Wednesday, April 4, 2018

Bila Boys of Razak menyokong Girls of Kurshiah.

Pasukan bolakeranjang SDAR dan TKC dengan hadiah kemenangan mereka. Jurulatih mereka Dr. Zamri Chik berdiri di tengah-tengah belakang.


Dr. Zamri memberi arahan serious kepada pemain-pemain SDAR.

Giliran TKC pula menerima senyum ransangan dari Dr. Zamri.

Boys of Razak.

Saya menerima kejutan di hujung minggu lepas. Saya pergi ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (China) Ma Hwa, Kg. Baru Rasah, Seremban melihat dan menyokong perlawanan bolakeranjang. Sekolah saya, Sekolah Dato' Abdul Razak atau SDAR menjuarai Kejohanan Bolakeranjang Sekolah Berasrama Penuh Zon Selatan.

Apa yang mengejutkan saya bukan sahaja budak-budak SDAR yang boleh saya panggil cucu itu menyokong pasukan sekolah kami. Mereka yang memanggil diri sebagai Boys of Razak juga menyokong satu pasukan lain. Pasukan yang disokong itu pula dari sekolah yang selama ini kami anggap memandang rendah kepada kami. Sekolah yang saya maksudkan ialah Kolej Tunku Kurshiah atau lebih dikenali sebagai TKC iaitu singkatan kepada Tunku Kurshiah College.   

Pandangan rendah TKC kepada SDAR tidak menghairankan dan ini sudah ada semasa saya masih belajar di SDAR di Tanjong Malim, Perak dulu. Kami lelaki yang berjaya masuk ke SDAR terdiri dari budak-budak kampung dari Sekolah Kebangsaan beraliran Melayu. Mereka perempuan yang berjaya ke TKC pula terdiri dari budak-budak bandar dari Sekolah Rendah beraliran Inggeris. Biasanya Sekolah-sekolah Beraliran Inggeris terletak di bandar-bandar. 

Sudah tentu budak-budak bandar memandang rendah kepada budak-budak kampung, tidak kira lelaki perempuan. Ini ditambah lagi bila mereka berbahasa Inggeris dari sekolah rendah lagi sedangkan kami hanya mula berbahasa Inggeris bila masuk SDAR. Dari itu tidak mungkin ada budak lelaki dan budak perempuan dari sekolah rendah yang sama kemudian pergi bersekolah menengah ke SDAR dan TKC. 

Budak-budak perempuan TKC menganggap saingan lelaki mereka ialah budak-budak lelaki dari Kolej Melayu, Kuala Kangsar yang lebih dikenali sebagai MCKK iaitu singkatan kepada Malay College Kuala Kangsar.

Saingan perempuan bagi kami pula ialah Sekolah Tun Fatimah atau STF, Johor Bahru. Ramai budak-budak SDAR dan STF datang dari Sekolah Kebangsaan yang sama di kampung yang sama. 

Pandangan rendah TKC kepada SDAR itu berterusan walau pun SDAR berpindah ke Seremban pada tahun 1972  dan tapaknya pula hanya jarak satu kilometer dari TKC.

Keadaan sekarang sudah berubah. SDAR sudah berpindah ke kampus baru di Sungai Gadut pada tahun 2001 dan TKC pula baru sahaja berpindah ke Sendayan. Budak-budak SDAR pula kebanyakannya bukan budak-budak kampung lagi.  

Di perlawanan separuh akhir kebetulan antara TKC dan STF saya mula sedar akan sokongan Boys of Razak kepada TKC. Saya fikirkan tentu Boys of Razak menyokong STF, tetapi tidak

Jawapanya dipegang oleh seorang bekas penuntut SDAR. Beliau ialah Professor Dr. Zamri Chik yang pernah mengalami kehebatan bermain bolakeranjang. Beliau menjadi sebahagian dari pasukan bolakeranjang SDAR yang pernah menjadi Johan Bolakeranjang Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) peringkat Negeri Sembilan di awal tahun-tahun tujuh puluhan. SDAR juga pernah beberapa kali menjadi johan Bolakeranjang Sekolah Berasrama Penuh Malaysia. Dr. Zamri juga pernah bermain untuk pasukan Malaysia, yang jarang terjadi kepada seorang bukan berbangsa China.

Kerana kehebatan itulah Dr. Zamri dipanggil oleh SDAR untuk menjadi jurulatih pasukan mereka. Dr. Zamri memberitahu saya dia sanggup menolong SDAR atas cintanya kepada permainan itu. Dia sudah bertaraf JUSA di perkhidmatan awam dan sudah tentu tidak mengejar wang.

Tidak setakat melatih pasukan SDAR, Dr. Zamri diminta melatih pasukan TKC pula. Mungkin kerana keadaan sudah berubah dan budak-budak SDAR bukan dianggap budak-budak kampung lagi oleh TKC dia menerima tawaran itu. 

Sekurang-kurang dia berjaya setakat ini iaitu di Zon Selatan, merangkumi negeri-negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Bukan sahaja SDAR menjadi johan kategori lelaki, TKC menjadi johan kategori perempuan. Mungkin ini menjadi satu rekod bila seorang jurulatih berjaya di dua sekolah berasingan di kejohanan yang dijalankan serentak.

Di semua perlawanan mereka saya perhatikan SDAR mendahului lawan mereka dari mula lagi. Dari itu Dr. Zamri seolah-olah tidak perlu buat apa-apa. Tetapi TKC terpaksa mengekor dahulu sebelum menang akhirnya. Saya bertanya kepada Dr. Zamri bagaimana dia menaikkan semangat budak-budak TKC. Dia memberi contoh di mana seorang pemain TKC tidak mahu terus bermain kerana sakit kaki. Dr. Zamri memintanya 'menyimpan' rasa sakit itu sehingga tamat permainan.

Sekian.