Sunday, December 9, 2012

Hak mereka lebih utama.


Semalam saya menghadiri majlis kahwin anak kepada mantan jiran saya. Saya rasa tidak ada masalah jika kenalan saya ini mengadakan majlis di rumah sahaja, kerana saya pernah mengadakan majlis kahwin untuk dua anak saya di sana. Tetapi kenalan saya ini memilih untuk mengadakan majlis itu di satu dewan kondo beberepa kilometer dari rumahnya.

Kondo ini pula terletak di kawasan tinggi dan dari pengalaman saya yang pernah ke sana saya tahu tempat letak kereta di kondo ini terhad. Oleh itu saya tidak hairan apabila sampai sahaja di kawasan itu ada seorang petugas yang memberitahu tempat letak kereta di atas sudah penuh dan saya diminta meletak kereta di bawah. 

Pagi itu pula saya baharu sahaja bersenam dengan berjalan turun naik ke tangki air di depan rumah dan kaki saya masih sakit-sakit. Keadaan ini bertambah buruk apabila saya terpaksa menaiki bukit sekali lagi.   

Sebenarnya kereta boleh diletak di jalan cerun dan berpusing menuju ke kondo ini dan berpuluh kereta boleh di letak di sana. Saya pernah melihat sendiri jalan sebegini dipenuhi kereta, contohnya jalan menuju ke masjid semasa solat Jumaat. Tetapi pihak kondo awal-awal lagi tidak membenarkan keadaan begitu.

Semasa duduk makan dengan kaki yang sakit baru saya sedar mengapa syarat ini dikenakan. Pihak berkuasa kondo tidak mahu mengganggu keselesaan yang dinikmati oleh penghuni-penghuni kondo dan tetamu mereka. 

Maklum sahajalah penghuni kondo membayar bayaran perkhidmatan setiap bulan untuk mereka hidup selesa. Keselesaan ini termasuk kemudahan kolam renang dan dewan di mana majlis kahwin ini dijalankan. Juga keselesaan memandu dan meletak kereta. Jika kereta dibenar diletak di jalan masuk ke kondo sudah tentu mengganggu penghuni kondo dan tetamu mereka untuk keluar masuk. 

Biarlah tetamu untuk majlis ini tidak selesa kerana terpaksa berjalan kaki menaiki bukit. Biarlah kaki saya yang sakit beretambah sakit. Asalkan penghuni kondo tidak bising.

Hak mereka lebih utama.

No comments: