Saturday, September 23, 2017

Bila hak tidak diguna.

Papan nama jalan menunjukkan nombor-nombor rumah yang ada di situ.

Papan nama jalan menunjukkan nombor-nombor rumah. 


Tetapi nombor rumah ini tidak ada dalam senarai walau pun terletak 5 meter di depan papan nama itu. 



KES 1.


Sejak berpuluh tahun jabatan di mana saya bekerja dulu mengadakan apa yang dipanggil 'Perhimpunan Bulanan'. Salah satu acara dalam program itu ialah seorang pegawai yang telah diberi notis awal memberi ceramah. Biasanya penceramah akan membawa isu-isu berkenaan tugas-tugasnya. 

Bila tiba giliran memberi ceramah, saya telah menyimpang bukan sedikit. Saya memberi ceramah mengenai hak-hak kita sebagai pengguna. Saya tidak pun merujuk kepada jabatan kerajaan yang berkuasa mengenai hak-hak pengguna. Tetapi saya asaskan ceramah saya semata-mata dari pengalaman dan pengetahuan saya.

Sebagai contoh bila kita membeli alat-alat elektrik kita hendaklah mengisi borang waranti dan menghantarnya kepada pengeluar. Tujuannya jika barang itu rosak dalam tempoh waranti, ia akan dibaiki secara percuma. Kita juga diberi masa, biasanya 14 hari untuk menghantar borang tersebut. Tujuannya ialah jika barang yang kita beli itu rosak dalam tempoh 14 hari setelah dibeli, kita berhak mendapat ganti yang serba baru. 

Tidak kurang pula saya menerima pujian kerana memberi ceramah yang menyimpang itu.



KES 2.

Semasa saya berlatih di Fukuoka, Japan pada tahun 2004 kami ditempatkan sebilik seorang di sebuah hotel. Saya dapati rakan saya seorang perempuan berbangsa Cina dari Pekan, Pahang telah mengambil dan menyimpan sikat yang disediakan oleh pihak hotel dengan kekerapan satu sikat satu hari. Pada mulanya saya tidak menyentuh sikat yang disediakan kerana saya membawa sikat sendiri dari Malaysia.

Bila saya tanya kenapa dia berbuat demikian, jawapannya sikat itu adalah hak kita sebagai pengguna atau tetamu hotel. Bila saya tanya kenapa dia membuat koleksi, jawapannya dia hendak memberikan sikat-sikat itu sebagai cenderamata kepada kawan-kawannya di Malaysia. 

Kawan saya itu rupa-rupanya seorang aktivis pengguna di negeri Pahang. Dalam tempoh 40 hari kami di sana dia telah mengumpulkan 40 sikat MADE IN JAPAN.

Sejak hari itu saya pun mengikut langkahnya dan menggunakan hak saya sebagai pengguna. Tetapi kerana agak terlambat menggunakan hak itu, saya hanya berjaya mengumpul 20 sikat.



KES 3.


Sebulan lepas saya dapati papan nama jalan dekat rumah saya mempunyai tulisan Jawi yang salah. Saya telah membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan yang kebetulan adalah jabatan di mana saya bekerja dahulu. Sila lihat pos saya sebelum ini http://www.maarofkassim.com/2017/09/bila-akal-tidak-diguna.html

Bila aduan saya itu ditolak, saya telah menghantar email kepada pegawai yang membuat keputusan itu dengan menyertakan alasan kenapa saya kata tulisan Jawi itu salah. Akhirnya tulisan itu dibetulkan dan aduan saya berjaya.

Apabila saya hebahkan hasil aduan saya itu di media sosial barulah saya tahu rupa-rupanya masih ada lagi papan nama jalan di taman perumahan saya yang tidak betul. Contohnya seperti dua gambar di atas.

Mereka yang tinggal di situ seolah-olah tidak kisah. Jelas mereka tidak menggunakan hak mereka sebagai pengguna.

No comments: