Friday, June 3, 2016

Agaknya baru sedar mereka tu Melayu!


Bila saya tengok orang PAS memakai busana Melayu kenangan saya pergi ke lebih dua puluh tahun yang lalu. Mungkin juga lebih tiga puluh tahun yang lalu. 

Hari esoknya pilihanraya umum negara, entah ke berapa saya sudah lupa. Tiba-tiba saya nampak satu risalah dalam peti surat saya.

Risalah itu menyebut satu hadith yang menyatakan orang perempuan tidak boleh jadi pemimpin. Sebutnya lagi maka berdosalah siapa yang mengundi calon perempuan di pilihanraya esok hari.

Budak yang belum layak mengundi pun tahu siapa yang memasukkan risalah itu ke peti-peti surat seluruh taman saya dan apa tujuannya. Ini kerana calon UMNO/BN yang bertanding untuk kerusi Dewan Negeri di kawasan saya itu seorang perempuan yang mempertahankan kerusinya. Lawannya pula calon PAS seorang lelaki. Sudah tentu orang PAS yang memasukkan risalah itu, melainkan jika ada orang UMNO/BN nak sabotaj calon mereka.

Memang di masa itu PAS tidak mencalonkan seorang pun calon perempuan baik di kerusi Dewan Undangan Negeri atau Parlimen. Tetapi mengapa sekarang mereka melanggar peraturan yang mereka sendiri buat? Contohnya calon PAS untuk kerusi Parlimen Kuala Kangsar di Pilihanraya kecil tidak lama lagi ialah seorang perempuan.Sudah lupakah pada tuduhan berdosa itu?

Sekarang baru saya nak pergi ke pakaian busana Melayu itu. Tidakkah selama ini PAS sinonim dengan pakaian jubah, sedangkan UMNO sinonim dengan baju Melayu? Kepada siapa yang tidak tahu, jubah ialah pakaian lelaki Arab tidak kira apa agama mereka. Saya ada tengok orang Arab beragama Kristian memakai jubah sambil mengusung salib dalam program National Geographic.

Itu sebab saya memarahi isteri saya bila dia diam-diam membeli jubah di Makkah semasa kami mengerjakan Haji dan meminta saya memakainya. Untuk pengetahuan, semasa mengerjakan Haji, selain memakai kain ihram saya hanya memakai baju Melayu di sana. Jubah saya tak main.

Berbalik kepada gambar di atas. Nampaknya PAS cuba hendak mengalahkan UMNO (yang selesa dengan baju Melayu) dengan memakai busana Melayu, lengkap dengan tanjak dan keris. Agaknya baru sekarang orang PAS sedar bahawa mereka itu Melayu sebenarnya.

No comments: