Thursday, April 30, 2020

Hidup ibarat sekotak coklat - Episod 3 (Kami tak guna Kad ATM)

Dua orang Setiausaha. Saya dengan Tn. Hj. Salleh, Setiausaha Agung Peratuan Pesara Kerajaan Malaysia. di satu program JPA di Putrajaya.

Saya antara penumpang pertama Buggy Jabatan Perkhidamatan Awam, Putrajaya. Sebelum menaiki buggy, saya tanya 'photographers' di situ dari 'angle' mana mereka hendak ambil gambar. Itu sebab imej saya ketara.

DIBENARKAN MEMANDU SENDIRI


Saya tidak pasti mengapa MPS tiba-tiba meluluskan tuntutan elaun perjalanan perubatan saya dengan kaedah memandu sendiri. Adakah mereka tercabar bila melihat saya sekarang menjadi seorang kuat satu Persatuan Pesara di Malaysia? 

Cuma yang saya tahu, MPS takut dengan tekanan dari luar. Di mesyuarat melibatkan jabatan-jabatan lain, mereka lebih percaya kepada orang luar dari pegawai-pegawai mereka sendiri. Kalau begitu tidak sia-sialah saya aktif dalam satu NGO mewakili antaranya pesara-pesara MPS sendiri.


MASIH BELAJAR

Satu hari saya didatangai dua orang pesara suami isteri berbangsa Cina. Mereka ingin menukar bank akaun pencen mereka dari sebuah bank di tengah Bandar Seremban ke  bank dekat dengan rumah mereka. Saya tanya kenapa perlu pergi ke bank untuk mendapatkan duit, sedangkan ia boleh didapati di stesen-stesen minyak?

Mereka menjawab tidak menggunakan kad ATM. Selama ini mereka pergi ke bank pada tiap-bulan untuk mendapatkan pencen mereka. Dari itu baru saya tahu ada dua skim pembayaran pencen iaitu Skim A dan Skim B.  Skim A ialah pencen dibayar terus ke akaun bank pesara. Di Skim B pula pesara dikehendaki datang tiap-tiap bulan ke bank untuk pencen dimasukkan ke akaun mereka.

Itulah antara perkara-perkara persaraan yang saya masih belajar. 



PENCEN ISTERI SAYA DITAHAN 

Satu hari saya menerima panggilan dari seorang lelaki Cina bernama Vicent dari Puchong, Selangor. Dia mengadu pencen isterinya ditahan selama tiga bulan. Saya boleh menolak terus aduannya kerana isterinya bukan ahli persatuan saya di Negeri Sembilan. Tetapi saya tetap melayannya kerana ingin tahu. 

Vincent memberitahu isterinya ada menerima surat dari JPA Pencen memintanya mengemaskini maklumat peribadinya melalui satu borang. Mereka enggan mengisi borang tersebut. Saya jawab apa-apa arahan dari JPA Pencen hendaklah diikut. Saya sendiri pernah mengisi borang tersebut bila berpindah rumah. 

Vincent berjanji akan mengisi borang tersebut. Dia juga minta pertolongan saya untuk menghubungi sesiapa di JPA Pencen yang saya kenal untuk mencepatkan bayaran pencen isterinya. Datuk Dr. Yeow, Pengarah JPA Pencen sudah bersara tetapi saya masih kenal dengan beberapa penolong beliau. Saya pun menghantar email kepada seorang dari mereka.

Akibatnya pencen isteri Vincent disambung semula dengan tunggakan. Sehingga hari ini Vincent menghantar saya mesej SMS hampir setiap hari. 


PESARA SATU MALAYSIA PANIK

Beberapa bulan selepas saya kenal dengan Vincent, pesara satu Malaysia panik dengan berita bahawa setiap pesara yang berumur lebih 70 tahun dikehendaki mengisi borang kemaskini maklumat peribadi dan mengambalikannya kepada JPA Pencen. Saya menerima panggilan telefon dan juga SMS menanyakan adakah berita itu benar.

Pengalaman saya dengan Vincent membuatkan saya menjawab "ya" kepada semua pertanyaan yang saya terima. Sehingga Setiausaha Agung saya menulis surat kepada semua Setiausaha negeri meminta semua pesara berumur lebih 70 mengemaskini malumat mereka, jika tidak pencen akan diberhentikan.

Akhirnya JPA Pencen sendiri melegakan panik itu dengan memberitahu mereka cuma meminta lebih kurang seratus lebih pesara yang status mereka meragukan mengisi borang tersebut. Isteri Vincent adalah salah seorang dari mereka. 

Saya merasa gembira kerana dapat menolong salah seorang dari mereka.


AKAN DATANG?

Seperti sekotak berisi coklat, saya tidak akan tahu apa yang saya akan dapat selepas ini. Lebih sebulan saya tidak bekerja walau pun saya ada pergi ke pejabat sekali sekala. Saya lihat rekod telefon dipenuhi dengan panggilan 'scam'. Nampak gayanya 'scammers' ini tidak berehat walau pun apa PKP. 


BERDEPAN DENGAN MBS LAGI

Saya dan 19 orang jiran-jiran sudah memfailkan permohonan untuk mendapatkan apa yang dipanggil 
'Semakan Kehakiman' atau 'Judicial Review' terhadap Majlis Bandaraya Seremban dan Kerajaan Negeri Sembilan. Ini terhadap tindakan mereka membina satu Dewan Komuniti di tapak yang sudah diwartakan sebagai KAWASAN LAPANG betul-betul depan rumah saya.

Kami sudah berjaya melangkah pagar pertama dengan mendapat 'leave' atau kebenaran untuk memohon  'Semakan Kehakiman' tersebut dari Mahkamah Tinggi Seremban. Segala tindakan terhenti seketika kerana Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP.

Apa yang berlaku seterusnya adalah ibarat sekotak coklat,. Saya tidak tahu apa saya akan dapat seterusnya.

Sekian.

Wednesday, April 29, 2020

Hidup ibarat sekotak coklat - Episod 2 (Mula aktif dalam persatuan)

Ahli-ahli Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia dengan Almarhum Dato' Undang Luak Jelebu pada bulan 29 November 2011. Inilah kegiatan pertama saya dengan Persatuan. Ramai dari mereka ini akan terlibat dengan saya nanti. 

Setelah menjadi ahli satu NGO yang dinamakan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia atau PPKM saya pun tidak duduk diam. Saya sering datang ke pejabat persatuan bertanyakan apa-apa aktiviti yang saya boleh masuk. 

Saya dipelawa menyertai satu lawatan ke Jelebu termasuk membuat kunjung hormat terhadap Yang Teramat Mulia Dato' Undang Jelebu. Saya orang Jelebu, tetapi inilah kali pertama saya masuk ke Balai Undang Jelebu dan bertemu dengan Dato' Undang.

Kebetulan Yang DiPertua Persatuan ialah seorang sahabat lama saya yang menjadi Pengerusi satu persatuan peminat senifoto, di mana saya juga menjadi ahli. Tidak berapa lama selepas lawatan ke Jelebu, dia bertanya sama ada saya berminat menjadi seorang pegawai Persatuan. 

Setelah pengalaman tidak sedar akan kemudahan menuntut balik kos alat perubatan untuk pesara, saya bersetuju. Tujuan saya ialah untuk memberitahu seberapa ramai  pesara akan hak-hak mereka. 

Saya dilantik secara rasmi menjadi Setiausaha Persatuan mulai 1 Januari 2014. Itu pun setelah saya menjadi pemerhati di Mesyuarat Agung Persatuan pada tahun 2013 dan kemudian saya dilantik menjadi seorang Perwakilan di Persidangan Perwakilan di peringkat kebangsaan di Kangar, Perlis selepas itu.


HARI TERBUKA BERSAMA JPA PENCEN

Persatuan mempunyai satu program bulanan bernama Hari Terbuka Bersama JPA Pencen. Di sini ahli-ahli persatuan bertemu dengan satu atau dua orang pegawai-pegawai JPA Pencen di pejabat Persatuan untuk menyelesakan masalah mereka. 

Saya perhatikan masalah mereka boleh saya selesaikan sebagai Setiausaha. Jika tidak pun saya boleh menghubungi JPA Pencen melalui telefon, faks atau email. Malah semasa Persidangan Perwakilan di Kangar, Pengarah JPA Pencen sndiri, Datuk Dr. Yeow memberitahu jika mana-mana pesara ada masalah, mereka boleh menghubunginya melalui telefon atau email.

Saya tanya ahli-ahli saya, kenapa hendak tunggu sampai sebulan untuk bertemu dengan pegawai-pegawai JPA Pencen untuk menyelesaikan masalah mereka, sedangkan saya boleh menyelesaikannnya pada bila-bila masa? Pejabat kami dibekalkan dengan komputer yang mempunyai internet dan mesin faks.  

Sejak itu kedatangan untuk program Hari Terbuka Bersama JPA Pencen berkurangan. Kemudian JPA Pencen menjarakkan kekerapan program kepada dua bulan sekali. Kedatangan juga terus merosot. Sebabnya tidak lain tidak bukan kerana saya boleh membuat kerja-kerja JPA Pencen itu. 

Kemerosotan kedatangan inilah yang membuatkan Datuk Dr. Yeow memanggil Yang DiPertua Persatuan dan saya untuk berjumpanya di Putrajaya seperti gambar di episod sebelum ini. Akhirnya Hari Terbuka itu dibatalkan terus.


"ENCIK CUMA BOLEH TUNTUT TAMBANG TEKSI"

Salah satu tugas saya ialah menyemak dan memanjangkan tuntutan perubatan dari ahli-ahli, termasuk tuntutan perjalanan ke hospital atau Institut Jantung Negara (IJN). Tuntutan perjalanan termasuk menuntut tambang teksi atau bas dan memandu kereta sendiri. 

Ababila saya membawa isteri saya pergi ke IJN untuk rawatan jantung, tibalah masanya untuk saya membuat tuntutan pula. Setelah mengisi borang beserta lampiran-lampiran saya pun pergi ke MPS membuat tuntutan. Antara lampiran ialah resit tol dan letak kereta.

Alangkah terperanjatnya saya bila saya mengemukakan tuntutan. Kerani yang menjaga berkata "Kita tak benarkan pesara MPS menuntut cara memandu sendiri. Kita hanya benarkan mereka menuntut tambang teksi". 


MPS BERHAK MENOLAK PEKELILING KERAJAAN MALAYSIA

Bila saya berjumpa bosnya yang kebetulan memangku jawatan Setiausaha MPS, jawapannya adalah sama. Bila saya tanya kenapa guna borang JPA Pencen yang ada ruang untuk memandu sendiri (dengan kod MS) dia terus menjawab "En. Maarof bukan ke  tahu MPS berhak menerima atau menolak apa-apa pekeliling Kerajaan Malaysia".   

Ingatan saya kembali ke pertengahan tahun-tahun  1980an apabila orang yang juga memangku jawatan Setiausaha MPS memberi jawapan yang sama bila Kerajaan Malaysia menaikkan taraf jawatan saya. Tetapi kali ini saya tidak mahu bergaduh dengannya, kerana dia seorang perempuan. Saya juga tidak mahu menggunakan ungkapan keagamaan seperti yang saya lemparkan tiga puluh tahun yang lalu.  

Jadi saya katakan begini sambil menghulurkan kad saya "Saya ialah Setiausaha Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, Negeri Sembilan. Saya biasa menghantar tuntutan perjalanan perubatan untuk ahli-ahli saya ke JPA Pencen. Inilah borang yang mereka gunakan. Saya tidak mahu menuntut tambang teksi, kerana saya masih boleh memandu sendiri. Jika saya dapatkan mana-mana resit teksi sekarang, ini bermakna saya menipu. Saya akan tinggalkan borang tuntutan saya di sini. Puan buatlah apa-apa dengannya".

Beberapa hari kemudian, saya menerima telefon dari MPS. Pemanggil memberitahu permohonan tuntutan perjalanan saya dengan memandu sendiri diluluskan. Ini juga bermakna jika semasa kerja dulu saya sering menjadi pegawai MPS pertama memulakan apa-apa perubahan, semasa bersara pun saya  bertabiat begitu. Saya pun menyebarkan berita ini kepada seberapa ramai pesara MPS yang boleh. 

Bersambung....

Hidup ibarat sekotak coklat - Episod 1 (Kena masuk persatuan)

Bergambar dengan Pengarah Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam dan pegawai-pegawainya di Putrajaya pada 14 November 2014.


Masuk TV dalam satu program JPA Pencen.

Dalam filem 'Forrest Gump', karaktor utamanya Forrest Gump ada menyebut "Life is like a box of chocolates. You never know what you're gonna get". Terjemahannya 'Hidup ibarat sekotak coklat. Kita tak tahu apa yang kita akan dapat'. 

Contohnya pada 10 Mei 1969 iaitu tiga hari sebelum peristiwa 13 Mei. Hari itu ialah Pilihanraya Umum ke 3 atau PRU 3. Semasa menaikki bas untuk pulang ke kampung di hujung minggu selepas habis kerja di Pejabat Kesihatan Seremban, saya melihat orang mengundi di daerah-daerah Seremban dan Jelebu. Walau pun saya tahu akan mengundi beberapa tahun selepas itu, tidak terlintas di hati saya akan terlibat dengan tugas-tugas mengundi di beberapa PRU selepas itu.

Di dalam kerja, walau pun saya bercita-cita untuk mencapai pangkat yang paling tinggi, jelas cita-cita saya terhalang kerana pilih kasih. Tetapi orang yang mengamalkan pilih kasih itu akhirnya menawarkan saya bekerja semula selepas bersara, satu perkara yang saya tidak sangka. Malah tempoh empat tahun saya bekerja selepas bersara itu menjadikan saat-saat yang paling menggembirakan saya.

Dalam episod-episod 'Bermain di padang tidak sama rata'  sebelum ini saya beberapa kali menyebut Jabatan Perkhidmatan Awam atau JPA. Masa menghubungi mereka itu, tidak terlintas di hati saya akan terlibat lagi secara serious dengan mereka selepas bersara. Gambar-gambar di atas membuktikannya. Di gambar pertama, saya dipanggil sendiri oleh Datuk Dr. Yeow, Pengarah JPA Pencen untuk bermesyuarat dengannya dan pegawai-pegawainya.

(Saya pernah ditanya oleh seorang kawan baik saya, adakah saya masih pergi ke Majlis Perbandaran Seremban (MPS) sekarang? Saya jawab buat apa saya pergi ke MPS bila saya boleh bersentuh bahu (rub shoulders) dengan pegawai-pegawai JPA Pencen?)


MENERIMA NASIB YANG BERBEZA

Walau pun kawan sekerja saya R mengalahkan saya dalam cita-cita saya di MPS, hidup kami amat berbeza selepas bersara. Saya ada berjumpa R di Pasar Tani Ampangan untuk beberapa ketika. Tetapi dalam beberapa tahun sebelum ini saya tidak nampak kelibatnya di sana.

Rupa-rupanya R tidak sihat. Saya cuba menaliponnya selepas itu, tetapi tidak berjawab. Bila akhirnya saya berjaya bercakap dengannnya, barulah saya tahu keadaannya. Ada seorang kawan baiknya yang sama-sama bekerja dengan R di Kelantan sering bertanya saya akan keadaan R. Panggilan telefonnya kepada R tidak berjawab katanya. Kawan kami itu tinggal di Batu Pahat, Johor.

Akhirnya atas desakan kawannya itu, saya menziarah R di rumahnya lebih kurang dua tahun yang lalu. Terperanjat saya melihat keadaan R. Dia terbaring di atas katil perubatan. Dia tidak boleh berjalan, katanya. Saya terus menalipon kawan kami di Batu Pahat itu dan membiarkan R bercakap dengannya. Saya pun brbual lama dengan R sambil mengenang kisah-kisah lama.

Yang menyedihkan ialah bila saya bertanya siapa lagi yang datang melawatnya. R menjawab kebanyakannya kawan-kawan sekolahnya. Kawan-kawan kami di MPS tidak ada yang melawatnya.

Itulah kali terakhir saya dan kawan kami dari Batu Pahat itu bercakap dengan R, kerana R meninggal dunia beberapa bulan selepas itu.  Al Fatihah.


TERLIBAT DENGAN DUA N.G.O.

Isteri saya perlu membuat pembedahan mata. Sebelum itu saya membawanya beberapa kali ke Klinik Mata di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ, Seremban. Akhirnya doktor pakar mengatakan matanya perlu dibedah. Dia menyenaraikan bahan-bahan yang perlu dibeli seperti kanta. Saya pun membelinya tanpa mengetahui saya boleh menuntut kos pembeliannya.

Di hari pembedahan, saya terjumpa seorang bekas Ahli Majlis MPS yang di masa itu menjadi Ahli Lembaga Pelawat  HTJ. Mengenali saya dan tahu saya sudah bersara, dia bertanya tahukah saya bahawa saya boleh menuntut balik kos bahan-bahan yang saya beli? Saya jawab tidak tahu. Dia pun memberi alamat di mana saya boleh mendapat pertolongan.

Alamat yang diberi ialah pejabat satu persatuan pesara. Seorang pekerja di situ memberitahu, saya hendaklah menjadi ahli persatuan sebelum dia menolong. Tanpa memikir apa-apa saya pun mengisi borang dan membayar yuran seumur hidup. Kemudian dia memberi saya satu borang yang bertulis JPA Pencen di atasnya. Dia kata borang yang sudah diisi dan lampiran-lampiran hendaklah di hantar ke JPA Pencen di Putrajaya.

Setelah mengisi borang termasuk mendapatan tandatangan dokor pakar saya pun menghantar borang ke JPA Pencen. Selang beberapa minggu dan bila tidak ada apa-apa berita, saya menalipon JPA Pencen. Mereka menjawab tidak boleh mengambil apa-apa tindakan kerana saya seorang pesara Pihak Berkuasa Tempatan dan permohonan hendaklah dimajukan ke situ. Saya pun meminta mereka memulangkan permohonan saya.

Kemudian set borang tuntutan itu saya bawa ke MPS. Sekali lagi saya pergi ke Jabatan Perkhidmatan dan Personnel setelah beberapa tahun, tetapi kali ini untuk membuat tuntutan perubatan. Staff di sana tersenyum melihat ketidaktahuan saya sambil berkata borang permohonan itu ada dengan mereka. Ini bermakna saya tidak perlu pergi ke pejabat persatuan pesara untuk mendapatkannya. Tetapi mereka tidak tahu saya ada rancangan lain.

Bersambung.....

Tuesday, April 28, 2020

Bermain di padang tidak sama rata - Episod 10 (Saya bukan Pegawai Kerajaan)


BEKERJA SELEPAS BERSARA


Semasa saya berumur 55 tahun enam bulan saya merasa panik. Saya akan bersara enam bulan lagi tetapi saya betul-betul belum bersedia. Saya tinggal di Taman Paroi Jaya sejak tahun 1978 dan saya perhatikan mereka yang duduk berehat selepas bersara ramai yang meninggal dunia beberapa tahun selepas itu. Ada yang meninggal dunia di tahun pertama persaraan mereka.

Sedangkan yang bekerja semula, seperti membawa teksi atau aktif dalam kerja-kerja amal seperti menjadi siak masjid, hidup sihat. Soalnya apakah kerja yang boleh saya buat atau di badan manakah saya hendak membuat kerja amal?

Tiba-tiba bos saya Y meminta saya terus bekerja selama empat tahun lagi sehingga saya berumur  60 tahun. Maka bermulalah tempoh yang paling melegakan dalam hidup saya. Ini kerana saya tidak merasa apa-apa tekanan dalam tempoh tersebut. Saya sudah berniat, jika  ditekan dalam kerja, saya akan mengugut untuk berhenti kerja. Alhamdulillah ugutan itu tidak timbul langsung.

Di tempoh bersara itu juga saya mengerjakan Haji. Saya sudah bersedia jika permohonan Cuti Haji saya tidak diluluskan, saya akan mengambil Cuti Tanpa Gaji. Alhamdulillah sekali lagi, Cuti Haji saya diluluskan.


DIA MAHU TERUS BERSARA

Setahun setelah saya bersara dan bekerja semula, giliran kawan sekerja saya R pula bersara. Dia pun ditawarkan untuk bekerja semula, tetapi menolak. Tetapi saya tahu sebabnya ialah dia berasa malu.

Tidak berapa lama setelah saya merajuk kerana diketepikan semasa naik pangkat, Y mula memanggil saya untuk perbincanghan empat mata semula dan R juga diberi tugas-tugas yang sama dengan mereka yang memanggilnya 'atuk'.

Tiap-tiap orang dari kami diberi sebuah kamera digital dan komputer. Tetapi R tidak pernah menggunakan komputernya. Sebagai seorang yang minat dalam fotografi, saya juga tahu R tidak pandai mengambil gambar. Malah 'cucu-cucu'nya yang memindahkan gambar-gambar dari kamera ke komputer.

Yang melucukan saya ialah R pernah mengambil gambar atas gambar, sedangkan jika ia ingin 'menipu' begini dia boleh menggunakan 'scanner'. Syukurlah pekara ini tidak disedari oleh penonton gambar itu semasa ia ditayangkan di skrin besar di bilik mesyuarat. Sekali lagi saya yang minat fotografi ini dapat membezakan antara gambar atas gambar dengan gambar asli.

R masuk hospital tidak berapa lama selepas bersara. Selain itu di tiga tahun terakhir saya bekerja di MPS, R terus hilang dari ingatan saya.


PRU 12  

Sekali lagi saya ditawarkan menjadi Ketua Tempat Mengundi di PRU 12 pada tahun 2008. Kali ini Y tidak terlibat langsung dengan PRU, tetapi dia melepaskan saya. Seorang Pengarah MPS lain menjadi Pembantu Pilihanraya, iaitu jawatan yang pernah saya pegang di PRU 8 pada tahun 1990. Kali ini saya diturunkan pangkat untuk menjaga Saluran 5 iaitu saluran terakhir di Pusat Mengundi di Sekolah Kebangsaan Ampangan.

Saluran terakhir ini cukup berbeza dengan Saluran 1. Ia untuk mereka yang baru mendaftar mengundi dan sudah tentu muda-muda belaka dan cukup bersemangat untuk mengundi. Tetapi Saluran ini tidak kurang dengan kontroversinya.

Pertama, seorang wakil calon dari Wanita UMNO cuba hendak menonjolkan dirinya. Mula-mula dia  memakai kain merah dan baju putih iaitu warna UMNO. Kemudian semasa hendak mengira undi dia sama-sama duduk hendak mengira. Dia dah biasa buat ini, katanya. Saya arahkan dia duduk di meja wakil, jika tidak saya akan minta Polis membawanya keluar.

Kedua, wakil calon PKR minta tandatangan Borang 14 (Borang Keputusan Undi) sebelum tamat undi. Katanya kawan-kawannya di Pusat lain sudah tandatangan. Saya jawab saya boleh benarkan dia tandatangan, tetapi ini bemakna dia bersetuju dengan apa-apa data yang saya masukkan di borang itu nanti. Dia tak jadi tanda tangan awal.

Ketiga seorang pengundi muda sengaja melipat kertas undi secara terbalik sebelum memasukkannya ke kotak undi. Ini bermakna undinya tidak sulit lagi. Seorang kerani cuba menegurnya, tetapi saya kata biarkan dia.


KERJA BANCI TAHUN 2010

Saya tidak menganggur lama selepas bersara kali kedua pada awal tahun 2020. Saya ditawarkan menjadi Penyelia Banci di BANCI NEGARA 2010, cuma kawasan jagaan saya ialah di Nilai. Tetapi di sini pun ada sedikit kecoh melibatkan saya. Jabatan Perangkaan pada mulanya meletakkan saya sebagai Pegawai Kerajaan yang hanya dibayar elaun. Akibatnya gaji saya (sebagai pekerja swasta) lewat di bayar di bulan pertama.

Gaji pekerja swasta dibayar lebih dari elaun yang dibayar kepada Pegawai Kerajaan. Saya sindir mereka dengan mengatakan "Tuan-tuan bekerja dengan nombor hari-hari. Tentu dengan melihat nombor MyKad saya tuan-tuan boleh tahu saya sudah berumur 60 tahun lebih. Mana ada pegawai kerajaan yang berumur lebih 60 tahun?" 

(Banci dijalankan sepuluh tahun sekali. Dari itu sepatutnya di tahun 2020 ada sekali lagi BANCI NEGARA. Tidak tahulah jika ada banci pada tahun ini memandangkan keadaan Covid-19 sekarang)

Bersambung.......

Bermain di padang tidak sama rata - Episod 9 (Ke Japan dan balik)



BERJAYA JUGA BELAJAR DI LUAR NEGARA


Akhirnya cita-cita saya untuk 'belajar' di luar negara tercapai juga, walau pun tempohnya hanya enam minggu. Yang manisnya ia berlaku di umur saya 54 tahun dan cuma setahun setengah belum saya bersara. Untuk mengetahui pengalaman saya di sana sila klik di bawah.

  1. Kenangan di Japan Bahagian 1
  2. Kenangan di Japan Bahagian 2
  3. Kenangan di Japan Bahagian 3
Selain dari apa yang saya dapat semasa latihan, saya belajar satu perkara di Japan. Kawan sama latihan saya seorang permpuan Cina dari Pekan, Pahang mengumpul sikat dan berus gigi yang dibekalkan oleh pihak hotel. Selama lima minggu di Fukuoka dia memungut 35 unit tiap-tiap satu. Saya tanya kenapa? Jawabnya untuk dijadikan cenderamata untuk kawan-kawannya di Malaysia nanti. 

Saya pun sempat memungut sebanyak 20 sikat dan berus gigi. Kemudian saya beli 3 tali leher dan beberapa cenderamata untuk anak-anak saya. Anak bongsu saya Anis meminta saya belikan satu cenderamata untuk cikgunya kerana cikgunya itu sering bertanya bila saya hendak balik dari Jepun. Untuk itu saya belikan satu piring 'melamine' yang ada tulisan jepun.

Apabila mula bekerja semula (setelah ponteng beberapa hari) saya berikan  tali leher itu kepada bos saya Y, SU dan YDP MPS. Sikat dan berus gigi saya berikan kepada kawan-kawan pejabat. Betul seperti kata kawan saya dari Pekan itu. Mereka cukup gembira mendapat cenderamata dari Jepun, tidak kira semurah mana.

Semasa saya berjumpa SU untuk menyerahkan tali lehernya, dia terus bawa saya berjumpa YDP. Rupa-rupanya YDP hendak berpindah semula ke jabatan lamanya iaitu Jabatan Perancang Bandar dan Desa. Ini kerana dia tidak tahan bekerja di MPS, oleh itu dialah Timbalan YDP atau YDP yang paling singkat tempohnya berkhidmat dengan MPS, iaitu lebih kurang setahun sahaja. 

Saya tidak pernah bertanya lanjut, tetapi saya tahu J tidak selesa bekerja di bawah Menteri Besar baru yang dipanggil Tok Mat itu. J kemudiannya diganti oleh Dato' H. 

Tetapi saya tidak boleh melupakan jasa J menghantar saya ke Japan. Itu pun setelah bos saya Y tidak meneliti surat tawaran dari JPA yang mensyaratkan kos tiket terbang perjalanan saya ke Japan ditanggung oleh MPS. Jika Y terpandang syarat itu mungkin dia menasihatkan J tentang dasar MPS tidak membenarkan mana-mana pegawai berkursus di luar negara jika melibatkan duit MPS.


KERJA SEMULA SELEPAS BERSARA

Saya bersara secara rasmi pada 3 Januari 2006 bila umur saya tepat 56 tahun. Tetapi sebelum itu bos saya Y berjanji akan mengambil saya bekerja semula sebagai pekerja kontrak. Tempoh kontrak saya ialah selama empat tahun sehingga 3 Januari 2020 bila saya mencapai umur 60 tahun.

Sekarang saya selalu berkata kepada pegawai-pegawai kerajaan bahawa saya pun merasa bekerja hingga 60 tahun. Bezanya ialah di empat tahun terakhir saya menerima gaji dan pencen. 

Sebenarnya pencen saya mula dibayar hanya enam bulan selepas saya bersara. Ini kerana dua sebab. Sebab pertama ialah beberapa bulan sebelum bersara jawatan saya telah dinaik taraf oleh kerajaan. Ini menyebabkan gaji akhir saya berubah. Oleh itu MPS terpaksa meminda angka gaji yang telah dihantar ke JPA Pencen. 

Kemudian perkhidmatan lama di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga diambil kira untuk kiraan pencen. Ini memaksa MPS berhubung dengan KKM dan KWSP.


SAYA NAK MAKAN APA?

Akhirnya saya menalipon JPA Pencen dan mereka menjawab KWSP belum menghantar maklumat yang mereka minta. Saya tidak ada pilihan dari memanjat pejabat KWSP di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Di pejabat KWSP mereka membuka fail saya dan mendapati mereka masih ada tempoh untuk menjawab surat JPA Pencen itu (JPA beri mereka tempoh 2 bulan). Saya terus menjawab "Tuan, saya sudah bersara beberapa bulan, saya nak makan apa?" . Saya tidak menceritakan yang saya sedang bekerja (dan mencarum untuk KWSP sekali lagi). Mereka minta saya tunggu sekejap.

Akhirnya setelah menunggu dalam setengah jam mereka berkata semua sudah selesai. Mereka sudah email maklumat kepada JPA Pencen dan memberi saya satu salinan. Kerja dua bulan selesai dalam setengah jam.


DUIT TABUNG HAJI KOSONG

Saya cemas kerana dua perkara. Pertama saya sudah membayar deposit untuk membeli rumah saya sekarang. Kedua duit simpanan saya seperti koperasi, insurans, ASB dan Tabung Haji sudah habis saya keluarkan untuk deposit itu. Pemaju perumahan pula asyik menalipon saya bila nak bayar baki harga rumah, kerana saya telah berjanji membeli rumah ini secara tunai.

Akhirnya pencen pun mula dibayar bersama ganjaran. Saya pun selesai membeli rumah baru secara tunai. Masalah seterusnya ialah duit di Tabung Haji sudah kosong.

Saya pun buat keputusan nekad memotong duit gaji saya sebanyak RM 2,000 sebulan untuk dibayar ke Tabung Haji. Seribu untuk akaun saya dan seribu lagi untuk akaun isteri saya. Sementara itu saya hidup dengan duit pencen dan baki gaji. 


TERIMA KASIH KEPADA Y

Akhirnya dalam pada saya marah kepada bos saya Y kerana memberi saya padang tidak sama rata, saya berterima kasih kepadanya. Jika tidak kerana dia menawarkan saya supaya bekerja semula setelah bersara, mungkin saya tidak dapat mengerjakan Fardu Haji. Kalau dapat pun mungkin saya tidak dapat membeli rumah sekarang.

Bersambung.....

Bermain di padang tidak sama rata - Episod 8 (Balas dendam)


BALAS DENDAM


Kata orang putih 'Revenge is sweet' atau membalas dendam itu manis. Itulah yang saya lakukan setelah tidak berjaya dinaikkan pangkat. Saya percaya saya gagal bukan kerana lawan saya lebih baik. Tetapi kerana dari dulu lagi saya bermain di atas padang yang tidak rata. Lawan saya  pula dibantu oleh pengadil yan berat sebelah.

Y bertemu saya secara empat mata hampir setiap hari. Selalunya kami berbincang tentang hala tuju jabatan dan bagaimana hendak menjawab surat-surat dari pembayar cukai yang datang setiap hari. Y

Yang DiPertua (YDP) baru kami dulu bekerja di Pejabat Daerah dan Tanah di Seremban. Untuk menentukan segala perniagaan yang dijalankan di kawasan MPS hanya boleh dibuat di  atas tanah perniagaan atau perusahaan, dia membuat satu arahan. Arahannya ialah setiap permohonan lesen lesen disertakan dengan salinan geran tanah.

Akibatnya ramai pemohon lesen yang merungut. Ada geran mereka disimpan di bank. Ada pula di pejabat peguam. Satu hari dalam perjumpaan empat mata kami saya mencadangkan supaya salinan geran tanah itu diganti dengan salinan bil cukai tanah. Ini kerana maklumat guna tanah seperti kediaman, perniagaan atau perusahaan ada ditulis di situ. Y berkata akan membawa cadangan ini kepada YDP. 

Beberapa hari kemudian dalam mesyuarat jabatan kami, Y memberitahu cadangan kami itu diterima oleh YDP. Tetapi saya percaya bila Y berjumpa dengan YDP dia tidak menyebut nama saya. Dia akan menyebut idea itu datang darinya sendiri. 

Itulah satu contoh perkara-perkara yang saya dan Y selalu bincang secara 'brainstorming'.   


"INI YOU KENA BINCANG DENGAN R"

Satu hari Y selepas keputusan naik pangkat dikeluarkan, Y memanggil saya seperti biasa. Dia pun menghulurkan satu fail dan meminta saya memberi pandangan tentang lampiran terbaru dalam fail itu. Saya terus menjawab "Maaf, ini you kena bincang dengan R". Kemudian Y bertanya "Kau merajuk ke?" Saya terus menjawab "Tentulah". Saya terus meninggalkan biliknya. Sejak itu juga Y tidak memanggil saya lagi untuk perjumpaan empat mata.

Beberapa minggu kemudian saya diberitahu oleh L yang sudah disahkan sebagai Ketua Kerani bahawa R sedang tertekan. "Dia tension" katanya. Saya bertanya kenapa pula R tension? L jawab, Y sering memarah R. Malah R pernah memberitahu L begini "Aku bukan macam Maarof. Bila disoal, Maarof boleh jawab, tetapi aku tak boleh jawab macam dia". 

Sejak itu juga saya perhatikan Y tidak memberi N tugas-tugas penting. Kalau ada pun R dibantu oleh 'cucu-cucunya' yang memanggilnya 'atuk' tersebut.

Kesian pula saya pada R. Tetapi hati kecil saya berkata "Padan muka kau berdua". Mungkin sedar dari kesilapannya, Y telah membuat satu kertas kerja untuk mengujudkan satu lagi jawatan naik pangkat. Tetapi prosesnya bukan mudah. Ia hendaklah melalui Mesyuarat Ahli Majlis MPS, mendapat sokonagn Kerajaan Negeri Sembilan sebelum dihantar ke Jabatan Perkhidmatan Awam, (JPA) Kuala Lumpur/Putrajaya untuk pertimbangan dan kelulusan.

Akhirnya jawatan yang dipohon itu diluluskan oleh JPA. Tetapi ini berlaku semasa saya sudah bersara. 


'WINNER TAKES ALL'

SU atau Setiausaha baru MPS sudah membuka luas peluang staff MPS untuk menjalanan kursus atau seminar di seluruh dunia. Seperti yang saya kata, persaingan saya dengan R akan menghasilkan sorang 'winner takes all'. Pada tahun 2003 ada tawaran dari Japan International Cooperation Agency (JICA) untuk latihan selama enam minggu di Bandar Fukuoka di sana. 

Oleh kerana R pemenang persaingan itu, dia dihantar oleh MPS. Saya yang sudah tentu kecewa, tidak berminat untuk ambil tahu apa latihan yang dijalaninya. Cuma saya perhatikan R dibantu oleh 'cucu-cucunya' untuk membuat satu laporan untuk dibawa ke sana.


PRU KE 11

Pilihanraya Umum ke  11 berlaku pada awal tahun 2004. Jika di PRU ke 8 Y memegang jawatan Penolong Pegawai Pengurus dan saya menjadi Pembantu Pilihanraya, kali ini kami turun pangkat. YDP MPS diberi jawatan Penolong Pegawai Pengurus untuk DUN Ampangan di bawah Parlimen Seremban. Y turun pangkat menjadi Pembantu Pilihanraya iaitu jawatan yang saya pegang di PRU 8. Saya tidak ada pilihan lain dari menjadi Ketua Tempat Mengundi (KTM).

Jawatan Yang DiPertua MPS sudah bertukar tangan dari Z kepada J dari Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Negeri Sembilan.

Nama saya diletakkan paling atas di senarai Ketua Tempat Mengundi, mengatasi beberapa ketua jabatan MPS. Dari itu juga saya menjadi KTM di Saluran 1 Pusat Mengundi No. 1 DUN Ampangan. Pusat Mengundi saya ialah Sekolah Rendah Kebangsaan KGV, Ampangan.

Di masa itu juga SPR mensyaratkan Ketua Tempat Mengundi di Saluran 1 ialah Ketua kepada Pusat Mengundi keseluruhannya. Dari itu saya bebas melawat semua saluran mengundi di pusat itu. Oleh kerana Saluran saya ialah saluran pertama di DUN Ampangan, ramailah VIP yang datang melawat semasa mengundi dan mengira kertas undi.

Kenapa saya masukkan cerita PRU di sini ialah di dalam hal yang tidak melibatkan tugas-tugas di MPS boleh pula Y meletakkan kedudukan saya di atas R. Malah di atas pegawai-pegawai lain di MPS.


KALAU KAU NAK PERGI KE JEPUN BALIK SEKARANG

Beberapa bulan selepas PRU 11, Y menalipon saya semasa saya di luar pejabat. Katanya "Kalau kau nak pergi kursus yang R buat di Jepun dulu, balik ke Jabatan Personnel sekarang".  Saya pun terus pergi ke Jabatan Perkhidmatan da Personnel MPS dan ditunjukkan satu surat.

Surat ialah tawaran dari JICA untuk latihan sama yang dihadiri oleh R di Fukuoka, Japan pada tahun sebelumnya. Di bahagian bawah surat ialah arahan Yang DiPertua MPS mencadangkan nama saya untuk latihan itu. Saya pun minta satu salinan fotostat dan bawa ke pejabat saya.


ADA DUA MASALAH

Bila saya membaca surat itu yang dihantar oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) saya nampak satu masalah. Masalahnya ialah ia tiap-tiap jabatan yang menghantar peserta hendaklah membayar kos tiket kapalterbang, tidak seperti sebelumnya.

Saya tahu walau pun MPS sudah membuka peluang berkursus ke seluruh dunia untuk pegawai-pegawainya, syartnya ia tidak melibatkan apa-apa kos dari jabatan. Saya pun berjumpa dengan Y.

Bila sahaja Y melihat syarat itu dia terus berkata "Kalau macam tu kau tak boleh pergilah". Saya percaya Y tidak melihat syarat itu bila dia berbincang dengan YDP sebelumnya. Kalau dia perasan sudah tentu dia memberitahu YDP akan syarat majlis itu. Melepaslah saya.

Bila saya tunjukkan arahan kelulusan TDP itu, barulah Y berkata "Kau mohonlah". Saya pun mengisi borang yang telah disediakan oleh JPA.

Bila sudah mendapat kelulusan dari JPA, timbul lagi satu masalah. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang menyelaras latihan itu mahukan semua perserta (7 semuanya) naik penerbangan yang sama dan memberi nombor penerbangannya sekali.

Bila saya tempah tiket kapalterbang saya dapati tiket untuk taraf gred kerja saya iaitu kelas ekonomi sudah habis. Yang tinggal cua kelas 'business'. Bila saya menalipon KPKT, mereka berkata sedar akan masalah itu dan minta saya mohon supaya MPS menaikkkan taraf kelas saya.

Esoknya sesudah Subuh yang datang ke pejabat menunggu kedatangan YDP. Setibanya pada pukul 7.30 lebih kurang saya ceritakan masalah saya. Dia terus berkata "Panggil SU (Setiausaha MPS) ke sini". Saya pun terus ke bilik SU dan berkata YDP hendak berjumpanya. Bila dia tanya kenapa, saya ceritakan masalah  penerbangan saya.

Dalam perjalanan dari bilik SU ke bilik YDP jantung saya berdegup cepat. Sampai sahaja ke bilik YDP, dia terus berkata kepada SU. "Es Yu, saya dah pilih Encik Maarof untuk pergi ke Jepun. Sekarang dia ada masalah kelas kapalterbang. Saya hendak dia pergi macam mana pun. Berapa MPS kena bayar, bayar". Saya pun mengucapkan teriima kasih dan mengikuti SU balik ke biliknya.

SU pun menguruskan pembelian tiket kapalterbang saya. Sebenarnya cuma tiket kelas ekonomi untuk pergi ke Japan yang tidak ada. Tiket ekonomi balik ke Malaysia masih ada. Tetapi MPS telah membeli tiket kelas 'business' untuk kedua-dua perjalanan. Nasib, nasib.

Akhirnya hati saya yang luka melihat kawan sekerja saya R pergi ke Japan di tahun sebelumnya terubat juga. Bukan itu sahaja, saya mendapat bonus kerana terbang dengan kelas ekonomi dengan duit MPS,

Bersambung.

Monday, April 27, 2020

Bermain di padang tidak sama rata - Episod 7 (Abang, pakcik dan atuk)


LEMAH DALAM UNDANG-UNDANG


Semasa Y bertanya saya apa kelemahan R, saya terus terang mengatakan R lemah dalam undang-undang. Betul salah satu subjek dalm latihan kami ialah undang-undang. Untuk mendapat Diploma bermakna kami wajib lulus subjek undang-undang, tetapi mengamalkannya adalah satu perkara lain. 

Saya jelaskan kepada Y tidak semua kesalahan dalam AKTA KERAJAAN TEMPATAN dan AKTA JALAN, PARIT DAN BANGUNAN yang dikuatkuasakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh dikompaun, atau diselesaikan dengan membayar denda kepada PBT. 

Contoh kesalahan yang tidak boleh dikompaun ialah 'Kacauganggu' atau 'Nuisance'. PBT hendaklah menghapuskan kacauganggu itu secara drastik atau mendapatkan perintah mahkamah. Jika dikompaun sahaja, pesalah akan meneruskan mengacau dan mengganggu setelah membayar denda.

Contoh yang baik ialah PKP di negara kita sekarang. Pada mulanya pihak berkuasa seperti Polis mengenakan kompaun kepada mereka yang melanggar PKP . Tetapi bagi orang yang berduit ini tak jadi masalah, sudah bayar kompaun buat salah lagi. Itu sebabnya sekarang pesalah terus dibawa ke mahkamah. Mahkamah boleh mengenakan hukuman penjara, yang tidak boleh dibuat oleh pihak Polis dan sebagainya.

Saya ceritakan pada Y bahawa N asyik mengkampuan segala kesalahan tanpa merujuk kepada akta-akta berkenaan. Itu sebabnya R sering ditegur oleh S (Timbalan Yang DiPertua) oleh kerana walau pun R menjawab satu-satu kesalahan itu sudah dikompaun, S masih tidak berpuas hati kerana ia masih berterusan.


PERUBAHAN DI MPS

Dalam pada itu ada sedikit perubahan di MPS. S meninggalkan MPS dan digantikan oleh Z. Menteri Besar Negeri Sembilan tidak lagi memegang jawatan Yang Di Pertua. Z merupakan Ketua Eksekutif pertama di MPS yang memegang jawatan itu.

Tentulah R lega S ditukarkan, Saya pun bersama-sama lega kerana ada sedikit salah faham dengan S, Jika sempat saya akan ceritakan di satu episod akan datang.

Seorang lagi pegawai yang dipinjamkan dari Kerajaan Malaysia memegang jawatan Setiasaha. Y yang selama ini memangku jawatan itu diberikan jawatan Pengarah Pelesenan dan Pembersihan. Saya dan R bekerja dibawahnya. Saya akan merujuk Setiausaha ini sebagai SU. 


MEMANGKU JAWATAN PEGAWAI PENDAKWA

Pegawai Pendakwa MPS diletakkan di bawan Jabatan Penguatkuasaan dan Undang-Undang. Apabila dia tidak dapat hadir ke mahkamah di hari-hari pendakwaan kerana berkursus dan sebagainya, seorang dari jabatan kami diminta untuk menggantikannya. Y tidak pernah  memberikan tugas itu kepada R. Sebabnya nyata, iaitu R lemah dalam undang-undang. Sebaliknya sayalah ditawarkan.

Malah pernah jawatan Pegawai Pendakwa MPS kosong sehingga enam bulan. Dalam tempoh itu sayalah yang dilantik memangku jawatan itu. Sehingga isteri saya faham akan keadaan ini. Setiap hari Selasa, iaitu hari sebutan mahkamah, isteri saya akan menyediakan pakaian mahkamah saya iaitu seluar hitam dan baju lengan panjang putih. Kot dan tali leher saya sedia tergantung di pejabat.

Jika saya perlu membuat pemeriksaan selepas kes-kes mahkamah, saya terpaksa mengenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa. Ini kerana saya tidak lagi memakai uniform MPS yang sudah tertera logo MPS.


TEMUDUGA LAGI

SU sebagai Setiausaha baru banyak mengubah hala kerja MPS. Dia mengisi mana-mana jawatan kosong, termasauk jawatan-jawatan naik pangkat. Pada suatu hari saya dan R pun dipanggil untuk temuduga. Siapa yang berjaya dalam temuduga ini bermakna telah mencapai tahap paling tinggi yang boleh diberi oleh MPS. Jika di Kementerian Kesihatan pemegangnya mengetuai satu negeri.

Sebelum temuduga semasa menaiki satu kenderaan MPS, saya menyatakan kepada pemandu bahawa saya dan R akan menghadapi temuduga naik pangkat. Pemenangnya akan menjadi 'winner takes all'. 

Pemandu itu terus menjawab "You mesti dapatlah". Bila saya tanya mengapa dia fikir begitu dia menjawab "You pandai komputer, sedangkan R tak tau langsung". Mungkin dia tidak tahu saya pun lebih tahu undang-undang dari S.

Saya terus menjawab "Itulah masalahya, kerana Y pun tak tau komputer. Jadi mereka ini ada kesamaan". Tidak payahlah saya berbincang dengan pemandu itu kesamaan lain antara Y dan S iaitu mereka datang dari kawasan yang sama dan pernah tinggal se rumah.

Temuduga pun berjalan, walau pun saya tahu ia cuma satu formaliti. Keputusan sudah dibuat walau bagaimana hebat pun aksi saya di temuduga tersebut.


NO NEW IS BAD NEWS.

Beberapa hari selepas temuduga saya tidak menerima apa-apa berita, sama ada secara surat atau perkhabaran lain. Gossip pun tak ada. Akirnya saya bertanya kepada seorang kakitangan Jabatan Perkhidmatan dan Personnel. Dia memberi jawapan seperti yang saya jangka. Dia tak kata saya tak dapat, dia cuma kata R berjaya dalam temuduga itu.

Ini bermakna saya tidak ada peluang lagi untuk memegang jawatan naik angkat itu. Sebabnya? Kerana R muda setahun dari saya, walau pun ramai tidak tahu fakta itu. Jadi saya akan bersara dulu dari R.


ABANG, PAKCIK DAN ATUK

Saya masih ingat di satu petang seorang budak berumur lebih kurang 10 tahun memasukki 'lift' MPS yang sudah ada dalamnya R, seorang Pembantu Teknik (PT) dan saya. PT itu menegur budak itu kerana tidak menyapa kami. PT itu menunjuk kepada dirinya sambil berkata "Ini panggil abang". Kemudian menunjuk kepada saya "Ini panggil pakcik". Akhirnya dia menunjuk kepada R sambil berkata "Ini panggil atuk".

Sebenarnya PT itu dan kebanyakan staff MPS yang lain tidak tahu yang "pakcik" itu sebenarnya lebih tua dari "atuk". Malahan kebanyakan staff di Jabatan kami memanggil R sebagai 'atuk'.

Jadi bila R dinaikkan pangkat mengalahkan saya isu ini tidaklah heboh di MPS. Mereka fikir sesuailah R yang dijangka lebih tua dari saya itu diutamakan. Cuma saya yang punya badan menanggungnya.


AKU TAK TERLIBAT

Y sebagai ketua jabatan selalu memanggil saya untuk berbincang mengatur strategi kerja, menjawab surat-surat dan sebagainya. Beberapa hari selepas mengetahui keputusan temuduga, saya beritahu Y secara sepontan bahawa saya tidak berjaya dalam temuduga itu. Saya mahu melihat reaksi Y.

Y terus berkata "Aku langsung tak terlibat dalam temuduga kau berdua". Itu pembohongan pertama kerana di setiap proses naik pangkat ada ruang untuk laporan sulit ketua jabatan dan sebagainya.

Kemudian Y menambah "Tapi aku 'fight' untuk L". L ialah kerani yang selama ini memangku jawatan ketua kerani jabatan kami. Dia berjaya dalam temuduganya yang diadakan di masa yang sama dengan temuduga saya itu.

Di sinilah saya tahu Y membuat pembohonan kedua. Siapalah L jika dibandingkan dengan R? Jika L tidak berjaya, kerusinya boleh diduduki oleh orang lain. Jika L malu hendak bekerja di bawah orang baru, dia boleh ditukarkan ke jabatan lain.

Tetapi jika R tidak berjaya apa kata orang kampung nanti? Kawan-kawan bersama Y dan R ramai di Seremban. Jadi persoalannya jika Y mengaku 'fight' untuk L, kenapa dia tidak "fight" untuk 'R'?.


Kemudian seorang kawan saya mengesahkan pembohongan Y. Dia berjumpa SU yang menjadi pengerusi panel temuduga. SU berkata, sebelum temuduga Y ada menaliponnya dan meminta jawatan naik pangkat itu diberi kepada R.

Beberapa hari kemudian saya membalas dendam

Bersambung.......

Sunday, April 26, 2020

Bermain di padang tidak sama rata - Episod 6 (Digunakan untuk kepentingan)


TEMUDUGA


Memang sah, tujuan Y menghantar R seorang diri menghadiri kursus waktu malam di Petaling Jaya, Selangor ialah untuk menaikkan pangkatnya. Tetapi Y (dan R pada mulanya) tidak sedar saya pun ada rancangan sendiri. Sudah tentu Y terperanjat melihat saya pun memohon untuk masuk periksa yang pada mulanya cuma R yang memohon, itu pun atas desakan Y.

Mungkin Y juga terperanjat bila melihat keputusan periksa dan mendapati saya juga lulus, tanpa berkursus. Ternyata wang dan masa R telah banyak  terbuang dibandingkan dengan saya. Tetapi hajat tetap diteruskan dan  seperti yang saya jangka, cuma kami berdua yang dipanggil untuk temuduga. Kawan-kawan kami yang lebih senior tidak  dipanggil kerana belum lulus periksa.


MENANG MENANG

Tetapi temuduga yang pada mulanya mencemaskan saya itu akhirnya menjadi satu formaliti sahaja. Ini kerana terdapat dua kekosongan jawatan naik pangkat. Akhirnya saya dan R sama-sama dinaikkan pangkat. Di lain perkataan, ia menjadi situasi menang menang kepada kami.

Yang rugi ialah kawan-kawan kami yang lebih senior itu. Kalaulah mereka sama-sama duduk periksa dan lulus, sekurang-kurangnya mereka memberi saingan hebat kepada saya. R lainlah, kerana dia anak emas. Dalam sukan dia boleh diibaratkan sebagai seorang 'seed'.

Tetapi jika saya tidak mengambil tindakan drastik menduduki peperiksaan itu, saya pun turut rugi. Secara rasmi R akan berada di atas saya dan kawan-kawan sekerja.  


DIBERI TANGGUNGJAWAB

Tidak berapa lama setelah keputusan temuduga, saya dipanggil oleh Y. Dia berkata telah berbincang dengan H, Timbalan Yang DiPertua dan memberi saya dan R peluang menjadi Ketua Bahagian. Saya menjadi Ketua Bahagian Pembersihan dan R Ketua Bahagian Pelesenan. Setelah dua tahun kami akan bertukar jawatan, kata Y.


BOS BARU

Tidak lama lepas itu, H dilepaskan dari pinjaman untuk menjadi Pegawai Daerah Jelebu dan digantikan oleh S dari Pejabat Setiausaha Kerajaan, Negeri Sembilan. S ialah bekas pelajar Malay College, Kuala Kangsar dan sebagai seorang bekas pelajar sekolah berasrama penuh, saya sudah menjangka dia bukan sebarang orang.

Jika selama ini orang tidak nampak akan kelemahan R kerana dia menjadi anak emas Y, kali ini S melondehkn kelemahan itu. R sering ditegur oleh S di mesyuarat ketua-ketua bahagian dan ini sudah tentu merisaukan Y. 

S pula seorang yang 'direct'. Saya masih ingat di satu mesyuarat ketua bahagian, ketua satu bahagian itu menghantar wakilnya kerana dia berkursus. Di mesyuarat itu wakil itu menyebut S yang mempengerusikan mesyuarat sebagai 'You' dan bukan 'Tuan Pengerusi'. S yang bengang terus menangguhkan mesyuarat dan keluar. 


APA KELEMAHAN R?

Akibat risau anak emasnya sering ditegur bos, satu hari Y memaggil saya. Dia terus bertanya "Apa kelemahan R?". Kerana saya sama-sama bekerja dengan R, tentulah saya tahu akan kekuatan dan kelemahannya. 

Saya pula jenis yang tidak pandai berbohong. Saya pun ceritakan secara jujur apa kelemahan R dari pandangan saya sendiri. 

Selepas itu saya perhatikan R kurang ditegur oleh S. Saya percaya Y telah mengajar R bagaimana hendak menjawab soalan-soalan S. Antaranya jangan berbohong. S ini bekas pelajar Malay College dan dia tahu bila seorang itu berbohong.


PEMBANTU PILIHANRAYA

Di bulan September 1990 saya dipanggil oleh Y di pejabatnya. Dia telah dilantik oleh Pegawai Daerah Seremban untuk menjadi salah seorang Penolong Pegawai Pengurus untuk Pilihanraya Umum (PRU9) tidak lama lagi. Kawasan kami ialah DUN Mambau di bawah Parlimen Rasah. Saya terus menawarkan diri menjadi Ketua Tempat Mengundi kerana mempunyai pengalaman.

Y berkata nanti dulu. "Aku hendak kau pegang jawatan lebih tinggi dari itu", katanya. Jawatannya dipanggil Pembantu Pilihanraya. Ia lebih kurang menjadi Setiausaha kepadanya.

Kami pun berbincang untuk melantik jawatan-jawatan Ketua Tempat Mengundi dan Kerani Undi. Untuk senang berhubung, kami lantik kebanyakannya dari staff MPS sendiri. Antara Ketua Tempat Mengundi ialah R dan beberapa pegawai MPS yang lebih tinggi pangkat mereka dari saya.

Di sinilah saya jelas nampak Y telah mempraktikkan apa yang ditanyanya kepada saya mengenai kelemahan R. Kenapa tidak lantik R sebagai Pembantu Pilihanraya? Kenapa lantik saya?

Jawapannya dia tahu akan kebolehan saya. Dia tahu saya celik komputer, yang dia dan R sendiri langsung tidak tahu.

Selepas itu saya bukan sahaja sering berada di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Seremban untuk kerja-kerja PRU, tetapi saya juga pergi ke pejabat SPR Negeri Sembilan. Bila saya perhatikan staff SPR lembab menggunakan komputer, saya minta izin menggunakan komputer mereka.

Dengan menggunakan komputer di pejabat SPR Negeri Sembilan, saya telah dapat mencetak permohonan Kertas Undi Pos untuk semua pekerja PRU di bawah saya. Borang-borang itu cuma perlu tanda tangan Pegawai Daerah sebagai Pegawai Pengurus dan kemudian dikembalikan ke SPR.

Akibatnya semua pegawai-pegawai PRU di bawah DUN jagaan saya dapat Kertas Undi Pos dan sempat mengudi. Ini berbanding dengan DUN-DUN lain di mana pegawai--pegawainya mengadu tidak dapat mengundi kerana lewat menerima kertas Undi Pos atau tidak menerima langsung.


DIGUNAKAN UNTUK KEPENTINGAN

Menggunakan saya sebagai pembantunya di PRU juga menunjukkan sikap Y menggunakan seseorang untuk kepentingannya tanpa menyayanginya. Walau pun dia seorang yang rasis, dia memerlukan staff bukan Melayu untuk kepentingannya.

Dia memerlukan mereka ini untuk menterjemah apa-apa berita dalam akhbar bukan Melayu yang mengkritik MPS contohnya. Untuk akhbar Bahasa Inggeris dia gunakan saya kerana dia tahu English saya setaraf dengan kawan-kawan bukan Melayu saya. Selain buta kompuer, Y sendiri amat lemah dalam 'spiking inglish'.

Bersambung.....

Saturday, April 25, 2020

Bermain di padang tidak sama rata - Episod 5 (Lulus periksa walau pun tidak pergi berkursus)


OH, DIA DIHANTAR BERKURSUS RUPANYA.


Misteri  kenapa R tergesa-gesa meninggalkan pejabat sebaik sahaja habis waktu kerja terjawab bila saya pergi menyiasat di Bahagian Perkhidmatan dan Personnel MPS. Rupa-rupanya Persatuan Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik, iaitu satu NGO, menganjurkan satu kursus di Institut Tadbir Awam Negara, Jalan Elmu, Petaling Jaya, Selangor. 

Tujuan kursus ialah menolong mereka yang akan menduduki Peperiksaan Am Kerajaan. Oleh kerana ini bukan satu kursus anjuran mana-mana badan kerajaan, ia diadakan selepas waktu pejabat. Setiap peserta dikehendaki membayar kepada tabung NGO tersebut.

PILIH KASIH

Inilah satu contoh di mana Y telah mengamalkan pilih kasih secara terbuka. Surat NGO tersebut tidak menghadkan berapa peserta dari MPS yang boleh diterima. Mereka hendak mengisi tabung, jadi lebih ramai peserta lebih menguntungkan mereka atas dasar menang menang.

Jadi kenapa Y memberitahu R seorang sahaja? Sedangkan kalau dihantar empat orang contohnya, kami boleh bertukar-tukar kongsi kereta untuk pergi ke Petaling Jaya dan balik. Dalam hal ini R terpaksa memandu seorang dalam tempoh kursus tersebut.

APA TUJUANNYA?

Tujuan Y ialah untuk membantu R lulus dalam Peperiksaan Am Kerajaan akan datang. Bila saya melihat jadual peperiksaan, saya dapati R sudah mendaftar untuk peperiksaan itu. Ini semua atas rancangan Y untuk menaikkan pangkat R bila lulus periksa nanti.

Seperti yang saya kata sebelum ini, R bukan kawan saya sebenar. Jadi tidak hairan jika dia merahsiakan dari saya pemergiannya ke Kuala Lumpur tiap-tiap hari selepas habis kerja. 

DARI 'THE GODFATHER' KEPADA 'NEGARA KITA'.

Saya panik seketika, tetapi walau pun sudah jelas saya sedang bermain di padang yang tidak rata, saya tidak akan memberi R yang dibantu oleh Y untuk menang begitu mudah, apa lagi kemenangan percuma atau 'walkover'. Saya terus mendaftar sama untuk peperiksaan akan datang.

N sudah meninggalkan MPS dan dia tidak dapat menolong R lagi. Bos baru H jelas tidak memihak kepada sesiapa.

Kemudian saya pergi ke Pejabat Kesihatan Seremban untuk cuba bertanya bagaimana hendak lulus peperiksaan itu. Kawan-kawan saya di situ yang kebanyakannya sudah lulus periksa menjawab saya cuma perlu membaca sebuah buku yang bertajuk NEGARA KITA untuk lulus.

Saya pun beli buku tersebut dan membacanya siang dan malam, termasuk mencuri membaca di pejabat. Saya terpaksa mengalih perhatian dari membaca novel seperti The Godfather kepada buku maklumat yang membosankan itu. 

PERIKSA DI SEKOLAH

Apabila tiba tarikh periksa saya pun pergi ke Sekolah Menengah KGV di Jalan Zaaba, Seremban. Saya lihat R datang dengan bertali leher. Saya tidak tahu sama ada pihak JPA ada memberi markah bonus untuk mereka yang berpakaian begitu. Kalau ada, tentu R diarah buat begitu oleh Y atau NGO yang memberikannya kursus itu.

Saya antara mereka yang paling awal meninggalkan dewan peperiksaan, sedangkan R dan ramai yang lain masih menulis. Saya tahu saya sudah lulus dan peperiksaan ini tidak memerlukan markah kepujian dan sebagainya. Keputusan sama ada lulus atau gagal.

TEMUDUGA NAIK PANGKAT 

Tidak lama selepas periksa, keputusan pun keluar. Saya dan R sama-sama lulus. Cuma saya merasa sedikit puas kerana lulus tanpa menghadiri apa-apa kursus. Modal saya cuma harga buku NEGARA KITA berharga RM 12 di masa itu. Buku itu kemudian yang saya hadiahkan kepada seorang junior saya. Buat apa saya simpan buku yang membosankan itu.

R sudah tentu sudah berbelanja beratus ringgit untuk yuran kursus, minyak kereta dan tol. Mungkin buku NEGARA KITA termasuk dalam pakej kursus.

Tidak lama selepas keputusan periksa keluar, betul seperti jangkaan saya iaitu kami berdua dipanggil untuk temuduga naik pangkat.

Bersambung....... 

Bermain di padang tidak sama rata - Episod 4 (Dapat bos baru)

KHABAR ANGIN ITU BETUL

Khabar angin bahawa N yang selama ini dipinjamkan oleh Kerajaan Malaysia untuk memegang jawatan Timbalan Yang DiPertua, Majlis Perbandaran Seremban akan ditukarkan didapati benar. Saya akan berbohong jika saya kata saya tidak gembira dengan berita ini. Kawan-kawan sekerja saya turut sama gembira. Mugkin R sahaja yang mungkin tidak terasa apa-apa.

N meninggalkan kami begitu sahaja. Tidak ada apa-apa majlis perpisahan, tidak ada majlis makan malam dan sebagainya. Bukan kerana wabak Covid dan sebagainya. Tetapi kerana kehendaknya sendiri. 

TAKUT DENGAN KOMPUTER

Selama di MPS, N takut dengan komputer. Apa-apa cadangan untuk mengkomputerkan mana-mana jabatan di MPS ditolaknya. Sehingga bila beberapa Majlis Daerah di Negeri Sembilan sudah mula menggunakan komputer, MPS masih di takuk lama.

Jadi bila N ditukarkan ke Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) sebagai Penolong Setiausaha, saya tersenyum sedikit. Sebagai seorang yang pernah menjadi Ketua Tempat Mengundi di satu Pilihanraya Umum, saya tahu SPR tidak akan hidup tanpa komputer. Bagi N yang selama ini takut dengan komputer, ini akan menjadi mimpi ngeri baginya.

Ini berbeza dengan H yang menggantikan N di MPS. Dia datang dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), di masa itu masih terletak di Kuala Lumpur. Oleh kerana sudah biasa dengan komputer, dia terperanjat mendapati tidak ada satu komputer pun di MPS.   

TAK PAYAH KAJI, LAKSANA TERUS

Antara tindakan pertama H di MPS ialah mengkomputerkan beberapa jabatan yang memerlukannya secara mendesak. Saya pernah dengar dia berkata "I am not going to consider it, I am going to implement it". Bagi saya yang sudah punya satu komputer peribadi di rumah, ini satu keputusan yang sangat menggembirakan. Tetapi Y dan R masih tidak minat dengan komputer. Saya akan bercerita mengenai perkara ini di satu episod akan datang.

H  berasal dari Batu Kikir, Negeri Sembilan berbanding dengan N yang berasal dari Jasin, Melaka. H sering tersenyum dan amat disenangi oleh semua golongan pekerja. Apatah lagi dia boleh bercakap dengan loghat Negeri Sembilan. H sudah berkahwin dan mempunyai beberapa orang anak. Ini bermakna dia memahami masalah kami yang juga berkeluarga. Ini berbeza dengan N yang bujang seumur hidupnya. 

MENGHADAP ILLAHI

Setelah beberapa tahun meninggalkan MPS, N didapati mengidap penyakit kanser. Saya yang mendengar berita itu merasa berbelah lagi, sama ada hendak bersedih atau tidak. Akhirnya N meninggal dunia di umur 50 tahun lebih semasa masih bujang dan belum bersara

Apabila mendengar berita itu, R mengajak saya pergi ke Jasin Melaka untuk menghormati jenazah. Tetapi saya tidak sanggup pergi sedangkan saya boleh membantu R mencari kampung N yang cuma bersebelahan dengan kampung di mana isteri saya dilahir dan dibesarkan. Esoknya R menceritakan dia sesat dan hanya dapat pergi ke makam bila mana N sudah dikebumikan.

Beberapa minggu selepas pemergian N, saya ke Pejabat Daerah dan Tanah Jasin untuk urusan tukar nama tanah isteri saya. Masih ada di papan notis pejabat itu berita kematian N di mana Pegawai Daerah Jasin mengarahkan staff pejabatnya pergi ke kampung N menghormati jenazahnya. 


PEPERIKSAAN AM KERAJAAN

Sebaik sahaja MPS menerima perubahan taraf jawatan kami, Y menghubungi JPA bertanyakan adakah kami perlu menduduki Peperiksaan Am Kerajaan. JPA menjawab ya dan kemudian Y memanggil kami ke biliknya dan menyampaikan salinan surat itu kepada kami semua.

Tetapi kami tidak mengindahkan arahan Y itu. Kami tahu kalau ada urusan naik pangkat pun, tentu R yang diutamakan. Buat apa buang masa ambil peperiksaan? 

Tidak lama lepas itu saya dapati R tergesa-gesa meninggalkan pejabat sebaik sahaja waktu kerja tamat. Ini berlaku untuk beberapa hari. Saya bertanya M yang duduk sebilik dengan R kemana R pergi. M menjawab R pergi ke satu kursus di Kuala Lumpur yang diadakan pada waktu malam.

Kursus waktu malam?

Bersambung.......

Bermain di padang tidak sama rata - Episod 3 (Apa hukumnya pegang duit orang?).

SUKA 'SAY SOMETHING'

Bila Y yang rasis itu gagal mendapat bantuan saya menjahanamkan kawan-kawan bukan Melayu saya, dia bertumpu kepada kawan lamanya R yang berasal di satu kawasan di Negeri Sembilan. Tiba-tiba R diletakkan sabagai 'ketua' kami, walau pun bukan secara rasmi, maksud saya belum dinaikkan pangkat.

Sebagai contoh 'punch card' R diletakkan paling atas di rak 'punch card' bahagian kami.  Tetapi saya perhatikan R tertekan dan akibatnya dia selalu mengelabah. Bila ada mesyuarat dan sebagainya, R terpaksa 'say something' walau pun dia sebenarnya 'had nothing to say'. Dia cuma mengulangi apa yang dicakapkan oleh pegawai-pegawai dari jabatan-jabatan lain.

Jika sebelum ini saya sering dihantar mewakili MBS dan MPS untuk mesyuarat di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Pejabat Daerah Seremban atau Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, tugas itu sekarang diberi kepada R.

PUNCAK KONFRANTASI

Kemuncak konfrantasi antara N sebagai Ketua Eksekutif MPS dan kawan-kawan sekerja saya berlaku di lewat ahun 1980an. Hasil usaha kawan-kawan kami di Kementerian Kesihatan, jawatan kami dinaiktaraf ekoran Diploma kami diiktiraf. Gaji kami pun dinaikkan dan kami juga dibayar tunggakan kerana kenaikan taraf itu dikira beberapa tahun sebelumnya.

Tetapi MPS memutuskan tunggakan kami diayar secara ansur-ansur. Saya percaya MPS merupakan satu-satunya jabatan di Malaysia yang membayar apa-apa tunggakan gaji secara ansuran. Bukan kerana MPS tidak ada duit. Mereka ada simpanan tetap berjuta ringgit di bank. Saya tahu keputusan ini atas nasihat Y kepada N dan diputuskan di Mesyuarat Penuh MPS. Tujuannya ialah untuk menyakitkan hati kami.

Jika ansuran itu dibayar secara tetap, contohnya pada tiap-tiap bulan, tak apa juga. Tetapi tidak, kami akan menerimanya ibarat menjolok buah untuk gugur. Tak jolok, tak gugurlah buah. Orang yang kami wakilkan untuk menjolok buah itu ialah R kerana dia satu-satunya yang dipercayai oleh Y dan N. Bila R pergi menyembah N beransurlah satu bayaran tunggakan utuk kami.

GUNA PENGARUH POLITIK

Akhirnya R pun malu untuk menyembah bagi pihak kawan-kawannya untuk mendapatkan ansuran tunggakan gaji. Satu hari seorang Ahli Majlis MPS berbangsa Cina dari Parti Gerakan datang berjumpa kawan saya seorang India Muslim (saya rujuk sebagai M di sini) di pejabat kerana mereka ini sudah kenal lama. Kebetulan saya juga sedang berada di bilik yang dikongsi oleh M dengan R itu. R sudah keluar pejabat.

M terus meminta Ahli Majlis itu membawa isu tunggakan gaji kami ke Mesyuarat Penuh MPS.  Seperti yang dijanjikan, Ahli Majlis itu membawa isu itu di Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Tan Sri Isa Samad, Menteri Besar Negeri Sembilan sebagai Yang DiPertua MPS.

Sudah tentulah N mendapat kemaluan besar. Ini kerana keputusan membayar tunggakan kami secara ansur-ansur diputuskan bersama Tan Sri Isa. Tentu Tan Sri bertanya kenapa tunggakan belum selesai dibayar sedangkan keputusan sudah beberapa bulan dibuat.

KERETA BOLEH TUKAR, DUIT KAMI SUSAH NAK BAYAR

Setelah selesai mesyuarat, N yang sudah tentu merah padam mukanya meminta Y menyiasat siapakah antara kami yang berjumpa Ahli Majlis tersebut. Sebelum itu pun muka N sudah merah padam kerana seorang dari kami yang berbangsa Melayu mempersoalkan kenapa MPS mempunyai wang untuk menukar kereta rasmi Timbalan Yang DiPertua, sedangkan tunggakan gaji kami susah sangat hendak dibayar.

Sehari selepas itu saya dianggil oleh Y di pejabatnya. Dia terus bertanya betulkah saya dan M ada berjumpa dengan Ahli Majlis Gerakan itu. Saya terus jawab betul. Bila dia bertanya kenapa, saya jawab ini akibat MPS telah mungkir janji. Sudahlah tunggakan tidak dibayar sekali gus seperti sepatutnya, ini kami perlu menyembah setiap kali untuk mendapatkan setiap ansuran.

PIHAK BERKUASA TEMPATAN BERHAK MENOLAK

Kemudian Y memberi satu kenyataan untuk menakutkan saya. Dia kata 'You tahu tidak, MPS sebagai Pihak Berkuasa Tempatan berhak menolak mana-mana perubahan gaji apa-apa jawatan?". Saya terus jawab "Kalau macam itu saya cabar MPS menolak kenaikan taraf jawatan kami. Saya cabar MPS menulis surat kepada JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) menolak surat mereka".

Sebenarnya saya bukan tidak berfikir sebelum memberi jawapan itu. Saya tahu Majlis Penuh MPS telah menerima keputusan JPA itu dan gaji baru kami pun sudah dibayar untuk beberapa bulan. Adalah mustahil MPS menarik balik keputusan itu.

Kemudian saya menambah "Dalam Islam, apa hukumnya seorang itu memegang duit orang tanpa izin orang yang berhak itu?". Bila saya cakap itu Y tiba-tiba berubah dan berkata "Menyesal aku panggil kau. Sebenarnya aku panggil kau ni untuk jadi saksi kerana MPS hendak ambil tindakan terhadap M".

Saya terus jawab "Kalau macam tu, ambil tindakan kepada saya sekali, kerana kami berdua yang berjumpa Ahli Majlis itu".  Kemudian saya ulangi jawapan yang saya berikan bila pertama kali berjumpanya beberapa tahun sebelumnya iaitu saya tidak akan membelot kawan-kawan sekerja saya.

Saya dapat tahu N lagi melenting bila Y melaporkan apa yang berlaku antaranya dengan saya. Tetapi akibatnya tunggakan gaji kami dibayar habis. Kami tidak perlu menjolok buah lagi.

DISENARAI HITAM

Dari itu juga saya dapat tahu N dan Y  akan 'blacklist' saya. Jangan haraplah saya dinaikkan pangkat atau diberi Anugerah Khidmat Cemerlang selagi mereka berdua ini ada di MPS. Maka bermulalah saya bermain di padang tidak sama rata.

Tiba-tiba MPS heboh dengan cerita tugas N sebagai Timbalan Yang DiPertua akan ditamatkan dan dia akan kembali bertugas dengan Kerajaan Malaysia.  

Bersambung..........

Friday, April 24, 2020

Bermain di padang tidak sama rata - Episod 2 (Zaman Gelap).

ADAKAH SUKA BEKERJA DENGAN SAYA?

Sejak penubuhannya pada tahun 1979 Ketua Eksekutif MPS dipinjamkan dari Kerajaan Pusat. Saya akan merujuk Timbalan Yang DiPertua (TYDP) pertama MPS sebagai N sahaja. Saya masih ingat kali pertama saya berjumpa dia ialah dalam satu operasi yang saya ketuai  dan dia turut sama sebagai pemerhati. Soalan pertamanya ialah adakah saya suka bekerja dengan MBS dan MPS selama ini.

Tentulah saya suka, jika tidak kenapa saya sanggup meninggalkan Kementerian Kesihatan di mana peluang naik pangkat adalah lebih cerah dibandingkan dengan di MPS. Saya berfikiran begitu memandangkan ramai lagi kawan-kawan saya di MPS yang lebih senior walaupun mereka bukan Melayu.

Rupa-rupanya beberapa pegawai Melayu di MPS (bukan kawan sekerja saya) telah berjumpa dengan N dan menceritakan ketidakpuasan hati mereka. Sudah tentu mereka juga bercerita yang saya ini tidak ada 'semangat Melayu'.

Dalam pada itu beberapa jawatan dan jabatan baru diujudkan di MPS dan kebanyakannya diisi oleh orang Melayu. Diantaranya ialah seorang Penolong Setiausaha yang saya panggil Y di sini. Oleh kerana jawatan Setiausaha dibiarkan kosong, Y sebenarnya memangku jawatan itu.

PEGAWAI YANG RASIS

Y ialah seorang rasis. Sebutan 'pendatang' dan 'bangsa asing' tidak asing baginya. Sebelum di MPS Y bekerja di Jabatan Perdana Menteri di Kuala Lumpur. Kali pertama berjumpa saya dia telah menyatakan rancangan pertamanya untuk MPS. Dia hendak menjahanamkan pegawai-pegawai bukan Melayu di MPS dan dia mahu saya menolongnya dalam usaha tersebut. Tumpuan pertamanya ialah kawan-kawan sekerja saya. Sebagai balasan saya akan diberi laluan senang untuk dinaikkan pangkat.

Sudah tentu Y juga sudah ditemui oleh pegawai-pegawai Melayu yang saya ceitakan itu. Tetapi dengan tegas saya katakan kepada Y saya tidak akan mengkhianati kawan-kawan sekerja saya. Dalam perkataan lain 'I won't rat  my own buddies'.

Rupa-rupanya Y ini berasal dari tempat yang sama dengan kawan sekerja saya R walau pun tidak sebenarnya sekampung. Malah mereka pernah tinggal se rumah di Seremban semasa R mula-mula bekerja di MBS dan Y masih bersekolah di Tingkatan 6.

TIDAK BOLEH DIHARAP

Sudah tentu Y juga menceritakan kepada R akan rancangannya seperti apa yang diminta dari saya. Sudah tentu juga Y meminta R menolongnya kerana 'Maarof tidak boleh diharap'.

Saya sedar R menghadapi delimma selepas itu. Dia bukan seorang rasis seperti Y, tetapi dia juga tidak boleh menolak begitu saja permintaan kawan lamanya itu.


DIPANDANG SERONG

Segala maklumat yang didapati oleh Y disampaikan kepada N, termasuk pandangannya terhadap saya. Dari situlah mulanya pandangan serong N kepada kawan-kawan sekerja saya termasuk saya sendiri. Bermulalah zaman gelap kami yang diketahui di seluruh Malaysia.

Saya berkata begitu kerana pernah berjumpa dengan seorang ketua lama saya di Kementerian Kesihatan. Dia bertanya adakah N masih memandang serong kepada kawan-kawan sekerja saya di MPS. Saya jawab ya, masih.

Salah satu contoh pendangan serong N kepada kami ialah kami tidak diberi peluang untuk menyertai apa-apa kursus atau seminar yang dianjurkan oleh badan-badan seperti Kemeterian Kesihatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Institut Tadbir Awam Negara (INTAN).

Malah pernah ada satu seminar yang dianjurkan oleh KPKT berkenaan Kesihatan di Port Dickson. Semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Malaysia menghantar wakil, melainkan Majlis Perbandaran Seremban.

Bersambung......

Thursday, April 23, 2020

Bermain di padang tidak sama rata - Episod 1 (MBS dan MPS).

Saya ingin bercerita mengenai pengalaman tidak diberi peluang sama rata semasa bekerja dulu. 

MAJLIS BANDARAN SEREMBAN.

Saya memasuki Majlis Bandaran Seremban (MBS) pada tahun 1973 setelah bekerja dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selama empat tahun.

Di masa itu pegawai-pegawai Melayu di MBS adalah kumpulan minoriti. Malah Ketua Eksekutif MBS yang digelar Setiausaha ialah seorang bukan Melayu. Tetapi saya langsung tidak merasa ditindas dan sebagainya. Istilah 'bermain di padang tidak sama rata' dengan kawan-kawan saya yang bukan Melayu tidak timbul. Perasaan itu hanya saya alami beberapa tahun kemudian antara saya dengan seorang kawan sekerja saya berbangsa Melayu.

Saya perhatikan pegawai-pegawai Melayu di MBS terasa diri mereka tertekan dan ada diantara mereka merasa hairan bila melihat saya tidak berperasan seperti mereka. Malah mereka pernah membawa saya pergi berjumpa dengan ahli-ahli politik untuk menolong 'perjuangan' mereka. Tetapi setelah satu perjumpaan saya tidak turut serta lagi. Ini kerana salah satu syarat 'perjuangan' mereka ialah untuk saya membelot kawan-kawan sekerja saya. 

Selang beberapa tahun setelah saya bertugas di MBS seorang kawan sekerja saya berbangsa Melayu  mula berkidmat dengan MBS. Seperti saya, dia juga bertugas di KKM sebelum itu. Cuma dia lama bertugas di Kelantan, sedangkan saya di sana selama satu tahun sahaja. Saya akan merujuk dia sebagai R sahaja selepas ini.

Seperti saya, R juga tidak rasis dan juga nampak selesa bekerja dengan kawan-kawan sekerja bukan Melayu. Mungkin pengalamannya lebih lama bekerja di Kelantan membuatnya begitu. 

Kata orang, kita memilih kawan-kawan kita. Sudah ditakdirkan, saya tidak memilih R sebagai kawan dan R juga tidak memilih saya sebagai kawannya. Kami menjadi kawan sekerja sahaja. Saya jarang-jarang menaiki keretanya. Begitulah sebaliknya.


MAJLIS PERBANDARAN SEREMBAN.    

MBS dinaiktaraf sebagai Majlis Perbandaran Seremban (MPS) pada tahun 1979. Banyaklah perubahan seperti penambahan jabatan dan staff ikutan naik taraf itu. Perubahan pertama ialah perlantikan seorang Ketua Eksekutif yang dipanggil Timbalan Yang DiPertua (TYDP). Jawatan itu dipanggil begitu kerana jawatan Yang Di Pertua dipegang oleh Menteri Besar, Negeri Sembilan.

Jawatan Ketua Eksekutif itu dipegang oleh orang Melayu sehinggalah MPS dinaiktaraf sekali lagi menjadi Majlis Bandaraya Seremban (MBS sekali lagi) pada awal tahun ini. Ketua Eksekutif sekarang dipanggil Datuk Bandar.

Dengan perlantikan seorang Melayu sebagai TYDP, beberapa kerat pegawai Melayu yang rasa tertekan selama ini mendekati beliau. Tidak hairanlah soalan pertama TYDP ini kepada saya ialah adakah saya merasa senang hati bekerja dengan MBS selama ini dan sekarang MPS. Kemudian dia memberi kiasan supaya kita  membaiki keadaan sekarang, jika tidak anak cucu kita akan menyalahkan kita.

Saya tidak faham apa maksud TYDP pertama MPS itu sehinga beberapa bulan kemudian.     

Bersambung...........

Thursday, April 16, 2020

Guna pendekatan agama / Use the religous appoach

Gambar hiasan.

Melihat Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri membaca doa mengingatkan saya kepada satu perkara iaitu guna pendekatan agama untuk apa-apa tujuan. TS Muhyiddin berasal dari Johor dan dari belasan tahun lagi saya tahu orang Johor taat pada agama. Semasa mula-mula masuk ke Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) di usia 12 tahun saya lihat kawan-kawan saya dari Johor sudah solat lima waktu, sedangkan saya baru hendak belajar solat.

Semasa dalam latihan kerja dulu, seorang pensyarah saya bukan sahaja berasal dari Johor, tetapi  dia kerabat diraja di sana. Dalam satu syarahannya dia minta kami menggunakan pendekatan agama dalam menjalankan tugas. Satu contoh yang baik ialah dalam kawalan penyakit berjangkit, iaitu salah satu tugas kami sebagai Inspektor Kesihatan atau Health Inspector.

Kalau kita guna istilah teknikal seperti 'Penyakit Typhoid disebabkan jangkitan bakteria bernama Salmonella Typhi' manalah rakyat biasa faham. Oleh itu gunakan ayat-ayat yang senang difaham seperti 'Seorang itu terkena penyakit Typhoid kerana dia makan najis atau 'eat shit''. Kerana bakteria Salmonella Typhi hidup dalam najis atau 'shit' manusia.

Tetapi makan najis atau 'eat shit' tidaklah bermakna memakan najis dalam pinggan yang terhidang di atas meja. Makan najis boleh berlaku bila seorang pesakit atau pembawa Typoid tidak mambasuh tangan dengan betul selepas pergi ke tandas dan kemudian memegang makanan seperti sayur mentah dan menghidangkannya di atas meja di rumah. Di restoran pula menghidang makanan yang tercemar dengan najis kepada pelanggan.

Tetapi di mana kita hendak gunakan pendekatan agama di sini? Pendekatannya bukan menyebabkan orang lain sakit, tetapi memberi makanan yang haram kepada orang lain. Seperti yang saya kata, seorang itu terkena penyakit Tyhoid akibat makan najis. Najis atau 'shit' adalah satu benda yang haram dimakan. Oleh itu pendekatan agama yang boleh kita gunakan ialah 'Apa hukumnya memberi  makanan yang haram kepada orang lain?'

Saya pernah guna pendekatan agama dalam isu lain semasa saya kerja dulu. Ekoran kenaikan taraf perkhidmatan, saya dan kawan-kawan dikehendaki dibayar tunggakan gaji. Tetapi jabatan asyik menangguhkan bayaran tunggakan dengan alasan-alasan yang tidak manasabah. Akhirnya saya sendiri berjumpa dengan ketua jabatan dan bertanya "Apa hukumnya memegang duit orang tanpa izin orang itu?". Boss saya cukup marah dengan soalan itu, tetapi sekurang-kurangnya matlamat saya dan kawan-kawan tercapai. Tunggakan gaji kami dibayar selepas itu.

Begitu juga dalam kes Covid-19 yang kita hadapi sekarang. Seperti Demam Denggi, saya tidak dilatih mengenai kaedah mengawalnya di zaman saya. Tetapi saya tahu virus corona yang membawa Covid-19 hidup dalam air liur atau 'saliva'. Air liur boleh berpindah jika kita makan berkongsi dulang saperti pos saya sebelum ini. 

Air liur atau 'saliva' juga boleh berpindah bila berlaku kucupan atau 'french kiss' antara manusia. Dalam Islam adalah haram berkucup antara yang bukan muhrim. Tetapi saya tidak tahu apa hukum memindahkan air liur kita kepada orang bukan muhrim dengan apa cara pun.

Biarlah pembaca yang pakar agama menjawabnya.

Wednesday, April 15, 2020

CEGAH SEBELUM PARAH

Makan berkongsi dulang.

Saya tertarik bila Tan Sri Mahyuddin Yassin, Perdana Menteri menyarankan supaya kita mengubah amalan biasa kita. Contohnya  kita tidak berjabat tangan lagi, memadai dengan mengucap salam sambil meletak tangan di dada. 


A. MAKAN BERKONGSI DULANG.

Berpuluh tahun lalu bila saya tinggal berdekatan dengan biras saya, dia sering menjemput kawan-kawan ke rumahnya pada waktu malam untuk satu majlis ilmu yang dipanggil 'usrah'. Pada mulanya saya turut sama, kemudian tidak lagi. 

Kenapa saya tidak datang lagi? Sebab di akhir majlis tetamu akan dihidangkan makanan yang dimakan bersama dalam satu dulang. Pinggan, piring atau sudu tidak disediakan. Dari itu tetamu akan mengambil makanan dan memakannya sekali menggunakan tangan. 

Sebagai seorang yang terlatih sebagai Inspektor Kesihatan atau Health Inspector, saya tahu makan cara itu boleh membawa jangkitan penyakit. Air liur atau 'saliva' boleh berpindah dari satu mulut ke mulut yang lain. 

Untuk menjaga hati tuan rumah, saya tidak membantah atau menegur secara terbuka. Tetapi saya beritahu isteri saya bahawa saya tidak akan lagi datang ke majlis 'usrah' di rumah kakaknya selagi makanan dihidang secara berkongsi dulang.

Sejak itu saya tidak makan berkongsi dulang lagi sehinggalah bulan Ramadan tahun lepas. Itu pun saya tidak diberitahu awal-awal lagi cara hidangan makanan. Majlis ialah  pemberian sumbangan untuk murid-murid miskin di sekolah lama saya, Sekolah Dato' Abdul Razak atau SDAR di Sungai Gadut, Seremban supaya mereka dapat merayakan Hari Raya Aidilfitri seperti kawan-kawan mereka yang lain.

Saya tidak faham kenapa pihak penganjur bersama iaitu Alumni sekolah di mana saya seorang ahli biasa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengadakan majlis makan begitu dan tidak seperti tahun-tahun sebelumnya. Syukurlah besar kemungkinan majlis yang sama tidak akan diadakan pada tahun ini.

Kita semua tahu dunia sekarang menghadapi serangan penyakit Covid-19. Di Malaysia pula kumpulan yang paling ramai terkena jangkitan dan meninggal dunia akibat penyakit ini ialah mereka yang menghadiri  Ijtimak Tabligh di satu masjid di Seri Petaling, Selangor pada 27 Februari hingga 1 Mac 2020.

Saya mungkin salah dan jika begitu saya minta maaf. Tetapi saya percaya jemaah di majlis itu makan secara berkongsi dulang tanpa pinggan, piring dan sudu. Ini selain mereka tidur berhimpit-himpit seperti jemaah Haji semasa berada di Arafah dan Mina. Itulah punca-punca penyakit itu menular antara mereka. 

Ada pihak yang membandingkan Ijtimak Tabligh itu dengan perlawanan bolasepak di beberapa stadium di seluruh Malaysia di masa yang sama. Tetapi penonton bolasepak ini tidak makan berkongsi dulang atau tidur berhimpit.  


B. GUNA SUDU YANG SAMA UNTUK MAKAN DAN AMBIL LAUK PAUK.

Pembaca yang sering ke restoran-restoran Tom Yam yang berselerak di Malaysia tentu tahu akan cara mereka menghidangkan makanan kepada kita. Mereka tidak menyediakan sudu khas untuk lauk pauk yang kita pesan. Kita terpaksa mengambil lauk pauk menggunakan sudu yang sama kita gunakan untuk menyuap makanan ke mulut kita.  

Sekali lagi ini kaedah jangkitan penyakit yang cukup senang. Air liur atau 'saliva' dari mulut seorang tetamu akan berpindah ke lauk. Kemudian tetamu lain akan 'minum' air liur yang sudah bercampur dengan lauk yang sama.

Bila ke restoran Tom Yam walaupun dengan isteri atau keluarga, saya tetap meminta sudu berasingan untuk lauk pauk. Biasanya saya akan diberi sudu yang sudah dibalut bersama garfu dan kertas tisu. Ini membuktikan restoran-restoran Tom Yam tidak menyediakan sudu khas untuk lauk pauk.


Itu dia pembaca semua, dua cara bagaimana penyakit senang berjangkit dari seorang ke seorang. Dari itu, seperti kata YAB Perdana Menteri kita, ubahlah cara hidup kita.

Pertama, elakkan makan berkongsi dulang tanpa piring, pinggan dan sudu. 

Kedua, elakkan guna sudu atau garfu yang kita guna untuk menyuap makanan ke mulut untuk mengambil makanan di atas meja.  

Thursday, April 9, 2020

Pengalaman diambil 'throat and nasal swab' untuk Covid-19.

Peta Kompleks Klinik Ampangan, Seremban.

Saya tidak pergi ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban seperti niat saya semalam. Sebaliknya saya hubungi Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kementerian Kesihatan, Putrajaya pagi tadi. Telefon tidak dijawab, agaknya talian sibuk. Shukurlah WhatsApp dijawab.

Setelah menceritakan situasi, saya diarahkan menghubungi Pejabat Kesihatan, Seremban. Tetapi saya memutuskan untuk pergi terus ke pejabat itu. Sekuang-kurangnya ia membawa kembali kenangan saya pernah bekerja di situ pada tahun-tahun 1969 hingga 1971.

Saya tidak dibenarkan masuk ke pejabat dan saya tidak membantah. Sebaliknya seorang pegawai keluar bertemu saya. Saya menceritakan situasi saya sambil menunjukkan gambar saya menghadiri mesyuarat di Rembau. Saya juga tunjukkan rekod WhatsApp saya dengan CPRC Putrajaya.

Seperti yang saya jangkakan, pegawai itu seorang Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) lelaki merekodkan apa yang saya cakap. Dia juga menulis nama pesakit Covid-19 yang duduk semeja mesyuarat dengan saya di Kg. Pilin itu. Dia mengsyorkan supaya saya membuat 'throat and nasal swab' di satu fasiliti kesihatan yang akan dia beritahu tidak berapa lama lagi.

Belum sempat saya sampai ke rumah, PPKP itu menalipon saya dan minta saya pergi ke Klinik Kesihatan (KK), Ampangan, Seremban pada pukul 2.30 petang hari ini juga. Katanya lagi KK akan menghubungi saya tidak lama lagi.

Tidak lama kemudian seorang Jururawat KK Ampangan menalipon saya dan berkata akan mengirimkan saya satu peta. Saya jawab tak payahlah kirim peta sebab saya tahu di mana KK Ampangan itu. Dia jawab ini bukan peta lokasi, tetapi peta laluan kereta saya nanti, kerana 'swabbing' akan dibuat tanpa saya turun dari kereta. Untuk itu dia mahukan nombor dan jenis kereta saya. Saya pun terima peta seperti di atas. 

Saya sampai ke KK Ampangan pada pukul 2.20 petang dan terus diberi panduan laluan kereta. Tepat pukul 2.30 kereta di hadapan saya diarahkan masuk ke garaj bertanda merah dalam peta dan pemandunya di ambil 'swabs'. 

Selang beberapa minit tiba pula giliran saya. Sebenarnya semasa bekerja di Kementerian Kesihatan dulu saya pernah mengambil 'throat swab' dari kanak-kanak untuk mengawal penyakit 'diphteria'. Kali ini selain 'throat swab' melalui kerongkong, saya juga akan dilakukan 'nasal swab' melalui hidung. Betul kata pegawai yang mengambilnya, prosedur 'nasal swab' ada kesakitan sedikit.

Selesai membuat 'swabbing' saya diberi satu set borang untuk direkodkan situasi kesihatan saya selama 14 hari selepas ini. Saya dikelaskan sebagai PUI iaitu 'Patient Under Investigation'. Saya hanya berdoa kedua-dua 'swabs' saya didapati negatif dan kesihatan saya tidak berubah. 

Tahniah kepada staff Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan yang telah menjalankan tugas secara professional.