Sesiapa yang biasa naik tren KTM Komuter sudah tahu bahawa koc atau koc-koc yang di tengah-tengah ialah untuk wanita sahaja. Untuk tren Komuter lama tiga koc, koc tengah ialah untuk wanita. Untuk tren Komuter baru enam koc yang juga dipanggil My Komuter, koc ketiga dan keempat dari mana-mana arah ialah koc untuk wanita.
Tetapi ada juga kaum lelaki yang secara sengaja atau tidak melanggar peraturan ini, walau pun notis-notis ada diletakkan bukan sahaja di luar dalam koc tetapi di tempat menunggu. Mereka selamba sahaja masuk ke koc wanita ini. Kebanyakan mereka ialah warga asing bukan Indonesia kerana orang Indonesia boleh membaca Melayu. Mungkin mereka ini juga memahami bahasa Melayu dan Inggeris tetapi menggunakan alasan 'tak reti bahasa' apabila ditanya oleh pihak berkuasa.
Oleh itu dari pengalaman saya yang sering menaiki KTM Komuter apabila pihak berkuasa seperti anggota Polis Bantuan KTM menaiki tren dan menghalau mereka yang 'tak reti bahasa' ini kebanyakan mereka ialah warga asing.
Baru tadi saya dan isteri menaiki KTM Komuter dari Tanjong Malim ke Seremban. Sebenarnya kami dari Ipoh dengan ETS tetapi saya memutuskan untuk bertukar tren di Tanjong Malim dan tidak di KL Sentral kerana bimbang tidak dapat tempat duduk di KTM Komuter, lebih-lebih lagi kami membawa bagasi.
Dari Tg. Malim ke Rawang kami menaiki tren Komuter lama tiga koc. Kami menaiki koc pertama dan tidak peduli apa yang berlaku di koc untuk wanita di tengah-tengah, lebih-lebih lagi pintu antara koc sentiasa tertutup. Di Rawang kami menaiki tren Komuter baru enam koc dan kami menaiki koc kelima dari hadapan.
Penumpang yang biasa dengan tren baru enam koc My Komuter ini juga tahu pintu antara koc sentiasa terbuka. Oleh itu di jalan lurus dan jika tidak ada penumpang yang berdiri seorang itu boleh melihat dari koc pertama hingga ke akhir dan sebaliknya.
Dari itu walau pun kami duduk di koc kelima, kami boleh nampak apa yang berlaku dalam koc keempat iaitu koc untuk wanita. Tetapi apa yang menarik perhatian saya ialah antara wanita-wanita di situ duduk seorang lalaki. Kalau dia seorang warga asing yang 'tak reti bahasa' tak apa juga. Tetapi apa yang saya perhatikan ialah dia seorang Melayu berumur lebih 50 tahun, sudah beruban dan bertongkat. Yang lebih menghairankan saya ialah ia memakai ketayap.
Dia seolah-olah tidak berasa janggal langsung berada dalam satu kumpulan yang rata-rata berlain jenis dengannya. Dia juga tidak peduli kepada gelagat gadis-gadis sekelilingnya yang bergurau dan lain-lain antara mereka. Malah apabila tren berhenti di stesen Batang Benar dan tinggal lebih kurang 30 % sahaja penumpangnya dia telah berpindah ke deretan kerusi di tepi tren dan berlunjur mengarahkan kakinya kepada penumpang wanita.
Seperti biasa isteri saya apabila melihat seorang lelaki dalam keadaan itu telah mengeluarkan komen-komen yang kurang manis. Saya cuma menjawab "Agaknya dia pun tak reti bahasa".