Sunday, July 10, 2016

Hari Raya tak macam biasa.


Tidak adil rasanya jika saya tidak menceritakan pengalaman saya berhari raya tahun ini setelah saya menceitakannya untuk tahun-tahun sebelumnya.

Sebelum itu puasa saya untuk tahun ini juga tidak seperti di tahun-tahun sebelumnya. Untuk lebih dua minggu pertama saya berpuasa berdua sahaja dengan isteri saya Salmah. Ini kerana anak bongsu kami Anis berada di Korea selama empat bulan mulai bulan Februari 2016 kerana membuat praktikal pengajian universitinya di sana.

Salmah tidak berpuasa selama dua hari di minggu pertama. Saya katakan jika dia tidak tahan, tak payahlah berpuasa. Tetapi selepas itu dia kata masih boleh tahan berpuasa.

Anis balik dari Korea pada hari Khamis 23 Jun 2016 bersamaan 18 Ramadan 1437. Sejak itulah Salmah sibuk membuat persiapan hari raya. Ini tidak bermakna saya tidak menolongnya. Tetapi oleh kerana saya sudah bersara dan hampir semua anak-anak sudah lepas dari tanggung-jawab kami, saya hendak beraya ala kadar saja. Contohnya tembok rumah yang sudah 'kopam' tu tak payahlah dicat baru.

Oleh kerana surau taman saya pun mangadakan majlis berbuka puasa empat kali seminggu, saya pun sering ke sana meninggalkan Salmah kadang-kadang berbuka seorang diri di rumah. Saya langsung tidak menyangka kejadian yang akan menyebabkan hari raya saya tahun ini berbeza bermula di satu hari saya berbuka puasa di surau itu.

Pada hari kejadian itu Khamis 30 Jun 2016 Salmah sibuk seperti biasa. Semasa saya balik dari kerja tengah hari itu dia dan Anis tidak ada rumah. Apabila sahaja dia balik dia menceritakan pergi ke sini dan sana membeli itu dan ini, termasuk menghantar karpet untuk dibasuh. Kalau saya diberi pilihan tidak payahlah karpet itu dibasuh.

Saya berbuka puasa di surau pada hari itu, Samah dan Anis berbuka di rumah dengan makanan dibeli dari McDonald's. Sebaik saja saya balik slepas solat Maghrib berjemaah saya dapati Salmah terbaring atas katil di bilik belakang. Bila saya tanya sudahkan dia solat Maghrib, jawapannya 'belum'. Ini agak menghairankan saya pada mulanya, tetapi saya anggap ini kerana dia keletihan.

Kemudian saya bercerita tidak berselera makan di surau tadi. Bila tidak ada reaksi darinya saya juga hairan pada mulanya, tetapi menganggap kerana dia keletihan seperti tadi. Selepas solat Isya' saya pun terus tidur tanpa memikirkan solat Tarawikh.

Lebih kurang pukul 9.15 malam saya dikejutkan oleh Anis dan meminta saya memeriksa tekanan darah Salmah kerana katanya 'mama tak boleh bercakap'. Saya pun memeriksanya dengan alat yang memang saya sediakan dirumah dan mendapati tekanan darahnya agak tinggi.

Mula-mula saya ingat hendak menalipon ambulans, tetapi kemudiam saya putuskan untuk menghantarnya dengan kereta ke Jabatan Kecemasan, Hospital Tuanku Jaafar di Rasah, Seremban. Dipendekkan cerita di sana dia diberi CT Scan dan para doktor memutuskan dia diserang 'minor stroke' yang mengakibatkan percakapannya terjejas.

Dipendekkan cerita juga Salmah dimasukkan ke dalam wad selama dua hari dua malam di hospital yang sama dan dikeluarkan pada tengah hari Sabtu 2 Julai 2016.

Sudah tentulah Hari Raya Aidilfitri 1 Syawal 1437 yang jatuh empat hari selepas isteri saya Salmah keluar dari hospital tidak sama seperti di tahun-tahun sebelumnya, sekurang-kurangnya buat saya. 

Salmah ada menunjukkan tanda-tanda positif. Perkataan-perkataan yang tidak boleh disebutnya sebelum ini telah mula disebutnya, Dia akan menjalani 'speech teraphy' tidak lama lagi.

Sementara itu hari raya saya untuk tahun ini tidaklah seperti di tahun-tahun dulu.

2 comments:

Unknown said...

Bersabarlah...Itu adalah ketentuanNYA. Orang lain juga punya masalah yang tersendiri. Semoga isteri Tuan cepat sembuh.

MAHAGURU58 said...

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Abang Maarof.

Saya tumpang sedih membaca tentang dugaan kesihatan keatas isteri Abang.

Semoga kakak sembuh seperti sediakala. Amin.

Berusahalah memberi ia semangat untuk kembali pulih.

Semoga diperkenankan Allah.