Setelah bersara ini saya kadang-kadang terfikir tidak perlu saya berwatak kemas oleh kerana saya tidak perlu berdepan dengan ketua, kawan-kawan sekerja dan orang awam seperti dahulu. Terfikir juga saya untuk membiarkan misai dan janggut saya menjadi panjang, barulah mencukurnya. Begitu juga saya terfikir untuk membiarkan rambut saya menjadi panjang sebelum ke kedai gunting.
Tetapi saya tidak berbuat demikian. Biarklah saya nampak kemas seperti dulu. Tiap-tiap pagi saya mencukur misai dan janggut saya, walau pun ramai yang berkata sebagai orang Islam kita perlu menyimpan sedikit janggut. Saya juga pergi ke kedai gunting rambut apabila nampak sedikit rambut panjang menutup telinga saya.
Setiap minggu saya pergi ke satu Pasar Tani di Seremban bersama isteri saya Salmah. Memang menjadi masalah untuk mendapatkan tempat letak kereta berhampiran dengan Pasar Tani, di mana-mana pun. Setiap peniaga Pasar Tani mempunyai kenderaan mereka sendiri, sama ada kereta biasa, van atau pun lori. Oleh kerana mereka yang paling awal datang, sudah tentu mereka mendapat tempat-tempat yang paling hampir. Mereka pula hanya akan mengosongkan tempat-tempat mereka setelah selesai berniaga. Jadi kami pembeli terpaksalah meletakkan kenderaan di kawasan agak jauh dari tapak sebenar.
Begitulah juga saya terpaksa meletakkan kereta agak jauh dari tapak Pasar Tani, kadang-kadang terpaksa menyeberang jalan. Bukan jalan kampung, jalan perbandaran atau jalan negeri, tetapi Laluan Persekutuan yang sudah tentu sibuk dengan kenderaan.
Beberapa minggu lepas saya meletakkan kereta di hadapan sebuah rumah banglo yang kebetulan bersempadan dengan Pasar Tani ini. Saya terfikir alangkah baiknya jika saya dapat merentas kawasan rumah ini dan pergi ke Pasar Tani. Memikirkan itu satu perkara yang agak mustahil kami pun berjalan jauh untuk pergi ke Pasar Tani. Cuma kali ini kami tidak membahayakan diri dengan melintas apa-apa jalan.
Setelah selesai membeli apa yang kami perlukan kami pun kembali ke kereta. Di situ saya terserempak dengan tuan rumah di hadapan mana kereta saya diletak. Saya terfikir agaknya tuan rumah ini hendak menegur saya supaya tidak lagi meletakkan kereta di situ. Jika begitu niatnya saya sudah ada jawapannya iaitu saya meletak kereta di tempat awam, walau pun di hadapan rumahnya.
Alangkah terperanjatnya kami berdua bila dia berkata lain kali kami boleh merentas kawasan rumahnya untuk pergi ke Pasar Tani. Dia sempat menunjukkan pintu besi yang menjadi sebahagian dari tembok yang memisahkan kawasan rumahnya dengan Pasar Tani. Katanya lagi pintu besi itu walau pun nampak tertutup, sebenarnya tidak berkunci. Dia membenarkan kami manolak pintu besi itu untuk Pasar Tani dan sebaliknya.
Semenjak hari itu tiap-tiap kali kami kami ke Pasar Tani kami akan meletakkan kereta di hadapan rumahnya atau berhampiran dan pergi ke Pasar Tani merentas kawasan rumahnya. Saya juga perhatikan tidak ada orang lain yang berbuat demikian. Mungkin tidak ramai yang diberi kemudahan serupa oleh tuan rumah ini.
Beberapa minggu dulu saya pergi ke satu bank untuk memasukkan satu cek dalam akaun ibu saya. Saya membawa sekali buku akaun ibu saya itu dan mendapati ia telah lama tidak dikemaskini. Dari itu selesai sahaja saya memasukkan cek menggunakan mesin, saya pun terus ke kaunter dan menanyakan bagaimana saya boleh mengemaskini akaun itu. Seorang kakitangan disitu menjawab dia boleh membuatnya, tetapi apabila melihat akaun itu bukan akaun saya sendiri dia memberi saya satu borang yang berupa borang izin dari ibu saya. Ibu saya dikehendaki menandatangani atau meletakkan cap jarinya di borang tersebut.
Saya pun menyatakan saya bukan hendak mengeluarkan wang, cuma mengemaskini sahaja. Kakitangan itu menjawab ini satu langkah keselamatan kerana pernah berlaku kes penipuan sebelum ini. Sedang saya ingin meninggalkannya dia meminta buku akaun itu dari saya. Setelah memandang keliling dia terus menaip di keyboard komputernya dan mengemaskinikan akaun ibu saya. Saya menyedari dia telah melanggar peraturan banknya dan setelah menerima semula buku akaun, saya mengucapkan terima kasih kepadanya dengan perlahan dan terus beredar.
Dalam kedua-dua kes ini saya langsung tidak mengenali orang yang menolong saya. Saya sendiri tidak rela sesiapa merentas kawasan rumah saya jika saya tidak kenal orangnya. Saya juga tidak mahu menghadapi tindakan tata tertib jika melanggar apa-apa peraturan jabatan saya. Tetapi fikir salah satu sebab mengapa mereka sanggup menolong saya ialah kerana perwatakan kemas saya dan isteri saya.