka. Kerana Godfather ini mempunyai ramai anak-anak angkat yang memerlukan perlindungannya.  Mengikut kawan saya, dia menonton filem The Godfather semasa  berkursus di Amerika Syarikat. Saya pula membaca buku The Godfather sebelum melihat filemnya. Setelah itu saya secara diam-diam rapat dengan Godfather ini. Cuma hubungan saya dengan Godfather ini lebih sebagai kawan dibandingkan dengan antara bapa angkat dengan anak angkat.

Setelah melihat filem The Godfather Part II di mana ada sebutan "Keep your friends close, your enemies closer" dan melihat sendiri contoh-contohnya di sekeliling, saya lebih rapat lagi dengan Godfather ini. Cuma saya tidak pernah menganggap Godfather saya ini sebagai musuh, walau pun saya tahu dia memang ramai musuh. 

Satu hari saya dipanggil oleh Godfather ke pejabatnya. Ini memeranjatkan saya, kerana sebelum ini saya berjumpanya secara sukarela tanpa dipanggil. Dia pun bertanya saya akan satu masalah yang saya hadapi tidak lama sebelum itu. Samalah seperti seorang Godfather atau Don bertanyakan masalah yang dihadapi oleh anak angkatnya.  Saya pun menceritakan kepadanya akan masalah itu dari A ke Z. 

Masalahnya kecil sahaja. Ada seorang muda yang ingin berniaga kayu datang ke rumah saya memohon kebenaran membina bangunan untuk perniagaannya. Saya terangkan skop kerja saya ialah lesen perniagaan sedangkan pendirian apa-apa bangunan tidak. Jawapan saya ialah untuknya mendapatkan dahulu kelulusan bangunan, kemudian baru juma saya untuk mendapatkan lesen. 

Saya menjangka jika orang muda ini membuat permohonan mendirikan bangunan, ia akan ditolak, kerana bangunan itu berada di rezab Laluan Persekutuan yang tidak lama lagi akan dilebarkan. Saya tidak tahu sama ada dia sudah tahu akan status tanah dan ingin mengambil kesempatan menerima pampasan apabila diminta mengosongkannya nanti. 

Tiba-tiba saya lihat bangunan sudah didirikan, mungkin di hujung minggu. Memikirkan sudah tentu  pejabat saya akan bertindak dan memikirkan orang muda ini akan menyebut nama saya, saya terus melapurkan akan pembinaan haram itu. Jabatan berkenaan di pejabat saya pun merobohkan pembinaan itu.

Selang beberapa minggu orang muda itu datang sekali lagi ke rumah saya. Secara lembut dia berkata dia menerima akan tindakan pejabat saya. Kemudian secara lembut juga dia berkata telah berbincang dengan rakan-rakan perniagaannya dan memutuskan saya bertanggung jawab terhadap kerugian yang ditanggungnya. Oleh itu secara lembut dia menuntut saya membayar ganti rugi.

Secara lembut juga saya menjawab akan membayar setiap sen kerugian yang ditanggung olehnya dan rakan-rakannya, tetapi dengan satu syarat. Syaratnya ialah saya diperintahkan oleh pihak berkuasa untuk berbuat demikian.

Pihak berkuasa itu sama ada pejabat saya atau mahkamah. Oleh itu dia boleh menuntut terus dari pejabat saya. Jika pejabat saya memutuskan yang mereka telah membuat keputusan salah merobohkan bangunannya dan mempertanggungjawabkan kesalahan itu kepada saya, saya akan membayar setiap sen gantirugi. Saya juga redha dibuang kerja.

Pilihan kedua ialah untuknya membuat aduan mahkamah ke atas diri saya secara peribadi. Jika mahkamah memutuskan saya bersalah, saya akan menerima apa-apa hukuman yang dijatuhkan termasuk membayar ganti rugi dan dipenjara. Saya yakin dia tidak berani membuat apa-apa sepert yang saya cadangkan itu.

Setelah mendengar cerita saya itu, Godfather berkata sebenarnya orang muda itu ada datang berjumpanya. Ini seperti di permulaan filem The Godfather di mana seorang anak buah Godfather datang memohon keadilan setelah tidak berpuas hati atas keputusan mahkamah terhadap mereka yang mencederakan anak perempuannya. Sudah tentu anak muda ini datang berjumpa Godfather kerana tidak puas hati terhadap jawapan saya terhadap ugutannya.

Saya tanya Godfather "Dia hendak abang buat apa?". Godfather jawab "Dia hendak saya pukul you". Godfather menggunakan bahasa sebagaimana kami bertutur selama ini dan bukan "aku" dan "kau" seperti yang saya lihat dia bertutur dengan anak-anak angkatnya yang lain.

Kemudian saya jawab "Abang pukullah saya". Godfather hanya ketawa dan menceritakan apa jawapannya kepada orang muda itu. Jawapannya ialah "Sebelum aku pukul Maarof tu, aku pukul kau dulu". Saya pun ucapkan terima kasih kepadanya. 

Tidak berapa lama setelah robohnya bangunan yang saya adukan itu, tekaan saya tepat. Laluan Persekutuan yang saya maksudkan dilebarkan. Jadi tidak payahlah Kerajaan Persekutuan membayar pampasan kepada sesiapa. 

Bila Godfather meninggal dunia saya dan kawan sekerja saya (yang memberi gelaran itu) pergi menziarah. Melihat ramainya anak-anak angkat Godfather yang sama-sama menziarah, kawan saya berkata "He was a legend, no wonder the big crowd".    

Sejak itu juga saya tidak lagi mempunyai siapa-siapa Godfather. Seperti Michael Corleone dalam filem The Godfather, The Godfather Part II dan The Godfather Part III, saya fikir sudah layak menjadi seorang Godfather.