Monday, December 31, 2012

"Ada dua jenis manusia dalam dunia ini".



Antara filem yang paling saya suka ialah 'The Good, the Bad and the Ugly". Walau pun ia dikategorikan sebagai filem koboi atau 'western' tetapi ia dibuat di Eropah. Filem dikeluarkan oleh satu syarikat Italy dan digambarkan di Italy dan Spain. Pengarahnya Sergio Leone, berbangsa Italy. Cuma watak-watak 'The Good (si baik), the Bad (si jahat) dan the Ugly (si hodoh) dilakunkan oleh pelakon Amerika iaitu Clint Eastwood (si baik), Lee Van Cleef ( si jahat) dan Eli Wallach (si hodoh).  

Sudah tentu pada awalnya rakyat Amerika mencemuh filem ini kerana bukan mereka pengeluarnya,  sedangkan ia menggambarkan keadaan negara mereka di masa American Civil War atau Perang Saudara Amerika dulu. Akhirnya mereka menerimanya juga dan filem itu sekarang dianggap sebagai salah satu filem klasik di dunia. Filem itu juga telah melonjakkan pelakun utamanya Clint Eastwood sehingga menjadi seorang  pelakun, pengarah dan pengeluar filem ternama sehingga terkini. 

Walau pun filem ini menggambarkan tiga karaktor seperti tajuknya, ada satu ayat yang sering diulang oleh dua dari tiga karaktor itu. Ayatnya ialah 'There are two kinds of people in this world, my friend" yang bermakna "Ada dua jenis manusia dalam dunia ini, kawanku". Ayat ini sering disebut oleh si baik dan si hodoh. Si jahat tidak terlibat langsung.

Kenapa dua dan tidak tiga seperti tajuk filem? Rupa-rupanya dua jenis manusia itu melambangkan situasi si baik dan si hodoh yang sering berubah-rubah. Contohnya si hodoh sedang duhukum gantung sampai mati dan bersedia dengan tali terikat di lehernya. Kemudian datang si baik menembak dan memutuskan tali itu dan  si hodoh lepas lari. Di sini situasinya ialah seorang jenis hampir mati sedangkan seorang lagi jenis penyelamatnya. 

Di akhir filem ketiga karaktor si baik, si jahat dan si hodoh bertemu dalam situasi satu lawan satu lawan satu atau tiga segi. Ini dipanggil 'Mexican Stand-off' di mana tiga orang koboi bersedia untuk menembak satu atau dua yang lain antara mereka. Habuan kepada pertarungan ini ialah wang emas yang tersembunyi dalam satu kubur.

Soalnya siapa nak tembak siapa? Di sinilah si baik menggunakan kebijaksanaannya. Dia telah menjangka pertarungan tiga segi ini akan berlaku dan pada malam sebelumnya telah mengeluarkan peluru pistol si hodoh. Memikirkan si hodoh sudah hilang taring tumpuannya hanya kepada si jahat. 

Si jahat dan si hodoh sudah tentu tidak tahu siapa yang harus di tembak. Akhirnya si baik menembak mati si jahat sedangkan si hodoh mendapati pistolnya tidak berpeluru. 'The Good' telah mengalahkan 'The Bad' dengan menggunakan 'The Ugly' tanpa pengetahuannya.

Selesai pertarungan itu si baik telah mengulangi sebutan 'There are two kinds of people in this world...'. Pertama ialah dia yang sekarang memegang pistol berpeluru dan yang kedua si hodoh yang terpaksa menggali kubur untuk mendapatkan habuan. Walau pun si baik boleh membolot semua habuan itu, dia tetap membahagikannya 50-50 dengan si hodoh. 

Tahun 2012 akan tamat beberapa jam lagi. Dalam setahun ini saya dapati keadaan dalam negara kita Malaysia sama seperti yang sering di sebut oleh 'The Good' atau si baik dan 'The Ugly' atau si hodoh dalam filem 'The Good. the Bad and the Ugly'. Keadaannya ialah ada dua jenis manusia dalam negara ini. 

Dalam apa keadaan pun terdapat dua jenis manusia. Walau bagaimana baik perbuatan dari satu kumpulan, ia tetap dianggap tidak baik oleh kumpulan yang lagi satu. Antara boggers sendiri ada dua kumpulan. Ada kumpulan yang menyokong satu pihak dan ada kumpulan yang lain pula meyokong pihak yang lain. Tiap-tiap kumpulan menyatakan dialah 'The Good' dan yang lain itu 'The Bad'. Tidak ada 'The Ugly' di tengah-tengah. 

Begitu juga dalam laman sosial seperti 'Facebook'. Ada dua kumpulan yang sering berseteru antara yang lain.  Sehingga keluarlah bahasa dan karikatir yang kadang-kadang jijik saya membaca dan melihatnya.   

Cuma saya harap di tahun baru nanti 'The Good' sebenar akan mengalahkan 'The Bad' sebenar dengan menggunakan 'The Ugly', jika perlu. 


No comments: