Friday, November 30, 2012

'Tak ada line'.

Resit dari KFC dengan harga RM 14.65 dan resit kad kedit dengan harga RM 13.90.

Beberapa bulan dulu saya pergi ke satu restoran KFC berhampiran rumah saya yang beroperasi 24 jam sehari. Ekoran melihat iklan yang menyatakan membayar dengan kad kredit tertentu boleh mendapat diskaun saya pun menghulur kad itu semasa membayar. Tetapi saya diberitahu 'tak ada line' oleh pelayan kaunter. Oleh kerana tak mahu gaduh saya pun membayar tunai.

Kemudian sekali lagi saya ke restoran tersebut. Kali ini saya menyatakan awal-awal lagi ingin membayar melalui kad kredit sambil melayangkan kad itu di depan pelayan kaunter (seperti Mr. Bean dalam satu episod tvnya). Biarlah orang kata saya ingin menunjuk. Kali ini pelayan itu meminta saya bersamanya beralih ke kaunter sebelah yang sebelum ini ditutup. Dari resit yang dikeluarkan jelas saya mendapat diskaun. Di sini juga saya mengagak pelayan kaunter semasa lawatan saya sebelum ini sebenarnya malas untuk beralih kaunter.

Pagi tadi saya sekali lagi ke restoran itu untuk minum pagi. Saya juga melayangkan kad kredit seperti Mr. Bean kepada pelayan kaunter di situ. Sekali lagi jawapannya 'tak ada line'. Kali ini saya bertekad kalau nak gaduh gaduhlah kerana pelanggan tidak ramai.

Terus saya nyatakan kepada pelayan itu dalam pengalaman saya menggunakan kad kredit saya belum pernah menerima jawapan 'tak ada line'. Saya nyatakan lagi kepadanya pengalaman kedua saya seperti di atas di mana sahabatnya beralih kaunter. Saya juga meununjukkan kepadanya mesin kad kredit di kaunter berkenaan yang tidak memberi apa-apa isyarat 'tak ada line'. Jika dia masih berdegil saya tidak ada pilihan dari melapurkan perkara ini ke pihak atasan KFC dan bank saya. Akhirnya pekerja itu bersetuju beralih kaunter sambil berkata jika sah 'tak ada line' saya kena membayar tunai. Saya setuju.

Sangkaan saya tepat. Sebenarnya tak ada masalah 'tak ada line'. Saya diberi dua resit. Satu resit menunjukkan harga jika saya membayar tunai. Resit kedua ialah dari mesin kad kredit yang menunjukkan harga diskaun. Walau pun keuntungan saya cuma .75 sen ia tetap satu diskaun.

Moral cerita saya ialah kita hendaklah menggunakan hak kita sebagai pengguna. Jika apa-apa produk mempunyai diskaun kita hendaklah menuntut diskaun tersebut.         

Wednesday, November 28, 2012

What's so sensitive about the word?


I laughed out loudly (lol) when I read that a Councillor of the Alor Setar City Council said that the Council prohibits the word 'unisex' to be written on signboards in the city. He said that that the word is sensitive. Please read the report here.

I wonder what is so sensitive about the word when it can be found in the common English dictionary. Even the image above can be obtained easily without this blogger having to surf into restricted sites.

To the Councillor I suggest to him to attend English classes first before uttering such nonsense. 

Sunday, November 18, 2012

"Doa macam ni lah yang patut kita dengar"

Di masjid-masjid di Negeri Sembilan sekarang selepas khatib membaca khutbah Jumaat ia akan membaca doa panjang umur Yang Di Pertuan Besar dan Dato' Undang yang berkenaan dan seterusnya doa untuk menyatukan orang Melayu. Walau pun aku tidak tahu berbahasa Arab setahu aku itulah maksud doa-doa tersebut.

Beberapa bulan yang lepas seorang jemaah surau ku membangkitkan doa penyatuan Melayu itu kepada seorang penceramah di surau kami. Penceramah ialah seorang professor bidang Agama Islam kelulusan  sebuah universiti di Timur Tengah. Bolehlah dikatakan dia seorang pakar dalam bidang itu.

Aku suka mendengar ceramahnya kerana tidak menyentuh langsung hal-hal politik. Ini berbeza dengan kebanyakan penceramah di surau ku itu yang ada sahaja hal politik yang disentuh mereka.

Berbalik kepada jemaah surau ku tadi. Setahu aku dia ialah penyokong satu parti politik di negara ini. Dia pun bertanya kepada professor itu bolehkah doa penyatuan Melayu itu dibaca selepas khutbah Jumaat. Dari nada soalannya aku tahu dia ingin professor itu menjawab secara negatif, maksudnya doa begitu tidak patut dibaca oleh khatib.

Alangkah terkejut beruk jemaah tadi bila professor itu menjawab dalam positif. "Baguslah kalau ada doa untuk menyatukan manusia" katanya.

Beberapa hari lepas sebuah parti politik mengadakan satu solat hajat. Di akhir solat imam telah membaca doa yang memohon Allah untuk menjahanamkan sebuah lagi parti politik. Doa ini ada disiarkan dalam internet dan tv. Aku pasti jemaah surau yang aku maksudkan itu ada melihatnya.

Aku pasti apabila dia melihat video itu dia akan berkata "Doa macam ni lah yang patut kita dengar".

Bukan doa untuk menyatukan orang Melayu.

Wednesday, November 14, 2012

Rumah banglo di tepi tasik.

Ini cuma gambar hiasan, bukan rumah dalam cerita penulis.

Berpuluh tahun dahulu beberapa keluarga telah meneroka satu kawasan hutan tanah kerajaan di pinggir Bandar Seremban dan dijadikan sebuah kampung. Kawasan itu pula terletak bersebelahan sebuah kilang papan. Walau pun  kampung itu diberi nama baru oleh mereka, ia lebih dikenali dengan nama kilang papan tersebut sehingga hari ini.

Mereka pun menubuhkan satu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung atau JKKK. Untuk menguatkan kedudukan di sisi masyarakat di samping mendapat imuniti mereka telah menubuhkan sebuah cawangan parti politik yang memerintah negeri di masa itu.

Dengan tertubuhnya kedua-dua badan itu mereka telah memohon kepada pihak berkuasa negeri untuk menghalalkan penerokaan mereka. Parti yang memerintah negeri sudah tentu mengalu-alukan tindakan mereka ini kerana ingin menambah pengaruh parti.

Kebanyakan peneroka cuma membina rumah sementara kerana mereka belum tahu kedudukan tanah mereka yang sebenar melainkan setelah diukur dan dirancang secara sah. Tetapi ketua peneroka yang sekarang dipilih menjadi ketua kampung tidak. Beliau telah membina sebuah rumah banglo kekal di tepi sebuah tasik.

Jabatan-jabatan kerajaan yang tertentu telah dikerah untuk mengesahkan kampung tersebut secara rasmi. Di lain perkataan mereka diminta menghalalkan satu tindakan yang haram. Bukankah tindakan asal penduduk kampung ini dikenali sebagai penerokaan haram?

Kampung mereka pun diukur dan lot-lot kediaman dibahagikan. Di samping itu disediakan juga kawasan untuk perniagaan, surau, masjid dan kawasan riadah di samping infrastruktur seperti jalan dan longkang. Akibat pengukuran dan perancangan ini rumah banglo yang dibina oleh ketua kampung di tepi tasik didapati termasuk dalam kawasan riadah.

Kalau bagitu di mana pula lot untuk rumah ketua kampung? Rupa-rupanya lot untuk beliau ialah sekeping tanah yang telah diteroka secara haram oleh kilang papan tadi. Tindakan sepatutnya ialah ketua kampung menghalau kilang papan yang menceroboh tanahnya, merobohkan rumahnya di tepi tasik dan berpindah ke tanahnya yang sebenar.

Sementara itu tidak kurang juga peneroka asal yang sekarang ini telah mendapat hakmilik tanah secara sah menjual tanah mereka. Mereka menerima tanah itu seolah-olah percuma dari kerajaan. Apabila ada yang menawarkan harga yang mahal untuknya ramai yang gelap mata.

Berbalik kepada ketua kampung tadi. Beliau enggan berpindah, lebih-lebih lagi merobohkan rumahnya di tepi tasik itu. Beliau juga seolah-olah menerima satu situasi menang-menang. Beliau duduk percuma di rezab riadah disamping menerima bayaran sewa dari kilang papan yang menceroboh tanah beliau.

Sudah tentu orang kampung kurang senang dengan tindakan ketua mereka ini. Alasan kuat mereka ialah kilang papan itu mengganggu ketenteraman awam. Betul juga, kilang papan ini yang dulunya terletak di luar bandar sekarang berada dalam kawasan bandar. Kesian, kilang papan yang telah memberi identiti kepada kampung ini telah dihalau orang-orang kampung. Tetapi pengusaha kilang papan ini juga enggan berpindah kerana mempunyai penyokong kuat, tidak lain tidak bukan ketua kampung sendiri.

Akhirnya orang kampung tidak ada pilihan dari menyingkirkan ketua kampung tadi dan menggantikannya dengan ketua kampung baru. Jika selama ini permintaan mereka di'veto' oleh ketua kampung, sekarang mereka bebas menyampaikan aduan ke pihak berkuasa.

Tetapi aduan mereka tak kemana. Perlu diingat selain dari JKKK kampung ini juga mempunyai cawangan parti politik yang memerintah negeri. Mungkin hubungan mantan ketua kampung dengan kerajaan negeri yang memerintah masih kuat.

Tiba-tiba Seremban mendapat Pegawai Daerah atau DO baru. Antara tugas pertama beliau ialah berjumpa sendiri dengan ketua-ketua kampung atau nama rasmi mereka Pengerusi JKKK. Beliau bercadang menemui mereka dari Mukim ke Mukim di Balai-Balai Penghulu seluruh daerah.

Kebetulan perjumpaan pertama ialah di Balai Penghulu Mukim di mana terletaknya kampung dalam tulisan penulis ini. Di samping ketua-ketua kampung, ketua-ketua jabatan kerajaan tertentu juga dijemput hadir sama. Kebetulan pula ketua jabatan penulis meminta penulis mewakilinya di perjumpaan ini.

Kelam kabut juga Tok Penghulu memberi taklimat mengenai Mukimnya. Maklum sajalah dinding pejabatnya kosong dan tidak mempunyai apa-apa data. Tuan DO kemudian memberitahu beliau sengaja memberi notis pendek untuk melihat sendiri kesediaan Tok Penghulu.

Kemudian tibalah giliran ketua-ketua kampung mengenalkan diri masing-masing sambil mengemukakan masalah kampung mereka. Ini mengingatkan penulis kepada satu adegan dalam filem Nujum Pak Belalang apabila Sultan Shahrul Nizam negara Beringin Rendang berjumpa dengan ketua-ketua kampung baginda. Jika selama ini mereka lebih banyak berhubung dengan Tok Penghulu peluang bersemuka terus dengan DO mereka gunakan sepenuhnya.

Apabila tiba sahaja giliran ketua kampung di mana terletak banglo di tepi tasik itu beliau tidak ada cerita lain dari menceritakan salah laku mantan ketua kampung sebelumnya. Lebih memeranjatkan DO ialah apabila diberitahu masalah ini telah lama berpanjangan. 

Tuan DO datang diiringi oleh seorang Penolong Pegawai Daerah atau ADO. Mungkin kerana malu diumumkan masalah ini telah lama berlanjutan dia pun menulis satu nota dan menyampaikan kepada DO disebelahnya. 

Tuan DO pun membaca isi nota itu iaitu ADO berjanji akan mengambil tindakan terhadap masalah itu dengan secepat mungkin.

Apakah tindakannya penulis tidak tahu kerana sehingga hari ini rumah banglo di tepi tasik itu masih gagah berdiri. Cuma kilang papan yang menceroboh tanah mantan ketua kampung telah berpindah.

Sementara itu Tuan DO, ADO, Tok Penghulu dan penulis sendiri telah bersara. Kebanyakan ketua kampung juga telah bersara atau ditukar. 

Yang masih kekal ialah rumah banglo di tepi tasik.


Mak bapak dia orang dah beli petak tu ke?

Tak cukup kaki lima, petak letak kereta pun dia kebas!

Macam mana nak letak kereta? Nanti terlanggar tiang!

Sapa berani usik aku?

Dulu saya lama tinggal di Taman Paroi Jaya, Seremban. Tetapi sekarang saya telah meninggalkan taman itu selama enam tahun selepas bersara.

Baru-baru ini saya singgah sebentar di taman itu. Saya perhatikan ada perubahan di bahagian kedai yang dua deret itu. Jalan di hadapan kedai telah dijadikan jalan sehala. Tempat letak kereta juga telah dilukis petak-petaknya. Sudah tentu ia disediakan oleh Majlis Perbandaran Seremban, iaitu jabatan saya dulu.

Tetapi apa yang menyakitkan hati saya ialah sekurang-kurangnya tiga unit kedai telah menjadikan petak-petak letak kereta di hadapan kedai mereka sebagai hak mereka. 

Meletakkan barang-barang di kaki-lima itu sudah biasalah, walau pun menjadi kesalahan di bawah Akta Kerajaan Tempatan dan Akta Parit, Jalan dan Bangunan. Tetapi bagi saya mengambil petak letak kereta awam dan menjadikannya seperti hak sendiri sudah melampau. 

Semasa saya bekerja dulu benda-benda begini menjadi pantang bagi saya. Sesiapa boleh bertanya kepada kawan-kawan saya yang masih bekerja di situ. Saya bukan setakat mengeluarkan saman kepada pekedai-pekedai begini. Saya telah merobohkan beberapa struktur yang di bina di tempat-tempat awam. Ada yang saya lakukan selepas menghantar notis dan ada juga tanpa apa-apa notis.

Bagi tindakan tanpa notis, apabila dicabar jawapan saya senang sahaja. Saya akan tanya balik 'Bila tuan bina (struktur) ini adakah tuan beri notis pada kami? Jadi padanlah jika saya merobohkannya tanpa notis juga'.

Saya hairan kenapa penduduk-penduduk yang pernah menjadi jiran saya dulu takut untuk melunaskan hak mereka. Sudah tentu mereka segan, takut, malu dan sebagainya untuk mengadu kepada pihak berkuasa.  

Waki Rakyat juga di mana? Adakah Yang Berhormat takut hilang undi dan membiarkan pengundi-pengundi YB merana dalam senyap?

Atau mungkinkah mak bapak pekedai-pekedai itu telah membeli petak-petak letak kereta itu? Kalau ia dari siapa?


Thursday, November 8, 2012

Dia tak mau terima duit saya


Dalam beberapa minggu ini agak susah bagi saya untuk mengunci pintu kereta dan sebaliknya. Saya terpaksa menghampiri kereta sehingga satu meter sebelum boleh menekan butang di 'remote controller' atau alat pengawal jauh di kunci kereta. Jangkaan pertama saya ialah bateri alat itu hampir habis oleh kerana agak lama tidak ditukar.

Tetapi setelah bateri ditukar masalahnya tetap sama. Saya memutuskan masalah sebenar ialah 'radio frequency' di alat pengawal jauh telah lari. Saya tahu ada satu kedai di Bandar Seremban yang boleh membetulkan masalah ini. Ia diuruskan oleh seorang OKU.

Agaknya OKU ini tidak mengenali saya atau tidak sedar saya pernah datang ke kedainya dengan masalah yang sama. Dia terus menyatakan alat pengawal jauh kunci saya telah rosak dan mengsyorkan saya menggantinnya dengan yang baru. Bila saya tanya berapa harga alat yang baru, jawapannya ialah RM 50.00.

Kemudian saya terangkan kepadanya bukankah saya pernah datang kepadanya dengan masalah yang sama sebelum ini dan dia telah membetulkan 'radio frequency' di kunci saya? Dia agak terperanjat dan terus membuat apa yang saya hajati. Kemudian barulah kereta saya dapat dikunci dengan alat kawalan jauh dalam erti kata sebenar.

Mungkin kerana malu niat asalnya terbongkar, OKU ini tidak mahu menerima apa-apa bayaran dari saya. 

Monday, November 5, 2012

ETS tak ke Seremban lagi.


Inilah gambar tren ETS yang saya ambil pada bulan Mei 2011 yang lalu. Ia berlabuh di pletform 3 Stesen Keretapi Seremban. Di pletform itulah ia berlabuh apabila datang ke Seremban dua kali sehari. Tetapi mulai 1 Oktober 2012 tidak lagi, kerana KTM telah memberhentikan laluan ETS Ipoh - Seremban.

Dari mula lagi saya meragui sama ada mengadakan laluan ETS dari Seremban ke Ipoh dan sebaliknya  adalah keputusan yang baik. Ini kerana sudah ada laluan KTM Komuter dari Seremban ke Tanjong Malim. Pillihan yang terbaik ialah menaiki KTM Komuter dari Sg. Gadut, Senawang atau Seremban hingga KL Sentral dan dari situ menaiki ETS ke Ipoh.

Ini ditambah lagi dengan adanya dua lebuhraya yang menghubungkan Seremban ke Kuala Lumpur. Jadi orang Seremban tidaklah harap sangat kepada ETS ini untuk ke utara. Fakta-fakta ini sepatutnya diambil kira oleh KTM sebelum menghantar ETS ke Seremban dulu.