Saturday, March 30, 2019

Pen tidak berguna lagi.

Pen dakwat jenama PARKER yang masih saya gunakan.

Salah satu hobi saya sebelum bersara ialah menyimpan koleksi pen, khususnya pen berdakwat. Tetapi bila bersara saya dapati koleksi saya itu seolah-olah tidak berguna lagi. Ini kerana saya jarang-jarang menggunakan pen.

Cek dari akaun semasa pun sudah lama tidak diguna kerana saya banyak membayar melalui talian internet. Sehingga saya pernah menasihat kenalan-kenalan saya jika hendak membei hadiah atau cenderamata kepada seorang yang akan bersara, jangan beri pen kerana bagi orang pencen pen tidak berguna lagi.

Tetapi semuanya berubah bila saya mula aktif dalam persatuan pesara saya. Saya terpaksa menggunakan pen semula. Seterusnya saya mencari koleksi pen-pen lama saya dan saya terkejut bila mendapati kebanyakannya masih boleh digunakan. Ada yang pam dakwatnya tersekat kerana sudah lama tidak digunakan. Tetapi dengan pertolongan WD40 pamnya berfungsi semula.

Kebanyakan pen saya letak di pejabat dan cuma satu saya letak di rumah, iaitu yang digambar di atas.

Dua hari lepas ramai pesara kerajaan yang berumur lebih 70 tahun panik bila mereka mendapat tahu kena mengemaskini butir-butir peribadi. Butir-butir peribadi ini kena dimasukkan ke dalam satu borang yang kemudian dihantar ke Kumpulan Wang Persaraan atau KWAP di Cyberjaya. Akhirnya didapati cuma 218 orang pesara yang dikehendaki oleh pihak berkuasa pencen untuk berbuat demikian.

Dari kajian saya, salah satu sebab mengapa mereka panik ialah kerana terpaksa menulis semula. Dari pengalaman saya pula, kebanyakan pesara lanjut usia yang datang meminta pertolongan di pejabat menggunakan khidmat orang muda, contohnya anak mereka, untuk mengisi borang-borang. Jika tidak mereka meminta saya menulis bagi pihak mereka.

Mungkin itu sebab kenapa seorang dari 218 pesara yang diminta oleh pihak berkuasa itu tidak mengemaskini maklumat peribadinya. Baginya masa untuk menggunakan pen untuk menulis  sudah berlalu. Akibatnya pencennya ditahan untuk beberapa bulan.

Mujur juga anak-anaknya tahu mengunakan internet. Dari situ mereka dapat nombor telefon saya dan suami pesara itu menghubungi saya. Sila baca pos saya sebelum ini untuk mengetahu kisah selanjutnya. 

Sekian.

Friday, March 29, 2019

Satu hari bila orang pencen panik.


Saya di Mesyuarat Agung Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, Cawangan Jelebu dua minggu lepas.

Beberapa bulan dulu saya menerima panggilan dari seorang lelaki berbangsa Cina dari Puchong, Selangor. Isterinya, seorang pesara guru yang berumur 78 tahun tidak menerima pencen untuk beberapa bulan.

Katanya sebelum ini isterinya ada menerima satu surat dari Bahagian Pasca Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Putrajaya atau lebih senang dipanggil JPA Pencen. Tetapi isterinya telah mengabaikan surat itu dan mungkin inilah sebabnya pencen isterinya ditahan.

Walau pun saya berhak mengabaikan permintaan lelaki ini, kerana isterinya tidak menjadi ahli kepada persatuan saya, lebih-lebih lagi dia tinggal di luar Negeri Sembilan, saya tetap melayannya mungkin kerana sifat ingin tahu saya.

Lelaki ini mendapat nombor telefon saya dari internet. Memang ramai pesara dari seluruh Semenanjung Malaysia menalipon saya mengenai masalah persaraan setelah dapat nombor telefon saya dari internet dengan menaip 'pesara Malaysia' dan sebagainya.

Saya pun menalipon Kumpulan Wang Persaraan atau KWAP di Cyberjaya bertanyakan masalah pesara ini. Jawapannya pesara ini telah diminta mengemaskini maklumat peribadinya dalam bentuk borang yang dihantar oleh JPA Pencen, tetapi dia telah tidak berbuat demikian. Itu sebabnya pencennya diberhentikan sementara. Duit pencennya akan diteruskan jika maklumat yang mereka mahu itu dikemaskini.

Dipendekkan cerita, masalaah pesara 78 tahun dari Puchong, Selangor itu dapat diselesaikan setelah saya membuat beberapa panggilan talipon lagi dan menghantar email kepada seorang pegawai JPA Pencen yang saya kenal. Cuma bonus pencennya sebanyak RM250.00 untuk hujung tahun 2018 belum dibayar dan saya telah memberitahu hal ini kepada seorang pegawai JPA Pencen yang datang ke Mesyuarat Agung cawangan persatuan saya di Jelebu baru-baru ini.

Ekoran itu, bila di waktu Subuh semalam (28 Mac 2019) saya melihat satu mesej dari kawan sekolah saya yang juga seorang pesara kerajaan bertanyakan betulkah pesara berumur lebih 70 tahun dikehendaki oleh JPA Pencen untuk mengemaskini maklumat peribadi mereka, saya jawab betul.

Selepas itu saya pun menerima mesej dan panggilan telefon dari pesara-pesara lain bertanyakan kesahihan arahan itu. Perkara itu pula telah ditular di kumpulan-kumpulan Whatsapp di mana saya menjadi ahli. Saya telah menalipon KWAP beberapa kali tetapi tidak berjaya. Sudah tentu mereka menerima jumlah panggilan talipon yang memecahkan rekod semalam.

Ada yang bertanya saya adakah ini satu lagi 'fake news'. Saya jawab tidak kerana laluan untuk borang kemaskini maklumat peribadi itu berada di baris paling atas portal JPA Pencen. Lebih-lebih lagi saya baru sahaja menolong seorang pesara yang mengaku menerima arahan itu. Cuma saya hairan kenapa surat JPA Pencen yang bertarikh 2 Ogos 2018 hanya itu disebarkan semalam.  

Tengah hari semalam pejabat induk persatuan pesara saya di Kuala Lumpur mengeluarkan surat meminta semua pesara yang berumur lebih 70 tahun mengemaskini maklumat peribadi mereka. Betullah ini bukan kes 'fake news'. 

Pada petangnya barulah kami menerima cerita sebenar. Memang benar JPA Pencen ada mengeluarkan arahan itu, tetapi cuma kepada 218 orang pesara sahaja Tetapi setiap pesara lain dialu-alukan untuk mengemaskini maklumat peribadi mereka melalui borang di portal JPA Pencen. 

Saya berasa syukur kerana dua perkara. Pertama kerana saya telah mengemaskini maklumat peribadi saya sebaik saja saya berpindah ke rumah baru. Kedua kerana saya dapat menolong seorang dari 218 pesara itu.

Sekian.

Saturday, March 16, 2019

DUIT PENCEN PUN ADA ORANG NAK TIPU!


KERAT IBU JARI

Saya ada dengar cerita, di satu negara, saudara kepada seorang pesara telah mengerat ibu jari pesara itu bila dia meninggal dunia. Ibu jari itu kemudian dirawat supaya tidak reput. Kemudian saudara itu menggunakan cap jari simati untuk menuntut pencen bulanannya dari bank.

Seorang saudara saya yang bekerja dengan satu institusi kewangan pernah memberitahu, bila mana-mana institusi itu mengsyaki ada kes cuba menipu, staff di kaunter akan meminta si penipu menunggu sambil berkata dia hendak membuat beberapa kepastian. Biasanya dalam kes ini si penipu akan meninggalkan kaunter secara senyap.

"TOLONG URUSKAN PENCEN OKU INI"

Lebih kurang enam bulan lepas saya didatangi oleh dua orang lelaki di pejabat saya. Mereka mengaku mewakili seorang pesara yang telah meninggal dunia enam bulan sebelumnya. Mereka ingin saya menguruskan permohonan bantuan mengurus jenazah dan pencen terbitan pesara tersebut. Oleh kerana isteri kepada simati telah meninggal dunia sebelumnya, kedua-dua perkara itu dituntut oleh anak perempuan simati yang kononnya mengikut mereka seorang Orang Kurang Upaya atau OKU.

Saya dapati dokumen-dokumen yang mereka bawa, melainkan dokumen OKU, adalah lengkap, termasuk disahkan oleh pihak berkuasa. Saya pun minta mereka pergi sendiri ke pejabat Kumpulan Wang Persaraan atau KWAP di Cyberjaya. 

Sudah menjadi kebiasaan saya meminta pemohon dalam kes-kes seperti ini untuk pergi sendiri ke KWAP dengan alasan mereka akan pergi ke situ sekali sahaja. Tetapi mereka berdua ini meminta saya sendiri menghantar permohonan mereka ke Cyberjaya. Setelah meminta nombor telefon saya, mereka pun pergi sambil berkata akan menghubungi saya dalam tempoh yang singkat.

TIDAK  ADA REKOD OKU

Tindakan pertama saya ialah menghubungi KWAP. Mengikut KWAP pemohon tidak berdaftar sebagai OKU dalam rekod mereka. Saya bertanya masih bolehkah seorang waris pesara yang OKU didaftarkan setelah penjaganya meninggal dunia. Jawapannya boleh.

Saya pun menalipon nombor yang tertulis di borang-borang permohonan. Tujuannya ialah supaya pemohon membereskan pendafatarannya sebagai seorang waris OKU kepada pesara. Tetapi nombor yang saya panggil 'tiada dalam perkhidmatan'.

Oleh kerana pemohon tinggal di luar Seremban, saya tiada pilihan lain dari menunggu panggilan darinya atau wakil-wakilnya yang datang berjumpa saya itu. Sambil itu, saya yang tidak bersangka buruk mencetak dokumen OKU persaraan untuk diserahkan kepada siapa yang menghubungi saya.

'PRIVATE NUMBER'

Panggilan yang saya nanti-nantikan akhirnya tiba beberapa minggu kemudian. Seorang dari lelaki yang datang berjumpa saya itu menalipon saya dengan bacaan 'Private Number' di telefon bimbit saya. Dia terus bertanya adakah permohonannya sudah diluluskan. Saya jawab sebelum berbuat apa-apa saya hendak beliau berjumpa saya untuk saya serahkan dokumen OKU itu. Dia berjanji akan datang, tetapi dia tidak datang.

Bebarapa minggu kemudian dia telefon lagi, masih dengan 'Private Number'. Sekali lagi dia ada hati bertanya sudahkah permohonannya diluluskan? Saya yang rasa tercabar bertanya adakah dia sudah lupa yang saya minta dia berjumpa saya sendiri untuk saya serahkan satu dokumen untuk dia isi dahulu? Sekali lagi dia berjanji akan datang, kali ini dia sendiri menetapkan tarikh sebenar dia hendak datang.

DIA NAK RASUAH SAYA

Tarikh yang dijanjikan berlepas dan dia masih tidak datang. Selang beberapa hari dia menalipon lagi dengan memberi alasan kenapa tidak datang. Kali ini dia menawarkan saya 'imbuhan' jika permohonannya diluluskan. Sudah tentu saya marah, kerana ada percubaan untuk merasuah saya. Dari situ saya mula syak ada yang tidak kena dengan permohonan bantuan mengurus jenazah dan pencen terbitan ini.

DIA BUKAN OKU

Saya pun menghubungi seorang kawan saya yang tinggal satu bandar dengan pemohon yang kononnya OKU itu. Saya minta dia menyiasat kes ini. Selang beberapa hari dia pun memberi maklumat bahawa pemohon yang kononnya OKU itu bukan OKU, walau pun dia sah anak kepada pesara yang meninggal dunia. Tambahnya lagi pemohon juga mengaku tidak pernah menandatangani apa-apa borang ekoran kematian bapanya.

ADA ORANG AMBIL DUIT PENCEN SI MATI

Setelah mencetak penyata pencen terakhir simati baharulah saya tahu cerita sebenar. Pesara menerima pencen melalui Skim A, di mana duit pencen dimasukkan terus ke akaun bank pesara setiap bulan. Kelemahan Skim ini ialah duit pencen akan disalurkan ke akaun pesara sehingga KWAP diberitahu mengenai kematian pesara. 

Jika pencen dibayar melalui Skim B, pesara dikehendaki datang ke bank setiap bulan untuk menerima pencen. Kekuatan Skim ini ialah jika pesara tidak datang selama tiga bulan, pihak bank akan memulangkan duit pencennya kepada kerajaan. Tetapi ini tidak bermakna pencen diberhentikan terus, kerana pesara mungkin masih hidup.

Pesara yang berkenaan dalam kes ini memilih Skim A. Mengikut penyata yang saya cetak itu, bayaran pencennya hanya diberhentikan lima bulan selepas dia meninggal dunia. Kalaulah dia ada kad ATM dan ada orang lain memegang kad itu dan mengetahui nombor PINnya sekali, duit pencennya boleh dikeluarkan.

Jika ditolak bantuan mengurus jenazah yang berjumlah RM3,000.00, amaun yang terlebih bayar dalam tempoh lima bulan itu masih banyak. Ini mungkin sebab kenapa pihak-pihak yang ingin menipu itu cuba meneruskan pencen pesara itu melalui pencen terbitan yang boleh diwarisi oleh seorang anak pesara yang kononnya OKU. Dan mereka ingin menggunakan saya.

MARAH DIRI SENDIRI

Itu satu sebab mengapa si penipu menggunakan telefon bimbit yang tidak boleh direkod nombornya. Minta maaflah, saya tidak senang dimainkan begitu. Cuma saya memarahi diri saya sendiri kenapa lambat menghidu percubaan menipu kerajaan ini.

Sekian.   

Thursday, March 7, 2019

Ingat Dirty Harry ingat bas Unicef..

Bas sekolah kena hijack dalam filem Dirty Harry.

Tajuk kuliah di surau saya malam tadi ialah penjagaan kanak-kanak. Tiba-tiba Ustaz bertanya apakah badan di bawah Bangsa Bangsa Bersatu atau United Nations (UN) yang khusus menjaga kanak-kanak? Ustaz tahu yang menjaga pelarian ialah UNHCR, kerana Ustaz terlibat dengan pelarian Rohinga di Malaysia.

Saya tahu jawapannya, tetapi seorang jemaah menjawab 'UNESCO'. Bila tidak ada lagi jemaah berkata apa-apa dan Ustaz seolah-olah menerima fakta tersebut saya pun mengangkat tangan dan berkata badan itu ialah UNICEF. Untuk meyakinkan lagi Ustaz, saya pun menaip UNICEF di telefon bimbit saya dan keluarlah keterangan mengenainya dan saya pergi ke hadapan menunjukkan kepada Ustaz. Ustaz mengaku yakin bila melihat abjad C bermakna CHILDREN atau kanak-kanak.

Mungkin tidak ada jemaah surau saya yang jadi peminat pasukan bolasepak Barcelona. Jika ada pun mungkin mereka tidak tahu apa maksud 'unicef' di baju kelab terebut. Tetapi saya tidak mengenali UNICEF melalui sukan bolasepak.

Saya pernah secara tidak langsung bekerja untuk UNICEF. Di penghujung tahun 60an dan awal 70an setiap Klinik Bidan kelolaan Kementerian Kesihatan disediakan dengan motosikal tajaan UNICEF untuk kegunaan staffnya. Modelnya ialah SUZUKI cub. Tetapi saya cuma menaiki kenderaan UNICEF di tahun 1971 semasa saya berlatih untuk mendapatkan Diploma saya di Institut Kesihatan Umum, Jalan Bangsar, Kuala Lumpur.

Ada dua jenis kenderaan UNICEF yang saya naiki untuk keluar membuat praktikal di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Saya juga pergi ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya, Universiti Malaya di Lembah Pantai dan Rumah Sembelih DBKL di Jalan Syed Putra untuk menerima syarahan dan membuat praktikal.
  
Kenderaan pertama ialah beberapa van Volkswagen Kombi. Terdapat logo UNICEF di pintu hadapan van itu. Di bawahnya pula tertulis KEMENTERIAN KESIHATAN. Tetapi ada juga van yang tidak tertulis KEMENTERIAN KESIHATAN. Ini pernah menimbulkan masalah di satu hari apabila kami ingin masuk ke Universiti Malaya. Petugas keselamatan di Universiti itu tidak membenarkan kami masuk pada mulanya kerana tidak faham apa itu UNICEF.

Kenderaan kedua ialah sebuah bas FORD buatan Amerika Syarikat. Bas itu adalah jenis bas yang sama yang dihijack oleh Scorpio dalam filem Dirty Harry, lakunan Clint Eastwood. Filem Harry dibuat pada tahun 1971, iaitu tahun yang sama saya berlatih di Kuala Lumpur. Ini bermakna kedua-dua bas itu ialah model yang sama. Warnanya pun sama, iaitu perang. Bezanya ialah yang di Amerika itu pemandunya di sebelah kiri. Bas yang sama juga dapat dilihat dalam filem DUEL arahan Steven Spielberg.

Di Amerika pula bas FORD itu menjadi bas sekolah membawa budak-budak, sedangkan di Kuala Lumpur ia membawa abang, kakak, bapak dan emak budak. Saya berkata begitu kerana antara kami yang menggunakannya ada yang sudah berkahwin dan mempunyai anak.

Saya perhatikan bas FORD itu tidak terdapat di mana-mana di Kuala Lumpur atau Malaysia. Mungkin itulah satu-satu bas FORD yang dihadiahkan oleh UNICEF kepada Kerajaan Malaysia.

Hari ini saya tidak nampak apa-apa kenderaan dengan logo dan nama UNICEF. Walau pun banyak model kereta Volkswagen di Malaysia, saya tidak nampak lagi van VW Kombi. Bas Sekolah FORD memang tidak ada.

Tetapi setiap kali saya menonton filem Dirty Harry saya teringat menaiki bas FORD Made in U.S.A. itu.

Sunday, March 3, 2019

Kenapa ni, BSN?


BSH kata salinan boleh digunakan. BSN kata tak boleh.

Ia bermula apabila emak kesayangan saya meninggal dunia pada 16 Januari 2019 yang lalu semasa berusia 92 tahun. Sila baca tiga pos saya sebelum ini yang saya tulis khas mengenai arwah emak saya itu.

Semasa mengemaskini akaun BR1M emak secara atas talian atau 'online' beberapa tahun yang lalu saya telah menamakan diri saya sendiri sebagai warisnya. Ini kerana saya ialah anak emak yang paling tua masih hidup. Sekarang BR1M sudah ditukar nama menjadi BSH. Tak payahlah saya menerangkan apa makna BR1M dan BSH. Pembaca carilah di internet.

Saya ingat setelah BR1M ditukar menjadi BSH oleh kerajaan baru, tak ada lagilah Skim Khairat Kematian (SKK). Rupa-rupanya ada dan saya pun memulakan proses menuntutnya seminggu yang lalu.

Sijil kematian asal emak saya ada ditangan adik bongsu saya Razak. Oleh kerana BSH menyatakan di risalahnya bahawa salinan sijil kematian boleh digunakan untuk tuntutan SKK, saya pun minta Razak berikan saya satu salinan. Sijil asal itu biarlah dia simpan, untuk digunakan apabila perlu. Risalah BSH juga menyatakan tuntutan SKK boleh di buat di mana-mana cawangan BSN. Sekali lagi tak payahlah saya terangkan apa itu BSN.

Saya pun bawa salinan sijil kematian itu ke Cawangan BSN di Bandar Seremban. Di samping itu saya bawa sijil lahir saya yang asal ke bank tersebut untuk membuktikan bahawa saya adalah anak kandung kepada arwah emak saya.

Di meja hadapan BSN saya serahkan dokumen-dokumen seperti yang dikehandaki di risalah BSH. Tetapi alangkah terperanjatnya saya bila pegawai di meja itu hendak lihat sijil kematian emak saya yang asal. Dia tetap bertegas bila saya tunjukkan bahawa risalah BSH terang-terang menyatakan salinan surat kematian boleh diterima.

Tetapi tak apa juga bila dia menerima sijil lahir saya yang asal dan sama umurnya dengan umur saya iaitu 69 tahun. Jika dia mahukan sijil baru yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran, tentu saya mengamuk.

Syukur juga kebetulan di masa itu adik saya Razak sedang berehat di rumahnya dan saya minta dia datang membawa sijil kematian emak yang asal. Seperti saya, dia datang ke BSN Bandar Seremban menggunakan kenderaan doa roda.

Setelah mengisi borang dan menunjukkan dokumen-dokumen yang dikehendaki, saya pun diberi tiket giliran dan diminta duduk depan kaunter bayaran. Tetapi dari maklumat dalam tiket, saya dapati ada 77 orang yang menunggu di depan saya. Saya pun menyerahkan kembali tiket itu kepada meja hadapan.

Esoknya pagi-pagi lagi saya sudah menunggu di cawangan BSN di Ampangan, Seremban. Bank hanya dibuka untuk khidmat kaunter tepat jam 9.03 pagi. Itu pun 'shutters'nya bergerak amat perlahan kalau dibandingkan dengan bank-bank lain. Sehinggakan ada seorang pelanggan tu membongkokkan dirinya dan masuk di bawah 'shutters' yang masih bergerak.

Kali ini cuma ada tiga pelanggan di hadapan saya. Dokumen-dokumen saya didapati teratur dan bila saya hendak dibayar secara tunai saya minta pegawai itu memasukkan duit khairat itu ke akaun BSN saya.

Saya sudah lama tidak mengemaskini akaun BSN saya. Perbankan internet BSN saya juga sudah tergantung. Tetapi syukurlah ia dapat diaktifkan semula dengan hanya menalipon pusat khidmat bank itu di Kuala Lumpur. Saya bimbang juga jika diminta pergi ke mana-mana cawangan atau mesin ATM mereka untuk tujuan tersebut.

Saya pun menghubungi adik-adik saya untuk membahagikan duit khairat ini sesama kami. Saya minta mereka memberikan nombor akaun bank masing-masing. Sambil itu saya cuba membuat pindahan wang ke satu akaun saya di bank lain.

Kecewa juga saya seketika apabila mendapati pindahan wang saya bukan saja tidak secara 'instant' tetapi saya dikenakan caj sepuluh sen. Kerana tidak mahu rugi sepuluh sen untuk setiap pemindahan kepada adik-adik saya, saya gunakan perbankan internet akaun saya di bank lain itu untuk membayar mereka.

Setelah lama tidak menggunakan mesin ATM di BSN, saya cuba menggunakannya dua hari lepas. Untuk sampai ke skrin di mana saya perlukan masukkan nombor PIN saya terpaksa menunggu sambil membaca beberapa skrin yang memberi maklumat tidak berfaedah kepada saya.

Bukan sahaja 'shutters' bergerak perlahan. Mesin ATM pun lebih kurang.

Kenapa ni, BSN?