Thursday, April 9, 2009

Bagaimana jadi bagitu?


Saya berkawan dengan budak-budak Kelantan semenjak umur saya 12 tahun. Saya juga pernah bekerja di Kelantan selama satu tahun. Oleh itu saya faham 'guano' bermaksud 'bagaimana'. Dari itu 'Guano jadi gitu?' bermaksud 'Bagaimana jadi bagitu?' Tetapi dalam Bahasa Inggeris 'guano' lain maksudnya.

Dua perkara berlaku selepas perlawanan Piala FA antara Kelantan dengan dengan Negeri Sembilan di Kota Bharu pada 7 April 2009 yang lalu yang saya lihat di kaca TV. Pertama penjaga gol Kelantan Halim Napi sebaik sahaja tamat perlawanan telah meluru ke tengah padang dan menumbuk seorang pemain Negeri Sembilan. Kedua penonton-penonton merusuh di luar Stadium termasuk menterbalikkan satu kenderaan Polis dan terus membakarnya.

Dua perkara itu mengingatkan saya kepada dua peristiwa yang berlaku seakan-akan sama berpuluh tahun yang lalu. Seakan-akan sama kerana peristiwa pertama melibatkan tumbukan kepada pemain selepas permainan tamat dan kedua sebuah kenderaan dibakar di luar stadium juga.

Ada satu pasukan bolasepak Negeri Sembilan berjaya masuk ke pertandingan Piala FAM dan mereka memerlukan satu perlawanan persahabatan sebagai latihan. Oleh itu mereka berjumpa dengan saya yang menjadi pengurus pasukan saya. Pasukan saya dipilih kerana jabatan sayalah yang menjaga stadium tempatan, oleh itu kedua-dua pasukan tidak perlu membayar sewa stadium.

Adalah sedikit kekasaran berlaku semasa permainan dan saya anggap ini satu perkara biasa walau pun ini satu perlawanan persahabatan. Tetapi selepas tamat sahaja perlawanan pengurus pasukan lawan telah meluru ke tengah padang dan menumbuk dada seorang pemain saya. Nasib baik pemain-pemain dan pegawai lain dari kedua-dua pasukan tidak mengeruhkan suasana.

Saya pun terus membuat aduan kepada Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan yang kemudiannya menghukum pengurus tadi dari terlibat dengan bolasepak untuk satu tempoh masa.

Tindakan Persatuan Bolasepak Kelantan yang menggantung penjaga golnya dari bermain adalah satu tindakan yang betul dan saya ucapkan tahniah kepada mereka yang saya anggap bersikap professional ini. Ini berlainan dengan beberapa Persatuan Belasepak negeri sebelum ini seolah-olah melindungi pemain mereka yang nyata salah.

Penjaga gol ini sudah pasti tidak dilepaskan dari hukuman bagitu saya. Saya harap Persatuan Bolasepak Malaysia atau FAM menyiasat perkara ini dengan teliti dan menjatuhkan hukuman yang setimpal kepadanya. Yang penting ialah hukuman ini menjagi pengajaran kepada pemain-pemain lain supaya mengawal persaan mereka.

Peristiwa kedua ialah rusuhan di luar stadium termasuk membakar kenderaan Polis. Walau pun media masa melaporkan rusuhan ini ialah ekoran dari tindakan penjaga gol di tengah padang Persatuan Bolasepak Kelantan menafikannya. Mengikut mereka penonton merusuh kerana tidak puas hari terhadap satu perkara yang berlaku di luar stadium. Apa perkara itu adalah kurang jelas.

Ini mengingatkan saya beberapa tahu yang lalu di mana bas Kerajaan Negeri Sembilan yang membawa pemain bolasepak pasukan Negeri Sembilan dibakar diluar Stadium Negeri Terengganu di Kuala Terengganu. Ini berlaku kerapa penonton-penonton tidak berpuas hati dengan keputusan pertandingan yang memihak kepada pasukan pelawat. Pasukan kami dihantar pulang dengan bas Kerajaan Negeri Terengganu pula. Saya kurang pasti apakah tindakan lanjut yang dikenakan oleh FAM kepada tuan rumah selepas itu.
Sebenarnya bas Kerajaan Negeri Sembilan yang dibakar itu bas yang sudah berumur juga. Mungkin ada hikmah dari peristiwa ini oleh kerana selepas itu saya lihat Kerajaan Negeri membeli sebuah bas baru.

Sebenarnya saya sudah lama tidak melihat bolasepak tempatan baik melihat sendiri di stadium atau menonton di TV. Dulu semasa tinggal di Taman Paroi Jaya, Seremban selalu juga saya masuk ke Stadium Tuanku Abdul Rahman untuk melihat perlawanan bolasepak. Maklum sahajalah rumah saya terletak hanya 300 meter dari stadium.

Walau bagaimana pun setahu saya pemain dan penonton bolasepak Negeri Sembilan cukup berdisiplin. Cuma beberapa tahun dulu saya lihat sendiri penjaga gol kami menampar pembantu pengadil (sebutan lamanya penjaga garisan) semasa permainan. Dia terus dilayangkan kad merah dan kemudian digantung dari bermain selama satu tahun. Selain dari itu saya tidak fikir penonton bolasepak Negeri Sembilan sanggup merusuh.

Walau apa pun saya harap apa yang berlaku di Kota Bharu (semasa disana kami menyebut sebagai Newcastle) menjadi pengajaran kepada semua. Hukuman kepada penjaga gol berkenaan, kepada Persatuan Bolasepak Kelantan dan perusuh-perusuh yang dikenalpasti patut dikenakan. Tetapi dalam menjatuhkan hukuman saya harap pihak berkuasa menepikan apa-apa pandangan politik dan kenegerian. Hukuman hendaklah dikenakan berdasarkan fakta yang terbukti. Yang paling utama ia menjadi pengajaran kepada semua supaya ia tidak diulangi.

Apa yang tidak mahu kita lihat ialah bolasepak Malaysia yang entah di nombor ratusan mana rankingnya dalam dunia mendapat ranking nombor satu dalam disiplin buruk pemain dan penonton.

3 comments:

KSPulau said...

Assalamualaikum.
Sy sentiasa membaca blog Abg maarof.
Utk jawapan Abg, sila rujuk http://www.mohdzawi.blogspot.com/ sedikit sebanyak ada di sana.

2)Mengapa Halim berkelakuan begitu ; Sy antara penonton malam tersebut. Selepas "pertembungan" antara Halim & Zakuan, Zakuan berguling2 seakan-akan mengalami kecederaan yg amat parah. Ketika inilah Aidil meluru ke arah Halim, & beliau ditenteramkan oleh rakan lain. Apa yg tidak diceritakan oleh akhbar ialah , Aidil (ini yg saya lihat, saya rasa betul) memusing2kan jarinya di kepala lalu menunjuk ke arah Halim (rasa semua tahu maksud isyarat itu).Tindakan Aidil ini berterusan hinggal beliau berada di posisinya sbg pertahanan NS. Agak lama juga. Dlm hati, sy berfikir, selepas ini akan ada yg bergaduh. Dan ianya terjadi.
Itu yg sy dpt lihat. Maaf kalau tdk menyenangakan @ tdk tepat. Cuma, ingin saya katakan, kami dapat menerima kekalahan. Rusuhan bukan disebabkan Kelantan kalah.
Wassalam.

maarofkassim said...

Terima kasih KSPulau. Saya dah baca jawapan untuk soalan pertama dalam blog berkenaan. Saya tak mahu komen lanjut kerana kes ini melibatkan Polis.

Untuk jawapan kepada soalan kedua kalau betul adalah jelas kedua-dua Zakuan dan Aidil berkelakuan tidak professional. Tetapi tidaklah patut Halim bertindak secara tidak professional juga.

Zakuan dan Aidil masih boleh cari makan. Tetapi Halim bagaimana?

Sikap tidak professional pemain-pemain bolasepak kita dalam era 'professional football' inilah salah satu sebab saya tidak mengikut perkembangan bolasepak tempatan untuk sekian lama.

Setahu saya di era amatur dulu pemain-pemain kita lebih berdisiplin. Mutu dan pencapaian bolasepak kita juga lebih berjaya di masa itu.

Muhammad Abdullah said...

Tn Hj,

Mana2 perlawanan yang melibatkan pasukan Kelantan dengan pasukan lain memang tegang dan sepatutnya pihak persatuan bolasepak negeri dan pihak stadium berwaspada awal2 lagi dengan mengambil langkah2 keselamatan yang ketat.

Sebelum berlakunya rusuhan baru2 ni sudah berlaku beberapa ketegangan melibatkan pasukan Kelantan dengan pasukan2 lain seperti Kelantan lwn NS dalam Liga Super dan Kelantan lwn Selangor di Stadium Shah Alam.

Sebenarnya pasukan Kelantan berpotensi untuk menjadi pasukan yang hebat dan kuat. Masaalah disiplin pasukan yang yang satu-satunya membuatkan pasukan tersebut sukar untuk muncul menjadi juara diperingkat Piala Liga, Piala FA dan Piala Malaysia . Pada tahun2 70an seingat saya pasukan bolasepak sekolah Kelantan bawah 18 tahun kerap muncul juara bolasepak MSSM begitu juga pasukan belia bawah 23 tahunnya.

Pada tahun 1963 pasukan Kelantan pernah menewaskan Pahang dengan jaringan terbanyak 16 gol berbalas 1 yang sehingga kini belum ada pasukan lain yang menjaringkan gol sebanyak itu atau pun mengatasinya diperingkat negeri lwn negeri.

Tetapi sayang dengan masaalah pemain2 yang kurang berdisiplin, masaalah penyokong yang terlalu emosi dan tak berdispilin, sikap kurang tegas pihak persatuan pada peringkat awal lagi maka yang ruginya ialah `bolasepak negeri itu' sendiri berikutan tindakan susulan yang diambil badan induk.

Berikutan insiden2 yang berlaku untuk mempertingkatkan lagi mutu bolasepak diperingkat negeri khususnya dan negara amnya agak sedikit terjejas selagi masaalah disiplin pemain2 dan sikap emosi penyokong yang keterlaluan masih sukar dikawal dan ditambah pula dengan mutu pengadilan tidak pada tahap yang diharapkan oleh penonton.

Bagi saya mutu bolasepak tahun2 70an dan awal 80an yang saya anggap hebat diperingkat Asia yang menggerunkan pasukan2 gergasi Asia kini iaitu Jepun dan Korea.
Pada tahun2 70an juga pasukan2 luar samada peringkat kelab, negara seringkali datang mengadakan perlawanan2 dengan pasukan Malaysia.

Nama2 seperti Allahyarham Mokhtar Dahari, Chin Aun, Santokh, mendiang Arumugam, Shukor Salleh, Syed Ahmad, adik-beradik Namat dan Shahruddin Abdullah,James Wong, Hassan Sani, Abdullah Ali dan ramai lagi yang seangkatan mengharumkan nama negara samada diperingkat Olimpik, Sukan Asia, Sea Games malah dalam perlawanan persahabatan dengan pasukan dari Eropah seperti Malaysia mengalahkan Arsenal dan seri dengan England B team yang mana Allahyarham Mokhtar menjaringkan gol menakjubkan menewaskan Joe Corrigan.

Muhammad Abdullah, Sg Jelok, Kajang