Semasa Perang Vietnam atau The Vietnam War apabila askar Amerika menyangka dirinya akan mati akibat tembakan dia akan menyebut 'Ma' iaitu memanggil emaknya. Seolah-olah dia teringatkan orang yang membawanya ke dunia di saat-saat dia akan meninggalkannya.
Saya sekarang sudah bersara. Walau pun saya bekerja selama 38 tahun dengan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) ingatan saya sekarang banyak tertumpu keapda kenangan bekerja selama 4 tahun dengan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelumnya. Oleh itu saya sekarang sangat berminat kepada isu-isu yang melibatkan Kementerian tersebut. Kebetulan pula Timbalan Menteri KKM sekarang, Dr. Hilmi Yahya ialah kawan sekelas saya semasa di Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) Tanjong Malim, Perak.
Salah satu itu yang hangat sekarang dan melibatkan KKM ialah isu immunisasi untuk kanak-kanak di mana ramai penjaga tidak mahu anak kecil mereka menerima immunisasi. Ini kerana mereka terbaca kononnya vaksin untuk immunisasi itu berpunca dari sumber tidak halal. Ada juga yang percaya vaksin itu lebih memudaratkan dari membawa kebaikan.
Saya masih ingat antara subjek pertama diajar semasa diambil bekerja dulu ialah tentang immunisasi ini. Antara immunisasi itu dipanggil 'triple antigen' atau vaksin untuk tiga penyakit. Penyakit-penyakit itu ialah 'Diphteria', 'Tetanus' atau kancing gigi dan 'Whooping Cough" atau batuk kokol. Sekarang 'Whooping Cough' dipanggil 'Pertussis'.
Mungkin ramai yang masih keliru apa dia proses immunisasi ini. Prosesnya senang sahaja untuk difahami. Vaksin yang sebenarnya mengandungi kuman-kuman penyakit yang kita hendak hindari itu dimasukkan ke badan manusia (dalam kes biasa bayi dan kanak-kanak). Cara memasukkannya sama ada dengan suntikan atau melalui mulut. Itulah sebabnya anak-anak kita akan demam sebaik sahaja diberi vaksin immunisasi. Tetapi kerana jumlah kumannya amat sedikit kuman itu tidak membahayakan dan anak-anak kita akan sembuh dalam beberapa hari,
Badan anak-anak kita yang diserang oleh kuman dalam vaksin itu akan mengeluarkan apa yang dipanggil 'anti-bodies' yang tugasnya tidak lain tidak bukan seakan-akan askar melawan dan membunuh kuman-kuman yang menyerang tadi. Kemudian 'anti-bodies' atau askar tadi akan berada dalam badan anak-anak kita selama-lamanya.
Akibatnya jika kuman-kuman penyakit sebenar yang dibawa pesakit lain datang menyerang anak-anak kita, 'anti-bodies' atau askar yang sudah bersiap siaga dalam badan mereka akan menentang kuman-kuman itu habis-habisan dan menghapuskannya.
Program immuninasi negara kita cukup berjaya sehingga ketiga-tiga penyakit Diphteria, Tetanus dan Whooping Cough sudah dihapuskan. Tetapi dengan kedatangan pendatang asing di mana keadaan kesihatan negara asal mereka tidak seperti negara kita, penyakit-penyakit itu nampaknya sudah muncul kembali.
Cuba bayangkan anak-anak kita tidak mempunyai 'anti-bodies' atau askar kerana tidak diberi immunisasi dari kecil. Penyakit-penyakit berjangkit yang dibawa pendatang asing itu dengan senang menyerang anak-anak kita. Mungkin di masa serangan badan mereka akan cuba mengeluarkan 'anti-bodies' atau askar. Tetapi kerana serangan terlalu kuat kuman-kuman yang datang dengan senang membunuh 'anti-bodies' atau askar yang baru hendak dikeluarkan itu. Akibatnya anak kita boleh ditimpa maut.
Tidakkah kita berasa bersalah jika anak kita mati akibat kelalaian kita tidak memberi mereka immunisasi semasa dia masih kecil?
No comments:
Post a Comment