Sehari selepas saya menaiki bumbung Acros Fukuoka saya bercadang melawat Fukuoka Tower iaitu satu menara sama seperti KL Tower di Bukit Nenas, Kuala Lumpur. Kebetulan di bawah hotel di mana saya tinggal terdapat satu stesen LRT yang bernama Nakasu-kawabata. Saya masih ingat nama stesen itu.
Saya lihat di peta dan mendapati stesen LRT paling dekat dengan Fukuoka Tower bernama Nishijin. Saya pun naik LRT di bawah hotel dan turun di Nishijin. Di hari cuaca baik saya tidak ada masalah untuk berjalan kaki dari Nishijin ke Fukuoka Tower. Tetapi hari ini hujan turun renyai-renyai.
Hujan di negara Japan tidak macam di negara kita. Hujan kita biasanya lebat dan tidak lama. Tetapi di Jepun dari apa yang saya nampak hujannya tidak lebat tetapi berpanjangan. Juga sepanjang saya di Fukuoka saya tidak mendengar bunyi guruh pun walau pun hujan adalah perkara biasa di sana.
Kerana hujan saya bercadang untuk menaiki bas dari Nishijin untuk ke Fukuoka Tower. Saya pun meminta tolong dari seorang pekedai menjual akhbar dan majalah di stesen LRT Nishijin. Saya pun menunjukkan 'student passport' saya kepada pekedai tersebut dan bercakap Inggeris kepadanya.
Bagi saya adalah lebih senang untuk mendapat pertolongan jika menunjukkan 'student passport' dari passport Imigresyen. Ini kerana setengah dari penerangan dalam 'student passport' ini ditulis dalam Bahasa Jepun.
Pertanyaan saya kepada pekedai itu senang sahaja iaitu 'Bas mana yang patut saya naiki untuk pergi ke Fukuoka Tower?'. Tetapi cara pekedai ini menolong saya sungguh memeranjatkan saya. Dia telah mengarahkan isterinya sendiri untuk memberi pertolongan.
Isterinya yang jelas sarat mengandung terus memberikan saya satu payung (dipanggil 'kasa' dalam bahasa Jepun) dengan dia sendiri memegang satu 'kasa'. Sedang kami berpayung seorang satu dia mengajak saya menyeberangi jalan di tempat melintas jalan yang dibenarkan. Dia berbuat begini tanpa rasa malu dan segan.
Di seberang jalan kami berjalan kaki lebih kurang seratus meter ke satu perhentian bas. Di situ isteri pekedai ini menunjuk kepada satu peta laluan bas. Peta itu juga menunjukkan bas nombor berapa melalui laluan mana. Isteri pekedai ini terus menunjukkan nombor-nombor bas yang boleh membawa saya ke Fukuoka Tower dari perhentian bas ini.
Saya pun faham dan memulangkan balik 'kasa' yang dipinjamkan sementara kepada saya dan mengucapkan 'Arigato' kepadanya.
Sementara menunggu bas saya berfikir bolehkah pertolongan berbentuk ini diberikan di Malaysia.
No comments:
Post a Comment