Salah satu syarat bank yang memberi pinjaman (mereka sebut pembiayaan peribadi) kepada pesara kerajaan ialah duit pencen wajib dimasukkan ke bank mereka. Tiap-tiap bulan, sebaik sahaja duit pencen saya dimasukkan ke bank tersebut (setelah dipotong bayaran balik pinjaman) saya terus memindahkan hampir semua wang itu ke bank lama, kerana saya selesa berurusan dengannya. Ini saya buat melalui 'internet banking' dengan kos sebelas sen setiap pemindahan iaitu sepuluh sen sebagai caj bank dan satu sen untuk GST.
Baru-baru ini setelah menerima pencen, saya pun membuat pemindahan seperti biasa. Kemudian baru saya sedar bank pertama itu tidak memotong pinjaman seperti mereka buat sebelum ini. Apabila saya menalipon talian yang diberi oleh bank (seperti tertera di laman web mereka), jawapan mereka ialah bayaran pinjaman saya itu belum sampai tarikh matang atau 'due date' lagi. Oleh kerana duit saya yang tinggal di akaun bank pertama ini tidak cukup, saya membuat pemindahan dari bank kedua yang melibatkan kos sebelas sen. Saya juga diberitahu 'sistem' akan memindahkan wang saya itu ke akaun pinjaman saya bila 'due date' sampai.
'Due date' telah lepas dua hari dan wang saya masih belum berpindah dari akaun biasa ke akaun pinjaman. Saya beberapa kali menalipon nombor yang terdapat di laman web mereka dan panggilan asyik terputus setelah diminta 'menunggu di talian'. Akhirnya saya memutuskan untuk pergi terus ke bank.
Di sana saya dilayan dengan baik. Pegawai bank menasihatkan saya supaya membayar pinjaman itu di kaunter. Bila saya tanya bolehkah saya membuat pindahan melalui mesin ATM, pegawai itu agak terperanjat. Agaknya dia fikir 'orang tua' ini tidak tahu membuat pindahan wang menggunakan kad ATM. Dia pun memberi nombor akaun pinjaman saya (yang selama ini saya tidak pernah ambil tahu).
Setelah melayan seorang pelanggan lain, pegawai itu bergegas datang ke mesin ATM untuk melihat sama ada saya berjaya membuat pemindahan tersebut. Belum pun sempat dia sampai ke ruang mesin ATM saya telah menunjukkannya resit transaksi saya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment