Boys of Razak bergerak dari asrama ke pentas khas.
Ini pentasnya dan itu saya berbaju biru. Ini pentas untuk menyokong perlawanan bolasepak.
Selepas bolasepak Boys of Razak pindah ke sini untuk menyokong ragbi pula.
Pasukan bolasepak SDAR.
Pasukan bolesepak Islamia College.
Pasukan ragbi SDAR yang dikenali juga sebagai SDAR Lions.
Pasukan ragbi Islamia College.
Semalam, 26 September 2017 saya dijemput datang ke sekolah saya Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR), Sungai Gadut, Seremban. Programnya ialah perlawanan bolasepak dan ragbi persahabatan antara pasukan SDAR dengan Islamia College, dari Cape Town, Afrika Selatan.
Syukurlah segala ucapan dan pemberian cenderamata diadakan semasa jamuan High Tea di dewan sekolah sebelum perlawanan bermula. Jika tidak jenuh juga saya menunggu program tamat.
Dari namanya Islamia College ialah sebuah sekolah untuk pelajar-pelajar Islam di Afrika Selatan atau nama rasminya Republic of South Africa dan kod negaranya RSA. Mereka dijemput untuk mengadakan beberapa perlawanan ragbi di Negeri Sembilan oleh Persatuan Ragbi Negeri Sembilan atau nama ringkasnya NSRU untuk Negeri Sembilan Rugby Union.
Hari sebelumnya mereka telah mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Sekolah Menengah King George Kelima atau lebih dikenali sebagai KGV. Kebetulan seorang murid tua SDAR En. Abdul Hamid Abdul Ghani adalah ahli jawatankuasa NSRU dan dialah yang mengusahakan supaya pasukan-pasukan Islamia College berkunjung ke SDAR.
Saya diberitahu oleh salah seorang guru Islamia College bahawa hanya terdapat 2% dari warganegara RSA beragama Islam. Dari itu pula setengah dari mereka terdiri dari keturun India dan setengah lagi keturunan Melayu. Keturunan Melayu bermakna mereka berasal dari Malaya dan Indonesia. Tetapi menurunya banyak perkataan Melayu yang tidak digunakan lagi. Antara perkataan yang masih ada ialah 'pisang'.
Berbalik kepada tajuk pos saya. Saya bangga semasa perlawanan berjalan ada dua orang pelajar SDAR yang membuat ulasan selari dalam Bahasa Inggeris yang baik. Cuma mereka merujuk kepada pelajar SDAR sebagai Boys of Razak dan inilah pertama kali gelaran itu saya dengar. Sebelum itu kami menggelar diri kami sebagai Sdarians sahaja, baik untuk yang masih menuntut atau yang sudah menjadi datuk seperti saya.
Mungkinkah panggilan Boys of Razak ditujukan kepada mereka yang masih menuntut? Tidak tahulah saya.
Cuma saya perhatikan keadaan padang kurang baik dan tompok-tompok yang tidak ada rumput boleh mencederakan pemain-pemain.
Mungkin dalam hal ini pihak sekolah boleh berjumpa dengan seorang Boy of Razak bernama Najib untuk mendapat pertolongan.
Sekian,