Wednesday, November 14, 2012

Rumah banglo di tepi tasik.

Ini cuma gambar hiasan, bukan rumah dalam cerita penulis.

Berpuluh tahun dahulu beberapa keluarga telah meneroka satu kawasan hutan tanah kerajaan di pinggir Bandar Seremban dan dijadikan sebuah kampung. Kawasan itu pula terletak bersebelahan sebuah kilang papan. Walau pun  kampung itu diberi nama baru oleh mereka, ia lebih dikenali dengan nama kilang papan tersebut sehingga hari ini.

Mereka pun menubuhkan satu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung atau JKKK. Untuk menguatkan kedudukan di sisi masyarakat di samping mendapat imuniti mereka telah menubuhkan sebuah cawangan parti politik yang memerintah negeri di masa itu.

Dengan tertubuhnya kedua-dua badan itu mereka telah memohon kepada pihak berkuasa negeri untuk menghalalkan penerokaan mereka. Parti yang memerintah negeri sudah tentu mengalu-alukan tindakan mereka ini kerana ingin menambah pengaruh parti.

Kebanyakan peneroka cuma membina rumah sementara kerana mereka belum tahu kedudukan tanah mereka yang sebenar melainkan setelah diukur dan dirancang secara sah. Tetapi ketua peneroka yang sekarang dipilih menjadi ketua kampung tidak. Beliau telah membina sebuah rumah banglo kekal di tepi sebuah tasik.

Jabatan-jabatan kerajaan yang tertentu telah dikerah untuk mengesahkan kampung tersebut secara rasmi. Di lain perkataan mereka diminta menghalalkan satu tindakan yang haram. Bukankah tindakan asal penduduk kampung ini dikenali sebagai penerokaan haram?

Kampung mereka pun diukur dan lot-lot kediaman dibahagikan. Di samping itu disediakan juga kawasan untuk perniagaan, surau, masjid dan kawasan riadah di samping infrastruktur seperti jalan dan longkang. Akibat pengukuran dan perancangan ini rumah banglo yang dibina oleh ketua kampung di tepi tasik didapati termasuk dalam kawasan riadah.

Kalau bagitu di mana pula lot untuk rumah ketua kampung? Rupa-rupanya lot untuk beliau ialah sekeping tanah yang telah diteroka secara haram oleh kilang papan tadi. Tindakan sepatutnya ialah ketua kampung menghalau kilang papan yang menceroboh tanahnya, merobohkan rumahnya di tepi tasik dan berpindah ke tanahnya yang sebenar.

Sementara itu tidak kurang juga peneroka asal yang sekarang ini telah mendapat hakmilik tanah secara sah menjual tanah mereka. Mereka menerima tanah itu seolah-olah percuma dari kerajaan. Apabila ada yang menawarkan harga yang mahal untuknya ramai yang gelap mata.

Berbalik kepada ketua kampung tadi. Beliau enggan berpindah, lebih-lebih lagi merobohkan rumahnya di tepi tasik itu. Beliau juga seolah-olah menerima satu situasi menang-menang. Beliau duduk percuma di rezab riadah disamping menerima bayaran sewa dari kilang papan yang menceroboh tanah beliau.

Sudah tentu orang kampung kurang senang dengan tindakan ketua mereka ini. Alasan kuat mereka ialah kilang papan itu mengganggu ketenteraman awam. Betul juga, kilang papan ini yang dulunya terletak di luar bandar sekarang berada dalam kawasan bandar. Kesian, kilang papan yang telah memberi identiti kepada kampung ini telah dihalau orang-orang kampung. Tetapi pengusaha kilang papan ini juga enggan berpindah kerana mempunyai penyokong kuat, tidak lain tidak bukan ketua kampung sendiri.

Akhirnya orang kampung tidak ada pilihan dari menyingkirkan ketua kampung tadi dan menggantikannya dengan ketua kampung baru. Jika selama ini permintaan mereka di'veto' oleh ketua kampung, sekarang mereka bebas menyampaikan aduan ke pihak berkuasa.

Tetapi aduan mereka tak kemana. Perlu diingat selain dari JKKK kampung ini juga mempunyai cawangan parti politik yang memerintah negeri. Mungkin hubungan mantan ketua kampung dengan kerajaan negeri yang memerintah masih kuat.

Tiba-tiba Seremban mendapat Pegawai Daerah atau DO baru. Antara tugas pertama beliau ialah berjumpa sendiri dengan ketua-ketua kampung atau nama rasmi mereka Pengerusi JKKK. Beliau bercadang menemui mereka dari Mukim ke Mukim di Balai-Balai Penghulu seluruh daerah.

Kebetulan perjumpaan pertama ialah di Balai Penghulu Mukim di mana terletaknya kampung dalam tulisan penulis ini. Di samping ketua-ketua kampung, ketua-ketua jabatan kerajaan tertentu juga dijemput hadir sama. Kebetulan pula ketua jabatan penulis meminta penulis mewakilinya di perjumpaan ini.

Kelam kabut juga Tok Penghulu memberi taklimat mengenai Mukimnya. Maklum sajalah dinding pejabatnya kosong dan tidak mempunyai apa-apa data. Tuan DO kemudian memberitahu beliau sengaja memberi notis pendek untuk melihat sendiri kesediaan Tok Penghulu.

Kemudian tibalah giliran ketua-ketua kampung mengenalkan diri masing-masing sambil mengemukakan masalah kampung mereka. Ini mengingatkan penulis kepada satu adegan dalam filem Nujum Pak Belalang apabila Sultan Shahrul Nizam negara Beringin Rendang berjumpa dengan ketua-ketua kampung baginda. Jika selama ini mereka lebih banyak berhubung dengan Tok Penghulu peluang bersemuka terus dengan DO mereka gunakan sepenuhnya.

Apabila tiba sahaja giliran ketua kampung di mana terletak banglo di tepi tasik itu beliau tidak ada cerita lain dari menceritakan salah laku mantan ketua kampung sebelumnya. Lebih memeranjatkan DO ialah apabila diberitahu masalah ini telah lama berpanjangan. 

Tuan DO datang diiringi oleh seorang Penolong Pegawai Daerah atau ADO. Mungkin kerana malu diumumkan masalah ini telah lama berlanjutan dia pun menulis satu nota dan menyampaikan kepada DO disebelahnya. 

Tuan DO pun membaca isi nota itu iaitu ADO berjanji akan mengambil tindakan terhadap masalah itu dengan secepat mungkin.

Apakah tindakannya penulis tidak tahu kerana sehingga hari ini rumah banglo di tepi tasik itu masih gagah berdiri. Cuma kilang papan yang menceroboh tanah mantan ketua kampung telah berpindah.

Sementara itu Tuan DO, ADO, Tok Penghulu dan penulis sendiri telah bersara. Kebanyakan ketua kampung juga telah bersara atau ditukar. 

Yang masih kekal ialah rumah banglo di tepi tasik.


No comments: