Monday, December 31, 2012

"Ada dua jenis manusia dalam dunia ini".



Antara filem yang paling saya suka ialah 'The Good, the Bad and the Ugly". Walau pun ia dikategorikan sebagai filem koboi atau 'western' tetapi ia dibuat di Eropah. Filem dikeluarkan oleh satu syarikat Italy dan digambarkan di Italy dan Spain. Pengarahnya Sergio Leone, berbangsa Italy. Cuma watak-watak 'The Good (si baik), the Bad (si jahat) dan the Ugly (si hodoh) dilakunkan oleh pelakon Amerika iaitu Clint Eastwood (si baik), Lee Van Cleef ( si jahat) dan Eli Wallach (si hodoh).  

Sudah tentu pada awalnya rakyat Amerika mencemuh filem ini kerana bukan mereka pengeluarnya,  sedangkan ia menggambarkan keadaan negara mereka di masa American Civil War atau Perang Saudara Amerika dulu. Akhirnya mereka menerimanya juga dan filem itu sekarang dianggap sebagai salah satu filem klasik di dunia. Filem itu juga telah melonjakkan pelakun utamanya Clint Eastwood sehingga menjadi seorang  pelakun, pengarah dan pengeluar filem ternama sehingga terkini. 

Walau pun filem ini menggambarkan tiga karaktor seperti tajuknya, ada satu ayat yang sering diulang oleh dua dari tiga karaktor itu. Ayatnya ialah 'There are two kinds of people in this world, my friend" yang bermakna "Ada dua jenis manusia dalam dunia ini, kawanku". Ayat ini sering disebut oleh si baik dan si hodoh. Si jahat tidak terlibat langsung.

Kenapa dua dan tidak tiga seperti tajuk filem? Rupa-rupanya dua jenis manusia itu melambangkan situasi si baik dan si hodoh yang sering berubah-rubah. Contohnya si hodoh sedang duhukum gantung sampai mati dan bersedia dengan tali terikat di lehernya. Kemudian datang si baik menembak dan memutuskan tali itu dan  si hodoh lepas lari. Di sini situasinya ialah seorang jenis hampir mati sedangkan seorang lagi jenis penyelamatnya. 

Di akhir filem ketiga karaktor si baik, si jahat dan si hodoh bertemu dalam situasi satu lawan satu lawan satu atau tiga segi. Ini dipanggil 'Mexican Stand-off' di mana tiga orang koboi bersedia untuk menembak satu atau dua yang lain antara mereka. Habuan kepada pertarungan ini ialah wang emas yang tersembunyi dalam satu kubur.

Soalnya siapa nak tembak siapa? Di sinilah si baik menggunakan kebijaksanaannya. Dia telah menjangka pertarungan tiga segi ini akan berlaku dan pada malam sebelumnya telah mengeluarkan peluru pistol si hodoh. Memikirkan si hodoh sudah hilang taring tumpuannya hanya kepada si jahat. 

Si jahat dan si hodoh sudah tentu tidak tahu siapa yang harus di tembak. Akhirnya si baik menembak mati si jahat sedangkan si hodoh mendapati pistolnya tidak berpeluru. 'The Good' telah mengalahkan 'The Bad' dengan menggunakan 'The Ugly' tanpa pengetahuannya.

Selesai pertarungan itu si baik telah mengulangi sebutan 'There are two kinds of people in this world...'. Pertama ialah dia yang sekarang memegang pistol berpeluru dan yang kedua si hodoh yang terpaksa menggali kubur untuk mendapatkan habuan. Walau pun si baik boleh membolot semua habuan itu, dia tetap membahagikannya 50-50 dengan si hodoh. 

Tahun 2012 akan tamat beberapa jam lagi. Dalam setahun ini saya dapati keadaan dalam negara kita Malaysia sama seperti yang sering di sebut oleh 'The Good' atau si baik dan 'The Ugly' atau si hodoh dalam filem 'The Good. the Bad and the Ugly'. Keadaannya ialah ada dua jenis manusia dalam negara ini. 

Dalam apa keadaan pun terdapat dua jenis manusia. Walau bagaimana baik perbuatan dari satu kumpulan, ia tetap dianggap tidak baik oleh kumpulan yang lagi satu. Antara boggers sendiri ada dua kumpulan. Ada kumpulan yang menyokong satu pihak dan ada kumpulan yang lain pula meyokong pihak yang lain. Tiap-tiap kumpulan menyatakan dialah 'The Good' dan yang lain itu 'The Bad'. Tidak ada 'The Ugly' di tengah-tengah. 

Begitu juga dalam laman sosial seperti 'Facebook'. Ada dua kumpulan yang sering berseteru antara yang lain.  Sehingga keluarlah bahasa dan karikatir yang kadang-kadang jijik saya membaca dan melihatnya.   

Cuma saya harap di tahun baru nanti 'The Good' sebenar akan mengalahkan 'The Bad' sebenar dengan menggunakan 'The Ugly', jika perlu. 


Tuesday, December 18, 2012

Mungkin ini sebab mengapa dia tiba-tiba gila main golf.

Awek-awek seksi, caddy zaman ini.

Dulu di pejabat saya ada seorang pegawai yang tidak suka main golf. Bukan setakat tidak suka main, tetapi dia mempersendakan siapa-siapa sahaja yang menghabiskan masa main golf. Pernah ada seorang ustaz memberi ceramah di pejabat di mana saya dan pegawai ini sama-sama hadir. Ustaz itu kemudian memberitahu apabila azan Maghrib berkumandang ramai diantara kita masih asyik main golf. Pegawai ini ketawa berdekah-dekah bila ustaz ini menyebut itu, sedangkan hadirin lain termasuk yang biasa main golf berdiam diri sahaja. 

Memang benar kelab golf di Paroi, Seremban itu terletak di sebelah satu masjid. Apabila azan dilaungkan sesiapa yang berada di padang golf tentu terdengar. Tetapi untuk berlaku adil masjid itu juga bersebelahan dengan stadium dan pusat akuatik (nama glamor untuk kolam renang) utama Negeri Sembilan.

Saya sendiri pernah menjadi ahli kelab golf tersebut, walau pun saya juga tidak main golf. Tujuan utama saya menjadi ahli ialah untuk saya dan ahli keluarga  berenang di kolam renang kelab itu. Tetapi apabila pusat akuatik itu dibina saya berhenti dari menjadi ahli kelab golf dan berenang di pusat akuatik itu sahaja. Kebetulan saya juga tinggal berhampiran dengan kelab golf, masjid, stadium dan pusat akuatik yang saya sebut tadi.

Pekerja-pekerja rendah am (nama glamor untuk buruh) saya pun ada yang menjadi caddy separuh masa di kelab golf tersebut. Awal-awal lagi mereka memberitahu supaya tidak diminta untuk bekerja lebih masa kerana mereka petang-petang pergi 'memikul' di kelab golf. Apa yang dipikul ialah beg golf yang mengandungi kayu golf dan sebagainya.

Berbalik kepada pegawai tadi. Beberapa tahun kebelakangan ini tiba-tiba sahaja dia menjadi ahli kelab golf tersebut dan gila bermain golf. Jika dahulu dia balik lewat dari pejabat, tetapi kali ini tidak. Dia balik tepat pada masanya dan terus ke kelab golf untuk bermain golf. Perkara ini menjadi topik hangat juga di pejabat kerana sikapnya yang anti golf selama ini.

Dua hari lepas saya di minta menjadi juru gambar kepada satu pertandingan golf di satu kelab golf (bukan kelab yang saya nyatakan di atas). Syukur juga saya ada kenalan (bukan pegawai yang saya sebut) yang juga kaki golf. Saya pun mendapat idea apa-apa gambar yang harus saya ambil. 

Di situ juga saya terperanjat apabila melihat boleh dikatakan semua caddy ialah perempuan. Bukan perempuan biasa, tetapi awek (panggilan yang lebih tepat untuk mereka) Indonesia berpakaian ketat dan seksi. Yang Islam sudah tentu tidak menutup aurat. Sila lihat gambar di atas.     

Tetapi mereka tidak perlu memikul, kerana buggy (panggilan untuk kereta golf) disediakan. Sebagai jurugambar saya pun diberi buggy sendiri. Habis satu padang golf saya rayau, sehingga saya diberi dua buggy kerana buggy pertama habis bateri. 

Juga habislah peluang untuk bekas pekerja-pekerja saya untuk menjadi caddy separuh masa. Tetapi sekarang mereka boleh buat kerja lebih masa.

Tetapi bagi pegawai yang saya sebut tadi dan ramai lagi golfers di sana caddy era baru yang terdiri dari awek-awek seksi mungkin menjadi tarikan untuk mereka gilakan golf.    

Sunday, December 9, 2012

Hak mereka lebih utama.


Semalam saya menghadiri majlis kahwin anak kepada mantan jiran saya. Saya rasa tidak ada masalah jika kenalan saya ini mengadakan majlis di rumah sahaja, kerana saya pernah mengadakan majlis kahwin untuk dua anak saya di sana. Tetapi kenalan saya ini memilih untuk mengadakan majlis itu di satu dewan kondo beberepa kilometer dari rumahnya.

Kondo ini pula terletak di kawasan tinggi dan dari pengalaman saya yang pernah ke sana saya tahu tempat letak kereta di kondo ini terhad. Oleh itu saya tidak hairan apabila sampai sahaja di kawasan itu ada seorang petugas yang memberitahu tempat letak kereta di atas sudah penuh dan saya diminta meletak kereta di bawah. 

Pagi itu pula saya baharu sahaja bersenam dengan berjalan turun naik ke tangki air di depan rumah dan kaki saya masih sakit-sakit. Keadaan ini bertambah buruk apabila saya terpaksa menaiki bukit sekali lagi.   

Sebenarnya kereta boleh diletak di jalan cerun dan berpusing menuju ke kondo ini dan berpuluh kereta boleh di letak di sana. Saya pernah melihat sendiri jalan sebegini dipenuhi kereta, contohnya jalan menuju ke masjid semasa solat Jumaat. Tetapi pihak kondo awal-awal lagi tidak membenarkan keadaan begitu.

Semasa duduk makan dengan kaki yang sakit baru saya sedar mengapa syarat ini dikenakan. Pihak berkuasa kondo tidak mahu mengganggu keselesaan yang dinikmati oleh penghuni-penghuni kondo dan tetamu mereka. 

Maklum sahajalah penghuni kondo membayar bayaran perkhidmatan setiap bulan untuk mereka hidup selesa. Keselesaan ini termasuk kemudahan kolam renang dan dewan di mana majlis kahwin ini dijalankan. Juga keselesaan memandu dan meletak kereta. Jika kereta dibenar diletak di jalan masuk ke kondo sudah tentu mengganggu penghuni kondo dan tetamu mereka untuk keluar masuk. 

Biarlah tetamu untuk majlis ini tidak selesa kerana terpaksa berjalan kaki menaiki bukit. Biarlah kaki saya yang sakit beretambah sakit. Asalkan penghuni kondo tidak bising.

Hak mereka lebih utama.

Monday, December 3, 2012

Ramai Hitler di antara kita.


Semasa remaja dulu saya suka melihat filem-filem perang, khususnya Perang Dunia Kedua seperti The Longest Day, The Guns of Navarone, Battle of the Bulge dan sebagainya. Tetapi saya tidak pernah ambil tahu mengenai orang yang memulakan Perang Dunia Kedua iaitu Adolf Hitler.

Baru-baru ini National Geographic melalui Astro telah menyiarkan siri Apocalypse: The Second Word War di ikuti dengan Apocalypse: The Rise of Hitler. Selama ini saya menyangkakan Adolf Hitler berkerjaya tentera sepenuhnya dan naik pangkat sehingga memerintah Germany atau Jerman. Kedua-dua siri itu membuktikan sangkaan saya salah.

Memang benar Hitler pernah menjadi askar Jerman semasa Perang Dunia Pertama. Dia tidak lahir di Jerman pun tetapi di Austria. Dalam tentera dia cuma berpangkat korporal, itu pun dia tidak memegang senjata kerana tugasnya ialah menghutus surat dari satu medan perang ke medan yang lain. Tetapi kerana keberaniannya dia dianugerah dengan 'Iron Cross' yang jarang diberi kepada anggota tentera pangkat rendah.

Beberapa tahun selepas tamat Perang Dunia Pertama Hitler memasuki politik. Tidak payahlah saya berpanjang lebar menceritakan kerjaya politiknya. Cukup saya memberitahu dengan politiklah Hitler berjaya sehingga menjadi Chancellor atau ketua negaranya. Tetapi dalam kenaikan itu tidak kurang pula musuh-musuhnya di luar dan dalam partinya dihapuskan.

Apabila menjadi ketua negara sudah tentu Hitler menguasai bala tenteranya. Semua Jeneral sekarang berada di bawah arahannya sedangkan jika Hitler terus menjadi tentera dengan pelajaran yang terhad dia mungkin tidak ke mana.

Hitler kemudian mengarahkan general-generalnya menyerang Eropah dan Afrika Utara di Perang Dunia Kedua. Pada mulanya bala tentera Jerman seperti tidak boleh ditahan kemaraannya. Tetapi siapakah Hitler disegi ketenteraan jika dibandingkan dengan General Eishenhower iaitu pemerintah tentera bersekutu (Allied Forces) yang menentangnya. 

Akibatnya Hitler banyak membuat keputusan yang salah. Antaranya tidak menyangka Allied Forces akan mendarat di Normandy, Perancis pada D-Day 4 Jun 1944. Dengan mendaratnya Allied Forcea senanglah mereka menolak tentera Jerman balik ke negara mereka dan mengalahkannya.

Begitu juga keputusan Hitler untuk menawan Russia sedangkan Napoleon sendiri tidak dapat menawannya. Akhirnya tentera Jerman tersepit. Di barat mereka ditolak oleh Allied Forces dan di timur oleh tentera Russia. Akhirnya setelah berpuluh juta manusia mati tentera Jerman dikalahlan. Untuk mengelakkan dari di tawan Hitler memilih untuk membunuh diri.

Setelah bersara dari tentera dengan khidmat cemerlang barulah General Eishenhower memasuki politik sehingga menjadi Presiden Amerika Syarikat.

Sebenarnya ramai orang yang sama seperti Hitler dalam negara kita. Persamaan yang saya maksudkan ialah memilih politik untuk naik ke atas sedangkan kelulusan mereka tidak seberapa. Saya mempunyai pengalaman sendiri dalam perkara ini.

Semasa bujang dahulu saya pernah tinggal dengan seorang yang tidak lulus Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pun. Tetapi melalui politik dia sekarang mempunyai rumah besar, beberapa buah kereta dan dua orang isteri.

Kemudian semasa kerja saya mengenali seorang yang duduk merempat dalam sebuah gerai makanan kepunyaan jabatan saya. Mungkin dia diberi hak untuk menyewa gerai itu melalui politik juga. Saya telah berkali-kali pergi ke gerainya kerana sewa tidak dibayar. Dari itulah saya melihat sendiri kehidupannya yang agak daif.

Tetapi melalui politik dia telah mempunyai beberapa rumah dan kereta. Isteri pula asyik bertukar ganti. Sehingga isteri pertama yang sama-sama merempat dengannya dulu pun diceraikan.       

Tetapi syukurlah dua orang yang saya maksudkan tadi tidak menjadi wakil rakyat, baik di peringkat negeri atau parlimen. Kalau tidak mereka juga mungkin juga membuat keputusan-keputusan bodoh seperti Hitler.