Friday, April 17, 2009

Arak dan judi.

Saya ada membuat komen di pos blog kawan saya mengenai arak dan judi. Sebenarnya kawan saya ini 'link'kan blognya dengan satu blog orang lain. Saya memilih untuk memberi komen di blog kawan saya kerana saya tidak kenal dengan blogger yang lagi satu tu. Tambahan pula blognya berbau politik. Setelah saya kena hentam beberapa bulan yang lepas kerana membuat pos berbau politik saya telah serik. Maklumlah saya memang bodoh dalam bab-bab politik ini.

Komen saya cuma hendak membetulkan fakta sahaja. Alhamdulillah kawan saya ini bersetuju dengan komen saya. Tetapi akibatnya sungguh mengecewakan saya kerana penulis blog yang lagi satu itu telah menghentam bukan sahaja saya tetapi kawan saya. Elok juga kawan saya tu tidak menerbitkan hentaman kepada kami itu. Saya rasa kesal juga kerana komen saya kawan saya dapat tempiasnya.

Walau pun saya sebut kawan disini kami belum pernah bersua muka. Tetapi dari pos-posnya saya tahu blogger ini serasi dengan jiwa saya. Yang paling penting blognya tidak berbau politik.

Terus terang saya nyatakan disini sebahagian dari tugas-tugas rasmi saya melibatkan arak dan judi. Tetapi para pembaca jangan salah faham dan menganggap saya minum arak dan berjudi pula. Sebenarnya saya ialah diantara pegawai-pegawai kerajaan yang menguatkuasakan peraturan-peraturan arak dan judi.

Untuk beberapa tahun kebelakangan ini jabatan saya menjadikan saya wakil ke Lembaga Eksais Arak Daerah Seremban. Jadi secara langsung saya juga menolong meluluskan lesen-lesen arak dalam Daerah Seremban.

Di antara tugas saya di luar ialah memastikan di kedai-kedai dan pasaraya botol-botol dan tin-tin arak diasingkan penyimpanan dan penjualannya dari minuman biasa. Dari pengalaman saya ramai pekedai yang keliru dengan arak jenis 'shandy'. Mereka fikir ia bukan arak dan mengikut mereka juga ramai orang Melayu Islam yang membelinya. Jadi adalah menjadi tanggungjawab saya membetulkan tanggapan mereka ini.

Di segi judi pula di antara tugas saya ialah memastikan kedai-kedai menjual nombor ramalan (nama rasmi untuk kedai nombor ekor) mempunyai notis memberitahu bahawa "Judi itu haram di segi Islam".

Tetapi walau pun di botol-botol dan tin-tin arak ditulis peratusan alkoholnya dan mereka diasingkan dari minuman lain jika ada manusia mengaku Islam membelinya bukanlah menjadi kuasa saya untuk mengambil tindakan terhadap mereka.

Bagitu juga dengan notis larangan yang jelas masih ada orang Islam yang membeli nombor ramalan saya tidak mempunyai kuasa terhadap mereka.

Bagi mereka yang tidak berfikir panjang cara mengelakkan orang-orang Islam dari terlibat dengan arak dan judi senang sahaja. Haramkan terus. Tutup segala kilang-kilang arak. Haramkan pengimpotan arak. Batalkan semua lesen-lesen judi.

Tidak cukup dengan itu haramkan segala kegiatan yang melibatkan babi. Ladang-ladang penternakan babi ditutup. Daging babi dilarang dijual di pasar-pasar awam atau swasta. Makanan yang mengandungi bahan-bahan dari babi dilarang diimpot.

Bagi saya selagi di negara kita ini masih ada warganegaranya yang tidak menjadi kesalahan dari segi budaya dan agama mereka untuk minum arak dan berjudi selagi itulah aktiviti penjualan arak dan judi dibenarkan. Tetapi kegiatannya hendaklah mengikut peraturan. Peraturan-peraturan ini pula dirangka oleh orang-orang politik. Kami pegawai-pegawai kerajaan cuma menguatkuasakannya sahaja.

Bagitu juga jika ada orang-orang Islam yang sanggup menjadi ahli lembaga pengarah kepada syarikat arak dan judi itu ialah antara dirinya dengan Allah. Tidak payahlah dipolitikkan isu ini.

Tetapi apabila saya memberi komen untuk membetulkan fakta tidak payahlah menyuruh saya dan kawan saya membaca tahlil di kubur mana-mana tokeh judi atau arak.

No comments: