Friday, June 24, 2016

Bila 'Sistem' tidak mesra pengguna.

Salah satu syarat bank yang memberi pinjaman (mereka sebut pembiayaan peribadi) kepada pesara kerajaan ialah duit pencen wajib dimasukkan ke bank mereka. Tiap-tiap bulan, sebaik sahaja duit pencen saya dimasukkan ke bank tersebut (setelah dipotong bayaran balik pinjaman) saya terus memindahkan hampir semua wang itu ke bank lama, kerana saya selesa berurusan dengannya. Ini saya buat melalui 'internet banking' dengan kos sebelas sen setiap pemindahan iaitu sepuluh sen sebagai caj bank dan satu sen untuk GST.

Baru-baru ini setelah menerima pencen, saya pun membuat pemindahan seperti biasa. Kemudian baru saya sedar bank pertama itu tidak memotong pinjaman seperti mereka buat sebelum ini. Apabila saya menalipon talian yang diberi oleh bank (seperti tertera di laman web mereka), jawapan mereka ialah bayaran pinjaman saya itu belum sampai tarikh matang atau 'due date' lagi. Oleh kerana duit saya yang tinggal di akaun bank pertama ini tidak cukup, saya membuat pemindahan dari bank kedua yang melibatkan kos sebelas sen. Saya juga diberitahu 'sistem' akan memindahkan wang saya itu ke akaun pinjaman saya bila 'due date' sampai.

'Due date' telah lepas dua hari dan wang saya masih belum berpindah dari akaun biasa ke akaun pinjaman. Saya beberapa kali menalipon nombor yang terdapat di laman web mereka dan panggilan asyik terputus setelah diminta 'menunggu di talian'. Akhirnya saya memutuskan untuk pergi terus ke bank.

Di sana saya dilayan dengan baik. Pegawai bank menasihatkan saya supaya membayar pinjaman itu di kaunter. Bila saya tanya bolehkah saya membuat pindahan melalui mesin ATM, pegawai itu agak terperanjat. Agaknya dia fikir 'orang tua' ini tidak tahu membuat pindahan wang menggunakan kad ATM. Dia pun memberi nombor akaun pinjaman saya (yang selama ini saya tidak pernah ambil tahu).

Setelah melayan seorang pelanggan lain, pegawai itu bergegas datang ke mesin ATM untuk melihat sama ada saya berjaya membuat pemindahan tersebut. Belum pun sempat dia sampai ke ruang mesin ATM saya telah menunjukkannya resit transaksi saya.

Sekian.

Sunday, June 12, 2016

Bila klinik dikatakan hospital.

Malam minggu lepas, seperti di hujung-hujung minggu sebelumnya, saya keluar dengan kawan saya seorang Cina. Bila masa nak berhenti minum dia ajak saya pergi ke satu restoran di sebelah satu 'hospital' di Senawang dan katanya lagi kami pernah ke restoran itu.

Fikiran saya terus ke satu hospital swasta di Senawang. Tetapi saya katakan restoran ada di belakang hospital itu, bukan di sebelah. Dia bertegas mengatakan restoran itu terletak di sebelah 'hospital'.

Setelah diminta penerangan lanjut barulah saya tahu 'hospital' yang dimaksudkan ialah Klinik Kesihatan Senawang. Mula-mula saya menegurnya kerana tidak boleh membezakan klinik dengan hospital. Tetapi bila difikirkan kembali bukan dia seorang yang bersikap begitu.

Semasa saya bekerja di Kelantan pada tahun 1972 cuma terdapat dua hospital di negeri itu iaitu di Kota Bharu dan Kuala Kerai. Selainnya ialah Pusat Kesihatan. Pusat-pusat Kesihatan itulah yang sekarang dinaiktaraf menjadi Klinik Kesihatan.

Saya masih ingat ramai orang Pasir Puteh yang saya jumpa memanggil Pusat Kesihatan mereka sebagai hospital. Tetapi sekarang Pasir Puteh sudah betul-betul mempunyai Hospital yang terletak agak jauh dari Pusat Kesihatan itu. Saya tak tahu apa panggilan orang Pasir Puteh kepada Pusat Kesihatan yang sudah ditukar nama kepada Klinik Kesihatan itu.

Emak saya sendiri yang menerima pemeriksaan kesihatan berkala di Klinik Kesihatan Jelebu memanggilnya hospital walau pun terdapat satu sekolah menengah diantara Klinik itu dengan Hospital Jelebu.

Saya ingatkan kawan saya itu saya bimbang kekeliruan identiti ini boleh menjadi krisis antara hidup dengan mati. Bagaimana jika ada kes kecemasan di waktu malam dan seorang yang memerlukan rawatan kritikal dibawa ke Klinik Kesihatan. Di sana mereka dapati ia ditutup dan masa telah banyak terbuang sedangkan mereka boleh pergi terus ke mana-mana hospital sebenar. 

Friday, June 3, 2016

Agaknya baru sedar mereka tu Melayu!


Bila saya tengok orang PAS memakai busana Melayu kenangan saya pergi ke lebih dua puluh tahun yang lalu. Mungkin juga lebih tiga puluh tahun yang lalu. 

Hari esoknya pilihanraya umum negara, entah ke berapa saya sudah lupa. Tiba-tiba saya nampak satu risalah dalam peti surat saya.

Risalah itu menyebut satu hadith yang menyatakan orang perempuan tidak boleh jadi pemimpin. Sebutnya lagi maka berdosalah siapa yang mengundi calon perempuan di pilihanraya esok hari.

Budak yang belum layak mengundi pun tahu siapa yang memasukkan risalah itu ke peti-peti surat seluruh taman saya dan apa tujuannya. Ini kerana calon UMNO/BN yang bertanding untuk kerusi Dewan Negeri di kawasan saya itu seorang perempuan yang mempertahankan kerusinya. Lawannya pula calon PAS seorang lelaki. Sudah tentu orang PAS yang memasukkan risalah itu, melainkan jika ada orang UMNO/BN nak sabotaj calon mereka.

Memang di masa itu PAS tidak mencalonkan seorang pun calon perempuan baik di kerusi Dewan Undangan Negeri atau Parlimen. Tetapi mengapa sekarang mereka melanggar peraturan yang mereka sendiri buat? Contohnya calon PAS untuk kerusi Parlimen Kuala Kangsar di Pilihanraya kecil tidak lama lagi ialah seorang perempuan.Sudah lupakah pada tuduhan berdosa itu?

Sekarang baru saya nak pergi ke pakaian busana Melayu itu. Tidakkah selama ini PAS sinonim dengan pakaian jubah, sedangkan UMNO sinonim dengan baju Melayu? Kepada siapa yang tidak tahu, jubah ialah pakaian lelaki Arab tidak kira apa agama mereka. Saya ada tengok orang Arab beragama Kristian memakai jubah sambil mengusung salib dalam program National Geographic.

Itu sebab saya memarahi isteri saya bila dia diam-diam membeli jubah di Makkah semasa kami mengerjakan Haji dan meminta saya memakainya. Untuk pengetahuan, semasa mengerjakan Haji, selain memakai kain ihram saya hanya memakai baju Melayu di sana. Jubah saya tak main.

Berbalik kepada gambar di atas. Nampaknya PAS cuba hendak mengalahkan UMNO (yang selesa dengan baju Melayu) dengan memakai busana Melayu, lengkap dengan tanjak dan keris. Agaknya baru sekarang orang PAS sedar bahawa mereka itu Melayu sebenarnya.