Monday, April 6, 2009

Bila masa dan cuaca tidak mengizinkan.

Jenson Button mendahului Formula One Malaysia dengan kereta baru Brawn.


Datuk Sri Najib, Perdana Menteri Malaysia menyambaikan hadiah kepada Jenson Button. Sekurang-kurangnya pasukan yang ditaja Petronas BMW Sauber dengan pemandu Nick Heidfeld mendapat tempat kedua. Tahun hadapan jangan setuju dengan waktu permulaan pada pukul lima petang, Datuk Sri.

Sebelum Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, Seremban, Negeri Sembilan dibina acara-acara sukan utama di Negeri Sembilan diadakan di satu tempat yang dinamakan pada mulanya sebagai Padang Stesen. Ia dinamakan demikian kerana terletak betul-betul di sebelah Stesen Keretapi Seremban. Di tahun-tahun akhirnya ia dinamakan Stadium Perbandaran Seremban.

Stadium ini walau pun keadaan strukturnya agak daif tetapi keadaan padangnya sangat baik. Ia pernah menjadi salah satu tempat atau venue Pertandingan Hoki Piala Dunia pada tahun 1975 apabila permainan hoki masih lagi diadakan diatas padang berumput. Ia mendapat pujian Persatuan Hoki Antarabangsa atau FIH di masa itu.

Stadium ini walau pun mempunyai lampu untuk menerangi padang cahayanya tidak mencapai piawaian sukan antarabangsa. Oleh itu di tahun-tahun akhirnya perlawanan bolasepak waktu malam tidak dibenarkan. Lampu yang ada digunakan hanya untuk tujuan membantu pemain dan penonton keluar dari stadium setelah apa-apa pertandingan atau acara petang berakhir.

Saya masih ingat lagi ada permainan bolesepak yang dimulakan pada waktu petang ditamatkan sebelum waktunya kerana keadaan sudah menjadi gelap. Setahu saya juga dalam peraturan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan ada peruntukan untuk pengadil memberhentikan permainan dalam situasi ini. Situasi itu disebut sebagai 'failing lights'. Ya, peraturan itu ditulis dalam Bahasa Inggeris.

Di dalam situasi 'failing lights' ini jika pertandingan itu berupa liga situasi jaringan gol semasa permainan diberhentikan dikira sebagai muktamad. Tetapi jika pertandingan berupa kalah mati dan situasi jaringan gol semasa 'failing lights' adalah sama untuk kedua-dua pasukan peraturan membenarkan pengadil membuat keputusan secara lambung duit syiling. Jadi dalam kes ini lambungan duit syiling bukan sahaja berlaku sebelum perlawanan bermula tetapi di akhirnya juga.

Alhamdulillah apabila Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi dibina keadaan 'failing lights' dan lambungan duit syiling untuk menentukan keputusan pertandingan tidak berlaku lagi. Tapak Stadium Perbandaran Seremban atau Padang Stesen telah dimajukan menjadi Seremban Parade.

Pada tahun ini pihak berkuasa perlumbaan Formula One dunia memutuskan waktu permulaan perlumbaan siri di Malaysia di tunda dari pukul tiga ke pukul lima petang. Ini dibuat untuk menyelesakan penonton-penonton television seluruh dunia. Pukul lima petang di Malaysia bersamaan pukul sepuluh pagi waktu di London.

Apabila keputusan ini dibuat saya merasa bimbang keadaan 'failing lights' ini akan berlaku. Perlumbaan Formula One selalunya berlalu tidak seperti dirancang. Keadaan cuaca boleh mengubahkan segala-galanya. Di masa hujan kereta tidak boleh dipandu laju. Risiko perlanggaran juga amat besar. Faktor-faktor ini sepatutnya diambil kira sebelum pihak Malaysia bersetuju kepada keputusan ini.

Jika tidak ada perkara-perkara luar jangka berlaku pun perlawanan akan tamat pada pukul tujuh malam. Jika diambil kira waktu penyampaian hadiah dan sidang akhbar oleh pemenang-pemenang sudah tentu masa akan bertambah lagi. Ini bermakna perlumbaan Formula One siri di Malaysia akan berlangsung sehingga waktu Maghrib. Alangkah aibnya bagi kita yang menobatkan Islam sebagai agama rasmi.

Nampaknya apa yang saya jangka berlaku semalam di Sepang. Perlumbaan telah diberhentikan hanya selepas setengah jalan kerana hujan lebat. Sebenarnya hujan sahaja tidak menjadi masalah. Syarikat-syarikat kereta yang bertanding telah bersedia dengan tayar hujan mereka. Tetapi yang merbahaya dalam situasi ini ialah kilat atau petir. Kita tidak mahu nanti penonton-penonton kita mati disambar petir apabila melihat perlumbaan Formula One.

Oleh itu pihak berkuasa negara ini sepatutnya menolak jika ada cadangan di tahun-tahun yang akan datang yang mencadangkan perlumbaan siri di Malaysia dimulakan pada pukul lima petang.

No comments: