Thursday, September 30, 2021

ANTARA KOMPAUN DAN SAMAN.



Baru-baru ini saya terbaca berita seorang kuat politik dan Ahli Parlimen telah dibebas dan dilepaskan dari tuduhan mahkamah setelah beliau membayar kompaun terhadap dua pertuduhan terhadapnya. Semasa saya berkhidmat dengan kerajaan dahulu, saya pernah mengeluarkan kompaun kepada orang awam dan juga pernah mendakwa mereka di mahkamah. Malah saya pernah beberapa kali membayar kompaun kerana kesalahan lalu lintas. Walau bagaimana pun saya tidak pernah didakwa di mahkamah atas apa-apa kesalahan.

KOMPAUN

Apa perbezaan antara kompaun dan saman? Kompaun ialah tawaran oleh sebuah jabatan kepada seorang yang disyaki melanggar undang-undang mereka untuk membayar denda atas kesalahan berkenaan. Jika tawaran itu diterima dan pesalah membayar denda, kes itu dianggap selesai. Tetapi perlu diingat walau pun kes sudah selesai, orang yang ditawarkan kompaun itu masih direkodkan sebagai telah melakukan kesalahan.

SAMAN

Saman bermakna jabatan yang undang-undang mereka telah dilanggar itu mendakwa pelaku kesalahan itu di mahkamah. Ini berlaku antara tiga sebab. Sebab pertama ialah jabatan itu memikirkan kesalahan yang dilakukan itu tidak layak untuk dikompaun sahaja (walau pun boleh dikompaun) dan meminta mahkamah untuk menjatuhkan hukuman. Sebab kedua ialah kesalahan yang dilakukan itu memang tidak mempunyai peruntuhan untuk dikompaun.  Sebab ketiga pula, pesalah telah ditawarkan kompaun tetapi tidak menyelesaikannya di dalam tempoh yang ditetapkan. Jabatan tidak mempunyai pilihan lain dari mengeluarkan saman mahkamah dalam keadaan sebegini.

PENGALAMAN SAYA

Saya sering berselisih pendapat dengan boss saya dulu mengenai kompaun dan saman ini. Boss saya lebih suka semua kesalahan jabatan dikompaun kerana dua sebab. Pertama untuk menunjukkan kepada pesalah bahawa kita berkuasa terus terhadap mereka dan bukan pihak ketiga seperti mahkamah. Kedua, boss saya berkata duit denda masuk ke tabung jabatan dan bukan ke pihak ketiga iaitu mahkamah.

Di sinilah saya selalu mengingatkan boss dan kawan-kawan saya tentang matlamat kompaun dan saman. Kita mengeluarkan kompaun atas kesalahan kecil yang dilakukan sekali sekala. Selepas itu pesalah bebas untuk mengulangi kesalahannya. Untuk kesalahan-kesalahan yang memudaratkan dan berterusan baiklah kita menyaman pesalah ke mahkamah. Di mahkamah, selain dari memohon majisteret menjatuhkan hukuman yang setimpal, kita boleh memohon arahan supaya pesalah memberhentikan kegiatan salah mereka.   

Jika saya memilih untuk mengeluarkan kompaun saya iringinya dengan berkata begini "Saya keluarkan kompuan ini untuk mendenda tuan yang saya anggap telah melanggar undang-undang jabatan saya. Tuan boleh berjumpa boss saya untuk mendapatkan jumlah denda yang patut dibayar. Tetapi jika tuan tidak selesaikan kompaun ini dalam tempoh yang ditetapkan (biasanya 14 hari) saya tidak ada pilihan lain dari membuat aduan ke mahkamah. Jika tuan tidak menghormati jabatan saya, tidak apa. Tetapi jika tuan tidak menghormati mahkamah, itu perkara serious". Biasanya bila saya sebutkan ayat itu, kompaun saya diselesaikan.   

KES-KES TIDAK BOLEH DIKOMPAUN

Untuk perbandaran, contoh kesalahan yang tidak boleh dikompaun ialah kacauganggu. Jika dikompaun, pesalah akan mengulangi kacauganggu setelah membayar kompaun. Oleh itu sebuah Pihak Berkuasa Tempatan hendaklah membawa kes-kes kacauganggu ke mahkamah dan seterusnya memohon mahkamah memerintahkan pesalah memberhentikan apa-apa kacauganggu.

Untuk kes jenayah, kesalahan terbaik di mana kompaun tidak boleh dikeluarkan ialah rogol. Jika kesalahan rogol boleh dikompaun, orang yang berduit akan terus merogol setelah membayar kompaun.


EPILOG

Beberapa tahun setelah bersara dan sebelum Covid-19 menyerang dunia, saya duduk minum dengan seorang kawan saya berbangsa Cina di satu restoran Mamak. Tiba-tiba, kawan saya bertanya adakah saya pernah mendakwa di mahkamah orang yang duduk di belakangnya? Saya jawab tak ingat, sebab terlalu banyak saman mahkamah yang saya keluarkan. Kawan saya berkata dia terdengar orang yang duduk di belakangnya itu mengadu kepada kawannya yang saya pernah mendakwanya di mahkamah.

Saya teruskan "Baguslah dia ingat. Jika saya saman dia di mahkamah, ini bermakna kesnya serious, atau dia tidak membayar kompaun saya dalam tempohnya. Jika saya keluarkan kompaun dan dia terus membayar, dia akan lupa setelah membayar kompaun itu".